Monday, March 8, 2004

MINAT YANG TERTANGGUH

SUDAH
lama saya tidak menulis cerpen dan puisi. Lama juga, hampir bertahun. Mungkin juga peminat kedua-dua genre ini menganggap saya sudah pencen. Ataupun saya sudah kering idea. Lebih malang lagi mungkin juga saya dah tak ada skil untuk berkarya.

Maafkan saya! Kesibukan merantai diri. Selain itu saya juga sudah jatuh cinta dengan penulisan novel. Mungkinkah juga kerana RM? Ya, jawapan tu ada dalam diri saya sendiri dan ia tetap menjadi rahsia saya.

Tetapi dengan menidakkan minat terhadap cerpen, saya seperti berbohong pada diri sendiri dan boleh juga dianggap seperti kacang lupakan kulit. Sebabnya dulu saya bermula dengan menulis cerpen. Sudah berpuluh cerpen saya hasilkan sebaik sahaja cerpen pertama tersiar di Mingguan Timur (sekarang dah tak terbit lagi) berjudul Nostalgia.

Sebenarnya saya banyak berjanji dengan editor-editor majalah dan akhbar, tapi tak tertunaikan. InsyaAllah, saya akan cuba menunaikan janji itu satu persatu. Okey, dua hari tidak menulis entri (Sabtu & Ahad), disamping memberes kerja lain, saya sebenarnya sibuk menghasilkan cerpen semula. Sudahpun siap satu. Khas untuk bloggers yang amat saya hormati; saya turunkan sedikit fragmen cerpen terbaru saya:

Rumah paling hujung di jalan mati menuju ke bukit ini sudah lama sunyi. Pintu pagarnya sudah lama rebeh, hampir menyembah bumi. Jika berdiri di laman dan pandangan dihalakan ke arah timur, nun jauh di sana akan terlihat Banjaran Titiwangsa membelah kota. Hijaunya berbalam-balam.

Di laman itulah tak kira siang atau malam, kontang atau basah dek embun, aku selalu berdiri atau berbaring menilai logika. Menilai antara rendahnya laman dan tingginya banjaran. Ya, banjaran tetap tinggi. Menilai antara rendahnya diriku dan tingginya darjah kemodenan. Ya, sudah selalu aku merendah diri.

Dulu-dulu, rumah di jalan mati ini selalu bingit. Ada Mercedes datang dan pergi. Ada Perdana V6, Volvo dan BMW yang datang dan pergi. Ada bangsa Amerika, Australia, Jepun, Korea dan pelbagai lagi datang dan pergi. Siapakah mereka dan apa tugas mereka di rumah hujung di jalan mati in? Ah, tak pernah ada orang bertanya oleh itu tak pernah ada jawapan kusediakan untuk soalan-soalan itu.

Suasana selalu rancak. Selalu meriah. Ia disaksikan dengan cemburu oleh gunung yang berbalam dari balkoni yang terbuka, dari sliding door yang berlangsir nipis. Ketenangan tak pernah wujud. Gelak tak pernah henti. Usik mengusik tak pernah pergi. Senda gurau juga tak pernah mati.

Ada masa-masanya rumah ini juga selalu bingit dengan pertelingkahan disulami dengan bunyi pop rock, balada, tango atau jazz. Ya, Tango Meetup pada Khamis ketiga setiap bulan. Aku tak boleh lupa itu. Ada borak ada gelak. Ada gosip ada dansa. Ada buli membuli. Ada sport. Itu suatu kemestian tak kira panas atau hujan. Sama ada musim poket kering atau poket basah!

Jazz Bulletin juga bersepah. Hank Mobley yang mendiang sejak 1986 sebenarnya masih hidup di rumah hujung di jalan mati ini. Sesekali ia muncul... Thinking of Home Hank Mobley terus berkumandang hingga hari ini dan Blue Notes untuknya masih lagi terus mencatat... Aku sepak semua itu ke tepi apabila ia makin menyesakkan perasaan
.


* Oh ya, novel terbaru saya JANGAN ADA DUSTA akan berada di pasaran bermula hari ini. Selamat membaca...

No comments: