Monday, April 26, 2004

BERKONGSI KESEDIHAN & KETABAHAN

SABTU lalu telah diadakan pertemuan penulis-penulis novel Alaf 21 Sdn Bhd di Hotel UITM, Shah Alam. Majlis bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang. Bagaimanapun saya akan bercerita tentang hal ini di lain ketika. Entri hari ini saya akan bercerita mengenai EP, rakan bloggers yang amat saya hormati.

Sejak awal pagi lagi saya sudah berniat akan menziarah isteri beliau di HUKM sebaik sahaja majlis pertemuan penulis tamat. Ini kerana saya tidak dapat turut serta ke majlis doa selamat pada hari Ahad yang diatur oleh Geng Jurnal di Masjid As-Ashakirin di KLCC kerana sudah berjanji dengan emak untuk ke majlis perkahwinan anak kenalannya.

Dalam perjalanan ke HUKM saya menelefon bertanya di mana dia ketika itu. EP menjawab bahawa dia dalam perjalanan ke hospital dan akan sampai tidak lama lagi. Empat puluh minit perjalanan dari Shah Alam ke hospital hati mula rasa tak menentu. Untuk mententeramkan hati, saya singgah membeli dua biji pau berinti sambal ikan bilis dan sebotol air mineral untuk EP.

Saya sampai lebih awal, terus mencuci tangan dan masuk ke bilik RICU. Saya menyapa di telinganya... kak , saya Sri ni, kawan EP datang menziarah... Air mata sudah tak terbendung apabila melihat matanya yang merah membengkak bergerak-gerak memberi respon. Saya tak boleh menipu diri, lantas mengalih pandang memerhati pada dua jenis mesen di tepi katil. Satu mesen untuk bacaan jantung, tekanan darah dan segalanya mengenai kondisi tubuh dan satu lagi mesen khas untuk keperluan ubatan. (maaf, saya tak tau detail tentang mesen-mesen ini).

Saya bertanya pada nurse kenapa hidung pesakit ni berdarah?
- Nurse berkata bahawa sudah berlaku bleeding dalam badan.
Kerana platelets dalam darah sudah terlalu rendah?
- Nurse angguk.

Tidak lama kemudian pasangan suami isteri jiran EP datang. Saya keluar memberi peluang mereka pula masuk ke bilik RICU itu. (Pelawat hanya dibenar dua orang sahaja pada satu-satu ketika). Apabila mereka keluar, saya masuk semula dan bertanya beberapa perkara lagi pada nurse.

Dua orang anak EP, Anisah dan Faiz sampai. Setelah mencuci tangan Anisah masuk, merapati katil dan berkata perlahan... ma... ma... Anisah datang ni... katanya sambil menepuk perlahan tangan mamanya yang dibaringkan mengereng. Sekali lagi air mata saya mengalir dan lebih hebat daripada tadi. Saya gagal mengawal kesedihan. Mata Anisah pun mula bergenang air jernih.

Dia pun hairan dengan darah yang mulai keluar pada hidung mamanya. Dia juga bertanya pada nurse yang sama dan mendapat jawapan yang serupa. Saya melihat air mata Anisah menitik. Saya cepat-cepat melangkah keluar dari bilik itu untuk Faiz pula masuk. Saya bertemu EP ketika melangkah perlahan menuju ke sofa yang tersedia. Kami duduk dan bercakap tentang segala hal mengenai isterinya.

Sorry to say, saya tengok keadaan makin kritikal, apakah EP sudah redha dengan segala kemungkinan?
- Doktor dah beritahu... saya berserah saja pada ALLAH.
Terseksa sangat saya melihatnya.
- Semalam doktor dah masukkan dua pain darah tapi plateletsnya masih rendah. Semalam platelets 27 kini kiraan platelets telah menurun ke angka 19. Ini menunjukkan badannya sudah kurang berkemampuan untuk membina kekuatan diri

Tidak lama kemudian Zar dan suaminya tiba. EP menyuruh mereka melihat dulu keadaan isterinya dan Zar serta Nasir terus melangkah ke bilik RICU itu. Lebih kurang lima minit kemudian terdengar bunyi tut... tut... tut... nyaring dan berhenti. Kemudian berbunyi lagi... nyaring dan berhenti. Kemudian berbunyi lagi tut... tut... tut... Zar dan suami diarahkan keluar dari bilik. Medical Officer segera dipanggil. Mesen di sisi katil isteri EP berbunyi. Nurse kata ada masalah, kata Zar.

Mata kami bertentang dan ada air jenih yang bergenang. Hampir serentak kami menyapu air yang mula menitis di pipi masing-masing. Saya tau, Zar ingin mengatakan sesuatu. Saya juga. Tapi semua itu tak terlafazkan...

Saya dan Zar berpisah di tempat letak kereta tatkala azan Maghrib berkumandang dari Masjid Saidina Osman, di kariah kediaman saya. Pesanan keep in touch antara saya dan Zar akhirnya mengejutkan lena saya pada tengah malam itu... SMS daripada Mushroomcute menyampaikan berita duka.

Inna lillah wa inna ilaihi rajiun.. Dari Allah kita datang dan kepada Allah jualah kita kembali. Al-Fatihah untuk Allahyarhamah Puan Norhasiah.
EP, ketabahan you menghadapi segalanya akan selalu saya semat dalam ingatan. Izinkan saya mewarisi kecekalan itu.

No comments: