Monday, November 1, 2004

TENTANG YVONNE RIDLEY
BERIKUT adalah tulisan bos saya, Fickry Yaacob tentang seorang wanita bernama Yvonne Ridley:

Ahad, 28/11/2004 jam 3.30 petang bertempat di Convention Centre, Berjaya Times Square, Bukit Bintang telah berlangsung satu majlis pertemuan bersama Sister Yvonne Ridley, seorang wartawan bekas tawanan Taliban. Tajuk talk show itu ialah 'From Convict to Convert'. Beliau ialah wartawan Sunday Express, UK dan pada bulan September 2001 beliau telah diseludupkan dari Pakistan ke perbatasan Afgahanistan.

Dalam majlis itu, beliau memberitahu sebagai wartawan akhbar mingguan, tugasnya lebih mencabar. Sudut tulisannya hendaklah lebih daripada apa yang terhidang oleh akhbar harian. Ia mesti berbentuk lebih eksklusif dan mendalam. Itulah yang mendorongnya masuk ke Afghan sungguhpun beberapa hari sebelum itu semua wartawan telah diusir oleh kerajaan Taliban kerana serangan Amerika amat ketara.

Rahsianya terbongkar apabila keldai yang ditunggannya membuat pergerakan melampau menyebabkan kameranya terdedah di hadapan seorang soldadu Taliban di Jalalbad. Sebelum itu beliau biasa menunggang kuda tetapi tidak bermasalah. Dengan senyum beliau berkata dia sebenarnya lebih yakin menaiki keldai berbanding kuda kerana keldai lebih kecil walaupun mempunyai kaki empat macam kuda.

Apabila askar itu mendekatinya, fikirannya menggambarkan betapa kacaknya lelaki muda bermata hijau yang berjanggut lebat itu. Tetapi, ia bertukar menjadi menggerunkan selepas itu. Dia bertemu kembali lelaki itu selepas beliau dibebaskan. Lelaki itu melambai kepadanya.

Dalam pertemuan pada Ahad itu, beliau menceritakan hari demi hari semasa beliau ditahan - bagaimana beliau merindui anak perempuannya yang berumur 9 tahun dan bagaimana permintaannya agar diberi peluang menghubungi anaknya melalui telefon tidak dilayan.

Pada hari pertama ditahan, beliau bertindak mogok lapar. Ketua tukang masak datang bertanyakan sebab: adakah kerana masakannya tidak sedap? Esoknya, beliau teruskan mogok itu. Mereka datang lagi menawarkan makanan sedap-sedap dari hotel kalau dia mahu. Dia berkata dia tidak akan makan walau bagaimana sedap pun makanan kecuali diberi telefon untuk menghubungi keluarganya. Mereka masih enggan. Yvonne bertindak marah lalu meludah pengawal.

Tindakan itu menyebab seorang pegawai wanita datang membawa sebiji telefon bimbit. Pegawai Wanita Taliban itu memberikan setiap orang peluang berhubung dengan orang yang dikehendaki kecuali Yvonne. Tindakan ini ialah untuk membalas perbuatannya meludah pegawai Taliban. Hatinya makin geram. Di dalam sel itu terdapat beberapa tawanan lain termasuklah tiga orang pendakwah Kristian.

Di dalam penjara Yvonne kehairanan kerana diberikan kunci selnya dan bebas bergerak di perkarangan penjara. Dia terfikir bagaimana dia mendapat layanan begitu dari sebuah kerajaan yang termundur dan paling ganas di dunia sedangkan di penjara Abu Gharib, tawanan Iraq dilayan seperti binatang oleh sebuah kerajaan paling maju dan bertemaddun di dunia? Dia juga terkenangkan layan ke atas tawanan di Guantanamao Bay, Cuba.

Setiap hari dia memerhatikan tiga orang tawanan Kristian menyanyi hymn (kalau kita nasyid) diiringi gitar yang dibekalkan Taliban. Kemudian dia mendapat tahu bahawa Taliban berbuat demikian kerana mereka adalah pengikut agama Ahli Kitab. Taliban mengamalkan kebebasan beragama. Mereka hanya ditegah dari memurtadkan orang Islam. Hatinya mula berubah sedikit terhadap Taliban.

Di dalam soal siasat seterusnya pada hari-hari berikut beliau telah ditanya tentang Islam. Hatinya berbelah bagi - kalau kutuk Islam, mungkin kepalanya dipancung. Dia ditanya berminatkah dia untuk masuk Islam? Dia dengan tegas menjawab tidak kerana dia tidak tahu apapun tentang Islam tetapi berjanji akan mengkaji al-Quran jika dibebaskan.

Dia menceritakan peristiwa pada suatu hari semasa dalam tahanan; dia membasuh baju-bajunya termasuklah seluar dalam dan menjemurnya. Perbuatannya mengundang kemarahan pengawal. Mereka meminta dia menurunkan seluar dalam yang dijemur itu. Pegawai Taliban berkata jemuran itu mengotorkan fikiran anggotanya. Dia enggan, lalu meminta mereka mengalihkan pandangan dari melihat seluar dalam itu selama beberapa jam sehinggalah dia menurunkannya apabila kering nanti.

Peristiwa itu menggemparkan penjara kerana Timbalan Menteri Dalam Negeri Afghanistan terpaksa turun mengarahkannya menurunkan jemuran itu atas alasan pegawainya terpaksa memantau pergerakan tahanan. Yvonne mengulas sehingga menggegarkan Dewan Convention Centre, Berjaya Times Square, dengan berkata seluar dalamnya bukanlah berbentuk seksi dan jarang tetapi suatu yang besar, tebal dan labuh. Katanya, sebuah negara yang sedang menghadapi ancaman dibom oleh sebuah negara termaju di dunia, tetapi menterinya lebih memikirkan masalah seluar dalamnya mengotori fikiran askar Taliban. Sepatutnya, kata Yvonne, Amerika hanya perlu mengebarkan seluar-seluar dalam sahaja untuk mengalahkan Taliban dan menawan Afghanistan. "Tentu tentera Taliban akan lari lintang-pukang melihat seluar dalam!" Jelas beliau.




Apabila beliau pulang ke tanahairnya, beliau terpegun apabila menyentuh al-Quran dan mendapati tidak setitik dakwat berbentuk koma atau noktah yang berubah dari teks asalnya. Ia tetap bersih dan murni dari sebarang pindaan selepas lebih dari 1,400 tahun.

Hatinya girang tetapi tindakannya mempelajari Islam tidak disenangi ramai di tempatnya. Ibunya, bagaimanapun riang sebab dia mula berhenti dari meminum arak. Untuk kali pertama semenjak gadis lagi, katanya dia menjadi tenang. Dia tidak memerlukan lelaki atau suami dan menunggu panggilan telefon dari lelaki-lelaki seperti yang diamalnya sebelum ini. Dia pernah berkahwin sebanyak tiga kali. Sekarang berupa seorang janda.

Namun, seorang lelaki, iaitu ulama Abu Hamzah al-Masri mengekori perkembangannya. "Selamat datang ke Islam," kata Abu Hamzah. "Aku belum masuk Islam lagi" jawab Yvonne. Mengikut Yvonne, Abu Hamzah memberitahunya agar memikir baik-baik dan memaklumkan bahawa jika dia memerlu bantuan pendapat, hubungilah mana-mana Muslimat. Dia akan memasuki sebuah keluarga yang terbesar di dunia. Abu Hamzah mengingatkan, "jika tidak, kalaulah esok kamu keluar rumah dan menemui kemalangan yang meragut nyawa kamu, kamu akan langsung ke Neraka!"

Yvonne terkejut kerana panggilan telefon dari Abu Hamzah seorang ulama Britain yang dianggap paling ganas dan mempunyai tangan bercangkuk besi. (Abu Hamzah sekarang berada di dalam tahanan kerajaan Britain di bawah Akta yang sama derngan ISA kita. "Sebenarnya, Abu Hamzah agak manis orangnya," beritahu Yvonne kepada hadhirin dan diikuti dengan gelak ketawa.

Beliau menerangkan bahawa semenjak mengkaji al-Quran beliau mengetahui lebih jelas tentang kedudukan wanita dalam Islam. "Apa yang diperjuang oleh orang barat tentang emansipasi wanita sebenarnya telah pun termaktub di dalam al quran semenjak 1,400 tahun lepas. Benar terdapat tekanan terhadap wanita di negara-negara Islam tetapi saya boleh membawa kamu ke mana-mana sudut di Tyneside dan menunjukkan bahawa di sana juga terdapat keadaan sperti itu. Tekanan adalah berbentuk budaya dan tidak Islamik. Islam menggariskan kedudukan yang amat jelas bahawa wanita mempunyai hak yang sama," jelas beliau kepada hadirin yang bilangan wanitanya dianggar lebih ramai berbanding lelaki.

* Yvonne Ridley dibawa ke Malaysia oleh Pertubuhan al Khadeem, sebuah pertubuhan kebajikan yang upayanya adalah untuk menyemarakkan al-Quran dan Sunnah. Pada hari Rabu ini Yvonne akan berada di pejabat al Khadeem, Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya utk khusus bertemu dengan para remaja.


No comments: