Wednesday, March 31, 2004

BERLAGA PIPI & BERTENTANG MATA


Jangan Ada Dusta sudah ada dalam tangan Anita Sarawak


Anita oh Anita...

Tuesday, March 30, 2004

AKHIRNYA DIA DATANG!

BERTEMU
dengannya bukan setakat bercakap tentang hiburan, arah masa depannya sepuluh tahun akan datang dan apa yang dia mahu dalam dunia hiburan tempatan dan antarabangsa. Tidak juga bercakap tentang dunia indah sebagai superstar atau diva. Tidak juga berbicara tentang dunia Las Vegas yang hebat dan kontrak 19 tahun di Ceasar Palace yang gah gemerlap dari senja hingga subuh hari.

Semalam dia datang sebagai insan naif, yang sedar diri dan berpijak pada realiti; bahawa gah tak ke mana, glamor tidak boleh dibawa mati, duit ringgit bukan segalanya, bahawa senyum itu penawar - ia bak sweet fruits of our life (memetik kata-katanya).

Anita Sarawak - sebenarnya dia boleh menjadi pakar motivasi!


Sunday, March 28, 2004

RASA TERHARU; TERIMA KASIH!

Di saat JANGAN ADA DUSTA mulai membanjiri pasaran dan mendapat respon menggalakkan daripada pembaca, saya amat terharu dengan berita gembira ini. Terima kasih... siapalah saya tanpa anda semua!


Friday, March 26, 2004

DILEMA PUAN X DI SYARIKAT ABC

MENGIKUT teori kerjaya yang diketengahkan Donald Super, sama juga dengan teori kerjaya John Holland, peringkat usia 35 tahun ke atas merupakan peringkat kerja yang stabil. Tetapi di mana silapnya apabila ada wanita yang merasai sebaliknya, iaitu rasa gagal di tempat kerja dan rasa diketepikan. Lebih memburukkan, sehingga timbul dorongan untuk berhenti kerja atau bertukar kerja di tempat lain. Namun perkara tersebut bukanlah mudah untuk dilakukan kerana halangan-halangan tertentu. Lalu mereka terus bekerja dalam dilema.

Contoh: Selama 20 Tahun berkhidmat di syarikat ABC, Puan X merasakan dirinya sudah sebati dengan persekitaran di tempat kerja. Namun lama-kelamaan perasaan tidak senang mula bercambah di hati. Perubahan di syarikat nampa ketara. Kemunculan orang baru yang silih berganti, perubahan dasar dan segala macam tuntutan pembaharuan terasa tidak terkejar.

Mari kita kongsi pendapat dengan Puan X dan Nur

Thursday, March 25, 2004

IYA KE TAK?

BETULKAH
andaian sesetengah orang tua sekiranya dalam perjalanan kita itu kita terjumpa sami, perjalanan kita itu tak berkat? Jadi jika terserempak juga dengan mereka, sebaiknya jangan menoleh ke arah mereka? Jangan lalu dekat mereka. Jangan berselisih dengan mereka. Lebih elok kalau berpatah balik ke rumah dan memulakan perjalanan baru. (Sebelum itu saya nak minta maaf kepada sami-sami sekelian. Bukan niat saya hendak memberi tanggapan negatif).

Kalau sungguhlah... bagaimana dengan orang yang jirannya sami? Ini rasanya hanya bidaah! Begitu juga kalau kereta kita terlanggar ular, monyet atau kucing, kereta itu dah jadi suei (betul ke ejaan ini). Sebab binatang tu badinya kuat. Perjalanan itu nanti mesti mendatangkan bahaya.

Lagi satu.. kalau kita sudah keluar dari rumah dan kebetulan ada benda yang tertinggal, kita dilarang berpatah balik untuk mengambil barang berkenaan. Orang tua kata tak elok... nanti perjalanan semula itu akan menimbulkan masalah. Walaupun kereta masih di porch tetapi pintu rumah sudah siap dikunci, kita tetap dilarang masuk semula ke rumah untuk mengambil barang yang tertinggal...

Antara percaya dengan tidak, itulah yang terjadi pada saya semalam. Handphone tertinggal di rumah! Sedangkan perjalanan saya baru bermula lebih kurang 3 km... saya serba salah nak buat pusing semula atau tidak? Naluri lebih kuat mengatakan `teruskan perjalanan'. Dan apabila balik dari pejabat, huh... missed call dan pesanan berlonggok-longgok! Maafkan saya!

Tuesday, March 23, 2004

TOLONGLAH... BUKAN SALAH SAYA!

BERGADUH
(bertegang leher) di telefon adalah lumrah. Kebiasaannya bersoal jawab itu bukanlah untuk menegakkan siapa betul siapa salah, tapi masing-masing nak mempertahankan pendirian. So lepas tu buatlah keputusan ke arah kebaikan.

Begini ceritanya; saya mengambil pakej khidmat bayaran tol menggunakan sistem reload daripada kad kredit. Dalam satu hari saya membelanjakan RM3 waktu pergi kerja dan RM3 lagi waktu balik ke rumah. Jadi dalam sehari saya akan membayar RM6.00. Dalam sebulan lebih kurang RM162 hanya untuk bayaran tol. Minyak lain cerita.

Dengan kemudahan reload ini, setiap kali baki tag tinggal RM20, secara automatik akan ditambah RM100 dan tag itu secara automatik akan menjadi RM120. RM100 itu akan dikredit ke kad kredit. (Harap-harap faham dengan penjelasan ni...) Oleh itu setiap bulan saya hanya membayar pada bank. Jujur saya katakan saya gunakan kad kredit itu hanya untuk bayaran tag. Belanja lain memang saya elakkan daripada menggunakan kad plastik tu.

Yang menyakitkan hati, kemudahan tag saya ditahan (blocked). Palang yang saya lalu tu tak terangkat! Dua tiga lagi cuba drive dan reverse tapi masih sama juga. Orang kereta belakang dah naik marah. Okeylah, saya mengalah dan memasuki lorong manual.

Atas rasa tak puas hati sampai saja ke pejabat, saya menelefon ke syarikat tag berkenaan. Oh my God! Saya diberitahu kononnya saya telah berhutang berjumlah hampir RM1 ribu. Pulak dah? Kenapa jadi macam ni? Bukankah saya membayarnya setiap bulan kepada bank?

Hasil sesi bertekak itu saya dapat keputusannya: Bayaran yang saya bayar pada bank setiap bulan itu tidak dikemaskini oleh syarikat tol berkenaan. Mereka harapkan bank berkenaan membayar kepada mereka. Tapi kalau bank tak membayarnya, bukankah mereka berhak menuntutnya pada bank?

Dek kerana komunikasi yang tak betul ni saya sebagai pengguna yang mendapat susah! Sekarang ni saya terpaksalah beratur panjang untuk membayar tol secara manual. Katanya dalam proses... tapi entahlah sampai bila!

Monday, March 22, 2004

PILIHANRAYA

SEMALAM saya angkut anak-anak untuk membawa mereka melihat sendiri bagaimana proses pilihanraya diadakan. Mereka pun bersemangat. Pagi-pagi lagi dah bangun, bersiap. Malah mereka mengejutkan saya supaya cepat pergi mengundi. (Macam nak hari raya pulak... kata mereka).

Sebelum itu saya suruh si kakak tolong semakkan nama saya di internet. Punyalah dia happy tengok nama saya ada dalam senarai dan terus print. Kami keluar rumah lebih kurang pukul lapan setengah pagi. Saya juga membawa nenek saya bersama (berumur lebih kurang 90 tahun - sudah berkerusi roda). Si tengah berdiri sisi saya di tempat semakan untuk menyemak nama saya di saluran mana untuk saya mengundi. Si bongsu pula menyemak bagi pihak moyangnya.

Malangnya mereka tak boleh masuk ke bilik mengundi walaupun mereka bersungguh-sungguh nak tahu bagaimana proses seterusnya. (Terima kasih kepada petugas di pusat mengundi kerana menolong saya membawa turun kerusi roda dari kereta dan memangku nenek saya begitu juga bila nak balik. Mereka baik sungguh walau ramai beranggapan mereka hanya nak pancing undi. Tak kisahlah...).

Dek kerana anak-anak tak puas hati nak tengok bagaimana rupa kertas undi, balik ke rumah saya pun lukislah bentuk kertas undi tu. Siap dengan lambang dan petak-petak yang hendak ditandakan.

Malam tadi mereka tunggu sampai tengah malam hendak mengetahui keputusan. Dan lebih daripada itu nak tahu apakah hari ini cuti atau kena ke sekolah... pagi ni liatnya nak kejutkan mereka!

Alhamdulillah, malam tadi semua berjalan lancar. Semoga anak-anak tahu bagaimana pentingnya suatu pilihanraya bagi menentukan masa depan mereka.

Friday, March 19, 2004

BIRU MATA HITAMKU...

PASTI
anda semua sudah mengikuti kisah hot minggu ini tentang Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini berperang SMS dengan wartawan. Saya kenal dengan penama-penama yang disebutnya dalam itu cerita, kebanyakannya wartawan hiburan - Zieman, Abie, Ku Seman, Adam, Huzz dan lain-lain. Mereka kawan-kawan saya. Saya juga lebih kenal dengan Sharifah Aini - beliau juga pernah ada hot issue dengan Karangkraf.

So terpulanglah pada penerimaan anda semua. Cuma kalau boleh perhatikan tahap profesional antara profesion sebagai wartawan dan kerjaya sebagai anak seni. Ya, saling memerlukan. Tetapi ada juga saatnya di mana mereka saling tidak memerlukan apabila masing-masing merasa diri lebih berkuasa, lebih popular dan lebih sudu dari kuah...

Jika ada yang tak tahu, silalah layari; Perang SMS & Surat Layang atau mungkin Roon yang lebih dulu makan garam dalam dunia hiburan ni boleh bagi komen. Ronn mesti tahu sedikit sebanyak apa yang berlaku di bilik rakaman, sebelum dan selepas sesuatu album itu diterbitkan.

Thursday, March 18, 2004

BERTEMU LAGI!

SAYA
dan tiga orang anak, alhamdulillah selamat tiba di KLIA lebih kurang pukul 9.45 malam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Star pada pukul 7.55 malam. Menaiki penerbangan AirAsia terasa amat menyenangkan, selesa dan padanlah dengan tambang yang dikenakan. Toleh kanan, kiri, depan dan belakang, balik-balik muka orang kita. Bertegur sapa macam dah kenal lama. Betullah slogan AirAsia - Now Everyone Can Fly!

Sepatutnya masuk kerja semalam tapi sorry, atas permintaan terpaksa stay sehari semalam lagi - jumpa kawan lama dan ada agenda yang tak boleh dielakkan. Sekarang suami masih di AS, mungkin hingga 22hb. So hari ini kena isi borang cuti extra tu. Di AS lima hari empat malam, cuma sehari sahaja di kampung. Selebihnya di Holiday Villa. Ke Pekan Rabu pun hanya berjalan kaki. Ya, cuti ini amat berfaedah. Tapi saya rindu dengan bloggers... bukan tak mahu online tapi bak kata bait dalam JANGAN ADA DUSTA : Simpan rindumu dalam dada; kusimpan rinduku jadi nyala!

Ya Laili dan semua, selamat mengundi pada hari Ahad ini. Buatlah pilihan bijak demi masa depan generasi kita. Tentang soalan Melor pula `kenapa watak dalam JAD asyik bersengketa' saya tersenyum dengan soalan Melor tu. Kita manusia memang ada saja yang tak kena. Tapi endingnya ok kan? Melor, KLDSK kena baca juga.

- Casanova: salam sayang yah kak dari aku yang ada di semarang Indonesia. : Ini cewek atau cowok? Pernah teringin untuk ke sana. Ya mungkin satu hari nanti saya pasti akan ke Semarang. Batiknya bagus kan?

- DiNa: Selamat bercuti utk kak sri..moga trip anda sekeluarga meninggalkan kenangan manis dan menambah lg idea utk berkarya. Sudah semestinya Dina! Tunggulah novel seterusnya. - wkdin: salam buat kak sri semoga ceria selalu . - zino: selamat bercuti.. Terima kasih Wkdin, Seri & Zino!

- zar: selamat cuti cuti mesia kak... zar jumpa jumaat pagi bleh tak? Zar, jumpa Monday lagi okay sebab esok Kak Sri kena kendalikan kursus seharian - untuk editor-editor. - mely: alamak... baru perasan kak sri cuti... br td plan nk ke opis kak sri lunch karang. - Mely jangan lupa datang minggu depan. Kak Sri tunggu.

- msfaiz: salji memutih sejuk dan membeku bibirku kaku -ok tak haiku saya ni kak sri msfaiz; salji memutih (5 sukukata) sejuk dan membeku (6 sukukata) bibirku kaku (5 sukukata). Sepatutnya 5-7-5 Jadi betulkan baris kedua tu.

joliekins: telah mencongokkan diri di sini di pagi ahad yang hening sambil makan seketul biskut dan meninggalkan beberapa comment di posting2 kak sri . Wah cayalah Joliekins! Ini balasannya - telah kubaca komen darimu sambil tercongok depan pc di malam yang hening dan dingin ini, di saat orang lain sudah tak terkira dengkurnya...

Saturday, March 13, 2004





KITA BUKAN MESIN

MENYEDARI pentingnya rehat yang baik untuk diri dan supaya tidak terbawa-bawa oleh stres, bercuti adalah pilihan yang paling bijak. Badan kita pun bukan macam mesin, malah mesin pun ada masa ok ada masa tak ok. Yalah, enjin kereta pun kena over haul.

Lebih kurang gitulah saya - kebetulan cuti sekolah, kami anak beranak tidak akan berada di Kuala Lumpur mulai hari ini sehingga Selasa. Destinasi kami ke AS kerana kebetulan suami dah seminggu di sana. Eh, boleh juga tengok orang berkempen... atau tolong kempen. Ok semua, selamat membaca JANGAN ADA DUSTA. Take care & babai.

Friday, March 12, 2004

TRAGEDI BUAH EPAL



HIGH-Tea With Anita Cancel! Menjelang tengahari kami diberitahu yang diva ini tidak dapat datang. Apa yang pihak PR dapat lakukan? Masing-masing mengeluh monyok. Habislah, tak dapat melaram dengan Anita. Buku nota dengan soalan-soalan untuk Anita diletak perlahan atas meja.

Frust? Sure! Memang anti-klimak.Tapi semuanya cepat cover semula. Ah bukan tak biasa assignment batal saat akhir. Ada juga majlis yang kami hadiri hanya ada pentas kosong dengan mikrofon saja. Sebab majlis terpaksa dibatalkan saat akhir. Oleh itu hal Anita Sarawak tak dapat datang ini kami angap biasa saja.

Kalau Anita jadi datang, nak tau soalan cepumas saya? Tak boleh beritahu... sebab dia janji akan datang lain kali dan soalan saya itu saya simpan hingga saat janjinya ditunaikan.

Memang Anita profesional. Sebelum ini semua urusan dilakukan menerusi PRO KRU iaitu AC. Tetapi hari ini Anita telah menelefon sendiri secretary MD memberitahu tentang pembatalan majlis. Dia beritahu dengan ikhlas dan humble, mintak maaf berkali-kali. Dia tidak dapat datang kerana food poisoning...

Thursday, March 11, 2004

AKHIRNYA PASTI

HARI ini kami di Kumpulan Karangkraf akan menerima kehadiran seorang tetamu istimewa. Sila baca memo ini:

Adalah dimaklumkan bahawa Managing Editor dan Senior Editor dijemput untuk bersama-sama menyambut kunjungan Anita Sarawak yang akan datang melawat ke premis kita sempena pelancaran album baru SEKSIS dan juga bersempena dengan Hari Wanita Sedunia. Maklumat lanjut adalah seperti berikut:

Tempat : Bilik Mesyuarat Fathy
Tarikh : 11 Mac 2004 (Khamis)
Masa : 2 petang

Wos, si bibir tebal itu akan datang ke Karangkraf!
Apa soalan nak tanya ya?

Wednesday, March 10, 2004

DUB DAB DUB DAB...

HARI
ini saya dan beberapa orang pegawai kanan akan mengendalikan satu lagi sesi temuduga. Calon-calon yang berjaya hari ini akan diserapkan sebagai wartawan pelatih di Kumpulan Karangkraf dalam masa enam bulan.

Mereka ini akan dinilai dari semasa ke semasa untuk diambil sebagai wartawan tetap. Bagaimanapun mengikut pengalaman lalu ada yang telah menunjukkan prestasi bagus sebelum sempat sampai enam bulan. Mereka biasanya akan terus diterima dan layak mendapat pelbagai kemudahan lain.

Mengikut rekod, hari ini ada seramai 30 orang peserta. Ini sudah pastinya akan mengambil masa sehari suntuk. Kebiasaannya, selain sesi temubual, kami juga mengadakan beberapa sesi ujian antaranya;

- ujian bertulis melaporkan berita/rencana
- terjemahan artikel BM ke BI
- terjemahan artikel BI ke BM
- temuduga akan dikendalikan dalam BM dan BI

Ya, selain kelulusan, interest lain pada individu berkenaan turut diterima dan amat diperlukan.

Tuesday, March 9, 2004

MESRA & SANTAI

SAYA
mula dihujani panggilan telefon sama ada secara umum atau peribadi mengenai novel terbaru JANGAN ADA DUSTA. Ini kerana mereka yang melanggan menerusi pos sudah pun mendapat pesanan mereka sejak dua minggu lalu.

Kebiasaannya begitulah, cepat sahaja respon saya terima daripada pembaca-pembaca. Malahan email saya juga sudah mula dihujani pelbagai kenyataan positif dan negatif; pro dan kontra.

Kepuasan? Ya, saya puas dapat berkomunikasi sendiri dengan pembaca. Rata-ratanya membuat perbandingan dulu dan sekarang, yang itu dengan yang ini. Antara soalan ialah mengapa jadi begitu? Mengapa mereka tidak begini? Bukankah mereka berhak untuk gembira? Kenapa saratkan mereka dengan masalah? Tak semesti kecewa dulu untuk bahagia...

Saya tak boleh menegakkan prinsip saya. Itu tak adil. Saya terima semuanya. Respon itu mematangkan penulisan dan kreativiti saya. Kalau orang tak respon, itu yang membuatkan saya risau.

* Menjawab soalan Zino di tag board; novel tak sama dengan cerpen (cerita pendek). Dalam novel ada kebebasan menulis (berdasarkan ketebalannya) tetapi dalam cerpen, kata-kata amat terhad, penceritaannya terlalu singkat. Bayangkan kisah setebal 500 m/s mesti diringkaskan menjadi hanya 6 m/s. Tetapi walaupun cerpen hanya 6 m/s namun ia mampu melangkau jangka masa beratus atau beribu tahun (dengan teknik tertentu). Cerpen dan novel ada disiplinnya yang tersendiri.


Monday, March 8, 2004

MINAT YANG TERTANGGUH

SUDAH
lama saya tidak menulis cerpen dan puisi. Lama juga, hampir bertahun. Mungkin juga peminat kedua-dua genre ini menganggap saya sudah pencen. Ataupun saya sudah kering idea. Lebih malang lagi mungkin juga saya dah tak ada skil untuk berkarya.

Maafkan saya! Kesibukan merantai diri. Selain itu saya juga sudah jatuh cinta dengan penulisan novel. Mungkinkah juga kerana RM? Ya, jawapan tu ada dalam diri saya sendiri dan ia tetap menjadi rahsia saya.

Tetapi dengan menidakkan minat terhadap cerpen, saya seperti berbohong pada diri sendiri dan boleh juga dianggap seperti kacang lupakan kulit. Sebabnya dulu saya bermula dengan menulis cerpen. Sudah berpuluh cerpen saya hasilkan sebaik sahaja cerpen pertama tersiar di Mingguan Timur (sekarang dah tak terbit lagi) berjudul Nostalgia.

Sebenarnya saya banyak berjanji dengan editor-editor majalah dan akhbar, tapi tak tertunaikan. InsyaAllah, saya akan cuba menunaikan janji itu satu persatu. Okey, dua hari tidak menulis entri (Sabtu & Ahad), disamping memberes kerja lain, saya sebenarnya sibuk menghasilkan cerpen semula. Sudahpun siap satu. Khas untuk bloggers yang amat saya hormati; saya turunkan sedikit fragmen cerpen terbaru saya:

Rumah paling hujung di jalan mati menuju ke bukit ini sudah lama sunyi. Pintu pagarnya sudah lama rebeh, hampir menyembah bumi. Jika berdiri di laman dan pandangan dihalakan ke arah timur, nun jauh di sana akan terlihat Banjaran Titiwangsa membelah kota. Hijaunya berbalam-balam.

Di laman itulah tak kira siang atau malam, kontang atau basah dek embun, aku selalu berdiri atau berbaring menilai logika. Menilai antara rendahnya laman dan tingginya banjaran. Ya, banjaran tetap tinggi. Menilai antara rendahnya diriku dan tingginya darjah kemodenan. Ya, sudah selalu aku merendah diri.

Dulu-dulu, rumah di jalan mati ini selalu bingit. Ada Mercedes datang dan pergi. Ada Perdana V6, Volvo dan BMW yang datang dan pergi. Ada bangsa Amerika, Australia, Jepun, Korea dan pelbagai lagi datang dan pergi. Siapakah mereka dan apa tugas mereka di rumah hujung di jalan mati in? Ah, tak pernah ada orang bertanya oleh itu tak pernah ada jawapan kusediakan untuk soalan-soalan itu.

Suasana selalu rancak. Selalu meriah. Ia disaksikan dengan cemburu oleh gunung yang berbalam dari balkoni yang terbuka, dari sliding door yang berlangsir nipis. Ketenangan tak pernah wujud. Gelak tak pernah henti. Usik mengusik tak pernah pergi. Senda gurau juga tak pernah mati.

Ada masa-masanya rumah ini juga selalu bingit dengan pertelingkahan disulami dengan bunyi pop rock, balada, tango atau jazz. Ya, Tango Meetup pada Khamis ketiga setiap bulan. Aku tak boleh lupa itu. Ada borak ada gelak. Ada gosip ada dansa. Ada buli membuli. Ada sport. Itu suatu kemestian tak kira panas atau hujan. Sama ada musim poket kering atau poket basah!

Jazz Bulletin juga bersepah. Hank Mobley yang mendiang sejak 1986 sebenarnya masih hidup di rumah hujung di jalan mati ini. Sesekali ia muncul... Thinking of Home Hank Mobley terus berkumandang hingga hari ini dan Blue Notes untuknya masih lagi terus mencatat... Aku sepak semua itu ke tepi apabila ia makin menyesakkan perasaan
.


* Oh ya, novel terbaru saya JANGAN ADA DUSTA akan berada di pasaran bermula hari ini. Selamat membaca...

Friday, March 5, 2004

BERITA TERKINI

SEDIH LAGI!
Silalah baca HELIKOPTER TERHEMPAS
PERMOHONAN KERJA

SAYA
dan rakan-rakan di pihak pentadbiran kini sedang memproses banyak permohonan yang diterima untuk mengisi pelbagai jawatan kosong di Kumpulan Karangkraf. Iklan mengenainya telahpun disiarkan beberapa kali di akhbar-akhbar harian berbahasa Inggeris dan juga akhbar serta majalah terbitan kami sendiri.

Sambutannya wow... ramai sungguh yang memohon. Jika dilihat daripada permohonan yang berlonggok di hadapan saya ini, jelas bahawa tuntutan pekerjaan kini semakin demand. Semakin ramai yang memerlukan pekerjaan. Ini termasuk juga permohonan daripada bidang lain yang tidak ada kena mengena dengan penerbitan tetapi berminat untuk memohon pekerjaan di bidang ini. Contohnya, degree dalam perancangan bandar, degree dalam penyiaran dan sebagainya.

Di pihak lain pula saya melihat bahawa tahap kepercayaan orang luar terhadap syarikat ini semakin tinggi. Mereka mahu sama-sama menuju ke arah kecemerlangan bersama Karangkraf. Dengan ini saya percaya`brand' Karangkraf ini semakin berprestij. Terima kasih.

Berbalik pada borang permohonan... kebiasannya saya menyaring permohonan berdasarkan latarbelakang penulisan mereka kerana itulah bisnes kita. Sijil banyak pun tak boleh disandarkan harapan kalau satu rencana pun tidak pernah tersiar di mana-mana penerbitan. Ia amat tidak menyakinkan penemuduga nanti. Sekurangnya kepilkan bersama permohonan itu tulisan-tulisan dalam pelbagai bidang, bukan saja kerja kursus.

Bagaimanapun ada juga yang bukan dari bidang penerbitan namun masih diperlukan di Karangkraf. Dilain enti saya akan menulis mengenai topik ini.

Thursday, March 4, 2004

RUTIN SAYA

TANGGUNGJAWAB: Sebagai orang yang bertanggungjawab atas proses penerbitan majalah-majalah di Karangkraf, saya selalu berhadapan dengan situasi - memberi surat tunjuk sebab ataupun diberi surat tunjuk sebab.

Memberi surat tunjuk sebab biasanya membabitkan karyawan yang prestasi mereka kurang memuaskan ataupun perlakuan mereka yang nyata dan sahih telah melanggar diisiplin. Mereka harus menjawab surat tunjuk sebab ini untuk menjernihkan keadaan, supaya servis mereka boleh diteruskan.

Manakala diberi surat tunjuk sebab pula merujuk pada pihak luar yang inginkan penjelasan daripada pihak syarikat. Ia berupa amaran, teguran yang kebiasaannya datang daripada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN). Ia meliputi artikel-artikel atau gambar yang tidak bersesuaian, melanggar susila dan membawa kepada ketidakpuasan meliputi soal agama dan bangsa.

HOBI - Sudah semestinya berkarya kreatif. Saya suka menulis novel, cerpen dan puisi (termasuklah haiku dan seangkatan dengannya). Dengan mewujudkan satu dunia lain selain daripada rutin seharian, saya anggap hidup saya tidak membosankan. Jika kalut dengan tugas seharian, saya switch on pada hobi pula pada waktu tengahari. Kemudian sambung semula tugas rutin apabila waktu kerja bermula. Begitulah hari-hari semalam dan insyaAllah di hari-hari akan datang.

Sudah lama saya tinggalkan bidang cerpen. Kini saya sedang menyelesaikan dua cerpen yang terbengkalai. Saya target hujung bulan ini siaplah. Tentang novel JANGAN ADA DUSTA, saya gembira apabila diberitahu cetakan pertama novel ini ialah sebanyak 30,000 naskah. Ini berdasarkan jualan KUALA LUMPUR DI MANA SUAMIKU yang berjaya mencapai jualan sebanyak itu. Ya, Alhamdulillah.

JANGAN ADA DUSTA akan mula berada di pasaran pada 8hb Mac ini (Isnin). Dan kepada rakan-rakan di sekitar Selangor dan KL, saya sukalah menjemput anda membeli majalah dan novel-novel di Toko Buku Haji Yaacob di Karangkraf kerana ada diskaun istimewa. Silakan...

Tuesday, March 2, 2004

ALHAMDULILLAH...

SETINGGI
syukur saya panjatkan pada Allah s.w.t. kerana atas keizinanNYA novel ke enam saya bersama Alaf 21 akhirnya sudah berjaya saya dakap ke dada tepat pada pukul 4.30 tadi.

Ini adalah detik gembira yang memadamkan rasa marah semalam. Saya sudah jangka... apabila sedang marah semalam, terfikir dalam benak... mungkin ada manfaat sebaliknya yang Allah akan beri pada saya. Nah! Hari ini saya mendapat semula kegembiraan semalam... segala rasa yang kurang enak semalam berbaloi hari ini, saya puas dan terharu.

Dalam hal ini saya amat berterima kasih kepada semua bloggers yang banyak memberi dorongan dan semangat. Tak lupa terima kasih kepada semua pembaca novel-novel saya yang selalu bertanya bila novel nak keluar? Apa novel lepas ni? JAD bila nak ada kat kedai dan macam-macam lagi.

Tak lupa terima kasih pada Alaf 21 kerana memberi kepercayaan sekali lagi dan paling penting terimakasih pada keluarga yang banyak memberi support.

Monday, March 1, 2004

MARAH!

SELALU
kita berhadapan dengan situasi begini - "tak apalah, hari ini hari dia... kita kenalah menolong dia, mana tahu esok lusa hari kita..."

Jadi kita dengan rela hati menolong, membantu setakat yang terdaya hiinggakan kita terpaksa meninggalkan kerja kita sendiri semata-mata ingin membantu si polan. Membantu bersunggu-sungguh, bukan main-main. Bagaimanapun apakah usaha kita berbaloi apabila semua itu dipandang ringan dan dianggap biasa oleh si polan?

Sebenarnya kita bukan mahu dihargai sangat-sangat, bukan mahu balasan yang ehem ehem... tapi sudi apalah kiranya membalas usaha kita itu dengan ucapan TERIMA KASIH. Cukuplah, itu saja yang kita perlukan.

Malangnya sudahlah tidak ada ucapan terima kasih, esok lusa bila bertembung dengan kita, dia boleh berpaling muka pula, buat sombong, buat muka bodoh.

Ah sudahlah... Cukuplah sekali itu kita menolong.
Lain kali biar dia datang menyembah tapi itu belum tentu kita nak menolong lagi!