Wednesday, August 10, 2016

FOTOGRAFI (2) STEFANO ROMANO



[ 7 Perkara BAHARU Yang Saya Pelajari Dari Stefano Romano – Jurufoto dari Itali ]
Sejujurnya, hati telah membuat keputusan untuk ‘duduk diam-diam’ dari menyertai sebarang kursus sehingga hujung tahun 2016.
Bukan bermaksud ilmu dah penuh di dada sampai meleleh-leleh keluar ikut mulut. Lebih kepada ilmu yang dicari, digali, ditimba sejak awal 2015 banyak lagi yang tidak sempat diamalkan.
Pergi kursus, seronok! Naik semangat! Balik rumah, semangat lagi!
Cukup 7 hari, sejuk!
Ilmu ‘mahal-mahal’ (buku nota) elok tersimpan celah-celah rak buku.
Itulah sebabnya apabila keluar iklan di Kursuspenulisan.com tentang Bengkel penulisan kisah hidup dan fotografi. Saya boleh rileks saja buat muka ikan termenung. Tiada perasaan.


Keyakinan sedikit goyah, apabila keluar wajah Tuan Stefano Romano dalam iklan bengkel itu. Ada suara dalam hati berbisik, “Huih, internasional ni. Itali lagi. Hish, rugi pula kalau tak datang.”
Lebih 10 kali ayat persuasif Tuan Zamri Mohamad muncul di newsfeed dengan ayat-ayat ‘macam tau-tau saja apa orang sedang fikir’. Saya terus buat keputusan daftar masuk.
Monolog hati, ‘Kalau tak menarik kursus ini, harus 3 hari 3 malam aku menangis tekup muka di bantal.’
Alhamdulillah, perasaan buruk hasutan syaitan tidak menjadi kenyataan.
Ternyata bengkel ini ada memberikan sesuatu yang baharu dan bernilai untuk dibawa pulang dan dijadikan pedoman.
Apa yang menarik sangat tentang mengambil foto potret selain foto itu perlu dilihat cantik (di mata orang awam)?
Saya belajar 7 perkara ini dari Tuan Stefano Romano.
1. Foto Adalah Tentang ‘Jiwa’
Mengambil foto potret memerlukan kemahiran mentafsir antara ‘baju dan kulit’.
Baju adalah pakaian luaran yang dipakai oleh subjek dan boleh dilihat oleh semua orang.
Manakala kulit adalah dalaman subjek atau ‘jiwa’ yang hanya boleh dirasai oleh jurufoto yang ‘ada rasa’.
Jurufoto memerlukan ‘heart eyes’ (mata hati) untuk mengambil foto yang ‘ada jiwa’.
(Ulasan saya: Patutlah foto-foto yang menang anugerah jika diamati seakan-akan cuba menyampaikan sesuatu pada kita)
.
2. Pandangan Mata Subjek ‘ada makna’
Mata subjek yang memandang ke atas melambangkan pengharapan atau posisi diri yang mahu hampir dengan Tuhan.
Mata subjek yang melihat ke bawah pula boleh mengambarkan kesedihan atau perasaan subjek yang sedang melankolik.
Mata subjek yang dilihat melirik ke kanan (dari pandangan hadapan) menggambarkan seolah-olah subjek sedang merenung masa hadapan.
Mata subjek yang melirik ke kiri pula seolah-olah mengimbau kenangan masa lalu.
Falsafah ini diperolehi dari penulisan yang biasanya dimulakan dari kiri (sudah tulis) ke kanan (akan di tulis).
.
3. Mata Subjek Mampu Berbicara
Mata mempunyai ‘bahasa’ sendiri. Perasaan sedih, gembira, kecewa dan marah semuanya boleh digambarkan oleh mata. Bahasa mata mampu ‘berkomunikasi’ dengan penonton foto tanpa kehadiran insan (subjek) itu di depan mata.
.
4. Foto Adalah Lukisan
Lukisan bukan hanya diconteng menggunakan pensel warna, warna air, krayon, cat minyak atau ‘magic color’. Malah lukisan boleh dihasilkan oleh cahaya.
Foto adalah lukisan yang dihasilkan dengan cahaya!
Sebagaimana Islam digambarkan sebagai ‘nur’ (cahaya), kehadiran cahaya dalam foto turut menggambarkan bagaimana subjek dikeluarkan dari kegelapan menuju cahaya (ini melibatkan falsafah untuk difahami).
.
5. Foto Dilihat Dari 2 Dunia
Apabila ditanya, mana yang lebih baik, foto hitam putih atau berwarna. Tuan Stefano menyatakan ianya terpulang kepada bagaimana seseorang itu melihat dunia.
Ada yang melihat dunia ini, hitam dan putih. Ada yang melihat dunia ini berwarna warni (fahaman saya, ini juga berkait juga dengan falsafah).
Namun, satu foto yang mempunyai campuran hitam putih dan berwarna warni (akibat disunting) adalah sesuatu yang tidak boleh diterima oleh seorang jurufoto seperti dirinya.
.
6. Latar Belakang Menentukan Fokus
Jika hanya mahu menonjolkan wajah subjek di dalam foto potret, pastikan latar belakang subjek hampir sama dengan warna pakaian yang dipakai.
Jika mahu menonjolkan subjek secara keseluruhan, latar belakang subjek perlu dipastikan ‘contrast’ dengan baju yang dipakai.
‘Contrast’ juga boleh ditonjolkan melalui perbezaan antara tekstur subjek dan latar belakang.
Contoh, wajah subjek yang halus dilatari tekstur batang pokok yang menggerutu.
.
7. Selfie Adalah Kanser
Pendapat Tuan Stefano, ‘Selfie’ adalah penyakit ‘kanser ego’. Ianya timbul dari kepercayaan orang di barat yang takut pada kematian.
‘Selfie’ (ambil gambar diri sendiri) wujud dari perasaan ingin memberitahu dunia, “Lihatlah, aku masih wujud.” Mereka mahu banyak mata menjadi saksi kewujudan mereka.
Mereka sangat takut sekiranya mereka dianggap ‘ghaib’ walaupun hakikatnya masih ada dalam masyarakat.

Petikan tulisan >>>> AMMAR KAMILIN <<< di sini. 

Tuan Stefano Romano berkali-kali mengingatkan, fotografi bukan semata-mata kecantikan aestetik yang dilihat oleh mata.
Di belakangnya terangkum falsafah, psikologi, sosiologi dan pelbagai disiplin ilmu lain melatari ‘makna rahsia’ yang hanya diketahui ‘pelukisnya’.
Sungguh, saya puas hati dapat hadir bengkel ini. Lega,tiada tragedi menekup muka di bantal selama 3 hari 3 malam.
‪#‎drMAK‬
Tak mahu selfie kerana tidak mahu dianggap seksi. Haha..

No comments: