Friday, November 5, 2004

PENGAKUAN 1 - TERKENANG SEMASA DULU
WAKTU kecil aku memang tak sabar menanti datangnya Ramadan. Pertama sebab ustazah kata kalau biasanya kita sembahyang dapat 10 pahala, di bulan Ramadan pahala jadi 100. Ah, itu gula-gula manis ustazah dan aku memang tergoda dengan gula-gula manis itu...

Cerita masa kecil di bulan puasa memang semuanya syok-syok belaka. Dari hal jadi hantu pocong, menakutkan makcik dan pakcik balik sembahyang terawih, sampailah ke peristiwa kena lempar dengan buah bacang. Sebabnya malam tujuh likur dalam satu tahun tu, aku dan kawan lain, dok mengintai Mak Limah Gayong tengah membuang atas batang kelapa kat sungai.

Hamdanlah punya pasal. Kalau tidak pompuan gemuk tu mesti tak tau yang kami tengah syok intai dia. Dia tau aku ni melatah, kemudian ada ke dia cucuk pinggang aku tengah-tengah kami dok syok mengendap tu? Apalagi aku pun melatah sakan. Siap tepuk tampar. Aleh-aleh aku tengok pompuan gemuk tu dah hempap aku kat atas rumput.

"Hey, kau pompuan kan? Tapi perangai sama macam jantan!" Dia menyinga.

Dia jeritkan aku. Lampu suluh dia tuju tepat-tepat ke muka aku. Masa tu aku bayangkan dia beruang panda, tengah menenyeh aku, si kucing siam yang keding, aku memang tak boleh nak meronta-ronta.

"Nanti aku report dengan mak bapak kau!" Air liur dia menyembur kena betul kat lubang hidung aku. Ada sikit-sikit bau sirih.

Kalaulah hal aku mengintai dia membuang tu sampai pada mak bapak aku, memang nahas.... sure esok aku dah tak boleh join si Radhi, si Jamal, si Harun dan si Hamdan keluar malam. Kawan pompuan yang ikut sama dengan aku ialah si Peah, tapi dia ni penakut. Tengok katak bobok pun dia boleh menjerit!

Ramadan juga mengingatkan aku tentang satu peristiwa sadis. Memang haru biru betul tahun tu. Akibatnya aku tak boleh pakai baju kurung dan selendang yang mak aku jahit. Bunga baju kurung tu warna merah, dasarnya warna kuning, memang sesuai dengan kulitku yang melepak (tu kata mak).

Aku jugak tak boleh makan rendang ayam. Tak boleh makan pucuk lemang yang lemak, favorite aku! Aku pun tak boleh nak jalan-jalan keliling kampung, kutip duit raya. (Jauh lagi dah menjerit, assalamualaikum makcik, pakcik... kami datang nak duit raya!) Sebabnya raya tahun tu aku kena masuk hospital! Puncanya aku terpijak kaca dalam perigi buta! Sudahnya aku tak raya langsung tahun tu, asyik menangis sahaja. Sedihlah pulak rasa bila tengok orang-orang yang datang melawat aku semuanya lawa-lawa belaka. Aku saja yang pakai uniform putih!

Semuanya tersengih, bukak bekal yang mereka bawa. Tapi semuanya mak dan abah aku yang sambar dulu. Aku terkebil-kebil memandang, sedapnya nak meleleh air liur! Tapi kata mak, "ayam ni kamu tak boleh makan, nanti gatal. Nanti luka kat kaki tu tak sembuh... Lemang ni kamu tak boleh makan, ada santan nanti luka lambat kering."

Sampai kan kuih bahulu yang jadi favorite aku pun aku tak boleh jamah. Eh tak boleh, kata bapa aku. Kenapa pulak? Buat bahulu mana ada guna santan? "Sebab bahulu ada telur, telur tu boleh buat luka gatal... nanti berair, lambatlah baiknya."

Muncung aku panjang... bak kata orang, sedepa. Aku hanya disua bubur nasi, tawar pulak tu. Lauknya ikan haruan masak sup. Ada lada hitam sikit. Rasa macam orang beranaklah pulak! Sebab aku pernah tengok kakak aku makan lauk macam tulah masa dia beranak dulu.

Kemudian bila depa berdua pergi sembahyang, masa tulah aku tala semua bekal yang dia orang bawa. Siap menjilat-jilat jari. Gatal ke, luka lambat baik ke, lantaklah! Bila mereka datang, aku kata tadi aku pelawa misi makan, kesian depa tak dapat beraya...

Kalau aku ada kuasa dan tahu undang-undang masa tu, memang aku nak saman Lebai Mat Gajah tu. Kenapa dia buat perigi buta yang baru tak bagi tau orang kampung? Biasanyalah orang kampung mesti bagu tau kalau dia ada buat perigi buta baru, takut budak-budak termasuk dalam tu. Satu lagi kenapa dia tak hadang perigi buta dia? Kalaulah kambing termasuk dalam tu, kalaulah lembu termasuk dalam tu, dan yang harunya aku pun termasuk dalam tu!

Mak Limah Gayong datang melawat aku masa petang. "Perangai macam jantan. Padan muka kamu!" Dia bawak ketupat nasi dengan kuah kacang. Kuah kacang Mak Limah memang istimewa. Lain daripada orang lain. Sebabnya kuah kacang tu ada ayam. Ah... memang favorite aku!

Jawapan lumrah jugak aku terima; TAK BOLEH MAKAN! NANTI GATAL!

No comments: