Monday, April 19, 2004

HANYA LEBIH 1.5 PERATUS SAJA...

PERBUALAN
ini saya ikuti di sebuah kafe antara seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan pertengahan 20-an. Mereka bukan pasangan kekasih dan bukan suami isteri.

Suria: Ngeri aku baca surat khabar dua hari lalu. Menurut laporan Kementerian Kesihatan, wanita berisiko tinggi hidap sakit jiwa.

Saiful: Huh! Nasib baik wanita, bukan lelaki!

Suria: Tapi kau jangan ingat lelaki tak kena sakit jiwa. Jangan-jangan lebih parah.

Saiful: Tapi kenyataan tetap kenyataan . Dah sah wanita lebih ramai sakit jiwa. Sebabnya selalu nak berleter. Selalu jadikan hal kecil jadi panjang berjela. Selalu prejudis. Selalu nak tunjuk terror.

Suria: Memang semua yang kau cakap itu ada betulnya, tapi semuanya berpunca daripada pasangan lain, mereka tak berleter tanpa sebab. Mungkin juga wanita sakit jiwa berpunca kerana lelaki.

Saiful: Dahlah, jom balik. Nanti kita yang sakit jiwa.

Sampai di pejabat, saya mencari kenyataan akhbar itu. Setelah meneliti saya tersenyum sinis. Laporan itu menyatakan wanita penghidap sakit jiwa lebih tinggi hanya 1.5 peratus sahaja berbanding lelaki! Dengan kadar itu lelaki hendaknya jangan nak tersenyum lebar...

No comments: