Thursday, April 29, 2004

CERITA YANG TERTANGGUH (ii)

SAYA
tergamam apabila diberitahu oleh Mba bahawa nama saya naik. Naik? Naik apa? "Tahniah, awak dilantik jadi AJK Geju." Hah? Saya terperanjat dan terus ke Forum Geju. Saya tak sangka dengan sokongan pengundi. Bila dikenang kembali, siapalah saya? Apa kriteria ahli memilih saya yang baru setahun jagung ni? Saya baru saja beberapa bulan, belum pun masuk bertahun-tahun macam orang lain ada blog. Saya kurang mahir dengan dunia siber. Masih terkial-kial. Saya pun tak kenal ramai Geju. Saya baru sekali joint majlis Geju (itupun kena paksa datang). Tapi bila tengok, undian untuk saya boleh tahan jugaK...

Bangun pagi saya terfikir hendak tarik diri, rasanya orang lain lebih layak (boleh ke?). Mereka pun tentu ada kemahiran tertentu yang boleh di explore berbanding saya. Orang lain yang dah lama dalam Geju mungkin dah nampak dengan jelas visi dan matlamat penubuhan Geju. Bila petang, saya fikirkan lagi, sebenarnya saya takut dengan `cengkaman Tok Rimau' sebagai Presiden dan berkuasa penuh. Saya tak kenal dia... naiya saya kena terkam!


Wednesday, April 28, 2004

... TAK AKAN MENOLEH LAG!

AGAK
payah hendak meneruskan minat sendiri diselang seli dengan amanah pejabat. Tapi saya tak boleh membohongi diri... Alhamdulillah saya panjatkan dengan berita ini; Salam untuk Tasya & Baharin

Tuesday, April 27, 2004

CERITA YANG TERTANGGUH

19 April 2004, Isnin yang cerah dan rancangan sudah siap diatur. Kami berlima dengan dua kereta bergerak dari Shah Alam menuju Putrajaya. Tujuan kami hari itu ialah memenuhi jemputan minum petang bersama Datin Seri Hendon di Dewan Makan Kediaman Perdana Menteri. Saya mengembalikan ingatan terhadap ruang makan Sri Perdana di Jalan Damansara dan cuba membayangkan dewan makan yang bakal kami kunjungi.

Putrajaya amat asing bagi kami. Laluan yang kebanyakannya sehala membuatkan jalan yang dekat jadi jauh. Dua kali berpusing mencari Kediaman Perdana Menteri membuatkan kami give-up. Ada lebih tiga papan tanda mengarah ke kediaman Timbalan Perdana Menteri tetapi tidak ada satu tanda arah pun ke kediaman Perdana Menteri. Kenapa boleh jadi macam ni? Takkan nak pusing lagi?

Tak boleh jadi. Akhirnya kami mendapat akal - Jom kita singgah bertanya pada pak guard di rumah Timbalan Perdana Menteri dan minta polis di situ hantarkan kita ke tempat sebenar. Lalu kami pun berkata begini pada pak guard bertiga tu; "Assalamualaikum... apa habaq semua? Sori nu nak ganggu sat... Kami ni mai nun dari Pala Bateh... lagu nilah, kami nak tau tang mana ghumah Pak Lah, jenuh dah chari tapi tak jumpha."

Pak guard tu gelak; "Laa awat chek tak tau... Betui dah ni. Inilah ghumah Pak Lah. Tapi tak buleh guna pintu ni. Pi pusing sana, ghuna pintu utama. List nomboq kegheta hampa ada tang sana." Ha ha haa kami gelak sakan! Rupanya beliau belum berpindah ke Kediaman Rasmi Perdana Menteri walaupun rumah itu telah lama dikosongkan oleh Tun Mahathir.

Pukul tiga petang perut saya dah lapar kerana skip lunch tadi. Atas meja ada kuih koci, karipap, seri muka, pulut udang, talam keladi bersos, kuih bakar dan mi kari. Tunggu... tak boleh makan lagi! Rakan-rakan wartawan lebih 30 orang sudah ramai yang datang. Masing-masing dok leka melihat manik Sarawak pada frame dan hiasan bunga-bunga kampung di meja. Ada bunga tiga bulan, bunga siantan, bunga kembang cina, bunga lili yang ada juga yang orang panggil sundal malam dan macam-macam lagi.

Ramai bloggers tentu dah tau tentang isi pertemuan itu di akhbar-akhbar. Wah, gambar kami pun keluar dalam banyak paper. Glamor le kejap. Tapi yang tak keluar di akhbar ialah cerita-cerita yang kami dok borak bila Datin Seri Hendon tiba di meja kami. Antara lain:

i. Datin Seri berwajah serius. Jarang nak tersenyum di majlis-majlis. Ramai yang kata Datin Seri sombong, tak macam Siti Hasmah. Apa komen Datin Seri?
ii. Benarkan Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan diwujudkan atas desakan Datin Seri sendiri memandangkan minat Datin Seri terhadap budaya dan warisan seperti batik contohnya?
iii. Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat telah disatukan menjadi Kementerian Wanita, Keluarga dan Komuniti. Kami melihat kedudukan Jabatan Kebajikan Masyarakat amat terpinggir dalam hal ini.
iv. Kenapa belum berpindah ke Sri Perdana setelah lama Tun Mahathir kosongkan? Kenapa kena umum tarikh pilihanraya setelah Kak Hendon balik dari over sea?
v. ... ada banyak lagi. Nanti bacalah dalam majalah terbitan Karangkraf. Antaranya majalah Nona dan Rasa.

Jadi pertanyaan Mely, Kekbatik, Wkdin, Ayaka, Angah, Sis Yan, Inai, Ateh dan lain-lain tentang keseriusan tu, ya memang serius. Tapi tak cakap tentang cincin pun duhai Manmoncang. Santai sikit bila bab laki bini. Kak Hendon kata Pak Lah panggil dia 'Yang' (sayang) kadang-kadang 'Ling' (darling) atau 'awak'. Pak Lah tak ingat tarikh-tarikh peribadi seperti hari jadi, aniversari dll. Anak-anak yang akan ingatkan dia. Pak Lah selalu komplen Kak Hendon suka beli 'sampah' tapi bila sampah tu dah siap frame dan cantik tak malu-malu dia akan puji. Halela, tak tergamaklah nak tanya fasal tudung tu...!

Monday, April 26, 2004

BERKONGSI KESEDIHAN & KETABAHAN

SABTU lalu telah diadakan pertemuan penulis-penulis novel Alaf 21 Sdn Bhd di Hotel UITM, Shah Alam. Majlis bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang. Bagaimanapun saya akan bercerita tentang hal ini di lain ketika. Entri hari ini saya akan bercerita mengenai EP, rakan bloggers yang amat saya hormati.

Sejak awal pagi lagi saya sudah berniat akan menziarah isteri beliau di HUKM sebaik sahaja majlis pertemuan penulis tamat. Ini kerana saya tidak dapat turut serta ke majlis doa selamat pada hari Ahad yang diatur oleh Geng Jurnal di Masjid As-Ashakirin di KLCC kerana sudah berjanji dengan emak untuk ke majlis perkahwinan anak kenalannya.

Dalam perjalanan ke HUKM saya menelefon bertanya di mana dia ketika itu. EP menjawab bahawa dia dalam perjalanan ke hospital dan akan sampai tidak lama lagi. Empat puluh minit perjalanan dari Shah Alam ke hospital hati mula rasa tak menentu. Untuk mententeramkan hati, saya singgah membeli dua biji pau berinti sambal ikan bilis dan sebotol air mineral untuk EP.

Saya sampai lebih awal, terus mencuci tangan dan masuk ke bilik RICU. Saya menyapa di telinganya... kak , saya Sri ni, kawan EP datang menziarah... Air mata sudah tak terbendung apabila melihat matanya yang merah membengkak bergerak-gerak memberi respon. Saya tak boleh menipu diri, lantas mengalih pandang memerhati pada dua jenis mesen di tepi katil. Satu mesen untuk bacaan jantung, tekanan darah dan segalanya mengenai kondisi tubuh dan satu lagi mesen khas untuk keperluan ubatan. (maaf, saya tak tau detail tentang mesen-mesen ini).

Saya bertanya pada nurse kenapa hidung pesakit ni berdarah?
- Nurse berkata bahawa sudah berlaku bleeding dalam badan.
Kerana platelets dalam darah sudah terlalu rendah?
- Nurse angguk.

Tidak lama kemudian pasangan suami isteri jiran EP datang. Saya keluar memberi peluang mereka pula masuk ke bilik RICU itu. (Pelawat hanya dibenar dua orang sahaja pada satu-satu ketika). Apabila mereka keluar, saya masuk semula dan bertanya beberapa perkara lagi pada nurse.

Dua orang anak EP, Anisah dan Faiz sampai. Setelah mencuci tangan Anisah masuk, merapati katil dan berkata perlahan... ma... ma... Anisah datang ni... katanya sambil menepuk perlahan tangan mamanya yang dibaringkan mengereng. Sekali lagi air mata saya mengalir dan lebih hebat daripada tadi. Saya gagal mengawal kesedihan. Mata Anisah pun mula bergenang air jernih.

Dia pun hairan dengan darah yang mulai keluar pada hidung mamanya. Dia juga bertanya pada nurse yang sama dan mendapat jawapan yang serupa. Saya melihat air mata Anisah menitik. Saya cepat-cepat melangkah keluar dari bilik itu untuk Faiz pula masuk. Saya bertemu EP ketika melangkah perlahan menuju ke sofa yang tersedia. Kami duduk dan bercakap tentang segala hal mengenai isterinya.

Sorry to say, saya tengok keadaan makin kritikal, apakah EP sudah redha dengan segala kemungkinan?
- Doktor dah beritahu... saya berserah saja pada ALLAH.
Terseksa sangat saya melihatnya.
- Semalam doktor dah masukkan dua pain darah tapi plateletsnya masih rendah. Semalam platelets 27 kini kiraan platelets telah menurun ke angka 19. Ini menunjukkan badannya sudah kurang berkemampuan untuk membina kekuatan diri

Tidak lama kemudian Zar dan suaminya tiba. EP menyuruh mereka melihat dulu keadaan isterinya dan Zar serta Nasir terus melangkah ke bilik RICU itu. Lebih kurang lima minit kemudian terdengar bunyi tut... tut... tut... nyaring dan berhenti. Kemudian berbunyi lagi... nyaring dan berhenti. Kemudian berbunyi lagi tut... tut... tut... Zar dan suami diarahkan keluar dari bilik. Medical Officer segera dipanggil. Mesen di sisi katil isteri EP berbunyi. Nurse kata ada masalah, kata Zar.

Mata kami bertentang dan ada air jenih yang bergenang. Hampir serentak kami menyapu air yang mula menitis di pipi masing-masing. Saya tau, Zar ingin mengatakan sesuatu. Saya juga. Tapi semua itu tak terlafazkan...

Saya dan Zar berpisah di tempat letak kereta tatkala azan Maghrib berkumandang dari Masjid Saidina Osman, di kariah kediaman saya. Pesanan keep in touch antara saya dan Zar akhirnya mengejutkan lena saya pada tengah malam itu... SMS daripada Mushroomcute menyampaikan berita duka.

Inna lillah wa inna ilaihi rajiun.. Dari Allah kita datang dan kepada Allah jualah kita kembali. Al-Fatihah untuk Allahyarhamah Puan Norhasiah.
EP, ketabahan you menghadapi segalanya akan selalu saya semat dalam ingatan. Izinkan saya mewarisi kecekalan itu.

Friday, April 23, 2004

SATU PERTEMUAN DUA WANITA



Banyak perkara yang kami bualkan...

Wednesday, April 21, 2004

PINDAH

MINGGU ini
adalah minggu `pindah'. Saya sudah berpindah bilik. Kepada bloggers yang pernah datang ke Karangkraf, lain kali kalau datang, jangan tuju ke bilik dulu... mesti tak jumpa saya di situ lagi. Alhamdulillah, di bilik sekarang saya dapat melihat matahari secara direct. Memang sengaja saya menyelak bidai luas-luas. Saya suka suasana terang benderang. Biar cahaya masuk, biar ilham datang...

Agaknya kerana penangan pindah ini, saya diserang flu yang teruk. Ada batuk yang aduhai... sakit tekak. Kering dan pedih. Hingus pulak asyik meleleh. Habis tissue paper berkotak. Kepala pun rasa bengang. Mata pedih. Kelopaknya rasa berat nak diangkat, berair. Suara pun mengalahkan Ella...

Petang tadi saya menjadi tetamu First Lady. Macam-macam yang dibualkan, semuanya secara santai, tidak formal. Penuh gelak tawa dan nasihat menasihati. Eh, empat setengah jam di Putrajaya elok pulak, tak selesema! Tapi sekarang ni hidung kembali sebu sendat semula... tak ada bau apa pun!


Tuesday, April 20, 2004

Haiku: MENUNGGU
* Dipetik daripada Communityzero/Haiku


Denyutan Jantung

Terbaring Atas Katil

Menanti Khabar


- EP

* Jenis Penyakit Puan Norhasiah


Monday, April 19, 2004

HANYA LEBIH 1.5 PERATUS SAJA...

PERBUALAN
ini saya ikuti di sebuah kafe antara seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan pertengahan 20-an. Mereka bukan pasangan kekasih dan bukan suami isteri.

Suria: Ngeri aku baca surat khabar dua hari lalu. Menurut laporan Kementerian Kesihatan, wanita berisiko tinggi hidap sakit jiwa.

Saiful: Huh! Nasib baik wanita, bukan lelaki!

Suria: Tapi kau jangan ingat lelaki tak kena sakit jiwa. Jangan-jangan lebih parah.

Saiful: Tapi kenyataan tetap kenyataan . Dah sah wanita lebih ramai sakit jiwa. Sebabnya selalu nak berleter. Selalu jadikan hal kecil jadi panjang berjela. Selalu prejudis. Selalu nak tunjuk terror.

Suria: Memang semua yang kau cakap itu ada betulnya, tapi semuanya berpunca daripada pasangan lain, mereka tak berleter tanpa sebab. Mungkin juga wanita sakit jiwa berpunca kerana lelaki.

Saiful: Dahlah, jom balik. Nanti kita yang sakit jiwa.

Sampai di pejabat, saya mencari kenyataan akhbar itu. Setelah meneliti saya tersenyum sinis. Laporan itu menyatakan wanita penghidap sakit jiwa lebih tinggi hanya 1.5 peratus sahaja berbanding lelaki! Dengan kadar itu lelaki hendaknya jangan nak tersenyum lebar...

Friday, April 16, 2004

BERMINAT dalam bidang penulisan? Ingin menjadi penulis? Jangan lepaskan peluang untuk menyertai bengkel penulisan yang akan diadakan pada masa dan tarikh berikut:

Tarikh : 8 Mei 2004 (Sabtu)
Masa : 8.30 pagi hingga 3 petang
Lokasi : Hotel Dynasty, Kuala Lumpur
Bayaran: RM35 seorang

Untuk keterangan lanjut hubungi: 03 - 51013766
Atau untuk keterangan lanjut dapatkan majalah Dara.com Mei dipasaran. Info di hujung jari sila klik sini

Thursday, April 15, 2004

KALAU UNTUNG SABUT....

SAYA
kerap didatangi agen-agen insurans, saham konvensional, saham amanah, saham pendidikan dan pelbagai skim. Semuanya untuk 'meniagakan wang' agar beranak-anak dalam diam. "You tak perlu buat apa, biar agen yang uruskan. Jika tidak diniagakan, you hanya dapat dividen yang normal, sama macam orang lain... jadi lebih elok diniagakan, sudah tentu dividennya lebih daripada kebiasaan yang you dapat. "

Itulah kata-kata klise yang dikatakan. Mendengar itu serba sediikit hati tercuit jugak. Banyak contoh di sekeliling mengiyakan kenyataan ini. Ramai rakan-rakan telah berjaya `menggandakan' wang mereka dalam diam. Semuanya agen yang uruskan.

Tetapi bercakap tentang agen ini, saya agak fobia. Susah saya nak aturkan temujanji. Selalunya kesibukan menjadi alasan. Tapi tak kanlah saya sibuk sepanjang bulan, sampai tak ada masa setengah jam pun untuk seorang kenalan....

Kenyataan yang kerap saya dengar begini: Agen hanya bermanis mulut ketika menawarkan servis. Apabila kita sudah menandatangani kebenaran untuk pelaburan, dia mula hilang perlahan-lahan. Ada ketikanya dia resign dalam diam. Tiba-tiba kita dibiar mengurus sendiri segala pelaburan. Itu bagi yang bijak mengendalikan, bagi yang tak tahu bagaimana?

Entahlah, saya belum beri kata putus pada satu tawaran pelaburan... ada sesiapa boleh bagi pandangan tentang hal ini?

Tuesday, April 13, 2004

CELEBRITY RACE & LAWATAN MB SELANGOR

UNTUK
melihat gambar-gambar dua aktiviti ini silalah ke sini

Monday, April 12, 2004

PROGRAM SEMALAM & HARI INI

SEMALAM
ada acara penuh gemilang anjuran bersama Berjaya Times Square dan majalah Media Hiburan - Celebirity Race. Maka bersesaklah artis-artis dan peminat-peminat di pusat beli belah baru itu. Majlis berjalan lancara dan mendapat liputan krew televisyen dan akhbar. Melodi pun buat lintas langsung sekejap tengahari semalam.

Tahun lalu acara berlangsung di Plaza Alam Sentral dan di sekitar Shah Alam. Maklumlah masa tu baru berpindah ke Shah Alam dan nak bermesra dengan penduduk Shah Alam. Tahun lalu para peserta menggungkan kereta untuk mencari barang-barang. Semalam mereka menggunakan LRT dan Monorail pula. Acara ni lebih kurang macam Explore Race.

Petang ini pula kami akan dikunjungi tetamu untuk program Sesi Cakap Cakap. Orang yang dimaksudkan ialah Menteri Besar Selangor Datuk Khir Toyo. Beliau telah bersetuju untuk membuat lawatan kerja ke Karangkraf. Sambutan biasa saja, agak informal. Bos pun tak suka yang formal-formal. Dia suka acara santai tetapi mesra.

Sesi Cakap-Cakap ini baru dimulakan semula setelah terhenti hampir setahun kerana proses pindah pejabat. Antara yang pernah mengisi program ini ialah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Rafidah Aziz, Tan Seri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shahrizat, Cik Azalina Otman dan beberapa menteri kanan yang lain.

Saya teringat lawak bersama Datuk Seri Shahrizat dulu bila bos kenalkan... ini Puan Sri Diah... Shahrizat kerut kening dan jawab; "oh... Mad dah dapat Tan Sri ya?" Ha hahaha....

Thursday, April 8, 2004

CUBA, TRY, TEST

HARI
ini kita beralih topiklah pula. Bukan saya tak mahu menulis lagi tentang dunia belajar dan dunia pekerjaan tapi bimbang pula anda akan berasa bosan. So kita sentuh hal berkenaan di lain masa pulalah ya...

Seorang rakan kerja di Karangkraf ini mempunyai minat yang lain daripada orang lain. Minatnya ialah memasuki peraduan dan pertandingan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Sudah pasti dia enjoy dengan minat itu dan dia akan mencuba dan terus mencuba.

Terbaru dia memasuki pertandingan teh tarik yang dianjurkan oleh sebuah stesen televisyen. Sebelum itu dia memasuki satu peraduan dan berjaya memperoleh sebuah motorsikal. Sudah banyak kali dia menang dan kalau kalau pun dia tidak berputus asa, pantang ada sahaja pertandingan dia pasti turut serta.

Saya teringat pada Rudy - wang gede wang gede! Dalam pertandingan Roda Impian dia berjaya mengumpul RM ribu-ribu jugalah jumlahnya. Adik kepada rakan saya pula berjaya memenangi percutian seminggu ke Afrika Selatan. Saya? Adalah menang beberapa pertandingan menulis cerpen dan puisi.

Dalam majalah-majalah di Karangkraf, ada banyak pertandingan dianjurkan. Sambutannya aduhai... berguni-guni. Walaupun sudah melepasi tarikh tutup, kadang-kadang, masih ada lagi sampul surat yang diterima. Purata, seorang peserta akan menghantar lima penyertaan. Bayangkan kalau 10 ribu orang...

Apa yang ingin saya katakan mengenai topik ini ialah tentang semangat mahu mencuba dan yakin berjaya. Jika kita tak cuba mana kita tahu kemampuan kita! Betulkah andaian saya ini?

Wednesday, April 7, 2004

ANTARA TEORI DAN PRAKTIKAL

KERAPKALI
berlaku, apa yang kita pelajari semasa di pusat pengajian tinggi, tidak sama dengan realiti setelah kita menempuh bidang pekerjaan. Semasa di peringkat pengajian kita diberitahu bahawa dunia pekerjaan begitu dan begini... tetapi setelah kita dialam pekerjaan apakah ia tepat seperti yang dikatakan itu?

Ramai menjawab iya tetapi lebih ramai akan menjawab tidak. Berdasarkan pengalaman saya melatih dan memantau prestasi wartawan baru, perkara ini adalah antara yang kerap saya hadapi. Paling nyata sekiranya pekerja berkenaan masih `fresh' dan baru memulakan dunia pekerjaan.

Akan timbul soal jawab begini: oooo tak taulah pulak - masa belajar dulu lecturer tak cakap pun - mesti buat macam tu ya? - kalau tak pergi macamana? - saya takutlah - saya memang tak tau tempat tu kat mana - pro tak ada - saya kena marah, sepatutnya kena buat surat - kena minta izin proof dulukah? - pegawai tak nak cakap, saya tak boleh tulis apa-apa - dia kata no komen - dan banyak lagi bla bla bla...

Ini adalah tannggungjawab senior. Melatih perkerja tidak sama dengan melatih pelajar. Maksud saya melatih - bukan mendera. Malah di tempat saya ada beberapa majalah yang memang menjadi unit latihan sebelum seseorang wartawan itu boleh disahkan jawatan. Tidak semua berjaya melalui skill ini dan ada ketika tempoh latihan itu terpaksa dilanjutkan.

Kami melatih apa yang mereka tidak dapat semasa belajar dulu. Kami memberi apa yang tidak dapat diberi oleh pensyarah. Kami menyediakan realiti, itulah yang mesti mereka hadapi. Kami membimbing mereka, mempersiapkan diri mereka dari segi mental dan fizikal.

* Nanti saya sambung lagi :-)

Tuesday, April 6, 2004

KE DEPAN, BERHENTI ATAU UNDUR DIRI?

PERNAHKAH
mengalami situasi di mana kita benci dengan peristiwa itu tetapi setelah beberapa lama, kita kembali terfikir bahawa kebencian kita itu sebenarnya adalah suatu rahmat. Jika tidak kerana kebencian itu kita tidak mendapat sesuatu, tidak mendapat pengajaran dan pengalaman daripadanya.

Itulah perasaan yang dialami oleh kebanyakan wartawan. Malah ada yang sudah dinaikkan pangkat menjadi Penolong Editor dan ada yang berbangga sudah mencapai cita-cita untuk menjadi Editor.

Situasi sebagai Kadet Reporter merupakan titik mula pihak pengurusan melihat apakah seseorang itu layak untuk meneruskan tugas dan disahkan ke dalam jawatan tetap ataupun sebaliknya (meneruskan tempoh percubaan). Pihak HRD akan memanggil beliau untuk perbincangan dan diminta memikir semula apakah beliau wajar menceburi profesion ini atau tidak.

Pada pendapat saya apa yang ditulis semalam bukan 'buli'. Ia adalah satu tempoh untuk melihat kecekapan seseorang. Itu juga untuk memantau jatidiri, menilai kesungguhan, minat dan tanggungjawab seseorang. Memandangkan tugas ini bukan 100 peratus di pejabat malah boleh dikatakan kebayakan masa dihabiskan di luar pejabat, mereka mestilah tangkas, peka persekitaran, cepat bertindak, mahir mengendali kemungkinan, boleh membuat keputusan dan jangan abaikan etika.

* Cukup dululah, nanti saya akan sambung lagi :-)

Monday, April 5, 2004

BULI

KEBETULAN
ramai rakan bloggers menulis tentang kes buli di sebuah sekolah agama di Negeri Sembilan baru-baru ini - kali ini saya pun ingin bercakap tentang isu buli dalam kerjaya saya ini.

Kenyataannya ialah wartawan senior memang membuli yang junior. Ya ada! Tapi tidaklahlah sampai dibawa ke hospital kerana luka parah, melainkan rasa tension dan sakit hati saja! Biasanya ini berlaku sebelum wartawan berkenaan disahkan dalam jawatan (kebiasaannya 3 - 6 bulan). Lama tu, jenuh jugalah menahan hati, menangis dan ada yang rela letak jawatan.

Antara cara wartawan senior membuli; disuruh pergi tugasan wartawan senior - menaip tugasan wartawan senior - diminta stay back hampir setiap malam - dipaksa belikan roti canai dan air tiap hari - kalau baru datang KL dan tak mahir dengan laluan di KL, disuruh keluar ke tempat assignment (yang sebenarnya dekat sahaja) tetapi dengan arahan perjalanan yang jauhnya hampir 30 km - disuruh mencari gambar yang bukan-bukan (contohnya gambar peninju Muhammad Ali pakai serban) - bekerja sabtu/ahad tiap-tiap minggu - jika outstation, wartawan senior tidur saja dalam kereta, wartawan junior memandu dan keluar masuk kereta bertanya arah jalan - kalau tidur di hotel pula, tak boleh tidur sekatil, wartawan junior kena tidur di carpet. Sebenarnya da banyak lagi...

Cara pengarang membuli pula ialah dengan tidak memberi byline!

Thursday, April 1, 2004

SAYA JADI SPY HARI TU ...

MAAFLAH
kerana tak sempat nak tulis apa-apa dalam entri semalam. Busy sangat dengan tuntutan kerja. Oklah, hari ini saya ingin berkongsi sedikit pengalaman bersama Anita. Oleh kerana saya duduk hampir sangat dengan beliau, saya pun ambil kesempatan itu untuk membelek-belek dirinya. Ya, dari hujung rambutnya hingga ke hujung kakinya. Tinggi kasutnya lebih kurang 3 inci - warna hitam, sepadan dengan inner.

Seperti kata Sis Yan yang suka melihat barangan kemas Anita, saya pun terkelip-kelip memandang. Jangan marah, ini lumrah wanita. Mula-mula saya perhatikan gelang tangan (bukan rantai tangan) yang digabungkan sekali dengan jam. Talinya berwarna solid black. Ia dikemaskan dengan hiasan butir-butir permata. Dia memakai satu kerongsang besar bertatah jed. Sebentuk cincin dari batu kristal di jari manis kanan. Sebentuk cincin yang sama dengan jenis dan rekaan jam di jari manis kiri. So simple.

Kuku jarinya kontot, rapat ke kulit. Begitu juga kuku kakinya. Tidak memakai mekap. Hanya gincu dan celak. Tiada pembayang mata. Tiada bedak asas. Tiada pemerah pipi. Tiada bulu mata palsu. Bibirnya tebal, agak lebar. Hidungnya tidak mancung. Dagunya normal macam wanita lain.

Tetapi kenapakan hasil fotografi dan dalam shownya Anita kelihatan lain? Sahlah... semuanya kerana teknik mekap yang membuatkan hidungnya mancung, pipinya gebu dan dagunya bagai dibentuk. Oh ya, sepanjang perbualan tangan kanannya digenggam erat oleh abang Mahathir - naik lebam birat saya tengok.

Sebenarnya dia bukanlah idola saya. Cuma saya respect kerja kerasnya. Saya respect cara dia menjaga disiplin hidupnya. Saya kagum kegigihannya. Saya cedok sifat positifnya. Satu jawapannya yang saya suka bila wartawan tanya - macamana Kak Nita jaga kesihatan? Jawabnya, makan makanan yang berkhasiat, buat senaman, jangan abaikan vitamin C dan kurangkan tidur. Katanya dah dewasa (ganti istilah tua) tak payahlah `wajib' tidur lapan jam. Empat jam dah memadai... saya suka statment tu!