Friday, January 30, 2004

SUCINYA SEBUAH PENGORBANAN

KETIKA ini berjuta-juta umat Islam sedang berkumpul di kota suci Mekah untuk menjalankan Rukun Islam kelima. Selain itu salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah. Umat Islam diharamkan berpuasa pada hari-hari Tasyrik ini, malah digalakkan berzikir, bertakbir dan bertahmid.

Malam ini kami sekeluarga akan bertolak ke Alor Setar untuk merayakan Aidiladha di kampung suami. Adik beradik suami di kampung telah menempah seekor lembu untuk dikorbankan selepas sembahyang sunat 2 rakaat di Aidiladha nanti. Daging itu juga akan digunakan untuk membuat kenduri arwah emak dan bapa mentua yang telah ke rahmatullah.

Di masa yang sama di rumah emak sendiri di Kuala Lumpur, tahun ini sekali lagi kami adik beradik turut mengorbankan seekor lembu dengan bahagian masing-masing. Dan istimewanya nanti lembu itu akan disembelih oleh bapa saya sendiri. Di pejabat juga, Pengarah Urusan telah bersedekah dua ekor lembu untuk dikorbankan. Semua urusan penyembelihan, melapah, memasak dan mengagih kepada pekerja dan anak-anak yatim dilakukan oleh Biro Kebajikan syarikat ini.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya. Zulhijjah, bulan terakhir pada kalendar Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.

Pada hari raya Aidiladha, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat, biasanya agak awal sedikit berbanding Hari Raya Aidilfitri. Kita dianjurkan agar bertakbir dari awal subuh hingga sebelum matahari tenggelam pada hari 13 Zulhijjah.

Firman Allah yang bermaksud: "Darah yang mengalir dari binatang yang dikorbankan juga daging yang diperoleh dari binatang itu, sekali-kali tidak sampai kepada Allah, akan tetapi yang sampai kepada Allah adalah ketentuan dalam diri kamu. "

Disunatkan mereka yang menjalankan ibadat korban agar mengambil sepertiga daripada daging itu untuk keluarga sendiri manakala selebihnya diberikan kepada orang miskin atau orang yang meminta. Malah, lebih baik jika keseluruhan daging diberikan kepada fakir miskin.

Menurut bapa saya mereka yang akan menjalankan ibadat korban disunatkan agar menyembelih binatang korban itu sendiri. Jika tidak mampu, maka saksikanlah upacara korban itu sendiri. Menyaksikan sendiri ibadat korban mempunyai hikmah tersendiri kerana apabila darah pertama mula mengalir ke bumi, ketika itulah Allah mengampuni dosa-dosa yang lalu daripada orang yang melakukan korban itu.

Rasulullah menyuruh puterinya Fatimah menyaksikan ibadat korban yang dijalankan atas namanya. Sabda baginda, yang bermaksud: "Bangunlah dan pergilah menyaksikan ibadat korban kamu kerana sesungguhnya pada titisan pertama darah yang mengalir, akan diampunkan dosa-dosa kamu yang lalu."

Malah, ketika menyaksikan ibadat korban itu, kita disunatkan memohon kepada Allah, dengan membaca doa: "Ya Allah! Ini daripada Engkau dan untuk Engkau, maka terimalah daripada kami."

Selamat menyambut Aidiladha daripada saya sekeluarga. Semoga bergembira di hari raya dan ingat-ingatlah mereka yang tiada. Maksudnya yang dah tiada di dunia ini dan misikn (tiada).

Monday, January 26, 2004

MARI KOMPROMI

RASANYA lama sungguh saya tidak menulis di sini. Saya tahu ramai yang singgah dan pergi dengan hati yang kosong. Sorry... cuti panjang bukan membuatkan saya relaks, tetapi tambah banyak urusan yang mesti dibereskan. Empat hari berlalu dengan bermacam agenda dan alhamdulillah segalanya dah selesai... Tetapi sebenarnya bab tulis-menulis ini, hari-hari saya menulis, inilah kerja saya seharian kalau tidak di pejabat, di rumah.

Membaca satu persatu notes pengunjung di blog saya, memberi impak yang berbeza. Sekejap serius, sekejap relax. Ya, stres pun hilang. Paling mengesankan ialah tulisan Nakhoda, sahabat sastera dari Johor. Topiknya; mengapa wanita 40-an mula tak endah suami, mula tidak mahu menghias diri, tidak kisahkah kemesraan, apalagi dah tak romantik lagi, tidak mahu bergurau senda macam dulu-dulu... tapi benarkah (tuduhan) ini?

Hey geng, lets join 40 carat group... ramai yang membaca notes ini hari ini akan tersenyum... Bagi saya kalau lelaki anggap wanita macam tu, wanita pun anggap lelaki macam tu! Dulu si suami bukan main segak, bukan main hensem. Tetapi sekarang perut dah mula boroi, ubun-ubun dah mula botak, tiada kemesraan lagi... dah mula tak romantik, tak pandai jaga badan, tak pakai minyak wangi pun dan tak kisah nak bersenam...

Tapi... tapi... jangan saling menunding jari. Sama-samalah membina kembali kemesraan yang sudah makin jauh. Masih belum terlambat kan? Sama-sama menilai diri, dia jadi begitu kerana siapa? Aku jadi begini kerana siapa? Kerana apa? Kenapa dan mengapa?

Its fair!

Wednesday, January 21, 2004

LET'S BALIK KAMPUNG!

Kepada yang tak sambut Tahun Baru Cina tapi dok sibuk jugak nak balik kampung, diucapkan selamat balik kampung, semoga selamat pergi dan selamat balik.



Kata-kata klise sempena cuti panjang musim perayaan:
- Periksa kenderaan
- Jangan biarkan orang yang menanti menyambut anda dengan air mata
- Awas selekoh maut
- Tidak sopan di jalan raya boleh membunuh
- Kemalangan meningkat di musim perayaan
- Maut tidak mengira siapa dan di mana
- Beritahu jiran (itupun jika mereka tidak balik kampung & boleh diharapkan).
- Beritahu polis tetang keselamatan rumah selama ketiadaan kita
- Stop order paper & roti
- Kunci pintu, tingkap, grill dan segala yang mesti dikunci
- Hamster, ikan mas, ikan flower horn, kucing parsi - siapa nak tolong bagi makan?
- ... bla bla bla!

HAIKU
mana ang pauku?
limau tak manis lagi
mercun berdentum


Tuesday, January 20, 2004

MEMULIAKAN SUAMI; MENGHORMATI ISTERI

APABILA seseorang wanita itu berkahwin, pastilah dia amat mengharapkan kebahagiaan dan kasih sayang yang berkekalan daripada suaminya. Jika ada wanita yang menafikan hal tersebut, itu hanyalah menunjukkan kesombongan dan sifat hipokritnya.

Beberapa persoalan di bawah mungkin dapat membantu para isteri muhasabah diri seterusnya memberi jawapan dan jalan penyelesaian ke arah membina rumahtangga agar harmoni, ceria dan sentiasa di redai ALLAH.

- Setiap masa ketika suami di rumah adakah anda melayan keperluan dan kemahuannya serta memberi sepenuh perhatian dalam urusan itu?
- Setiap kali suami pulang dan anda berada di rumah ketika itu adakah anda menantinya dan menyiapkan untuknya apa yang diperlukannya?
- Sikap anda, percakapan, kasih dan gerak geri; adakah semuanya menampakkan pada suami bahawa anda merelakan dan menyerahkan sepenuh ketaatan dan kesetiaan hanya padanya?
- Rumah tangga dan anak-anak; sudahkah anda berusaha dengan kemampuan dan masa yang ada menjaganya agar teratur dan kemas hingga tiada satu sudut di dalamnya yang boleh mencacatkan hati suami apabila memandangnya?

Bagaimanapun pada hari ini segala hasrat itu adakalanya sukar dipenuhi. Banyak pasangan yang renggang hati, tipis kasih sayang dan selalu timbul perselisihan. Kenapakah suami dan isteri gagal menjadikan diri sendiri saling menyintai hingga tidak mahu berpisah?

Pendek kata suami dan isteri mempunyai peranan cukup besar dalam membina rumah tangga bahagia. Isteri yang bijak, suami yang rajin, kreatif dan sentiasa menambah ilmu dalam usaha membentuk kebahagiaan keluarga, mereka pasti akan berjaya.

Ika anda inginkan banyak lagi tips tentang wanita muslimah yang bekerjaya dan mengikut ciri keagamaan, silalah layari : MAJALAH NUR

Monday, January 19, 2004

BERTEMU DI BLOG, BERTENTANG MATA DI GATHERING...

RAKAN-rakan blog di Brunei dan Jepun tidak sabar-sabar ingin mengetahui respon saya mengenai pertemuan Gathering Gengjurnal 2004 yang berlangsung pada malam minggu lalu di Restoran Nelayan Tasik Titiwangsa.

Ini merupakan kali pertama saya menghadiri perjumpaan gengjurnal secara besar-besaran yang menerima kehadiran hampir 100 orang pengamal blog dari jauh dan sekitar Kuala Lumpur. Bagaimanapun seminggu sebelum gathering saya telahpun berkenal dengan lapan orang geng blog yang rapat dengan saya dalam satu pertemuan makan tengahari di The Mall.

Apa respon saya mengenai malam itu?
Rasanya lebih baiklah pembaca semua membaca di blog sahabat yang memperkenalkan saya dengan dunia blog ini iaitu saudara MBA
untuk mengetahuinya secara lebih detail. Kepada semua saya harap dapat membacanya secara rasional demi masa depan Gengjurnal. Bak kata orang, kita haruslah bertindak lebih profesional setelah Gengjurnal ini berusia hampir empat tahun pada 2004 ini dengan membayangkan ahli Gengjurnal pasti akan bertambah lagi tahun demi tahun.

Faedah penting yang saya perolehi pada malam berkenaan ialah dapat bertemu dengan beberapa pengamal blog dalam bidang profesional masing-masing yang boleh saya jadikan sumber untuk kerjaya saya. Ada lebih lima orang yang sudah saya kenalpasti dapat saya promote untuk masa depan mereka yang lebih gemilang. Saya akan hubungi mereka satu persatu mulai hari ini, sesuailah dengan tugas saya dibidang persurakhabaran dan permajalahan ini.

Kepada semua yang sudi berkenalan dengan saya pada malam itu termasuk yang membawa novel saya untuk ditandatangani, terima kasih daun keladi saya ucapkan. Semoga kita akan berjumpa lagi selepas ini.

Saturday, January 17, 2004

LOVE TO WORK

HARI ini adalah hari cuti bagi pekerja di jabatan kerajaan. Bagi saya di Karangkraf pula, hari Sabtu memanglah hari cuti. Tetapi walaupun hari cuti, jika saya ke pejabat, akan terjumpa juga dengan 10 - 20 orang yang tekun membuat kerja. Duduklah menghadap komputer menggodek itu ini. Kebanyakan mereka adalah daripada jabatan grafik. Ada 5 - 6 orang daripada jabatan editorial dan 2 - 3 orang daripada bahagian pentadbiran.

Adakah mereka dipaksa datang bekerja?
Jawapannya: Tidak

Adakah kerja mereka tak selesai semalam?
Jawapannya: Tidak

Mengapa mereka datang bekerja pada hari cuti?
Jawapannya: Mereka love to work! Mereka `gemar' bekerja.

Saya pun kalau tidak datang ke pejabat sehari, mulalah rasa rindu pada kawan-kawan sepejabat. Rasa `ketinggalan' segala cerita-cerita semalam. Apalagi kalau cuti berhari-hari seperti hujung minggu atau kerana cuti perayaan. Hari pertama berjumpa semula, bak setahun tak jumpa.

Hari Sabtu di Karangkraf kami boleh membawa anak-anak datang ke pejabat. Jadi anak masing-masing pun dah jadi rapat. Jika lapang, boleh menyanyi di karaoke di kafe. Boleh juga bermain bola di padang bola bersebelahan tempat letak kereta.

Pejabatku, Rumah Keduaku. Ya... sembilan jam setengah di pejabat.
Rugilah kalau masa sepanjang itu dihabiskan dengan dengki khianat, adu domba, fitnah memfitnah, menayang ego masing-masing dan sebagainya.


Friday, January 16, 2004

PENERBANGAN TERAKHIR

SEMPENA hari Jumaat yang mulia ini rasanya eloklah saya forwardkan satu e-mail yang saya terima baru-baru ini untuk faedah bersama.

MAKLUMAT TENTANG PERJALANAN

- Tempat berlepas : Kehidupan dunia
- Tempoh Perjalanan : Cuma seketika dan beberapa meter dalam perut bumi.
- Destinasi : Akhirat
- Masa berlepas : Ketika didatangi Malaikat
- Masa hadir : Ketika dan selepas Nyawa dicabut
- Bentuk tempahan : Tetap, Pasti, dan tidak akan berubah

SYARAT-SYARAT PERJALANAN:

Ditujukan kepada semua penumpang. Diminta ambil perhatian kerana mereka akan memulakan perjalanan dengan meninggalkan kehidupan di dunia dan menuju ke akhirat. Sila perhatikan ketua anda, semua (pilot) yang dikhaskan iaitu Malaikat Maut. Bagi penumpang yang belum jelas, dapatkan maklumat lanjut daripada kenyataan yang terdapat di dalam Al-Quran dan Hadis-hadis Rasullullah serta menurutinya dengan berhati-hati. Sebarang masalah hendaklah di rujuk kepada para ulamak dan cendiakawan.

BARANG MUATAN YANG DI DIBENARKAN

5 meter kain kafan putih
* Kapas Putih yang secukupnya
* Muatan lain yang di pertimbangkan :-
- Amal soleh
- Sedekah jariah
- Anak soleh yang mendoakan ibu bapanya
- Ilmu yang manfaat

PERHATIAN:

* Lain-lain muatan yang di tegah adalah tanggungjawab para penumpang. Barangsiapa yang tidak mematuhinya akan didenda.

SAAT DAN WAKTU BERLEPAS:

* Semua penumpang yang sudah mempunyai tiket, pasport atau tidak mempunyai kedua-duanya hendaklah bersiap-sedia untuk berlepas setiap saat jika tidak mahu sebarang kesusahan.

DIULANG:

* Tempahan perjalanan adalah sesuatu yang tetap dan pasti, yang tidak perlu diingatkan lagi. Tapi atas dasar peringatan kepada para penumpang, maka kami menulis untuk anda semua. Hendaklah anda mengambil perhatian yang sewajarnya tentang perjalanan ini. Terima kasih kepada semua kerana memberi peluang terhadap kami untuk menabur khidmat sepada anda semua. Semoga bergembira dengan perjalanan yang menarik,sesuai dengan firman ALLAH surah Al-Kahfi; Ertinya : " Barang siapa mengharap perjumpaan yang baik dengan Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan amalan yang baik, janganlah pula mensyirikkan ALLAH dengan sesuatu. "


Thursday, January 15, 2004

WARTAWAN DULU; WARTAWAN SEKARANG

SEORANG wartawan yang amat saya hormati sejak dulu ialah Saudara Rosli Ismail. Beliau adalah bekas wartawan sebuah majalah kemudian bertukar kerja dan menjadi wartawan kanan sebuah akhbar harian. Kini beliau mengendalikan halaman e-akhbar bersama beberapa orang rakan seangkatan dengannya.

Apa yang ingin saya katakan di sini ialah, sebagai wartawan vateran beliau telah melalui detik-detik perubahan cara kerja seorang wartawan bermula dengan mesen taip hingga ke dunia komputer. Bermula dengan mesen telefax kini sudah ke dunia internet. Begitu juga dengan dunia kamera hitam putih hingga ke dunia gambar warna warni, kemudian ke era gambar digital dan super impulse.

Hari ini di laman web e-akhbar yang dikendallikan oleh Rosli saya membaca nostalgia menarik ini. Sebagai wartawan dan editor dan kini ditugaskan ke peringkat pengurusan, saya pun turut serta mengalami perubahan-perubahan yang boleh dikatakan bersejarah ini. Silalah anda semua membaca artikel tulisan beliau hari ini di lamannya; DI SINI

Terima kasih Rosli! Rambut masih gondrongkah?

Wednesday, January 14, 2004

MACAM DAH BIASA JUMPA!

PERTEMUAN di The Mall tepat pukul 12.30 tengahari tadi memberi makna besar pada saya. Ini kali kedua saya jumpa kawan blog. Kali ini ramai; yang lelakinya idham, ep, mba dan wkdin manakala yang perempuannya; zar, mushroomcute, seriadriani dan saya.

Terima kasih semua atas layanan mesra. Saya tak rasa kekok berbual, malah seperti dah kenal lama. Semua yang hadir diberitahu bahawa saya ambil cuti hari ini untuk menemui rakan-rakan blog. Jadi tiga jam berbual itu saya manfaatkan sepenuhnya.

Oh ya, tentang Gathering GEJU Sabtu ini saya cuma boleh kata insyaAllah. Khabarnya ramai yang nak hadir. Kalau gitu, seberapa boleh saya usahakan untuk datang dan berjumpa rakan yang lain. Kalau datang gathering nanti saya akan bawa novel-novel saya - sure dengan potongan istimewa.

Okey, terima kasih dengan majlis `pecah ketulan ais kepal' tadi.

Tuesday, January 13, 2004

ANDA PEKERJA YANG BAGAIMANA?

1. MENGELUH DAN MENGELUH

Pekerja yang suka mengeluh adalah jenis mereka yang tidak boleh mengatasi masalahnya sendiri. Bagaimana mengenalinya? Pekerja ini akan mengeluh tiap kali ada masa terluang. Keluhannya mudah; kerja bertimbun, majikan yang cerewet, kurang kemudahan di tempat kerja dll

2. BEKERJA TIDAK DITAHAP MAKSIMUM
Biasanya mereka jenis yang tidak suka cabaran. MUdah puas hati dengan pekerjaan dan menyelesaikan pekerjaannya seadanya. Pekerja ini tidak memiliki motivasi kerja, enggan berusaha lebih baik apalagi jika majikan kurang memerhati.

3. TAKUT DENGAN TUGAS BARU
Tugas baru sama dengan cabaran baru. Orang atasan akan menilai anda jika sering menolak tugasan baru dengan pelbagai alasan. Lama kelamaan pihak atasan akan mengecap anda sebagai pekerja yang enggan maju. Jangan hairan jika perangai ini diteruskan anda mungkin langsung tidak mendapat kenaikan pangkat.

4. MENGELAK PIHAK ATASAN
Menghindar bertemu majikan atau bos kerana menghindari tugas tambahan sama ertinya dengan menjauhi kenaikan pangkat atau gaji. Dekat atau akrab dengan atasan akan melancarkan jalan karier seseorang. Jangan sampai membodek. Pegang teguh profesionalisme kerja.

5. SERING MENGHILANG
Kredibiliti pekerjaan akan hancur jika sering mengamalkan sikap menghilang dari pejabat. Keluar tanpa pengetahuan atau alasan atau curi-curi ponteng memang bukan sikap yang baik.

6. TIDAK PEDULI PERSEKITARAN
Fokus terhadap pekerjaan memang bagus tetapi ini bukan bererti anda tidak peduli dengan persekitaran kerja. Bayangkan, jika anda sukses dalam karier tetapi tidak mampu bergaul, bak kera sumbang?

Rasanya inilah antara tips yang dapat saya kutip bagaimana seseorang itu cemerlang dalam kerjaya. Ramai di sekeliling kita yang sudah berjaya dan adalah tidak rugi jika kita membuat beberapa kesimpulan bagaimana mereka boleh meniti tangga jaya itu. Saya selalu beranggapan; jadilah manusia yang dihormati dan disegani daripada menjadi manusia yang digeruni.

Sunday, January 11, 2004

KALA SIBUK MERANTAI DIRI

HUJUNG minggu adalah masa santai yang ditunggu. Tetapi kita sama juga seperti orang lain tidak pernah santai sesantainya. Sebaliknya sibuk sesibuknya! Tak adil kalau saya katakan saya seorang yang sibuk, sedangkan saya tahu orang lain pun tak habis-habis diburu kesibukan. Dikejar masa. Saya tak tahulah pula apa perasaan orang yang tak ada kerja, duduk melangut depan pc, depan televisyen, tengok movie, lepak-lepak, baring-baring, tidur sepanjang hari dan bermalas-malas...

Ketagih kerja? Ya juga. Ada orang yang tak reti nak duduk diam. Ada saja yang nak dibuatnya. Saya? Oh... saya jenis yang ada kerja sepanjang masa. Tak reti nak duduk diam, tak reti nak tidur siang... boring kalau tak ada kerja (sebenarnya tak pernah tak ada kerja). Waktu tidur hanya cukup-cukup lima jam. Selebihnya saya akan buat apa saja yang terdaya.

Baru sebentar balik dari Mid Valley. Di sana tadi, singgah agak lama juga di MPH dan membeli beberapa naskah buku untuk rujukan. Ramai sungguh manusia, berjejal-jejal. Terfikir juga dari mana datangnya lautan manusia... ke hulu ke hilir, tiap sudut ada manusia. Sedihnya yang paling ramai ialah mereka yang berkepit-kepit dengan pasangan masing-masing, dok lepak-lepak...

Maaflah tak sempat nak jawab di tag board. Saya jawab di sini saja:
iylia: kak sridiah handle majalah mana ? remaja handle tak atau dara?
- sebenarnya iylia, kak sri mengendalikan kesemua 28 majalah terbitan karangkraf. ya, remaja dan dara pun termasuklah. dik, study rajin-rajin, tahun ni SPM kan?

otaimer: dah lama tak kunjung weblog ni. sungguh syahdu sekali mendengarnya.
- syahdu ke otaimer? terima kasih sebab ke blog saya.

seriadriani: kerja operator tu macamana?
- kerja operator tu ialah jawatan yang diberikan kepada mereka yang bertugas mengendalikan mesin cetak. pekerja ini akan ditugaskan menjaga proses percetakan. antaranya ink, paper, binding kualiti cetakan dan lain-lain.

zareda & mush: Kak sri, bizi ek? apa khabar?
- zar, bz sesangat. blog pun jarang dapat dikemaskinikan. sorry. mush, sihat-sihat saja.

Mckelate: Kak Sri, saya nak hantar artikel untuk majalah yg Kak Sri handle boleh tak? I dah beli & baca KL Dimana Suamiku... Best! Tahniah!
- tak ada halangan, sesiapa saja boleh hantar. tapi lulus tak lulus untuk siaran tak berani jamin. terima kasih dengan komen terhadap KLDSK. Tunggu Jangan Ada Dusta pula ya!

riz: nak saya promotekan entry kak sri pasal jawatan kosong dalam weblog saya ? (nak mintak kebenaran)
- ok riz, silakan.

nakhoda: puan seri...boleh tak linkkan laman web sastera-Muzika dgn laman web puan seri...jasa dihargai! ribuan t/kasih kerana log-in ke sastera-muzika...sajak tak ada ke..hahah abdullatip dah apply utk jadi ahli, dah approved dah!
- nakhoda, sastera_muzika makin ramai peminat. tahniah!

Anna Abadi: Kak Sri..apa khabar? bila kunjung blog Rudy, teringat kat Kak Sri.
- Anna, blog awak makin canggih! ada bunga berguguran, ada lagu. Rudy tu anak kak sri dalam Jangan Ada Dendam. Along,di mana Along? Anna tak nak tulis novelkah? awak berbakat!

Sekian dulu. Salam utk semua.

Thursday, January 8, 2004

INGIN BEKERJA DI KARANGKRAF?

JAWATAN KOSONG
1. PEMBANTU PROMOSI
2. OPERATOR - PERCETAKAN WEB
3. PEMBANTU OPERATOR - PERCETAKAN WEB
4. APPERANTIS - PERCETAKAN
5. JURUTERA MEKANIKAL
6. EKSEKUTIF/PENYELARAS PRA CETAK
7. EKSEKUTIF QA/QC - JAMINAN / KAWALAN KUALITI
8. EKSEKUTIF BAHAN (MATERIAL)
9. PENYELARAS TEKNIKAL - JABATAN PENYELENGGARAAN
10. JURUTERA - BAHAGIAN OPERASI
11. EDITOR MAJALAH ( 2 Kategori :- B. Malaysia dan B. Inggeris )
12. WARTAWAN MAJALAH (2 Kategori :- B. Malaysia dan B. Inggeris)
13. PEREKA GRAFIK / KREATIF
14. JURUFOTO
15. EKSEKUTIF JUALAN PERCETAKAN
16. PENGURUS PEMASARAN
17. PENGURUS PENYELIDIKAN & PEMBANGUNAN PEMASARAN
18.EKSEKUTIF PEMASARAN

Maklumat Lanjut >>>
AHMAD NAZRI MOHD NOOR
Pengurus Besar
Jabatan Sumber Manusia

Sila hubungi Norasyazleen di 03-51013814 / 815 untuk sebarang pertanyaan atau hantar terus permohonan ke JSM selewat-lewatnya 17 Januari 2004.

Wednesday, January 7, 2004

TAHNIAH

SIARAN Buletin Utama malam tadi mengumumkan perlantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai bakal Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Najib, 50, yang juga Naib Presiden UMNO merupakan nama yang disebut-sebut bakal mengisi jawatan itu sebelum ini di samping Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Pengguna, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Apabila bercakap mengenai Datuk Seri Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansur tidak boleh diketepikan. Ia samalah seperti kata orang; di sebalik kejayaan seorang suami, ada seseorang sebagai pendorong kejayaannya iaitu isteri di sisinya (bukan dibelakangnya). Kedua-dua personaliti ini boleh dikatakan rapat juga dengan saya dan suami atas beberapa faktor. Antaranya faktor kerja, urusan kerajaan, urusan politik dan hubungan persahabatan yang sudah terjalin lama.

Rumah mereka di Bukit Tunku juga biasa dikunjungi tidak kiralah di hari raya atau hari-hari biasa. Semoga sikap ramah tamah, berperibadi, tidak sombong, kuat kerja dan suka gelak ketawa tidak akan terhakis begitu sahaja setelah perlantikan ini nanti. Sama seperti Datuk Seri Shahrizat yang pandai mengambil hati wartawan wanita dengan caranya yang tersendiri, Datin Seri Rosmah pun ada skill tersendiri menambat hati kami (hal ini nanti saya cerita lain kali).

Selamat menjalankan tugas sebagai isteri TPM kepada Datin Seri Rosmah.

Tuesday, January 6, 2004

KUNJUNGAN BERMAKNA

SAYA, kalau sudah berjanji nak berjumpa seseorang memang tak sabar-sabar menanti. Tapi penantian saya hari ini tidaklah menjadi suatu penyeksaan. Mula-mula lagi saya dah beritahu, tolong datang lewat petang kerana sebelah pagi saya agak sibuk dengan hal-hal pejabat, terutama tentang rombakan jabatan editorial yang saya beritahu dalam entri yang lalu.

Pertemuan awal 2004 bersama semua staf editorial berjalan lancar dan Pengarah Urusan telah menyampaikan amanat pentingnya yang semestinya menjadi bekal untuk menempuh 2004 yang cabarannya bukan calang-calang. Di samping ingatan supaya bekerja lebih kuat, kreatif dan inovatif, semangat kekitaan juga turut ditekankan. Harta syarikat adalah milik bersama, mesti sama-sama menjaganya. Namun yang lebih penting daripada segala ini sudah semestinya disiplin.

Oklah, teman yang ingin ditemui mengirim sms, memberi tahu waktu ketibaannya di stesen komuter. Saya cadangkan beliau naik komuter sahaja supaya dia tidak pening kepala dengan kesesakan Keramat - KL - PJ - Shah Alam. Ok, lagi lima minit sebelum ketibaan tren saya dan seorang rakan (sebab saya tak tahu arah) pun menanti di stesen komuter. Tak sampai dua minit menanti, haa... orang yang dinanti tiba. Siapa? He he he, jangan marah. Orang itu ialah mba!

Bangganya saya bila mba sudi nak menjenguk ke pejabat patik pacal ini. Mba pun diajaklah melawat-lawat ke jabatan-jabatan yang ada di Karangkraf. Mula-mula ke kafe (mba belanja makan) kemudian ke jabatan iklan, jabatan editorial, jabatan grafik dan tak lupa ke Alaf 21. Akhirnya ke bahagian percetakan, tengok mesen-mesen cetak yang canggih. (Sorrylah mba, kedai buku tutup awal, tak sempat nak jenguk beli-beli majalah. Akhirnya mba sampai ke bilik saya... biasalah bila sampai ke tempat saya, tak ada benda lain nak bagi, hanyalah majalah-majalah.

Terima kasih daun keladi, lain kali datang lagi!

Monday, January 5, 2004

ANAK-ANAK KEMBALI KE SEKOLAH

CUACA cerah hari ini. Baru pukul 6.00 pagi tetapi di luar rumah sudah riuh dengan suara anak-anak jiran dan emak bapa masing-masing menanti bas untuk ke sekolah. Hari ini adalah hari pertama persekolahan di Malaysia setelah bercuti panjang hampir dua bulan. Memandangkan rumah saya menghadap jalan besar, maka riuhnya bergandalah lagi. Dari dalam rumah lagi saya dapat saksikan bas sekolah yang lalu lalang sama sibuk dengan bunyi hon, kereta motor dan di masa yang sama ada yang berjalan kaki pula untuk ke sekolah agama di belakang rumah saya.

Alhamdulillah anak-anak saya pun senang dikejutkan pagi ini. Agaknya terlalu excited untuk ke sekolah semula. Mungkin juga kerana mereka `dipaksa' tidur awal malam tadi supaya mudah terjaga pagi ini. Tepat pukul 6.45 pagi, kami tinggalkan rumah untuk urusan sekolah pula. Ketiga-tiga anak, saya hantar sehingga masuk kelas dengan bekal duit yuran dalam tangan masing-masing. Mereka sudah boleh bayar sendiri. Semasa si bongsu masuk darjah satu dulu pun saya latih dia begitu. Jadi hantar mereka ke kelas pada hari pertama persekolahan pagi ini hanya sebagai syarat saja... sekurangnya untuk memberi semangat dan tanda yang maknya ini caring jugak orangnya...

Sabtu lalu saya ke Kedai Buku Popular di Leisure Mall Cheras. Sambil pilih buku dan peralatan anak-anak saya mencapai juga empat buat novel baru untuk rujukan. Ya, saya dapat semua novel yang saya inginkan di situ. Tinjau jugak novel-novel saya, kot-kot masih ada berbaki. Alhamdulillah, kelima-lima judul tu dah habis terjual semuanya. Gembiranya saya. Ini yang membuatkan saya semakin bersemangat hendak menulis novel baru. Sekarang pun dah 30% siap dan masih berusaha untuk menyiapkannya menjelang Mei 2004. InsyaALLAH.

Semalam diadakan Pertandingan Memasak Sharp - Nona - Rasa di Berjaya Times Square. Fulamak, besarnya gedung baru ini. Pilarnya sahaja besar, teguh, peramah. Lengkap dengan hotel bertaraf 6 bintang dan theme park. Bersama Ezzah Aziz Fawzy dari TV3, saya dan editor RASA, kami menjadi pengadil pertandingan. Hadiahnya lumayan; wang tunai, peti sejuk, mesin basuh, ketuhar gelombang mikro, penyedut hampagas dan macam-macam lagi. Majlis berjalan dengan jayanya dan disertai sama oleh penyanyi Misha Omar dan Ezlynn.

Esok saya mula bekerja setelah bercuti panjang. Esok juga adalah tarikh penting di mana rahsia tentang rombakan struktur organisasi Jabatan Editorial Karangkraf 2004 yang saya simpan hampir seminggu akan diumumkan oleh Pengarah Urusan. Perubahan ini penting untuk memantapkan struktur jabatan editorial ke arah menjadikan Kumpulan Krangkraf sebagai sebuah syarikat penerbitan yang berwibawa dan sukses. Nasihat saya kepada semua editor agar melaksanakan amanah yang diberi dengan jujur dan ikhlas, kuat semangat dan sentiasa berlumba-lumba untuk menjadi yang terbaik.

Dan esok juga saya akan berjumpa dengan seseorang.
Siapa orangnya? Tunggulah esok saya umumkan ya...

Friday, January 2, 2004

MARATON

Dengan separuh kelelahan
2003 telah kita lepaskan.

Di pemulaan yang sempurna
Kita kembali ke landasan
Dalam maraton 2004 pula
InsyaALLAH

Sri Diah
Kuala Lumpur.



Thursday, January 1, 2004

MENGHARAP GEMILANG 2004

ASSALAMUALAIKUM... Alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya mencuri masa(betul ke curi?) untuk mengemaskini blog kesayangan ini. Sudah tentu sekaligus, membalas rindu pada kalian semua. Sebelum tu, minta maaf banyak-banyak kerana membuatkan anda semua kehampaan setiap kali ke sini.

Kesibukan dengan pelbagai tugas; itulah alasan klise yang mampu saya berikan. Di pejabat, tiga hari berturut-turut saya sibuk dengan perbincangan bersama bos besar dan ketua pengarang. Tumpuan utama ialah untuk mengemaskini struktur pentadbiran dan perjalanan majalah. Dan keputusan sudahpun diambil. Tetapi masih lagi dalam ketegori OSA sehinggalah Selasa depan.

Dan kebiasaan di akhir tahun, saya juga dikehendaki membuat Performance Plan 2004 untuk semua editor. Ini termasuk perancangan untuk peningkatan mutu, jualan, pengiklanan, event dan sebagainya. Di masa yang sama penilaian 360 darjah sepanjang 2003 bagi setiap editor bagi tiga bulan terakhir juga mesti disiapkan.

Di rumah pula, demam kembali ke sekolah melanda. Antara lain persiapan buku-buku sekolah kebangsaan dan sekolah agama ketiga-tiga anak, membalut buku-buku, membeli belah untuk beg dan juga kasut sekolah. Selain itu sibuk juga menjahit baju kurung si sulung Anis Khalilah dan menjahit pakaian sekolah agama untuk Anas Iqbal serta si bongsu, Anas Suhaimi.

seben, wkdin ikiemasane, Lastmortal, inai, eyes, cnma, mely, nakhoda... maaf ya, tak sempat nak respon di tag board. Ep & mush, nanti saya fikirkan pasal gathering 17 Januari nanti. Saya memang rindukan anda semua. Ya, Selamat Menyambut Tahun Baru 2004 semoga kita sama-sama merayakan kejayaan sepanjang 2003 dan memantapkan prestasi sepanjang 2004. Inai, kenduri di Alaf 21 berjalan lancar dan diharapkan rezeki saya akan bertambah lagi dengan novel terbaru - Jangan Ada Dusta (nanti boleh belanja lagi!).

Tanpa anda semua siapalah saya...