Wednesday, November 3, 2004

INGAT RAMADAN, INGAT ZAKAT
CUKUPLAH semalam saya menyentuh isu mengenai Sharifah Aini, hari ini kita tutuplah dulu kes berkenaan hingga pihak berkuasa menentukan status. Tak usahlah kita panjang-panjangkan lagi kes ini, apalagi di bulan Ramadan yang mulia ini. Sebabnya, walau terdetik sedikitpun niat tidak baik kita pada seseorang, apalagi membuat tuduhan dan sebagainya yang belum tentu sahih akan membuatkan pahala puasa kita cacat. Dahlah, seperti kata rakan-rakan - just wait and see.

Semalam wakil pungutan zakat Selangor datang ke pejabat membuka kaunter kepada staf yang ingin membayar zakat. Ya, bapa saya yang juga amil berkata, di mana kita mendapat rezeki di situlah kita membayar zakatnya. Tetapi ramai juga yang mendapat rezeki di Kuala Lumpur tetapi membayar zakat di kampung halaman dengan menyedari orang kampung lebih memerlukan.

"Jom pergi bayar zakat, kaunter dah bukak." Kata seorang kawan.
"Oh tak apalah, suami saya yang berhak bayak zakat saya anak beranak." Jawab saya.
"Aku ni macam nilah. Memang tiap-tiap tahun kena bayar zakat sendiri. Jangan haraplah suami aku nak bayarkan..." kata si kawan, serius. Kami yang mendengar serba salah nak gelak ke nak kerut dahi. Sebabnya si kawan itu belum lagi bersuami walau usianya sudah awal 40-an. Tapi akhirnya ketawa kami pecah berderai!

Nak tanya ni, mana wang zakat diagihkan? Sebenarnya asnaf yang lapan-fakir, miskin, amil, mualaf, hamba, orang yang berhutang, fisabilillah dan musafir-sentiasa mengharapkan sumbangan berkenaan. Mengapa masih ramai orang Islam yang miskin walaupun mereka layak menerima wang zakat? Berapa banyak wang yang benar-benar sampai kepada lapan asnaf atau golongan penerima zakat itu? Bagaimana pula Baitulmal menguruskan baki wang yang tidak diagihkan - dileburkan atau disimpan begitu sahaja?

Soalan ini berlegar dalam kepala kebanyakan kita terutama bila Ramadan. Tapi bila Syawal menjelma, kita bersuka ria maka soalan ini perlahan-lahan dilupakan, sampai tahun depan baru kita ingat semula. Dan kita terus hidup, mereka yang malang terus malang, menanti dan menanti hak mereka... Errr, anda dah bayar zakat fitrah ke belum?

No comments: