Sunday, February 29, 2004

PROMOSI


Darah kemarahan yang tadi sudah semarak dalam dada kini sudah naik ke kepala. Datin Saerah geram. Dia tak mahu mendengar nama Ezreen disebut-sebut. Dia jijik mendengar nama itu. Sama jijiknya dia mendengar nama emak budak perempuan itu disebut-sebut oleh suaminya.

* Sila layari Alaf 21 dan klik pada ruangan Double Novel untuk mengikuti perkembangan terkini mengenai novel ini.


Saturday, February 28, 2004

SLE & SPM

SEMALAM
saya ke HUKM dengan membawa bersama emak saya untuk melawat wife EP. Mulanya Zar, pun nak ikut sama tapi ada halangan, jadi dia tak dapat turut serta. InsyaAllah Zar, kita jumpa lain kali.

Sebelum itu saya membaca banyak kali tulisan EP tentang penyakit SLE. Walaupun sebelum ini dah tau serba sedikit, tetapi dengan membaca tulisan EP tu, pengetahuan makin bertambah. Apabila bertemu sendiri dengan orang yang menghidap SLE ini, lagilah saya dapat tahu keadaan sebenar penderitanya.

Apa yang saya lihat EP begitu tabah dan kuat semangat. Sekalung tahniah! Mana tahu satu hari nanti saya akan buat cerpen pula tentang ketabahan suami menjaga isteri yang sedang sakit... Dalam borak-borak muncul Zino dan memnya yang selama ini dok menyapa dan usik mengusik di blog. Ya, kami berjiran rupanya. Lepas ni kalau jumpa di pasar malam, bolehlah borak panjang.

Hari ini adik-adik kita akan mengetahui keputusan peperiksaan SPM mereka. Antara kenalan blog yang sedang dap dub dap dub ialah Ibnu Ariff, anak MBA dan juga Crimsonsky. Macamana? Cepat bagi report!


Friday, February 27, 2004

SPEKULASI PILIHANRAYA

Debat suami isteri;

- siapa kata Pak Lah akan umum tarikh pilihanraya? taklah...
+ abang, diakan PM? biasanya PM lah yang umumkan.
- pak lah akan mengadap agong untuk umum pembubaran parlimen. bila parlimen dah bubar, spr yang akan tetapkan tarikh penamaan calon dan pilihanraya.
+ :-)
- rasanya pembubaran tu 5hb
+ kenapa 5hb?
- sebab dia PM ke 5.
- sebab pejabat dia kat tingkat 5
- sebab dulu dia angkat sumpah jadi PM 5hb
- masa angkat sumpah tu pukul 5 petang
- sebab sembahyang sehari semalam 5 waktu
- sebab pilihanraya 5 tahun sekali
+ :-)

* eh, gosip ni pun ada dalam Buletin Utama! Sila semak nama anda sebagai pengundi (bagi yg dah layak mengundi). Hari mengundi tu jangan pulak tak pergi mengundi. (Jangan cakap politik berdegar-degar tapi tak pergi mengundi pun). Lagi satu, undi tu rahsia!


Thursday, February 26, 2004

JATUH HATI...

MENERUSI
Buletin Utama saya melihat sikap gentleman Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng dalam menyelesaikan isu tentang tabung bantuan pesakit kronik. Beliau amat berwibawa, very macho, cool, sopan dan amat tenang dalam berkata-kata hingga pada satu ketika beliau kelihatan seperti `pasrah'.

Memanglah isu ini tengah hangat masa kini. Kes ini amat mencabar sesiapa sahaja jika hal berkenaan terkena batang hidung sendiri. Bagaimanapun sebagai orang politik beliau melihat semua sudut, itulah yang dikatakannya sambil tersenyum sebagai `ada agenda pihak tertentu' (sambil tersenyum!).

Sehari dua ini banyak menteri atau orang kenamaan yang hot dengan pelbagai isu. Saya suka membandingkan reaksi menteri atau orang kenamaan berkenaan dalam mempertahankan diri masing-masing. Ada yang melenting tak tentu hala, ada yang mencarut, ada yang hentak-hentak meja, menunding-nunding jari dan pelbagai lagi aksi marah bercampur protes.

Dalam kes Datuk Chua Jui Meng, sebagai wartawan saya melihat isu yang timbul sebagai satu salah faham sahaja. Dalam hal ini wartawan bukanlah penentu keputusan sama ada berita yang ditulisnya akan tersiar seperti yang dimaksudkannya. Ini kerana mengikut pangkat, selepas dia ada ketua unitnya, ada penyunting, pengarang, ketua pengarang dan kemudian tuan punya syarikat akhbar itu. Ada banyak pihak campur tangan tetapi kebiasaannya wartawan dipersalahkan.

Bagaimanapun saya salute dengan sikap Menteri Kesihatan kita, a former lawyer - beliau menjawab ketegangan dengan jiwa, dengan psikologi.


Wednesday, February 25, 2004

CERITA ANAK & EMAK

INGAT
lagi tak pada anak kedua saya Anas Iqbal yang saya ceritakan dalam entri dulu? Hari Minggu lalu dia mengajak (memaksa) saya membawanya ke Stadium Putra Bukit Jalil untuk menyaksikan Kejohanan X-Games Asia. "Jomlah... free!" Antara paksa dan rela, saya ikutkan minat dia. Si Kak Long tak mahu ikut, dia tak minat... jadi lepas lunch saya, Anas dan si bongsu pun naiklah LRT dari stesen Bandar Tun Razak ke Bukit Jalil.

Halangan pertama, seperti yang dijangka - LRT penuh sesak. Sampai di Kompleks Sukan Bukit Jalil, mak datuk... melautnya manusia. Kebetulan ada macam-macam pesta di sana. Ada pameran hartanah dan automobil (beli tanah/rumah dapat kereta?) dan macam-macam lagi. Stadium Putra memang sesak dengan anak-anak muda yang minat sukan lasak tu.

Gaya mereka - ada yang bersubang di kening, bertindik di bibir. Gaya hip hop, dengan jeans dan t.shirt. Tapi ada juga yang sopan, yang cool. Yang datang dengan santun dan menonton games dengan relax dan enjoy... taklah terkinja-kinja macam sesetengah anak muda yang memang sakit mata saya memandangnya.

Di luar, si Anas enjoy dengan motor-cross. Motor terbang dan landing dengan aksi si penunggang yang bermacam gaya. Kata si bongsu, "mama tengok tu dia up!" Saya dah mula pening kepala dengan bingit dan aksi lasak. Up lah... nanti tersungkur padan muka! Si Anas pun satu semua dia nak try. Nak cuba rock-climbing, nak try skateboard, nak tatoo X-Games (free) di pipi, di dahi, di lengan (tatoo ni macam pelekat, boleh tenyeh padam) dan macam-macam games lain.

Penat dan panas di luar. Kami beralih ke dalam stadium pula. Ramai, penuh. Kami dapat tempat yang strategik dan dapat tengok semua show. Dalam stadium diadakan acara skateboard park di satu gelanggang, kemudian ada roller-blade di gelanggang satu lagi dan acara basikal stunt flatland di gelanggang satu lagi. Ada skrin besar, kepada sesiapa yang tak dapat lokasi yang bagus. Bingit dengan muzik dan jerit sorak penonton memberi semangat, tambah membuatkan kepala saya pening.

Sedar-sedar saja si bongsu menggerakkan saya, "mama, jom balik... dah habis," katanya. Saya terjaga terpisat-pisat. Saya tengok jam dah pukul empat setengah petang. Laa... saya tertidur rupanya dalam bingit-bingit tu!

Monday, February 23, 2004

BILA WAJAHMU AKU BAYANGKAN
Terasa pilu
Terasa rindu....

LIRIK
di atas adalah sebahagian daripada lagu yang penah dinyanyikan oleh Allahyarham Sudirman. Semalam genap 12 tahun Allahyarham meninggalkan kita. Semalam juga telah diadakan majlis tahlil di rumah keluarganya. Sampai hari ini saya masih lagi menyimpan surah Yassin yang disedekahkan oleh keluarga Allahyarham, berkulit tebal berwarna kuning kunyit sempena majlis tahlil beberapa tahun lalu.

Saya masih lagi terbayang seronoknya bekerja dengan arwah semasa arwah menjadi residen writer di Kumpulan Karangkraf pada awal tahun 90-an. Tugasnya setiap hari ialah menulis dan melukis untuk majalah-majalah terbitan Karangkraf waktu itu seperti Bacaria, Nona, Media Hiburan, Mingguan Kanak-kanak dan Remaja. Idea itu adalah ideanya sendiri, lukisannya sendiri.

Waktu itu saya bertugas sebagai Editor Bacaria. Sahabat saya Intan yang menjadi wartawan Media Hiburan waktu itu telah diarahkan menjadi pembantu arwah dan berpindahlah dia dari tingkat satu ke tingkat dua, duduk di luar bilik arwah. Bila dia perlukan Intan dia akan melaung memanggil "oh Kintan... Kintan mari kejap" ataupun "intan oh intan payung, mari sini kejap." Tidak berapa lama kemudian apabila arwah telah tiada, bilik itu menjadi bilik saya pula.

Arwah tak pernah masuk waktu pagi. Waktu dia datang pejabat ialah pada pukul empat petang. Apabila dia datang dia akan menjinjit tiga atau lima bungkus nasi lemak dengan teh ais. Nasi lemak itu akan dibahagi-bahagikan kepada sesiapa yang ada. Apabila ditanya bahan (artikel) untuk hari itu dia akan kata, " nanti kejap, lepas ni abang buat." Memang betul, habis makan nasi lemak dan minum teh ais, dia pun mula menulis dan melukis. Sekejap saja dah siap.

Bertahun bekerja bersamanya banyak perkara yang kami nikmati bagaikan adik beradik. Dia seorang yang periang, pantang melihat orang lain bersedih. Mulutnya riuh macam murai, dia suka berjenaka. Dia suka ambil berat hal kami. Kalau Intan disuruh ke mana-mana dia akan pastikan Intan pergi dan balik dengan selamat. Dia akan panggilkan teksi untuk Intan, dia akan telefon ke tempat itu bertanya sama ada Intan dah sampai atau belum dan dia akan tunggu Intan balik semula ke pejabat dengan selamat.

Sebelum Nathan diambil bertugas menjadi pemandunya, dia ke mana-mana menaiki teksi. Selepas Nathan, dia mengupah pula Kumar menjadi pemandunya. Saya pun tak tahu apa dah jadi dengan anak angkat berbangsa India yang pernah dibelanya...

Banyak suka duka kami bersama Allahyarham Sudir. Semua ini tak akan habis dengan kata-kata, ia tersemat jauh di sudut di hati...

Saturday, February 21, 2004

ESOK YANG PENUH ERTI

TARIKH keramat ini datang lagi. Umat Islam seluruh dunia akan menyambut kehadiran tahun baru dalam kalendar Islam. esok. Awal Muharam disambut dengan penuh makna oleh umat Islam untuk memperingati hijrah Nabi Muhammad dari Mekah ke Madinah.

Apabila bercakap tentang peristiwa hijrah ini, saya selalu ingatkan anak-anak akan cerita sarang labah-labah dan sepasang burung merpati yang melindungi Rasulullah dan Abu Bakar as-Siddiq selama tiga hari baginda di sebuah gua di Gunung Thaur. Kesan daripada penghijrahan ini adalah satu catatan penting sehingga umat Islam menjadikan perisitwa ini sebagai permulaan dalam kalendar Islam.

Seperti kebiasaan doa akhir tahun dibaca ketika matahari hampir tenggelam pada hari terakhir bulan Zulhijjah (21 Februari). Manakala doa awal tahun pula dibaca selepas solat Maghrib, iaitu selepas muncul anak bulan Muharam.

* Sila ke blog Walinong Sari untuk membaca doa akhir tahun dan awal tahun. Terima kasih Salina...

Friday, February 20, 2004

CERITA SERA, CILLC & RUDY


(Edit) SAYA
gagal untuk lena. Online di YM sebentar tadi menemukan kembali saya dengan Honey Biru. Adik Sera yang masih muda tetapi menyimpan macam-macam cerita. Dah lama dia menulis blog rupanya iaitu sejak tahun 1999 (empat tahun lebih awal mendahului saya). Kami terputus hubungan, tak sangka akhirnya berjumpa semula di malam Jumaat yang mulia ini. Membaca blog Sera saya dapat menyelami betapa sakitnya dia dengan masalah kejiwaan yang menimpa. Sera cuba untuk mengawal perasaan-perasaan jahat yang menggodanya untuk melakukan perkara-perkara negatif hingga kepada perasaan ingin membunuh diri...

Selain Sera saya juga mulai mengenali Cillc melalui blognya yang saya selalu kunjungi. Seperti Sera, Cillc juga dalam keadaan serius. Kini dia berjuang bersungguh-sungguh menangani penyakit barah otaknya. Menurutnya dia cuba untuk menepis semua rasa rendah diri tetapi dia gagal untuk membohongi diri bahawa dia sememangnya tengah menderita sebagai pesakit barah yang kronik.

Selain mereka berdua saya juga menyelami perasaan Rudy yang turut mengalami pelbagai dugaan-dugaan fizikal dan mental. Ada suara-suara asing yang selalu merasuk dirinya tidak kira siang atau malam. Hingga dia muntah-muntah darah dan pelbagai barangan yang tak masuk akal dikeluarkan daripada tubuh badannya.

Kini saya ada cerita tiga orang adik yang terlalu ingin menggenggam bahagia dan melayan damai dalam hati. Kepada mereka bertiga apa yang mampu kita lakukan sebagai orang luar selain terus memberikan motivasi agar mereka terus tabah. Berjuang dan terus berjuang kerana kita ada alKhaliq yang akan menentukan dosa pahala; syurga dan neraka.

InsyaAllah. Kuatkan semangat kalian. Jangan menyerah kalah sebelum waktunya!

Thursday, February 19, 2004

GAJI TAK BERKAT, TAK LEKAT

HARI
ini saya ingin menyambung tentang tulisan ringkas semalam. Ianya ialah tentang KEJUJURAN dalam pekerjaan. Tidak dinafikan kejujuran sejati yang tertanam dalam hati setiap warga kerja mampu manambah produktiviti. Bagaimana? Bayangkan jika setiap individu berpegang kepada syariat. Tugas masing-masing akan dijalankan dengan jujur. Rasuah jauh sekali. Masa ditepati. Majikan diihormatii. Sementara itu majikan dan pegawai atasan pula menjaga kebajikan kakitangan bawahan. Bukankah ini suasana yang kundusif untuk hasil kerja yang maksima? Banyak kos boleh dikurangkan.

Ada syarikat yang terpaksa memperuntukkan sejumlah wang untuk memasang kamera. Semua ini untuk memastikan tidak berlaku penyelewengan dan pembaziran tenaga. Pelbagai borang dan proses birokrasi terpaksa diadakan. Penguatkuasaan sahaja memerlukan kakitangan yang ramai.

Semua orang mengakui hakikat ini... tetapi persoalannya kebanyakan kita mahu supaya orang lain berubah dulu. Ada juga yang berkata kalau orang lain tidak jujur dan saya seorang saja yang jujur... tak kan ke mana. Sebenarnya keikhlasan dan keujujuran bekerja itu merupakan suatu berkat, agar wang gaji yang diterima setiap bulan akan menjadi bersih dan memberi kepuasan kepada kita. Kerana wang gaji itulah yang akan menjadi darah daging kita dan juga anak-anak.

Wednesday, February 18, 2004

KERJA HATI & PEMBOHONGAN



TERLALU
banyak kerja pejabat yang perlu saya uruskan hari ini. Untuk tidak menghampakan pengunjung yang amat saya hargai, saya tinggalkan kata-kata ini; KEJUJURAN adalah kerja hati - ia tidak dapat dinilai secara mutlak oleh orang lain. KETENANGAN dan kedamaian hati akan berkocak apabila kita BERBOHONG. Satu pembohongan akan membuahkan KERESAHAN. Insya-Allah saya akan masukkan entri baru dari masa ke semasa.

Tuesday, February 17, 2004

KLDSK PiILIHAN SAUDARA KITA

TULISAN
hari ini merujuk pada respon daripada Honeytar yang mengatakan beliau terjumpa seorang mualaf menjual novel saya `Kuala Lumpur di Mana Suamiku' . Sebenarnya ini bukan kali pertama saya diberitahu hal ini. Sebelum ini pun ada tiga empat orang wanita saudara kita menelefon mengatakan bahawa mereka begitu terkesan dengan watak Natasya, heroin saya dalam novel ini.

Kepada pembaca daripada golongan saudara baru ini, terima kasih saya ucapkan kerana menghayati watak Natasya. Sememangnya watak Natasya saya persembahkan untuk golongan saudara baru, dengan mengambil kisah seorang sahabat karib saya sendiri `Nurul Ain' yang mengalami nasib serupa.

Ramai pembaca saudara baru yang bersimpati dengan Natasya dan lebih daripada itu mereka simpati dengan diri mereka sendiri yang masih `mentah' dengan selok belok Islam. Lebih malang apabila ketandusan pengetahuan mengenai Islam ini telah menjadi senjata utama golongan lelaki memperdaya mereka. Runtunan nafsu yang menggoda semakin menjadikan situasi begitu kompleks dan akhirnya mereka rela mengikut sahaja perancangan pihak lelaki yang ada agenda tersendiri.

* Ramai yang keliru tentang panggilan sesuai untuk golongan mualaf - apakah kita harus panggil mereka sebagai mualaf, convert muslim, saudara baru ataupun saudara kita? Bagaimanapun pihak Perkim mengatakan golongan berkenaan sebagai mualaf tetapi bagi yang empunya diri, panggilan mualaf itu telah merendahkan taraf mereka dan mereka tidak selesa dengan panggilan itu. Terpulanglah pada pembaca untuk memberi buah fikiran....

Monday, February 16, 2004

KOTA ASIA PALING MAHAL

TAHUKAH anda kota mana di Asia yang taraf hidupnya paling mahal untuk tahun 2003? Jawapannya nombor satu ialah Tokyo dan nombor dua, Osaka. Demikian menurut kajian kos sara hidup yang dijalankan oleh Unit Risikan Economist.

Kedudukan kedua-dua banda raya itu kekal seperti 2002. Tokyo, Osaka, Hong Kong( no.4) dan Singapura (no.12) masih menjadi empat bandar raya termahal di rantau Asia Pasifik. Seoul melonjak dari nombor 21 pada 2002 ke nombor 13 pada tahun lalu. Peningkatan ini disebabkan nilai mata wang won yang terus kukuh.

Kedudukan semua bandar raya di tanah besar China merosot tahun lalu berikutan negara itu mengalami kadar inflasi yang negatif dan menyebabkan harga barangan turun. Misalnya kedudukan Beijing jatuh ke nombor 19 dariapda nombor 10 pada 2002 manakala Shanghai dari nombor 14 ke nombor 27. Namun begitu separuh daripada 14 kota raya termahal di Asia terletak di China.

Satu perempat daripada 50 kota raya paling murah di dunia pula terletak di Asia Tenggara dan Asia Selatan. Manila ialah bandaraya termurah di Asia Tenggara manakala Ho Chi Minh menjadi bandara raya termahal di rantau itu selepas Singapura.

Kadar ini dilakukan dengan membandingkan harga dan barangan di 134 bandar raya di seluruh dunia. New York dijadikan sebagai indeks asas 100 sebagai perbandingan.

Oleh itu rasanya jika waktu pagi kita bersarapan nasi lemak dengan lauk sambal udang, lapan biji kacang tanah goreng (satu dah pahit), lima ekor ikan bilis goreng yang dah tak rangup dan tak ada timun dicampur dengan harga teh tarik lalu, makcik gemuk di tepi jalan berkenaan meletakkan harga RM2.50 masih bolehlah kita katakan murah berbanding dengan harga sekeping roti canai di London yang kononnya berharga RM7.00 sekeping - Asia Inc.

Sunday, February 15, 2004

`PASSING THE BATON' UNTUK KECEMERLANGAN

JIKA
disemak pada buku program Astro Februari 2004, malam ini pukul 8 - 8.30 di Astro Ria akan disiarkan program Nadi KL. Saya tak pasti apakah program ini akan memaparkan ulangan Nadi KL versi Karangkraf yang telah disiarkan pada malam Jumaat lalu ataupun siri yang lain.

Jika siaran malam ini versi Karangkraf (mempromosikan Majalah RASA) apa yang ingin diberitahu bahawa begitulah suasana kerja di Karangkraf di mana wartawan, jurugambar, pihak grafik dan percetakan saling bantu membantu. Tradisi `passing the baton' atau rangkaian team work ini sudah berjalan sejak dulu dan akan terus berlangsung hingga masa akan datang. Silalah menontonnya.

Saturday, February 14, 2004

PROMOSI




Wajarlah kini dia diburu dosa-dosa masa silam. Masa itu hatinya hati muda, masa itu jiwanya jiwa orang muda. Tetapi sekarang di saat usia tua menjelma, hatinya kini sudah tidak tenteram. Jiwanya berkecamuk setiap kali ingatan terhadap isterinya datang menggoda-goda nostalgia.


* Petikan dalam novel JANGAN ADA DUSTA

Thursday, February 12, 2004

CINTA GELAP @ ESCAPISM DI PEJABAT

TERKEDU
seketika apabila seorang rakan rapat, Liza Aziz menelefon inginkan pendapat saya mengenai hal di atas. Mengapa saya dan mengapa topik ini? Legalah seketika apabila diberitahu bahawa skop saya ialah tentang peranan majikan dalam menangani isu ini. Apa pihak pentadbiran perlu lakukan dan bolehlah mereka yang terbabit dengan isu ini diambil tindakan tatatertib.

Di mana-mana pejabat sekalipun, kebiasaannya apabila menerima laporan berlakunya skandal isteri orang bercinta dengan suami orang atau isteri/suami orang bercinta dengan si dara/bujang, majikan lazimnya tidak mengambil apa-apa tindakan dan menganggap ianya adalah masalah peribadi mereka.

Bagaimanapun selalunya kita kesal kerana apabila hal ini berlaku bermakna kita turut bersubahat dengan `nahi mungkar'. Sekiranya majikan berasa bertanggungajwab, mereka patut campur tangan agar tidak bersubahat dengan perkara dosa ini. Majikan juga perlu campur tangan sekiranya isu ini menjejaskan prestasi pekerja berkenaan. Oleh itu tindakan disiplin perlu diambil.

Cinta gelap atau cinta sembunyi-sembunyi ini, sekarang bukan lagi sorok-sorok. Ia sudah ditunjukkan terang-terang, mungkin juga kerana perubahan budaya dalam masyarakat. Malah mereka tidak silu-silu menunjuk dan tidak menganggap itu satu perkara salah dan dosa.

Keadaan ini adalah barah dalam sesuatu organisasi. Di luar sedar, ia memberikan imej yang kurang sihat kepada keseluruhan organisasi tersebut. Kita mungkin boleh baranggapan fenomena ini melibatkan hak peribadi individu itu sahaja. Tetapi sebenarnya siapalah kita tanpa keseluruhan masyarakat?

Ya, temui saya 2.30 petang ini di rancangan Wanita Hari Ini TV3 untuk mengupas lebih lanjut tentang topik sensasi ini.

Wednesday, February 11, 2004

BANYAK SUNGGUH KERIKIL BERBARING

Siang malam celaka menerpa. Depan mata
Ini lena yang tak kebah. Ia berlaga dengan keluh
Dalam dengkur ada mimpi yang belum langsai
Satu demi satu hasrat berterbangan, semalaman
Segeralah beredar bawalah bersama amarahmu
Aku, sikunang-kunang yang jenuh
Berlegar pada cahaya luka yang penuh

Aku berjalan, banyak sungguh kerikil berbaring
Melangkah, adalah seni perjalanan bak irama nan nyaring
Aku melompat; memanjat; berjingkit dan gaunku garing
Ah, ini mimpi apa? Terjaga aku dek denting lansing!

Hari sudah terang
Malam sudah siang
Semalu yang dipetik sudah lumat dalam tangan
Nah. Ambillah untuk bekal perhitungan

Sri Diah
Bandar Tun Razak


* Sajak ini telah tersiar di Berita Minggu pada Jun 2003. Saya siarkan semula di sini atas permintaan Rudy

Tuesday, February 10, 2004

SANDIWARA AL MAUNAH

SAYA
mengenali penulis Zabidi Mohamed, yang juga bekas seorang Majistret ketika Karangkraf masih berpejabat di Taman Tun Dr.Ismail. Ketika itu beliau sudah menghasilkan bukunya berjudul Tersungkur di Pintu Syurga (tentang pertubuhan Al-Arqam yang pernah dianggotainya). Beberapa kali berjumpa selepas itu sama ada di pejabatnya di Uncang Emas 3 di Cheras ataupun dia datang sendiri ke pejabat, hubungan kami menjadi semakin rapat.

Baru-baru ini beliau hadir ke pejabat baru kami di Shah Alam ini membawa buku barunya berjudul MAUNAH - Kebenaran yang Sebenar (The Naked Truth). Sebelum buku tentang Maunah ini beliau juga telah menghasilkan buku berjudul Lelaki Melayu Terakhir menyentuh mengenai pergolakan politik di Malaysia berikutan tersingikirnya Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kabinet Malaysia.

Peristiwa rompakan senjata di kem tentera di Grik dan Kuala Rut Perak pada 2 Julai 2000 oleh sekumpulan ahli Persaudaraan Ilmu Dalam Al-Maunah bukan saja menggemparkan negara tetapi menimbulkan spekulasi - itulah yang dinyatakan dalam buku setebal 339 halaman ini.

Dengan berpakaian celoreng bagaikan anggota tentera, menaiki trak tentera dan bersenjata lengkap, mereka berjaya melarikan 119 senjata automatik dan lebih 5000 butir peluru telah diisikan dalam tiga buah pajerao yang telah di cat ala kereta tentera. Modus operandinya - rompakan dan menawan negara.

Banyak persoalan dan teori telah diutarakan khususnya mengenai bagaimana anggot Al Maunah boleh menyerah diri dengan begitu mudahh selepas diperdengarkan dengan lagu Getaran Jiwa dendangan Allahyarham P. Ramlee. Lebih menghairankan, selepas merompak, ketua mereka Mohd Amin boleh singgah minum di gerai berhampiran kawasan kejadian rompakan berlaku.

Jika dibandingkan dengan buku-buku sebelum ini, tulisan Zabidi kali ini lebih mantap. Selain berjaya membongkar misteri yang menyelubungi kumpulan ini di Sauk, Zabidi juga berjaya memperlihatkan kepada saya mengenai personaliti, psikologi dan sikap angngoa Maunah yang sebenar sama ada sebelum, semasa dan selepas berlakunya insiden tersebut. Ini termasuk apa yang berlaku di lokap dan dalam mahkamah. Ini kerana beliau merupakan peguam kepada salah seorang anggota Al Maunah berkenaan.

* Buku ini telah mula berada di pasaran sebulan lalu dan turut dijual di Toko Buku Haji Yaacob - kedai buku yang menawarkan diskaun menarik di Kumpulan Karangkraf.

* Lihat gambar saya bersama Zabidi dalam Koleksi Foto.

Monday, February 9, 2004

BICARA TENTANG KHALISAH

INI adalah wajah salah seorang sahabat saya, Khalisah Ismail yang telah pergi menemui PenciptaNya lebih awal daripada kita. Saya mulai mengenali Allahyarham pada tahun 1994 iaitu apabila beliau yang yang menjadi ahli sebuah persatuan wanita, lantang menyuarakan haknya. Sekiranya anda biasa membaca ruangan ruangan wanita di akhbar pasti akan mengenali Allahyarham.

Kelantangannya di media cetak ialah demi menuntut hak anak-anaknya. Beliau juga pernah mendapat bantuan daripada orang ramai, ngo dan kerajaan untuk menjalani pembedahan di luar negara kerana penyakit jantung berlubang di samping hipertensi paru-paru yang kritikal (Atrial Septal Defect With Pulmonary Hypertension).

Kematiannya saya tak tahu langsung... begini ceritanya; pada suatu pagi, seorang wartawan baru di pejabat saya (wartawan di Mingguan Wanita) menelefon memberitahu bahawa beliau kematian mentuanya. Kami dengan menaiki tiga kereta terus menuju ke rumahnya seperti alamat yang diberi. Dan alangkah terkejutnya saya apabila melihat jenazah yang terbujur kaku di ruang tamu ialah jenazah sahabat saya, Khalisah.

"Ajee, hantar mama ke hospital. Mama bingung." Permintaan Khalisah untuk ke Institut Jantung Negara (IJN) malam Isnin, 11 Januari 2004 lalu dipenuhi juga oleh anak-anak. Sungguhpun jam menunjukkan pukul 11.45 malam, Khalisah, ibu tunggal beranak empat ini tidak betah lagi menunggu hingga esok hari. Walaupun kebiasaannya arwah amat kasihkan anak-anak, takut sekiranya mereka mengantuk untuk ke sekolah dan ke pejabat, namun tidak kali ini. Arwah kerap menyatakan dirinya rungsing dan tetap mahu ke hospital.

Barang-barang keperluannya di hospital disediakan Sharzana; anak bongsu arwah yang akan menduduki peperiksaan SPM. Sementara Anshirazi; anak kedua dan Sharfiza; anak ketiga menemankan mama mereka ke hospital dan menunggu sehingga pukul 2 pagi sebelum kembali ke rumah untuk meneruskan rutin hidup esok hari.

Begitulah keadaan Khalisah dan anak-anak dari tahun 1994 lagi. Keluar masuk hospital dah jadi rencah hidupnya sejak disahkan menghidap penyakit jantung berlubang di samping hipertensi paru-paru yang kritikal (Atrial Septal Defect With Pulmonary Hypertension). Hospital bagaikan rumah kedua mereka anak beranak.

"Banyak sungguh dugaan." Itulah ayat terakhir mama sebelum matanya terpejam rapat, kata Ayie. Kata-kata itu diungkap perlahan sambil matanya menerawang ke siling hospital. Air mata siapa pun pasti menitis, kerana tatkala nyawanya hampir habis arwah masih sempat mengenangkan segala jerih payahnya membesarkan empat orang anak bersendirian, kata Ajee, sedih.

Doktor dan jururawat dipanggil untuk memberikan bantuan oksigen namun segala usaha sia-sia apabila arwah Khalisah akhirnya pergi buat selama-lamanya. Derita yang terpikul berakhir jua apabila Khalisah Ismail menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 10: 45 malam, 12 Januari 2004 di katil bernombor 16, Wad Dahlia, IJN, Kuala Lumpur.

Perjuangan Allahyarham Khalisah masih belum tamat. Sejak hari pertama diceraikan lebih 10 tahun lalu dia tidak mendapat harta sepencariannya dan anak-anak tidak mendapat bantuan kewangan daripada ayah mereka. Di hari kematiannya, mata saya memerhati satu persatu wajah yang datang. Akhirnya saya bertanya pada Delly (wartawan saya tu), "bapa mentua awak ada datang?" Delly menggelengkan kepalanya.

* Mulanya saya tak mahu menulis entri tentang ini, tetapi apa yang terjadi pada Allahyarham Inda Sako menggerak hati saya untuk menulis tentang kematian ini.


Sunday, February 8, 2004

PROMOSI




simpan rindumu dalam dada
kusimpan rinduku jadi nyala
alangkah indahnya kala bersua


* Petikan dalam novel JANGAN ADA DUSTA

Saturday, February 7, 2004

AKHIRNYA INDA PERGI JUA

HARI ini saya kehilangan seorang kenalan - Allahyarham Inda Sako. Arwah menghembuskan nafas akhirnya pagi tadi setelah bertahun-tahun berjuang melawan serangan kanser payu dara. Walaupun kedua-dua belah payu daranya sudah tiada namun sel-sel kanser itu ternyata masih lagi aktif dan pagi tadi perjuangan Inda, bertemu titik akhirnya.

Allahyarham semasa hayatnya ialah kaunselor/motivator Majlis Kanser Negara (Makna) dan kerap memberi ceramah tentang bagaimana mahu memulihkan kembali semangat penghidap kanser payu dara -salah satu pembunuh wanita selain barah servik.

Insya-Allah saya akan menulis lagi tentang Allahyarham Inda, minggu depan. Al-Fatihah untuk beliau dan salam takziah untuk keluarganya.

Thursday, February 5, 2004

SELAMAT DATANG

SEPERTI
yang sudah direncanakan, hari ini beberapa orang rakan blog akan datang ke Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd. Antaranya yang confirm datang ialah EP, Hanyasayang, Mal dan beberapa orang lagi. Saya amat mengalu-alukan kesudian mereka datang ke pejabat saya, sekurangnya hasrat mendekatkan pembaca dengan penerbitan-penerbitan Kumpulan Karangkraf akan tercapai disamping mereka dapat melihat sendiri bagaimana proses perjalanan sesebuah majalah sebelum ia berada di tangan pembaca.

Selain itu sudah pastinya lawatan ini akan mendekatkan saya dengan mereka; bak kata orang kita mengenali seseorang itu bukan setakat luaran sahaja. Bukan setakat tahu kerja di mana dan sudah berapa tahun bekerja... Seperti juga kita mengenali rakan blog, sudah semestinya ingin mengenali pula suami/isteri mereka. Kita juga ingin tahu tentang anak-anak dan keluarga mereka keseluruhannya. Bak kata pepatah; kita bukan saja mengahwini suami/isteri kita sahaja tetapi kita berkahwin dengan seluruh keluarga mereka.

Oh ya... kepada yang datang ke Karangkraf hari ini, saya akan tunjukkan sesuatu yang istimewa untuk mereka. For your eyes only... belum pernah ditunjukkan pada bloggers lain. Apa dia? Tak boleh beritahu sekarang. Tunggu...

Wednesday, February 4, 2004

MENJELANG KELAHIRAN NOVEL JANGAN ADA DUSTA

MENANTI detik terbitnya sesebuah novel baru, kadang-kadang membuatkan saya 'dab dub dab dub.' Kebiasaannya perkara-perkara berikut termasuk dalam fikiran.

1 Typing error
2. Pendapat pembaca novel berkenaan
3. Fakta logik/tak logik
3. Jualan dan sambutan pembeli
4. Pengedaran/promosi
5. Lepas ini... bila next novel?

Ya... sekarang ni saya sedang hamil penuh!


Tuesday, February 3, 2004

SELAMAT SUDAH AIDILADHA 1424

AIDILADHA
sudah berlalu. Kami sekeluarga sudah sampai semula di Kuala Lumpur malam tadi setelah menempuh perjalanan yang panjang dan membosankan kerana kesesakan jalan raya. Kata anak-anak guna smart tag pun tak smart perjalanan. Jalan sesak bermula dari Sungai Bakap, Pulau Pinang, hingga ke Bukit Merah Lake Town dan sampailah ke Rawang.

Dalam kesabaran suami selama ini, akhirnya malam tadi dia pun jadi tak sabar (syyhhhh) akhirnya dia terpaksa juga masuk lorong kecemasan! Laju memang laju, tapi bila nampak kereta peronda polis di depan sana, cepat-cepat masuk semula barisan Q lagi.... Letih dan lapar membuatkan kami dinner di A & W di Restoran Jejantas Sungai Buloh.

Sepanjang perjalanan bertalu-talu dua sms diterima; satu dari anak-anak saudara yang dah tak sabar menanti... bila Mak Lang nak sampai ni? Sebabnya mereka dah nak balik ke Kuantan dan satu keluarga lagi dah nak balik ke Johor Bharu. Ikut jadual kalau bertolak pukul sembilan pagi dari Alor Setar, pukul 4 petang bolehlah sampai KL dan sempatlah nak bermanja-manja dengan mereka...

Satu lagi ialah sms kelakar tentang pesanan Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng mengenai virus selesema burung yang dah dijadikan bahan lawak. Macam-macam versi diterima, semuanya membuatkan kita tersenyum dan tergelak panjang. Tapi seperti kata mba dalam entrinya, pengendali khidmat sms yang kaut untung.

Suasana korban di kampung terbayang-bayang di mata. Sudahlah malam tu tak lena tidur sampai ke pagi sebab lembu yang nak dikorbankan keesokan hari dok hook hoooooook di bawah rumah. Baru nak lena sekejap hook hooook lagi. Anak-anak tanya lembu tu sedih atau gembira sebab nak kena sembelih?

Siangnya pula istiadat korban dan kenduri membabitkan semua orang kampung. Wah... macam kenduri kahwin. Tiga khemah dipasang. Anak-anak muda jadi `bentara' (penanggah). Lauk pula menggunakan semuanya isi kandung lembu tu. Menu kami ialah;

1. Nasi putih
2. Kerabu perut (kerabu kerisik) cicah air asam
3. Sup tulang selangka, tulang kaki (gear box)
4. Kari daging batang pinang
5. Hati, limpa dan paru masak tokyu

Sibuk berkenduri anak saya `hilang'. Rupanya doklah mereka main wau di bendang yang dah kering dan penuh dengan jerami padi yang baru sudah dibakar. Hitam legam kaki... malamnya mengadoi sebab luka-luka kecil dan miang jerami!

Di rumah hari ini, semuanya dah tak lalu nak makan daging. Saya goreng ikan pekasam sepat yang dibeli di Pekan Rabu dan goreng kubis sahaja. Daging korban dari kampung disimpan bersendat-sendat dengan daging korban di Kuala Lumpur dalam peti sejuk. Tak boleh makan daging banyak - takut pening kepala!


* Salam takziah kepada Perdana Menteri kerana kembalinya ke Rahmatullah bonda yang dikasihi. Semoga roh beliau ditempatkan di dalam Jannah. Al Fatihah...