Friday, July 31, 2015

Selamat Hari Pahlawan

Kuatkan hati. Tarikh ini juga hari mengenang ramai pahlawan negara 
 yang telah gugur. Kecewa keluarga dan balu diiringi doa 
semoga semuanya dalam pelihara Yang Maha Kuasa.


Selamat Hari Pahlawan 
Sambil mengenang MH370 yang hilang. 
Al-Fatihah

Tuesday, July 28, 2015

Sedondon

>>> BANYAKNYA KOMEN <<<
Susah nak dapat pakai sedondon, nasib baik hari ini ada orang dengar kata. Oppsss
Sesuatu yang saya belajar ialah:

1. Biar suami pilih pakaian dulu, dan isteri tentukan warna pakaian isteri pula.
2. Guna cara reverse psikologi - hari itu saya tengok Kak M pakai baju, sedondon dengan Abang A - cantik sangat!

Sunday, July 26, 2015

6 TAHUN BONDA PERGI

2019 - 2015
Sudah 6 tahun Bonda pergi. Kini Syawal datang lagi... 
Dan rindu pada arwah Bonda, tidak pernah berganti!

Friday, July 24, 2015

Berasa Kerdil

Status ini merujuk kepada kehebatan penulisan seseorang, meletakkan di mana mereka hari ini. Di antara ketiga-tiga insan ini, lihat bahasa tubuh saya, yang sangat kerdil di tengah antara mereka.

* Bekas Duta Khas ke PBB.Tan Sri Abdullah Ahmad atau biasa dipanggil Dollah Kok Lanas (DKL) sangat berpengaruh dalam dunia media sejak awal 70-an. Zaman Tun Abdul Razak, Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Abdullah adalah waktu panas dunia pemberitaan dan beliau sangat berpengaruh waktu itu.

- Tan Sri Dollah Kok Lanas - Saya tak suka mengedit karya beliau sebab beliau seorang yang cerewet, ada saja yang tak kena. Biasanya editor yang saya hantar menemui beliau.

 smile emoticon

* Potret Seorang Anu Kepada Anu, karya Tan Sri Johan bin Jaafar masih saya ingat jalan ceritanya. Beliau bekas Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Pengerusi Utusan Melayu, kini Pengerusi Media Prima Berhad. Beliau juga penulis beribu karya puisi, cerpen, novel dan drama serta host televisyen.

- Tan Sri Johan Jaafar - Saya lebih suka memanggil beliau Tan Sri JJ. Isterinya Puan Sri Sara kawan saya, kami banyak kenangan manis di DBP. Saya cadangkan beliau terbit buku yang lain daripada yang lain, beliau setuju! Kebetulan sedang bercuti panjang kerana cedera di kaki.


* Sesekali saya membaca di online tulisan beliau dalam ruangan On The Beat, Sunday Star. Datuk Seri Wong Chun Wai, ialah Group Chief Editor Kumpulan The Star. Bermula dari posisi bawah di media house kecil di Pulau Pinang, kemudian naik sebagai Writer, News Editor, Senior News Editor, Eksekutif Editor hinggalah ke jawatan sekarang,

- Datuk Seri Wong - Saya selalu menggelar beliau sebagai Taiko Busat! bila berjumpa di majlis-majlis media. Seperti biasa, beliau sengih saja!

>>> Tulisan ini bertujuan memberi nilai semangat kepada ramai pengamal media, pemerhati media dan penggiat media supaya melihat seseorang itu hari ini berdasarkan pengalamannya, bukan atas faktor `co-insiden atau accident to be a journalist' terutama untuk media portal online, pelapor media sosial dan sebagainya.


Namun jika jalan pintas, jalan kotor juga yang dipilih, terpulanglah.
* Gambar ini dirakam ketika Majlsi Berbuka Puasa Pengamal Media di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, 2 Julai 2015 lalu.

Thursday, July 23, 2015

Mencium Bunga


Asalnya saya melihat sekuntum bunga ini (tidak tahu bunga jenis apa... mungkin ros), maka lahirlah barisan puisi ini secara tiba-tiba:

MENCIUM BUNGA:

Ini kekasih yang cantik di mata
yang membenarkan aku saban waktu di situ
melihat apa yang di mata
belum tentu sama dalam rasa
Walau dekat, jauhnya nyata
ke hujung waktu entah bila
dapat aku mencium baunya.
* Maka dengan himpunan gambar bunga-bugaan hasil shoot sahabat saya ini maka terhasil satu frame cantik koleksi bunga-bunga ini dengan diletakkan puisi di tengahnya.

Hingga akhirnya terlahir pula buku kumpulan puisi dan foto
> POTRET HATI.| Mata Berkata dan Hati Berbicara

* Puisi di atas antara lain bermaksud;

Mellihat gambar bunga ini seperti kita menatap wajah kekasih yang jauh di mata, namun ia dekat dengan jiwa. Banyak kali saya tatap dan membelek bunga-bunga ini.
Ya kita hanya mampu melihat disebabkan jarak yang jauh. Namun tetap menyimpan hajat mahu berjumpa bunga itu dan mahu mencium baunya pula!

Wednesday, July 22, 2015

Berbaju Sedondon

Wah! Saya suka posting ini heart emoticon



Ya, kami sedondon lagi tahun ini. Sebenarnya boleh dikatakan saban tahun. Bagi saya ia tanda penyatuan hati kami yang sepakat, bermusyawarah dan hormat menghormati pendapat masing-masing.


Contohnya anak-anak mahu sampin warna silver. Tapi saya kata kita ada sampin lama, tak usah beli yang bsru. Pakai saja yang lama. Jimat duit. Abaya saya itu absya 2010 beli ketika di Mekah. Tak perlu beli baru. Jimat lagi. Baju suami memang sudah sedia ada ketika terima pingat daripada DYMM Sultan Kedah.
Ini juga kesungguhan meraikan lebaran dalam ikatan kekeluargaan. Ia nampak kecil tetapi daripada sekecil perkara inilah yang menjadikan hubungan kita erat.



Saya masih ingat senyum kepuasan arwah emak apabila melihat kami berpakaian sedondon... AlFatihah untuk arwah mak yang dirindui tiap ketika.

Semasa kami kecil dulu, arwah emak selalu membeli kain 'sepapan' untuk adik beradik perempuan dan `sepapan' lagi untuk adik beradik lelaki untuk dibuat pakaian raya. Jimat. (Kemudian apabila saya remaja, saya sudah mula menjadi tukang jahit pakaian keluarga).


Bukanlah pula bermakna yang tidak sedondon itu tidak bermuafakat, Tolong jangan salah faham. Ini terpulang kepada prinsip masing-masing.

Gambar baju raya kami tahun lalau, 2014


Simone dan Rome

Untuk hidup yang lebih sempurna
Untuk rasa yang sangat erti
Terima kasih

Kota lama Rome, sangat memberi kesan luar biasa dalam naluri saya. Meski hanya sebentar menyinggahinya pada 3 - 5 April 2015 lalu dalam perjalanan pulang dari Bologna Childrens Book Fair di Bologna (27 Mac - 2 April 2015) namun momen manis di kota Khatolik itu memberi ingatan yang sarat.

Saya memamng bercadang mahu melahirkan segalanya dalam novel saya yanga kan datang. InsyaAllah. Sehingga hari ini, masih lagi merangka plot - bagaimana akan diberi kesudahan terhadap watak utamanya - Simone.

Simone - watak lelaki Inggeris Eropah yang memeluk Islam dan menghadapi banyak dugaan batin, dalam lingkungan zahirnya yang semua di sekelilingnya sangat menyokong fitrah Islam yang baru dianutinya.




Tuesday, July 21, 2015

Hantu Durian!

Okay, saya belanja gambar kami yang sakan kekoh durian! 
Panas. Oppsss... Sampai ada yang seksi sanggup tanggal baju. 
Ada yang langgar lampu merah dan buat u turn. 
Sanggup langgar double line dan juga kon tepi jalan! 
Oh Doc... Ampunkan kami!

>>> HANTU DURIAN!<<<


Demi Dia Suamiku


Jangan kata isteri tak sayang suami! 
Dah raya ketiga masih lagi 'mengketupat' dan merendang. 
Bertabahlah siapa dapat suami 'anak emak dan anak bongsu!' 
Oppsss... !


3 Syawal 1436


Pagi 3 Syawal 1436
Membersihkan laman dalam gerimis


Ketupat Raya

Pulut Dakap dan Ketupat Palas: 
Ini ialah hidangan tradisi keluarga - Alhamdulillah, gemulah buat bonda mentua dan bonda kandung, berkat tunjuk ajar dan tekun belajar, Syawal ini sekali lagi suami dan anak-anak dapat menikmati air tangan saya untuk hidangan 1 Syawal 1436H. Doa dan Al-Fatihah untuk kedua-duanya yang dirindui tiap ketika.

>>> KETUPAT PALAS <<<























Arjuna Beta


Ya Allah, rahmati kehidupan dunianya

Berkatilah kehidupan akhiratnya...

Semoga amal kebaikannya menjadi jambatan lurus

Membawanya ke Syurga-Mu. Amin

>>> ARJUNA BETA <<<

Tuesday, July 14, 2015

Mengenang Allahyarham Abdullah Tahir



Entah macamana semalam boleh terjebak pula berbuka puasa 
Tercari-cari juga kalau ada budak samseng 
Sekolah Menengah Sains Selangor yang suka buka tiga butang atas uniform 
sekolah, cari gaduh dengan budak sekolah cap kunci di Kg Konggo. 
Masa itu Low Yatt belum ada! 


Dan malamnya, saya sebak membaca status Dr. Salleh Rahamad ini:

Kelmarin saya bermimpi lagi, bertemu dengan Allahyarham Abdullah Tahir, penulis cerpen yang hebat sebelum kematiannya. 
Beliau pensyarah dan mentor saya, malahan menjadi penyelia disertasi sarjana saya. Dalam pertemuan itu saya tergamam apabila dibawa bertemu dengan beliau di sebuah restoran bersama-sama beberapa orang lain. 
Saya tahu beliau sudah meninggal tetapi ketika itu saya seperti diberitahu bahawa beliau masih hidup dan beliau menyatakan bahawa dirinya sihat. Kemudian saya mengajak beliau ke tempat lain kerana saya mahu belanja beliau makan.

Kami beredar ke sebuah restoran Cina Muslim dan kami memesan makanan. Sejurus kemudian datanglah kawan saya yang juga anak muridnya, Dr Abu Hassan Hasbullah atau Hassan Hayastani. Beliau juga tergamam dan tidak berkata apa-apa. 
Kemudian saya tersedar daripada tidur pada waktu siang bolong. Agaknya beliau menziarahi saya atau meminta saya menziarahinya di pusaranya, Bukit Kiara. Berapa nombor pusara arwah, 
Penulis-penulis baru kenalkah akan Abdullah Tahir? Ukurlah karya saudara dengan karya beliau?




Diplomat di Rome (1)

Kunjungan ke Rome, Itali (27 Mac - 6 April 2015) sebaik sahaja saya tamat menyertai Bologna Childrens Book Fair menemukan saya dengan dua keluarga diplomat. Atas kesempatan itu saya membuat temubual bersama mereka untuk Majalah Mingguan Wanita.

Terima kasih kepada sahabat saya, yang menetap di Rome, Bro Stefano Romano yang menolong mengambil semua gambar-gambar semasa temubual berlangsung. Grazie a tutti, Stef!



CETUSAN HATI KELUARGA DIPLOMAT
S. HEADING: Ahmad Fahmi dan Izharinee tetap ceria sambut Ramadan dan Syawal di Rome, Itali

HEADING: Rindu keluarga tidak halang semangat Aidilfitri
Catatan:  Sri Diah Shaharuddin
Foto: Stefano Romano, Rome, Itali dan koleksi peribadi keluarga.


MENJELANG Ramadan dan Syawal, ada banyak kisah suka duka yang dialami oleh kalangan keluarga diplomat yang dihantar menjalankan tugas di kedutaan-kedutaan Malaysia di luar negara.


Kisah sedih teringatkan kampung halaman, ayah bonda, adik beradik dan sanak saudara juga rakan taulan adalah antara momen sayu untuk dikenang ketika menjalani ibadah puasa dan meraikan Aidilfitri di perantauan.

Mingguan Wanita berkongsi rasa suka duka ini bersama keluarga diplomat yang bertugas di Kedutaan Besar Malaysia di Rome, Itali.

INILAH antara memori yang selalu terbayang dalam ingatan keluarga Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, 35 tahun yang kini sudah dua tahun enam bulan bertugas di Kedutaan Besar Malaysia di Rome Itali.

Beliau yang menjalankan tugas sebagai Penasihat Kedutaan, ditemani isterinya Izharinee Rosmawati Ibrahim, 35 tahun dan tiga orang anak mereka, Ahmad Afiq Zakwan, 8 tahun, Ahmad Aiman Zafran, 6 tahun dan Aisyah Zahra (2 tahun).

“Memang ada rasa sebak, paling tidak dapat dielakkan ialah perasaan rindu kepada kedua ibubapa serta adik beradik di Malaysia. Jika orang lain dapat mencium tangan orang tua di pagi raya, kami hanya mampu menyampaikan ucapan dan memohon maaf melalui FaceTime, facebook atau whatsapp saja,” kata Ahmad Fahmi yang berasal dari Perak sambil diiyakan oleh isterinya Izharinee.


“Sesekali teringat, kita buat-buat lupa dan sibuk-sibukkan diri. Namun tidak dinafikan, ingatan itu akan muncul semula. Tapi hendak buat bagaimana... ini pengorbanan kami sebagai petugas di Kedutaan di luar negara.



”Walau anak-anak masih kecil tetapi mereka sudah faham, bahawa situasi hari raya bagi kami tidak sama dengan kemeriahan hari raya mereka yang berada di tanah air.” Tokok Izharinee, yang berasal dari Kelantan ketika ditemui di Kedutaan Besar Malaysia di Rome, Itali.

“Untuk menimbulkan mood hari raya, juadah seperti rendang, ketupat dan lain-lain masakan akan saya sediakan di rumah untuk hidangan suami dan juga anak-anak. Rumah terbuka (open house) juga diadakan dimana rakan-rakan dijemput untuk menikmati pelbagai juadah Aidil Fitri.

“Di Rome ini, tidak sukar bagi saya untuk mendapatkan bahan mentah seperti ayam dan daging, juga bahan-bahan lain seperti serai, lengkuas, cili dan rempah-ratus. Jadi serba sedikit adalah mood hari raya di rumah kami,” ujar Izharinee lagi.

Bunyi takbir dari surau dan masjid yang terngiang-ngiang di telinga, lagi menambah rasa pilu. Itu belum lagi terliur enaknya hidangan dan juadah hari raya... ketupat daun palas, nasi dagang, lemang, rendang tok, dodol dan nasi minyak. Juga sedapnya semperit, bahulu, biskut kacang tanah, tat nanas dan sebagainya.


 “Memang ada rasa sebak... paling tidak dapat dielakkan ialah rasa rindu kepada ibu ayah, teringat meriahnya suasana bersembahyang pagi raya dan berduyun-duyun menziarahi dari satu rumah ke satu rumah,” ujar Ahmad Fahmi.

Beliau adalah bekas pelajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Klang Gate, Selangor dan meneruskan pengajian menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati, Selangor. Kemudian beliau meneruskan pengajian di Universiti Putra Malaysia – Bacelor Sains (Kepujian) Major Mikrobiologi


 “Sebagai Ketua Canseri di kedutaan ini, saya bertanggungjawab untuk mengawal selia pentadbiran, kewangan serta Konsular di Kedutaan. 

Dalam masa yang sama, sebagai Penasihat Kedutaan, saya bertanggungjawab untuk membantu Duta Besar dalam mempertahankan nama baik negara.

"Kami turut mengetengahkan polisi luar Malaysia serta mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dengan Itali, Albania, Kosovo dan San Marino,” ujarnya.

Ahmad Fahmi sebelum ini telah bertugas di Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik, Syria. Kini di Itali, antara lain tugasnya iala membantu pengendalian seminar/ceramah yang dihoskan oleh Kedutaan serta menkoordinasi penyertaan Malaysia di pelbagai pameran di Italy, Albania, Kosovo dan San Marini untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.



“Turut diadakan di sini ialah Sambutan Hari Kebangsaan, Jamuan Aidil Adha dan Jamuan Aidilfitri yang turut disertai rakyat Malaysia yang berada di Rome,” ujarnya.

Sepanjang bertugas di Rome beliau berharap hubungan ekonomi antara Malaysia dan Itali bertambah maju serta berdaya saing kerana terdapat banyak bidang yang berpotensi untuk Malaysia bekerjasama dengan Itali seperti Perbankan dan Sistem Kewangan Islamik, teknologi hijau serta penghasilan produk-produk halal.

Sementara, Izharinee adalah bekas pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Melawati, Selangor dan melanjutkan pelajaran menengah di MRSM Terendak, Melaka. 

Kemudian beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Putra Malaysia dimana beliau mengambil jurusan Diploma Sains Komputer dan menyambung dengan Bacelor Sains Dengan Pendidikan (Kepujian) Major Matematik.


Sebagai isteri saya tetap memberi sokongan dan dorongan kepada suami walau ke mana sahaja suami dihantar bertugas. Itu adalah janji kami kepada negara,” ujar Izharinee yang kini bercuti tanpa gaji. 

Beliau merupakan seorang guru yang pernah mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Luar Bandar Sibu dan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang di Kuala Lumpur.


·       Pada kesempatan ini mereka sekeluarga ingin mengucapkan Salam Ramadan dan Selamat Menyambut Aidilfitri kepada ibu bapa, adik beradik, sanak saudara dan semua kenalan di tanahair. Mohon Maaf Zahir dan Batin.

Diplomat di Rome (2)

Kunjungan ke Rome, Itali (27 Mac - 6 April 2015) sebaik sahaja saya tamat menyertai Bologna Childrens Book Fair menemukan saya dengan dua keluarga diplomat. Atas kesempatan itu saya membuat temubual bersama mereka untuk Majalah Mingguan Wanita.

Terima kasih kepada sahabat saya, yang menetap di Rome, Bro Stefano Romano yang menolong mengambil semua gambar-gambar semasa temubual berlangsung. Grazie a tutti, Stef!


Aidilfitri di Rom, Italy demi tugas kepada negara
TETAP RINDU SUASANA DESA
Catatan:  Sri Diah Shaharuddin
Foto: Stefano Romano, Rom, Itali dan koleksi peribadi keluarga.

BERTUGAS sebagai Setiausaha Kedua (Pentadbiran) di Kedutaan Besar Malaysia di Rom, Itali, menjadikan sambutan Ramadan dan Syawal sangat bermakna bagi keluarga Rohaizad bin Abdul Lateh, 38 dan isterinya, Noraniza binti Adnan, 38 serta dua orang anak mereka, Nur Dania Qaisara, 11 dan Rezza Akif Rahimi, 8.

Sesuai dengan Aidilfitiri yang bakal tiba, tidak dinafikan perasaan sedih mulai melanda perasaan mereka sekeluarga yang tahun ini merayakannya di Itali.
“Memanglah perasaan sedih tetap wujud. 

"Kami tetap terkenangkan ibu dan ayah, sanak saudara dan adik beradik dan mahu sangat bersalaman memohon maaf. Sememangnya suasananya sangat berbeza.

“Namun mujur isteri saya yang pandai memasak pelbagai juadah hari raya sedikit sebanyak dapat menghindar daripada rasa sedih itu. 

"Kami tetap menikmati juadah hari raya seperti nasi himpit, kuah kacang, nasi minyak, pelbagai jenis biskut dan hidangan pencuci mulut,” ujar Rohaizad dan keluarganya yang ditemui di Kedutaan Besar Malaysia di Rom, Itali.


Isterinya Noraniza yang yang berasal dari Yong Peng, Johor bercuti bertugas kerana mengikut suami menjalankan tanggungjawab di Rom berkata, beliau seberapa boleh akan mencipta suasana hari raya di rumah.

“Kami tetap berpakaian baju raya dan turut melakukan ziarah ke Masjid Besar Rome. Kemudian akan berkunjung ke rumah sahabat-sahabat senegara yang bertugas di sini dan sekitarnya.


 “Perkara ini penting. Mereka perlu diingatkan tentang tanahair, rasa sayangkan Malaysia, ingat semua kenangan manis di tanahair dan tidak lupa kepada juadah kegemaran mereka di Malaysia seperti kue teow, mi kari, dan ketupat rending,” ujarnya.


Antara tugas seharian Rohaizad di Kedutaan Besar Malaysia di Rom, Itali  adalah merangkumi hal-hal pentadbiran pejabat, urusan kewangan, urusan protokol bagi lawatan VVIP dan kerja-kerja konsular iaitu menangani masalah rakyat Malaysia di Italy (kematian, pendaftaran kahwin/kelahiran, kehilangan passport dan sebagainya)


 “Selain itu, kami turut membantu rakyat Malaysia yang ditimpa kesusahan semasa di Itali. Antara kesusahan yang sering melanda rakyat Malaysia di Itali adalah menjadi mangsa jenayah kecurian (pickpocket) yang menyebabkan mangsa terdampar sementara di Itali kerana kehilangan passport dan duit.



“Bila perkara sebegini terjadi, pihak Kedutaan akan cuba sedaya upaya membantu seadanya mangsa. Jenayah seperti curi beg dan pickpocket agak berleluasa terutama sekali di Milan dan Rom.


Kini terdapat seramai 300 rakyat Malaysia kini berada di Itali. Sebilangan kecil daripada bilangan ini merupakan ahli professional dan ahli perniagaan.

Terdapat juga pelajar-pelajar Malaysia yang mendalami ilmu dalam pelbagai jurusan seperti jurusan senibina, design, fesyen serta jurusan Agama Kristian. Sebahagian besar daripada bilangan ini mengikut pasangan masing-masing,” ujarnya.


·       * Pada kesempatan ini mereka sekeluarga ingin mengucapkan Salam Ramadan dan Selamat Menyambut Aidilfitri kepada ibu bapa, adik beradik, sanak saudara dan semua kenalan di tanahair. Mohon Maaf Zahir dan Batin.