Friday, May 1, 2015

SEMANGAT HANG TUAH

SIARAN DALAM AKHBAR SINAR HARIAN

December 2, 2011: Umno melabuhkan tirai sidang agungnya esok. Ramai penganalisis berpendapat ini adalah sidang agung Umno yang terpenting dan paling kritikal dalam sejarahnya. Sebagai perjumpaan politik terbesar orang Melayu di Malaysia, banyak perkara diketengahkan perwakilan dan pucuk pimpinan parti selama empat hari persidangan.

Sepanjang tempoh lebih enam dekad kewujudannya, jasa dan sumbangan Umno tidak terkira. Dari sebelum Merdeka sehinggalah kini, Umno berjuang tanpa henti untuk meningkatkan maruah serta memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu. Umno merupakan tunjang kepimpinan politik negara, telah membuka peluang besar dalam bidang pendidikan, ekonomi, pembangunan sosial, selain bersama-sama parti komponen BN menjayakan agenda memajukan negara.
 
Golongan muda penting kepada parti untuk kesinambungan. Mereka boleh memastikan Umno berada di hadapan kelok pembaharuan, termasuklah lebih ke hadapan dan proaktif dalam media alternatif dan perang alam siber. Pucuk pimpinan parti menggesa kita menyerang parti lawan, bukan lagi bertahan sahaja. Disebabkan itulah keupayaan dan peranan golongan muda menjadi penting dan kritikal hari ini, khususnya untuk menarik golongan sebaya mereka.
 
Fitrah orang muda adalah ingin tahu dan suka berdebat, justeru kita juga mesti mampu memberi penjelasan konkrit, meyakinkan dan intelektual mengenai isu-isu semasa, melalui pelbagai medium dan secara langsung, untuk memenangi hati mereka.
 
Bagaimana cara kita menjadikan Umno magnet kepada golongan muda? Pertama, Umno mesti dilihat sebagai aktif dan relevan, serta berjiwa rakyat. Meremajakan Umno bermakna meneliti semula pendekatan, sikap, sistem nilai parti dan ahli. Oleh itu, Umno mesti bersifat inclusive. Kita tidak mahu Umno didakwa parti elitis atau eksklusif, atau hanya mementingkan golongan tertentu. Kedua, kita mesti membuka pintu kepada golongan cerdik pandai yang ingin masuk parti dan berjuang atas nama Umno. Jika mereka yakin dengan prinsip perjuangan, aspirasi Umno dan mahu menyumbang, janganlah kita sekat. Kita jangan terperangkap dalam kepompong sendiri.
 
Umno akan dilihat hebat bila ahlinya hebat, berpendidikan, memiliki idealisme yang digandingkan dengan akhlak dan nilai agama. Alangkah ruginya jika orang-orang hebat memihak parti lawan. Ini bermakna Umno mesti memiliki budaya dan amalan yang betul kerana kepimpinan yang berkualiti dan berwawasan dapat menarik orang muda. Janganlah parti kita dibarahi politik wang, cantas-mencantas atau amalan siasah yang tidak sihat seperti berebut jawatan sehingga parti kucar-kacir.
 
Sejak kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dalam PRU lalu, Umno bekerja keras menarik hati pengundi dan mengubah pola pengundian. Hasilnya cukup jelas dan berbaloi. Kemenangan BN dan Umno dalam banyak pilihan raya kecil sejak tiga tahun lalu dan Pilihan raya Negeri Sarawak begitu menggalakkan. Jelas bahawa sebahagian besar rakyat dan orang Melayu, termasuk golongan muda, masih sayang dan mengharapkan Umno.
 
Sebaliknya, semakin ramai pemimpin yang meninggalkan Pakatan Rakyat. Paling teruk ialah PKR, sehingga digelar orang Parti Kian Runtuh, Pakat Keluar Ramai-ramai dan macam-macam lagi. Parti-parti pembangkang pula tak sebulu, bergaduh macam anjing dan kucing. Di beberapa negeri, Pas bergaduh dengan PKR, PKR bergaduh dengan DAP, DAP bergaduh dengan SNAP, SNAP pula bergaduh dengan PKR. Semuanya gara-gara kerusi dan calon, serta matlamat politik yang berbeza.
 
Namun Umno kena berpijak di bumi nyata. Sebagai parti politik, Umno kena bina kekuatan sendiri, tidak boleh bergantung kepada kelemahan parti lain.
 
Paksi segala kerja kita ialah cogan kata parti sendiri, yakni Bersatu, Bersetia, Berkhidmat. Semangat Melayu peninggalan pahlawan sejak dahulu kala ialah kesatuan. Laksamana Hang Tuah, atas semangat “Takkan Hilang Melayu di dunia” mengajar agar sayang kepada pasukan, sebab itulah dalam semua ekspedisi dan tugasan hariannya sentiasa ada Jebat, Lekir, Lekiu dan Kasturi. Panduan hidup diasaskan kepada pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Janganlah kamu terkena penyakit ummah iaitu dengki mendengki, tidak senang melihat sahabatmu mendapat nikmat.”
 
Pendekatan kita ialah bekerja kuat dan serius bagi mencapai kejayaan, mengenal pasti ancaman, sentiasa ikhlas dan sanggup berkorban dalam perjuangan. Kita kena cekap mentafsir hasrat orang Melayu, memenuhi aspirasi dan kehendak mereka.
 
Dalam pada itu, apa jua kesilapan yang pernah dilakukan segera diperbetulkan agar rakyat dapat membuat pilihan terbaik menjelang PRU-13 nanti. Banyak iktibar yang kita pelajari daripada keputusan PRU yang lepas. Semuanya telah mematangkan kita sebagai satu pergerakan politik.

No comments: