Monday, October 31, 2005

SETAKAT NI CONFIRM RAYA DI KL
MENJELANG esok, bermakna lagi dua hari sahaja umat Islam akan menyambut Aidilfitri. Sudahkah anda membayar zakat fitrah? Pada en.abg sudah beberapa kali saya ingatkan supaya segera membayar zakat fitrah untuk saya dan anak-anak, jangan tunggu sampai pagi hari raya. Walaupun besar berkatnya di pagi Syawal tapi itu akan menyusahkan abah saya. Time orang tua tu tengah sibuk nak bersiap ke masjid, masa tulah en.abg sibuk nak bayar fitrah pada abah, salah seorang amil di Bandar Tun Razak ini. Bila patut bayar fitrah? Klik SINI

Dua pasang baju kurung Kak Long belum habis saya jahit. Badan dah cantum, tinggal nak jahit sembat leher, tangan dan kaki baju. Pencangkuk kain pun belum pi beli... si polan dok masam muka kalau-kalau baju dia tak sempat siap menjelang raya. Alhamdulillah baju Melayu si Anas dan Amie, masih boleh gunakan yang tahun lepas punya. Mama dan abahnya? Hahahah, tak ada pun baju baru!

Bisnes en.abg menjadi-jadi pulak menjelang Syawal nih. Lagilah tak menang tangan dia, mujur ada empat anak bujang membantu. So dia jadi pengarah sahaja nampak gayanya. Khabarnya di pagi raya nanti dia kena hantar tempahan ke PWTC pada pukul 3 pagi untuk hidangan open house yang akan bermula pada pukul 11 pagi. Kalau dah macam tu jadualnya sahlah kami tak berhari raya di Tokai tahun ini. So saya dan anak-anak sengih saja, gembira berhari raya di KL menanti sanak saudara dari Kelantan, Pahang & Johor balik beraya di rumah nenek mereka di KL ini.

Sedih juga mengingatkan Ramadan yang kian ke penghujung dan entah kita dapat merasa lagi atau tidak Ramadan akan datang. Alhamdulillah Ramadan tahun ini kita lalui dengan penuh kesenangan, cuaca baik, redup sentiasa dan negara aman damai dengan rezeki yang melimpah-ruah.

* Salam Takziah untuk keluarga Pengarah Urusan kami yang kehilangan bonda tercinta Allahyarham Hajah Che Moh, 82 tahun pada pagi Ahad lalu. Semoga Allah merahmati dan menempatkan Allahyarham di sisi mereka yang beriman. Al-Fatihah.

Thursday, October 27, 2005

MANA BANGKIT SANTANKU YANG DULU?


MOOD raya sudahpun sampai dekat dengan diri. Ada dalam hati dan sudah terbayang di mata. Anak-anak kian sibuk dengan persiapan raya masing-masing. Check list tentang baju, jeans, kasut, aksesori pakaian dengan tali pinggang, stokin, topi/cap/songkok dan sebagainya setiap hari ada di tangan. Mama dengan abahnya sahaja yang masih make dono.

Masa kecil dulu kami tak merasa pergi shopping. Semuanya emak dengan abah yang uruskan. Mak beli kain satu gulung (sekodi?) itulah baju kakak, baju saya dan adik-adik. Sama je coraknya. Sampaikan seluar katok pun sama design! Kasut pulak, abah akan ukur kaki kami dengan tali rafia/tali guni. Masa adik beradik tak ramai, abah jengkal saja dengan jari, tapi bila adik beradik dah ramai, dah tak boleh jengkal, takut tak ingat. Dapat yang terkecil atau terbesar, nasiblah!

Kuih raya hanyalah kerepek pisang, kerepek ubi - pedas dengan manis. Kuih goyang, kuih siput, kuih bahulu, kuih gunting, lidah buaya, penderam, lengkong merah, maruku, rempeyek, tumpi dan sebagainya. Itulah yang kami kunyah, sampai seredaknya! Tak ada biskut.

Nostalgia ini kalau diceritakan pada anak-anak, mereka akan tersengih dan gelak-gelak panjang. "Dulu lain, sekarang lain". Ya, memang dulu lain. Yang dulu itulah yang selalunya menerbitkan emosi betapa syoknya hari raya. Sakit-sakit jari, menghiris ubi/pisang. Melecur jari kena kuali panas. Berparut tangan kena acuan bahulu yang panas. Lenguhnya menggunting tepung. Sakitnya kena minyak panas menggoreng rempeyek/tumpi/maruku.

Kini, sedapnya london almond, rangupnya biskut nestum, lazatnya mama carries dan aneka kuih moden tak sama dengan harum dan lembutnya bangkit santan yang mak buat. Masuk dalam mulut, tunggu sekejap, kemam pelan-pelan dan hilang masuk tekak!

Thursday, October 20, 2005

TAKZIAH DARI HATI
Sampaikan Takziah Untuk PM



SAYA tidak pernah menjangka pertemuan pada 24 April 2004 di kediaman rasmi Perdana Menteri telah arwah simpan dalam fikirannya dan apabila bertemu lagi dua kali selepas itu arwah masih mengenali saya. Mungkin juga kerana Puan Leela Ali, daripada Yayasan Budi Penyayang yang juga merangkap pembantu peribadinya membisik perlahan ke telinga arwah tentang pertemuan-pertemuan sebelum ini. Atau memang arwah pengingat orangnya.

Takdirnya hari ini arwah telah kembali menghadap penciptanya. Janji mereka sudah sampai ke titik akhir dan tiada apa yang boleh dilakukan lagi bagi melewatkan segala janji Allah.

Hujan renyai bumi Kuala Lumpur mengiringi kesedihan seluruh rakyat Malaysia. Hujan air mata juga tumpah perlahan-lahan, basah di mata, basah di hati. Alunan merdu ayat suci Al-Quran menyinggah ke telinga dari semua stesen radio dan televisyen, sungguh meruntun hati saya... sungguh!

"Kak Endon tak sihat, bolehlah bergerak sikit-sikit. Tak boleh aktif. Pak Lah selalu cakap, kalau tak larat buat cara tak larat. Pasal negara biar dia uruskan. Jangan risau. Dia suruh Kak Endon jaga kesihatan..." Itulah antara perbualan kami di meja makan petang hari itu di Seri Perdana.

Kemudian di majlis anjuran Majalah Seri Dewi dan Keluarga sempena Sambutan Hari IBu 2005 di Hotel Nikko, kami duduk semeja lagi. Petang itu saya amat malu nak menjamah makanan yang lazat-lazat di atas meja termasuklah nak meneguk minuman. Di saat pelayan menghidangkan makanan di piring kami, Kak Endon menolak pelawaan itu dengan sopan.

Kemudian arwah segera mengeluarkan dari beg tangannya satu kampit kecil plastik yang berisi hampir 15 pil/kapsul ubat, bermacam saiz dan warna. Ubat itu dicurahkan di atas piring kuih, piring yang sama seperti piring kami yang sudah diisi roti jala, puff dan murtabak. Dia hanya meminta air suam daripada pelayan. Kemudian satu demi satu pil/kapsul berkenaan masuk ke mulutnya. Oh My God... Saya menarik nafas panjang. Sudu dan garfu segera saya letakkan semula!

Banyak yang ingin saya tulis tentang arwah, tapi cukuplah setakat ini dulu. Sesungguhnya kematian itu pedih. Ianya amat sakit bagi yang merasainya. Ianya amat sedih bagi yang kehilangannya. Salam Takziah untuk Pak Lah, ahli keluarganya dan seluruh rakyat Malaysia yang pagi ini telah kehilangan wanita pertama negara.

Setulus AlFatihah untuk Allahyarhamah Datin Seri Endon bte Mariam.
- Kemoterapi Abraxene
- Endon, 64
- Ingin Ramadan & Syawal di Malaysia

Wednesday, October 19, 2005

TUHAN TAK MARAH KITA BERJIMAT...
RAYA kian hampir. Di Shah Alam ini Tesco, Makro, Giant, Plaza Alam Sentral, Plaza PKNS, Plaza Masalam, Shah Alam Convention Center, Kompleks Muhibah dan lain-lain lokasi mula sibuk. Parking susah. Manusia punyalah ramai terutama time lunch. (Eeee... laratnya depa! Letih, panas, berhimpit-himpit, malas cari parking - itulah yang selalu jadi alasan saya tak keluar). Tambah happening kali ini, raya berganda antara Deepavali dan Aidilfitri!

Ya, kenalah berjimat. Selalu saya ingatkan kawan-kawan, jangan main beli saja. Fikir dulu, perlu ke tak? Kalau tak ada benda alah tu raya jugak... tak payahlah tukar langsir, tukar sofa, beli carpet baru, tukar cadar, pinggan mangkuk baru kalau semuanya masih elok. Lagi tak perlu tukar baru, bekas isi kuih. Guna yang sama pun apa salahnya. Baju dan kasut tu lainlah, yang dulu mungkin dah lusuh, atau dah tak muat.

Lepas ni banyak nak pakai duit. Sekolah penggal baru nak buka, mungkin anak kena duduk asrama, nak bayar yuran, beli buku, baju sekolah, kasut dan beg. Tambang bas, tusyen, duit mengaji dan macam-macam lagi yang lebih penting daripada persiapan raya. Raya ni, semangat yang penting. Fizikal ni biasa saja, jiwa dan raga tentang Aidilfitri itulah yang paling bermakna selepas sebulan mengharungi cabaran Ramadan.

Sorry berleter sikit pagi-pagi ni. Selain urusan kerja mungkin saya tambah sibuk dengan persiapan untuk berhijrah sepenuhnya ke Shah Alam Disember nanti. Senang, dekat sikit dengan pejabat, sepelaung dah sampai, sepenanak nasi dah pun punch in, ataupun tak habis sepuntung rokok en.abg saya dah sampai rumah.

Monday, October 17, 2005

"JOM KITA PONTENG NAK?"
SEMALAM terdengar bisik-bisik antara dua beradik lelaki mengenai isu ini. Mereka memang dah tak ada hati nak pergi sekolah sebab katanya dah tak belajar sangat. Lagipun periksa dah tamat. Mereka hanya disuruh bermain, membaca buku cerita (komik?), pergi bilik multimedia, pergi perpustakaan dan selebihnya borak-borak serta main sahaja. Letihlah, nanti terbatal puasa!

"Buat kotorkan baju, nanti penat mama nak basuh baju..." kata si adik. (Eh, selama ni bukan mama yang basuh baju... mesen baju yang tolong basuh dan bilaskan.) Tapi si abang kena pergi jugak. Dia Ketua Pengawas kena tunjukan tauladan yang baik. Lagipun kata-kata aluan/prakata daripada dia untuk buku/majalah sekolah belum siap lagi. Dia dah janji minggu lepasa nak serahkan minggu ini.

Betulkah cikgu-cikgu dah tak mengajar lagi dalam minggu-minggu akhir menjelang cuti sekolah hujung tahun ini? Kalau tak mengajar cikgu buat apa? Kalau cikgu tak mengajar sebab silibus dah tamat dan habis pulak menyemak kertas periksa akhir tahun, saya rasa cikgu kenalah bantu murid-murid yang lembab. Adakan kelas khusus untuk kelas-kelas yang tercorot dan hampir corot.

Daripada tidak buat apa tu (kalau tak ada buat apalah...) cikgu-cikgu boleh bantu anak-anak murid dengan kelas-kelas motivasi tentang kerjaya, tentang cita-cita, tak lah dok tengok cd filem-filem tak menentu di pusat sumber. (Kak Long kata kena bayar seorang seringgit kalau nak tengok cd). Kalau diatur awal, kami boleh bantu dengan mambawa team Dewan Pelajar, Dewan Siswa, Fokus SPM, e-baca ataupun Bintang Kecil untuk tolong memanfatkan kesempatan. FOC beb...

* Kesudahan ceritanya hari ini maka tercatatlah dalam lipatan sejarah yang akan diabadikan dalam rekod buku kedatangan sekolah, bahawa dua beradik lelaki itupun pontenglah, sedang tidur baring tengok tv dan main games di rumah...

Friday, October 14, 2005

REZEKI RAMADAN
AWAL pagi semalam sahabat blogger MBA mengumumkan yang beliau ada berita gembira di blognya, saya tumpang tersenyum dan mengucapkan Alhamdulillah dalam hati (tapi tak tau lagi berita gembira apa tu?). Takdirnya juga awal petang semalam, saya dan seluruh karyawan KKSB pula mendapat berita gembira. Yes, bangunan sebelah sudah menjadi milik kami!

Sudah berbulan-bulan kami mengharapkan bangunan berkenaan menjadi milik KKSB dan Alhamdulillah setelah melalui satu proses lelongan yang amat mendebarkan pagi semalam, akhirnya bangunan itu menjadi hak KKSB. Sesiapa yang pernah ke Kompleks KKSB di Shah Alam pasti perasan dengan bangunan yang terdapat di tepi simpang selepas jambatan kecil tu. Betul-betul di belakang Balai Bomba Seksyen 15, Shah Alam.

Dalam satu taklimat mengenai arah tuju syarikat menempuh 2006 dan tahun mendatang tauke menjanjikan prasarana yang lebih kondusif untuk semua karyawan termasuk tempat letak kereta yang cukup, ada nurseri, ada studio yang lengkap dan sebagainya (ada gym jugaklah...). Dan rasanya itu semua tidak mustahil untuk diadakan di tempat baru berkenaan. Tapi not just wait and see. Kenalah kami berusaha mencapainya dan membantu tauke membayar balik pinjaman bank.

Hari ini juga diharapkan satu lagi berita gembira akan menyusul. Pukul 9.30 - 10.30 pagi ini saya dan team Jabatan Pengarang akan mengadap Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Hj Ahmad Sipon untuk satu presentation di pejabat beliau di Putrajaya. Jika berjaya kami percaya usaha ini pasti akan dapat membantu kerajaan membina sahsiah pelajar yang komited dengan bidang pendidikan dan di masa yang sama dapat membina siasah diri para pelajar.

Oklah saya dah nak berangkat pergi. Doakan kami berjaya ya.

Wednesday, October 12, 2005

"KUALA LUMPUR... I'M COMING!"
SELEPAS Isyak malam tadi kami menerima tetamu dari Alor Setar secara tiba-tiba. Mereka ialah abang ipar saya, anak lelakinya dan menantunya. Jadi apa yang ada sahaja dihidangkan, iaitu lebihan daripada berbuka puasa - roti john, popia... Tapi belum sempat air diteguk, tetamu wanita sudah tak senang duduk, dok tergeliat-geliat. Kenapa?

Memang nampak dia dah hamil sarat. Dah cukup bulan katanya. Rupanya sebaik turun dari teksi dan melangkah masuk ke rumah saya, air ketubannya dah pecah. Aduhai, macamana? Nak ke HUKM yang 5 minit saja dari rumah atau nak ke HKL yang 30 minit dari rumah? Saya tanya, ok lagi ke? Boleh tahan tak agak-agak lagi setengah jam? Dia yang sudah ada anak satu, kata okey. So saya kata dengan en.abg bawa ke HKL sajalah. Sebab kalau di HUKM nanti bayarannya tinggi, itu kalau normal. Kalau operate lagilah bilnya melambung. En.abg pun memandulah membawa si perempuan itu dan suaminya ke HKL

Alhamdulillah sampai di HKL dalam pukul 10 malam dan selamat bersalin pukul 12 malam. Pagi tadi en.abg cerita; yang dia tak pernah langsung alami dub dup dub dap macam malam tadi. Kebetulan jalan sesak di Loke Yew menghala ke Jalan Tun Razak, dia rasa jantungnya macam nak gugur. Dia takut kalau terberanak dalam kereta. Sebabnya dengan isteri sendiri pun dia tak pernah mengalami semua itu. Wad bersalin HKL pun dia tak tau kat mana... nak daftar kat mana. (Errr.. kat tepi padang tu kan?)

Pengalaman menyambut tiga anak kami begitu teratur. Ianya tersusun satu persatu. Contohnya datang buat last checkup, doktor buat pemeriksaan, tengok kalendar dan pilih tarikh. Esoknya di pejabat, saya bereskan semua kerja. Kemas meja. Tinggal pesan itu ini, sebab dah tau bila nak bersalin. So pada tarikh yang ditentukan, bawak segala keperluan, daftar, rehat sekejap di bilik dan tak lama lepas tu masuk dewan bedah.

Itulah kan, perjalanan hidup setiap orang tak sama. Macamlah cik kak malam tadi, datang jauh-jauh dari Alor Setar, terhentak-hentak naik bas, rupanya baby nak keluar di Kuala Lumpur.

Tuesday, October 11, 2005

"SEMALAM EMAK AKU TAK PUASA...!"
SUDAH 7 hari kita dalam Ramadan tahun ini. Pejam celik, tak lama sahaja lagi Ramadan akan berakhir dan kita pasti akan merindui lagi Ramadan tahun-tahun akan datang. Bak tulisan di sebuah pemidang di tepi jalan yang mencatatkan... "Ramadan, datangmu dinanti, pergimu ditangisi." Si bongsu memang tak faham ayat ni jadi sambil tunggu lampu hijau menyala, puaslah menerangkan makna ayat ini pada dia.

Tapi katanya, semalam kawan dia di sekolah cakap yang emak dia tak puasa. Emak dia makan sama-sama dengan si anak. Bila si anak tanya mengapa emak tak puasa, si emak kata "emak laparlah... kita makan senyap-senyap kat dapur, bukan siapa tau. Tak ada orang nampak." Begitulah cerita si Amie, 9 tahun.

Alamak spoillah... Saya kata memang orang tak nampak tapi Tuhan nampak! Si makcik tu pun kalau iya tak boleh puasa janganlah bagi alasan b*nga*g! Kan dah keliru si anak. Malah bukan anak dia saja, anak saya pun jadi keliru! Budak-budak memang tak reti menipu. Dia cakap apa saja yang orang dewasa cakap. Si Amie tu kalau kata tak boleh puasa sebab `datang bulan' dia faham. Dia memang dah tau sebab sudah dijelaskan, tak main selindung-selindung.

Hari ini berbuka puasa di mana? Atas meja ni ada dua tiga jemputan dalam sehari. Nak pergi dengan tak nak pergi saja. Biasanya saya suruh staf-staf solo saja yang pergi. Akak-akak ni sejak dulu lagi dah jenuh bertandang dari satu hotel ke satu hotel, memenuhi jemputan. Sekarang rasanya lebih bermakna berbuka puasa di rumah bersama anak-anak biarpun hidangannya hanyalah sambal goreng ikan bilis dengan ubi kentang sahaja.

Sunday, October 9, 2005

BERAPA DAPAT?
JARI-JARIKU sakit semua, kerna bekerja sehari-hari... Memang kena dera sungguhlah pada hari Sabtu dan Ahad nih! Letih memanglah letih. Kerja di dapur bermula dari jam 9 pagi hingga 2 petang. Lepas tu boleh rest kejap sebelum ke dapur semula untuk hidangan berbuka puasa.

Tapi keletihan itu hilang bila en.abang balik lepas berbuka puasa. Lepas Maghrib, soalan pertama yang diajukan (macam wajib pulak soalan ini) berapa dapat hari ni? Sehari dua ini senyum en.abang lebar sikit so saya pun tambah bersemangat membantu dia bisnes. Esok, emak dan adik ipar akan ambil alih tugas. Harap-harap rasa dan kualiti dapat dipertahankan. Kalau tidak sure kena komplen.

Oh ya, nak cerita sikit tentang bisnes KKSB terkini. Sedar tak sedar, produk Jabatan Majalah sekarang ini sudah menjangkau 33 judul dengan terbitnya Edisi Pengenalan Majalah Laman Impiana. Edisi ini terbit tiga bulan sekali khusus tentang laman. Tentang bunga-bungaan, lanskap, jenis tanah, membaja, menyusun atur pasu, air pancut di taman, menanam sayuran dan segala titik bengik tentang laman. Sememangnya majalah ini menepati kehendak mereka yang suka gardening. Harganya RM10 dengan kemasan perfect binding, cover uv, full color, latest design layout dan merupakan spin-off daripada Majalah Impiana.

Sebenarnya bukan `dah' 33 judul majalah, tapi `baru' sahaja 33 judul majalah. Sebabnya tauke nak 50 judul majalah!

Friday, October 7, 2005

TAK BOLEH! TAK BOLEH! TAK BOLEH!
ENTAH apa mood en.abg tahun ni, dia teringin nak berniaga pulak. Kebetulan dia ada dua pekerja yang sama-sama minat berniaga. So depa plan lepas waktu pejabat nak berniaga di bazar Ramadan. Hari ini dia mulakan bisnes tu. Siapa jadi mangsa memasak? Sayalah! Kebetulan hari ini ambik cuti tahunan, sebab nak uruskan beberapa urusan rumah di Shah Alam, hal api air, hal jumpa kontraktor dan sebagainya.

Plan A saya dah jadi Plan B. So operasi bermula awal pagi. Ke pasar dan balik memasak. Petang tepat pukul 3 dah mula angkat barang-barang ke bazar Ramadan. Saya tak yakin mulanya, boleh ke dia berniaga? Kalau keluarga saya memang dari nenek, sampai pada mak dan kami adik beradik memang kaki berniaga. Apa saja - kain baju, barang kemas, barang makanan, barang elektrik semua pernah kami adik beradik bisneskan. Yes kami pegang kata-kata Nabi Muhammad saw bahawa 90 peratus daripada rezeki datang daripada perniagaan. Sekarang nilah saya dah tak berapa aktif lagi, melainkan berniaga rumah sewa saja. Hahahha.... Tapi kakak di Kuantan masih lagi on bisnesnya dengan aneka barangan hatta dari Vietnam dsbnya.

Ok berbalik pada hal en.abg saya tu, habis berbuka puasa dia dah sampai rumah dan letak depan mata saya berapa yang dia dapat hari ini. Wah, terkejut sungguh! Hampir RM390! Tolak modal, dapat lebih kurang RM200. Kalau macam ni hari-hari, bestlah. Tapi kebetulan hari ni saya cuti. Kalau hari yang saya tak cuti nampaknya mak sayalah yang kena bantu en.abg. Kejap tadi telefon mak, tanya bolehkah? Mak kata ok, no problem. Tapi saya teruja le pulak... kalau saya ambik cuti tahunan sepanjang Ramadan ni boleh tak agaknya? Ah, belum tanya bos, tapi jawapannya saya dah tau. TAK BOLEH! TAK BOLEH! TAK BOLEH!

Thursday, October 6, 2005

REZEKI DUA MANGKUK
ALHAMDULILLAH hari ini sudah masuk Ramadan kedua setelah pengalaman semalam dilalui dengan pelbagai rasa. Sempena Ramadan ini waktu bekerja telah disesuaikan supaya semua staf sempat balik berbuka puasa di rumah. Waktu bekerja bermula 8.15 am - 1.00pm. Kemudian sebelah petang dari 1.45pm - 5.00pm.

Laluan dari Shah Alam ke Federal Highway clear, so dapatlah sampai ke pangkal NPE dekat Sungai Way dalam pukul 5.25pm. Tak apalah bayar tol lebih sikit janji cepat sampai. Dari NPE sampai ke Desa Waterpark 5.35pm. Tapi yang malangnya dari tol Bandar Tun Razak nak sampai ke rumah yang biasanya hanya 5 - 8 minit saja dah jadi 45 minit. Aik... apa dah jadi? Saya berniat nak masak sendiri untuk berbuka puasa tapi nampaknya memanglah tak sempat. Sebelum tu, telefon Kak Long suruh masak nasi saja dulu.

Dalam hangin tu mak telefon, suruh singgah rumah mak dulu sebelum balik rumah. Rezeki dua mangkuk... mak bagi bubur lambuk berperencah ayam dengan nasi goreng kampung! Eh, adik beradik saya yang duduk jauh dari KL, kalau baca entri ni jangan marah ya! (Selebihnya lauk tunjuk saja di bazar Ramadan).

Wednesday, October 5, 2005

RAMADAN ALMUBARAK
KINI Ramadan sudah berada betul-betul di hadapan mata dan terus masuk ke dalam jiwa. Hendaknya Ramadan yang dilalui akan sering mengingatkan kita pada Allah, pada ibadat yang berlipat-ganda pahalanya dan pada mereka yang kurang bernasib baik. Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menjalani ibadat puasa kepada semua pembaca blog ini semoga amalan dan ibadat kita akan diterima Allah dan mendapat berkat daripadaNya. Kecanggihan teknologi kini membolehkan kita menerima ucapan dan doa menerusi sms, hingga jenuh membaca dan membalasnya. Terima kasih diucapkan kepada yang mengirim ucapan dan mana yang tidak sempat dijawab itu, haraplah dapat dimaafkan.

Saya sudah menulis pada sehelai kertas dan dilekat di dinding peti sejuk untuk perhatian Anis, Anas dan Amie. Selain perkara-perkara yang membatalkan puasa yang sudah mereka ketahui dalam pelajaran agama Islam di sekolah, saya tambah lagi beberapa perkara lain yang hukumnya akan mengurangkan pahala puasa. Tidak berbaloi dengan perut lapar, dahaga dan letih seharian.

Antaranya tidak boleh meninggikan suara dan bergaduh sesama adik beradik. Jangan buat sepah, nanti mama penat mengemas, membebel dan itu akan kurangkan pahala puasa. Tidak boleh tengok tv berlebihan, nanti melalaikan. Begitu juga tidak boleh main pc games melampau-lampau dan tidak boleh main ps2 sampai pedih mata. Anis tidak boleh tengok siri import yang seksi menyolok mata.

Habis nak buat apa? Itu tak boleh, ini tak boleh? Soal si bongsu.

Tuesday, October 4, 2005

SELAMATKAH?
SAYA sudah kembali bertugas di pejabat di Shah Alam, setelah tiga hari suntuk dan tiga malam nan suntuk di Kota Bharu, Kelantan. Kepala masih lagi `nenong-nenong' kerana insiden malam tadi. Sejak senja, Kota Bharu dilanda hujan lebat dengan kilat petir dan angin kuat. Flight malam tadi 9.40 dari KB (itupun dah terlewat dari jadual) penuh dengan insiden - kapalterbang terhoyong-hayang menempuh hujan, kilat dan gerombolan awan. Kejap ok kejap tak ok, budak-budak dah mula melalak, terjerit-jerit mengantuk campur takut. Pramugari pun sibuk ke hulu ke hilir, terhoyong-hayang, tersingkap-singkap skirt pendek tu...

Sampai KLIA memang dah lewat. Tunggu hampir 15 minit, bagasi semua penumpang tak muncul-muncul. Penumpang flight selepas itu dari Penang dan Kuching dah pun ambil barang masing-masing. Menguap, letih dan sakit hati ditenteramkan oleh Kak Habsah Hassan yang kebetulan sama flight.

Kesudahnya setelah hampir satu jam tunggu bagasi tak muncul-muncil pengumuman penting dibuat. Kami disuruh balik dulu, bagasi akan dihantar ke rumah, kemudian nanti. Ada insiden - bahan kimia berbahaya (entah siapa punya!) tumpah dalam kargo. Mak datuk... mungkin juga flight malam tadi meletup kat udara kalau bahan kimia berbahaya tu sungguh berkuasa! Bomba dah dipanggil untuk tentukan keadaan dan memang tak akan dapat bagasi malam itu juga.

Dalam perjalanan balik dok buat pelbagai andaian;
- kalau betul bahan kimia tu berkuasa, dah habis dah malam tadi.
- bagasi tu ada berbotol-botol budu kot?
- macamana nak gerenti bagasi saya tu selamat? Jangan-jangan sampai ke rumah orang lain. Sebabnya bagasi saya dua tapi hanya diberi satu tag?
- kalau dapat bagasi pun, jangan-jangan dah lencun kena air paip bomba.
- tak lencun kena air bomba/buih bomba, mungkin dah rosak sebab kena bahan kimia yang tumpah.
- ish... ish... ish...

Hari ni pulak terkejar-kejar sebab ada lawatan Deligasi Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Khaled Norden. Sampai entri ni ditulis, masih lagi terkenang-kenang buah pauh dalam bagasi di KLIA...