Tuesday, July 14, 2015

Diplomat di Rome (1)

Kunjungan ke Rome, Itali (27 Mac - 6 April 2015) sebaik sahaja saya tamat menyertai Bologna Childrens Book Fair menemukan saya dengan dua keluarga diplomat. Atas kesempatan itu saya membuat temubual bersama mereka untuk Majalah Mingguan Wanita.

Terima kasih kepada sahabat saya, yang menetap di Rome, Bro Stefano Romano yang menolong mengambil semua gambar-gambar semasa temubual berlangsung. Grazie a tutti, Stef!



CETUSAN HATI KELUARGA DIPLOMAT
S. HEADING: Ahmad Fahmi dan Izharinee tetap ceria sambut Ramadan dan Syawal di Rome, Itali

HEADING: Rindu keluarga tidak halang semangat Aidilfitri
Catatan:  Sri Diah Shaharuddin
Foto: Stefano Romano, Rome, Itali dan koleksi peribadi keluarga.


MENJELANG Ramadan dan Syawal, ada banyak kisah suka duka yang dialami oleh kalangan keluarga diplomat yang dihantar menjalankan tugas di kedutaan-kedutaan Malaysia di luar negara.


Kisah sedih teringatkan kampung halaman, ayah bonda, adik beradik dan sanak saudara juga rakan taulan adalah antara momen sayu untuk dikenang ketika menjalani ibadah puasa dan meraikan Aidilfitri di perantauan.

Mingguan Wanita berkongsi rasa suka duka ini bersama keluarga diplomat yang bertugas di Kedutaan Besar Malaysia di Rome, Itali.

INILAH antara memori yang selalu terbayang dalam ingatan keluarga Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, 35 tahun yang kini sudah dua tahun enam bulan bertugas di Kedutaan Besar Malaysia di Rome Itali.

Beliau yang menjalankan tugas sebagai Penasihat Kedutaan, ditemani isterinya Izharinee Rosmawati Ibrahim, 35 tahun dan tiga orang anak mereka, Ahmad Afiq Zakwan, 8 tahun, Ahmad Aiman Zafran, 6 tahun dan Aisyah Zahra (2 tahun).

“Memang ada rasa sebak, paling tidak dapat dielakkan ialah perasaan rindu kepada kedua ibubapa serta adik beradik di Malaysia. Jika orang lain dapat mencium tangan orang tua di pagi raya, kami hanya mampu menyampaikan ucapan dan memohon maaf melalui FaceTime, facebook atau whatsapp saja,” kata Ahmad Fahmi yang berasal dari Perak sambil diiyakan oleh isterinya Izharinee.


“Sesekali teringat, kita buat-buat lupa dan sibuk-sibukkan diri. Namun tidak dinafikan, ingatan itu akan muncul semula. Tapi hendak buat bagaimana... ini pengorbanan kami sebagai petugas di Kedutaan di luar negara.



”Walau anak-anak masih kecil tetapi mereka sudah faham, bahawa situasi hari raya bagi kami tidak sama dengan kemeriahan hari raya mereka yang berada di tanah air.” Tokok Izharinee, yang berasal dari Kelantan ketika ditemui di Kedutaan Besar Malaysia di Rome, Itali.

“Untuk menimbulkan mood hari raya, juadah seperti rendang, ketupat dan lain-lain masakan akan saya sediakan di rumah untuk hidangan suami dan juga anak-anak. Rumah terbuka (open house) juga diadakan dimana rakan-rakan dijemput untuk menikmati pelbagai juadah Aidil Fitri.

“Di Rome ini, tidak sukar bagi saya untuk mendapatkan bahan mentah seperti ayam dan daging, juga bahan-bahan lain seperti serai, lengkuas, cili dan rempah-ratus. Jadi serba sedikit adalah mood hari raya di rumah kami,” ujar Izharinee lagi.

Bunyi takbir dari surau dan masjid yang terngiang-ngiang di telinga, lagi menambah rasa pilu. Itu belum lagi terliur enaknya hidangan dan juadah hari raya... ketupat daun palas, nasi dagang, lemang, rendang tok, dodol dan nasi minyak. Juga sedapnya semperit, bahulu, biskut kacang tanah, tat nanas dan sebagainya.


 “Memang ada rasa sebak... paling tidak dapat dielakkan ialah rasa rindu kepada ibu ayah, teringat meriahnya suasana bersembahyang pagi raya dan berduyun-duyun menziarahi dari satu rumah ke satu rumah,” ujar Ahmad Fahmi.

Beliau adalah bekas pelajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Klang Gate, Selangor dan meneruskan pengajian menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati, Selangor. Kemudian beliau meneruskan pengajian di Universiti Putra Malaysia – Bacelor Sains (Kepujian) Major Mikrobiologi


 “Sebagai Ketua Canseri di kedutaan ini, saya bertanggungjawab untuk mengawal selia pentadbiran, kewangan serta Konsular di Kedutaan. 

Dalam masa yang sama, sebagai Penasihat Kedutaan, saya bertanggungjawab untuk membantu Duta Besar dalam mempertahankan nama baik negara.

"Kami turut mengetengahkan polisi luar Malaysia serta mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dengan Itali, Albania, Kosovo dan San Marino,” ujarnya.

Ahmad Fahmi sebelum ini telah bertugas di Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik, Syria. Kini di Itali, antara lain tugasnya iala membantu pengendalian seminar/ceramah yang dihoskan oleh Kedutaan serta menkoordinasi penyertaan Malaysia di pelbagai pameran di Italy, Albania, Kosovo dan San Marini untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.



“Turut diadakan di sini ialah Sambutan Hari Kebangsaan, Jamuan Aidil Adha dan Jamuan Aidilfitri yang turut disertai rakyat Malaysia yang berada di Rome,” ujarnya.

Sepanjang bertugas di Rome beliau berharap hubungan ekonomi antara Malaysia dan Itali bertambah maju serta berdaya saing kerana terdapat banyak bidang yang berpotensi untuk Malaysia bekerjasama dengan Itali seperti Perbankan dan Sistem Kewangan Islamik, teknologi hijau serta penghasilan produk-produk halal.

Sementara, Izharinee adalah bekas pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Melawati, Selangor dan melanjutkan pelajaran menengah di MRSM Terendak, Melaka. 

Kemudian beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Putra Malaysia dimana beliau mengambil jurusan Diploma Sains Komputer dan menyambung dengan Bacelor Sains Dengan Pendidikan (Kepujian) Major Matematik.


Sebagai isteri saya tetap memberi sokongan dan dorongan kepada suami walau ke mana sahaja suami dihantar bertugas. Itu adalah janji kami kepada negara,” ujar Izharinee yang kini bercuti tanpa gaji. 

Beliau merupakan seorang guru yang pernah mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Luar Bandar Sibu dan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang di Kuala Lumpur.


·       Pada kesempatan ini mereka sekeluarga ingin mengucapkan Salam Ramadan dan Selamat Menyambut Aidilfitri kepada ibu bapa, adik beradik, sanak saudara dan semua kenalan di tanahair. Mohon Maaf Zahir dan Batin.

No comments: