Monday, November 29, 2004

BO LAYAN LA...
"APA yang you ada untuk I?"
Saya gamam apabila seseorang menangis di depan saya dan bertanya begitu. Dia seorang gadis, comel dan bergaya. Tetapi pertanyaan daripada bibir seorang yang cantik lawa dan berduit begitu menimbulkan rasa sakit dalam kepala.

"Eh, kamu kaya. Kamu boleh dapat apa yang kamu mahu. Malah kamu boleh menguasai ramai lelaki dan itu telahpun kamu buktikan selama ini. So what?" Soalan dia tidak saya jawab tetapi sebaliknya saya lontarkan soalan semula kepadanya.

Saya tidak perlu menyembunyikan rasa kasihan terhadapnya. Sudah banyak kali saya kasihaninya tetapi hasilnya serupa. Sebab itulah sudah banyak kali dia datang `mengadap' saya. Kalau dia dengar nasihat saya kali pertama tiga tahun dulu, saya rasa dia tak akan datang berjumpa saya lagi, menangis dan minta nasihat.

"Saya tak ada apa-apa untuk you. Semuanya saya dah beri. Sorry."
"Off course... thanks. Give me a call sometime... itu pun dah lebih daripada cukup," rayunya.

Okey, saya angguk. Just a call. Nak membebel beri nasihat, sorry. Banyak lagi kerja lain yang saya kena buat. Sebenarnya ramai orang yang mahukan nasihat... tetapi liat nak mengikut nasihat. Kemudian bila gagal, datang semula minta nasihat. Buat hal semula... dan datang semula minta nasihat. Haruskah orang begini kita layan?

Saturday, November 27, 2004

BRO RONN TAK PUAS!
Di kafenya tertulis:
Baru selesai membaca.
Rasa mahu kuulang,
kerana ada semacam kepuasan yang tak puas.

Thursday, November 25, 2004

Muffin Panas!

MACAM pisang goreng panas. Macam muffin panas. Tak sudah-sudah pasal gambar xxx yang tak best tu. Cerita lama dan gambar lama tahun 1999, dibongkar semula. Si Linda & Edry pun tak senang duduk.

Nanti lepas ni mesti si Siti pulak kena lagi sekali. Bukan Linda, Edry dengan Siti saja, kalau kita pun kena memang tak tau nak letak muka kat mana! Mujur Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, segera menanganinya.

Tahun 1999 polis mengesahkan gambar berkenaan adalah palsu yang menggunakan teknik pertindihan (super impose). Haa, inilah bahayanya...! Tapi kalau betullah itu teknik super impose, lainlah cerita. Apa jadi pulak yang memang gambar betul.

Gambar xxx yang dilakukan sendiri. Diedarkan sendiri. Terutama kepada kami orang akhbar dan majalah ni? Memang gambar tu tak boleh disiarkan, jadi tontonan kami saja. Engkau pandang aku, aku pandang kau. Mulut pun cepat saja mengata itu ini.

Kesudahnya yang buat dapat dosa, kita yang tengok, yang mengomen pun dapat dosa! Moral ceritanya, kena ingat balik ajaran tok guru kita tentang antara soalan Mungkar Nangkir; siapa nama kamu... apa agama kamu... Oh Tuhan, ampunkan hamba mu ini jika ini adalah fitnah dunia maya.

Wednesday, November 24, 2004

DIALOG MELAMPAU
WALAUPUN banyak pilihan tetapi kebiasaannya saya suka untuk memilih apa yang saya sudah biasa dengannya. Contoh, jika ke supermarket, saya suka ke tempat yang sama setiap kali ingin berbelanja barang-barang dapur. Sebabnya saya dah tahu susun atur barangan, mudah mendapatkannya dengan kadar segera. Tidak perlu terpusing-pusing mencari di mana garam, di mana belacan.

Begitu juga jika ke pasar malam, walau pun ramai yang menjual nasi ayam, saya akan membeli pada orang sama setiap kali saya teringin untuk makan nasi ayam. Hal yang serupa juga kalau saya mahu ke shoping kompleks, saya tetap akan ke shoping kompleks yang saya dah arif terlebih dahulu sebelum beralih ke shoping kompleks yang lain jika apa yang saya mahu tidak ada di tempat pertama tadi.

Sebenarnya kesetiaan kita terhadap sesuatu memang hak kita dan kita rasa itu bagaikan kepunyaan kita. Ia dah jadi semacam law dalam diri. Bagaimanapun apabila `hak eksklusif' saya itu mula dicabul saya akan rasa marah. Contoh - pelayan di kedai berkenaan bersikap kasar dengan kita sedangkan kita sudah menjadi pelanggan kedai itu lebih lima tahun. Atau makcik jual nasi ayam itu bermasam muka pula pada hari itu. Kita mula tertanya-tanya, eh apa salah aku...

Macamlah semalam... pekerja stesen minyak yang biasa saya langgan berkata, "akak, sini bukan kedai mamak... mana ada duit kecik pagi-pagi ni..." apabila saya hulur duit RM50 untuk mengisi minyak RM30. Eh, mata saya mula terbeliak! Saya masuk bilik pengurus dan komplen. Nasib baik dia mintak maaf sebab si polan di kaunter itu baru bekerja di situ dua minggu. Oklah saya cakap baik-baik dengan si polan, "adik... walaupun satu sen, duit pelanggan itulah nanti yang nak bayar gaji awak untuk hari ini" dan saya blah...

Tuesday, November 23, 2004

ELOK LARI SEBELUM DICEKIK
SAYA amat bersimpati dengan kisah seorang isteri yang terpaksa lari dari rumah kerana bimbang keselamatan nyawanya. (Suaminya dakwa si isteri ada teman lelaki). Malah suaminya pernah mengancam mahu membunuhnya! Tetapi walaupun dia berjaya menyelamatkan dirinya daripada dibunuh suami tetapi dia gagal menyelamatkan nyawa 3 anaknya. Ketiga-tiga anaknya mati dicekik oleh bapa mereka sendiri. Dia berjanji dengan anak-anak mahu datang semula mengambil mereka tetapi takdirnya dia datang mengambil mayat anak-anaknya!

Lebih rasa kecewa apabila diberitahu bahawa dia telah membuat 28 laporan polis tentang ugutan dan deraan suami terhadapnya. Tetapi tiada sebarang tindakan diambil. Apakah tugas polis hanya `ambil report' saja? Sebelum ini di Balakong seorang bapa telah membunuh tiga anaknya kerana kononnya kecewa apabila isterinya keluar dari rumah dan mereka dalam proses bercerai. Aduhai... sekarang ni semakin ramai yang sakit mental. Talian bantuan untuk masalah mental, sila e-mail kepada: mhm@quantumcomp.com

Monday, November 22, 2004

PIKUL TANGGUNGJAWAB
SELAMAT kembali bertugas, selamat menunaikan segala tanggungajawab yang tergendala hampir sepuluh hari. Selamat berjuang dengan masa, dengan kesibukan, dengan keletihan minda dan fizikal. Kenapa bila bercuti panjang, kita rasa boring dan alangkah seronoknya bekerja; tetapi bila masa mahu memulakan kerja, kita rasa alamak, macam nak sambung cutilah pula! Tapi itu rasa pagi tadi masa nak bangun tidur... sekarang dah boleh ngam!

Sunday, November 21, 2004

SAYA tak sempat menghantar artikel utk GT2 yang diusahakan oleh GJ hinggalah seminggu sebelum bercuti raya seseorang meletakkan naskah itu di atas meja (thanks Pupe & TR atas ingatan). Sepanjang cuti saya khatam semua tulisan... bagus. Kini GJ mempromosi pula Gathering GJ. Saya amat berharap dapat turut serta. Walaupun jadi AJK, saya langsung tak berkesempatan nak joint meeting/discussion. Bagaimanapun saya tetap akan bagi support kepada GJ jika diperlukan (Wakdin jangan risau, semua dah beres). Ok, sesiapa nak joint, dah bolehlah submit nama.

Saturday, November 20, 2004

OPEN HOUSE


SEKEJAP sahaja masa berlari, Isnin dah mula bekerja. Hari ini memenuhi beberapa undangan open house di rumah kawan-kawan dan rakan bloggers. Dapur tutuplah nampaknya, bolehlah tauke pergi berjalan-jalan berhari raya ke rumah sanak saudara dan teman-teman. Nampaknya tak boleh makan sesukanya, memang kena kawal nafsu makan. Kalau tidak terkejutlah perut setelah sebulan perjalanan `mesen' agak terkawal. Err... anda ke mana hari ini?

Thursday, November 18, 2004

MOOD HARI RAYA
SAYA masih bercuti. Suami mempelawa beberapa orang lagi kenalannya ke rumah tengahari tadi. Dari pejabat mereka terus ke rumah dengan perut kosong. Menu saya? Ala kadar sahaja, asalkan mereka kenyang dan puas hati. He hehe, nampaknya masih tak boleh tutup kedai ;-)

Tuesday, November 16, 2004

TIGA HARI RAYA
SAYA masih lagi belum menyentuh draf novel. Hari ini nampaknya masih gagal kerana sebentar lagi akan ke rumah adik kerana lunch, open house. Petang ini akan ke rumah kawan suami pula juga kerana open house. Malam pun ada jemputan. So... saya hanya menjeling saja draf novel yang kaku di meja. Sedihnya!

Monday, November 15, 2004

DUA HARI RAYA
KAMI tidak ke mana-mana, hanya di rumah menanti kawan-kawan tiba. Hari ini saya memasak mi hoon sup untuk dihidangkan kepada tetamu. Mi hoon sup ini adalah resipi utara. Mi hoonnya diwarnakan warna kuning (serbuk kunyit), ada sambal pedas (kicap dimasak dengan cili), lobak asin, daun sup, tahu goreng, cili potong dan untuk tambah selera, ada bawang goreng. Kuahnya ialah sup daging - campuran tulang, urat-urat, paru atau dipanggil juga daging tetel. Ramai juga yang datang termasuk saudara mara dan jiran-jiran, letih jugalah melayan. Saya tertidur awal kerana keletihan.



Trend berinai di kampung suami diteruskan di Kuala Lumpur. Inai kebiasaan dipakai di malam hari raya, anak beranak berkumpul untuk memakai inai. He he he, anak dara saya sibuk menumbuk inai. Saya cuma menempeknya saja ke jari. Tengok jari saya ya, jangan jeling cincin dan gelang saya. Jari Amie, berinai penuh. Saya hanya di kuku sahaja.

Sunday, November 14, 2004

HARI RAYA
WALAUPUN tidur agak lewat malam semalam kerana membuat persiapan hari raya, kami bangun awal pagi ini. Anak-anak sibuk mandi sunat hari raya dan bersiap untuk ke masjid. Saya memanaskan lauk pauk, ketupat palas dan segala urusan dapur. Siap semuanya kami ke rumah emak saya. Saya membawa hidangan - rendang Kedah dan ketupat palas. Kakak dari Pahang, abang dari Johor sudah pun tiba sejak semalam. Ya, riuh rendahlah rumah emak dengan cucu-cucunya. Itulah yang saya missed kalau berhari raya di kampung suami di Kedah. Kami bermaafan semuanya, bergambar mengikut keluarga dan kategori.

Lepas sembahyang raya (surau betuul-betul depan rumah mak) kami melayan tetamu yanga datang terus dari surau. Ramai. Kemudian barulah kami ke rumah jiran-jiran. Petang, dalam perjalanan balik ke kampung di Kelang, kami empat kereta singgah di rumah Bos saya di Kelana Jaya. Wah, ramainya.... hampir seribu orang. Kabanyakannya staf yang tak beraya di kampung dan client terdekat. Hehehe, walau di pejabat dah dapat duit raya, di sini dapat lagi duit raya....!

Thursday, November 11, 2004

SALAM AIDILFITRI



Sempena Syawal yang bakal menjelma saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Menyambut Aidilfitri kepada semua pengunjung, yang saban hari sentiasa menceriakan hari saya. Di kesempatan ini juga saya memohon ampun maaf sekiranya selama kita berhubungan, terdapat salah silap yang dilakukan sama ada secara disedari atau tidak. Berhati-hati di jalanraya kerana kita masih ingin berjumpa selepas Aidilfitri nanti. Semoga Syawal ini membawa berkat untuk semua.

* Saya mungkin tidak dapat mengemaskini blog ini untuk beberapa hari memandangkan cuti panjang sempena sambutan Aidilfitri ini. Sekian, salam

Wednesday, November 10, 2004

ANUGERAH
SEMALAM saya mengambil cuti untuk memberi sokongan moral kepada anak kedua saya, Anas Iqbal yang berjaya mengekalkan kecemerlangan tahun lalu. Di majlis Anugerah Cemerlang Pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Tasik, Anas dari Darjah 5 Zamrud mendapat:

- Hadiah tempat pertama dalam kelas.
- Hadiah subjek terbaik - Kajian Tempatan.
- Hadiah kedudukan no. 1 keseluruhan kelas Darjah 5.
- Sijil Pengawas.


Anas bersama piala dan sijil.

Sabtu lalu, Anas diumum mendapat tempat ke 2 dalam Kelas 5 Cempaka di Sekolah Rendah Agama Bandar Tun Razak. Dalam Anugerah Sukan Tahunan bulan lalu, Anas mengekalkan kejuaraan tiga tahun berturut-turut dalam sukan lontar peluru. Mintak-mintak tahun penentuan 2005, Anas akan terus cemerlang. Keputusan Kak Long juga sudah diumumkan. Dia mendapat tempat ke 3. Si bongsu, dia kata dia dapat sikit saja - 11. Dia kata lagi, kawan dia dapat banyak - 25. Nampaknya tahun hadapan memang tahun perjuangan bagi Anas & Kak Long. Sebagai emak, saya akan terus memberi dorongan semangat. Insya Allah.

Saturday, November 6, 2004

JUMAAT YANG PEDIH
SEMALAM memang suatu tragedi. Tersangkut dalam banjir kilat merupakan insiden yang tak pernah sekalipun saya lalu selama berpuluh tahun memandu. Tetapi segalanya terjadi semalam apabila saya tersangkut lebih tiga jam dari Kesas Highway, menuju ke Sungai Besi. Biasanya dari Shah Alam ke rumah saya mengambil masa hanya 40 minit sahaja untuk sampai, masih sempat untuk memasak hidangan berbuka puasa.

Hujan lebat mencurah turun di sepanjang jalan dari Shah Alam ke Sungai Besi, diselang-seli dengan kilat petir dan angin kuat. Dek kerana banjir kilat di stesen LRT Sungai Besi, Encik Polis menghalakan semua kereta ke Seri Kembangan. Khabarnya air naik hampir ke paras pinggang di tempat berkenaan. Memang pun, akhbar hari ini melaporkan, ramai yang terpaksa dipindahkan ke dewan orang ramai.

Fuyoooo.. sudahlah lenguh kaki kerana sesak di Kesas Highway terpaksa pula menukar laluan ke Seri Kembangan. Ini memanglah satu trauma. Dari Seri Kembangan terpaksa mematah hala balik semula ke Salak South bunyinya dekat saja tapi makan masa hampir satu jam. Sorry Encik Polis, semalam saya buat U Turn di tengah-tengah highway Besraya. Kebetulan ada tempat cilok. Saya fikir saya saja yang buat dajal tapi pemandu dua tiga kereta di belakang saya pun ikut sama. Ha hahaa... semalam memang kerja saya potong q sahaja!

Anak-anak di rumah berkali-kali telefon bila mama nak sampai, kami nak makan apa berbuka nanti? Sedihnya dengan suara di bongsu, 8 tahun merengek takutkan kilat dan petir. (Dia ni belum pernah tinggal sehari pun puasa.) Ok, saya suruh Kak Long goreng telur dulu, makan dengan kicap. Goreng papedom jugak, buat bukak selera makan. Kebetulan abahnya tak ada, ke Alor Setar.

Azan Maghrib bergema tatkala saya di Plaza Tol Seri Kembangan. Apa yang saya jamah ialah kuih raya kegemaran anak-anak - Tart Nanas dan London Almond yang dibeli daripada DJ RMKL, Irwan Shah. Habis jugak dua lapis! Tanpa air untuk minum, saya hampir tercekik. Alamak... air mata menitis sama lebatnya dengan air hujan yang mencurah di luar kereta...

Friday, November 5, 2004

PENGAKUAN 1 - TERKENANG SEMASA DULU
WAKTU kecil aku memang tak sabar menanti datangnya Ramadan. Pertama sebab ustazah kata kalau biasanya kita sembahyang dapat 10 pahala, di bulan Ramadan pahala jadi 100. Ah, itu gula-gula manis ustazah dan aku memang tergoda dengan gula-gula manis itu...

Cerita masa kecil di bulan puasa memang semuanya syok-syok belaka. Dari hal jadi hantu pocong, menakutkan makcik dan pakcik balik sembahyang terawih, sampailah ke peristiwa kena lempar dengan buah bacang. Sebabnya malam tujuh likur dalam satu tahun tu, aku dan kawan lain, dok mengintai Mak Limah Gayong tengah membuang atas batang kelapa kat sungai.

Hamdanlah punya pasal. Kalau tidak pompuan gemuk tu mesti tak tau yang kami tengah syok intai dia. Dia tau aku ni melatah, kemudian ada ke dia cucuk pinggang aku tengah-tengah kami dok syok mengendap tu? Apalagi aku pun melatah sakan. Siap tepuk tampar. Aleh-aleh aku tengok pompuan gemuk tu dah hempap aku kat atas rumput.

"Hey, kau pompuan kan? Tapi perangai sama macam jantan!" Dia menyinga.

Dia jeritkan aku. Lampu suluh dia tuju tepat-tepat ke muka aku. Masa tu aku bayangkan dia beruang panda, tengah menenyeh aku, si kucing siam yang keding, aku memang tak boleh nak meronta-ronta.

"Nanti aku report dengan mak bapak kau!" Air liur dia menyembur kena betul kat lubang hidung aku. Ada sikit-sikit bau sirih.

Kalaulah hal aku mengintai dia membuang tu sampai pada mak bapak aku, memang nahas.... sure esok aku dah tak boleh join si Radhi, si Jamal, si Harun dan si Hamdan keluar malam. Kawan pompuan yang ikut sama dengan aku ialah si Peah, tapi dia ni penakut. Tengok katak bobok pun dia boleh menjerit!

Ramadan juga mengingatkan aku tentang satu peristiwa sadis. Memang haru biru betul tahun tu. Akibatnya aku tak boleh pakai baju kurung dan selendang yang mak aku jahit. Bunga baju kurung tu warna merah, dasarnya warna kuning, memang sesuai dengan kulitku yang melepak (tu kata mak).

Aku jugak tak boleh makan rendang ayam. Tak boleh makan pucuk lemang yang lemak, favorite aku! Aku pun tak boleh nak jalan-jalan keliling kampung, kutip duit raya. (Jauh lagi dah menjerit, assalamualaikum makcik, pakcik... kami datang nak duit raya!) Sebabnya raya tahun tu aku kena masuk hospital! Puncanya aku terpijak kaca dalam perigi buta! Sudahnya aku tak raya langsung tahun tu, asyik menangis sahaja. Sedihlah pulak rasa bila tengok orang-orang yang datang melawat aku semuanya lawa-lawa belaka. Aku saja yang pakai uniform putih!

Semuanya tersengih, bukak bekal yang mereka bawa. Tapi semuanya mak dan abah aku yang sambar dulu. Aku terkebil-kebil memandang, sedapnya nak meleleh air liur! Tapi kata mak, "ayam ni kamu tak boleh makan, nanti gatal. Nanti luka kat kaki tu tak sembuh... Lemang ni kamu tak boleh makan, ada santan nanti luka lambat kering."

Sampai kan kuih bahulu yang jadi favorite aku pun aku tak boleh jamah. Eh tak boleh, kata bapa aku. Kenapa pulak? Buat bahulu mana ada guna santan? "Sebab bahulu ada telur, telur tu boleh buat luka gatal... nanti berair, lambatlah baiknya."

Muncung aku panjang... bak kata orang, sedepa. Aku hanya disua bubur nasi, tawar pulak tu. Lauknya ikan haruan masak sup. Ada lada hitam sikit. Rasa macam orang beranaklah pulak! Sebab aku pernah tengok kakak aku makan lauk macam tulah masa dia beranak dulu.

Kemudian bila depa berdua pergi sembahyang, masa tulah aku tala semua bekal yang dia orang bawa. Siap menjilat-jilat jari. Gatal ke, luka lambat baik ke, lantaklah! Bila mereka datang, aku kata tadi aku pelawa misi makan, kesian depa tak dapat beraya...

Kalau aku ada kuasa dan tahu undang-undang masa tu, memang aku nak saman Lebai Mat Gajah tu. Kenapa dia buat perigi buta yang baru tak bagi tau orang kampung? Biasanyalah orang kampung mesti bagu tau kalau dia ada buat perigi buta baru, takut budak-budak termasuk dalam tu. Satu lagi kenapa dia tak hadang perigi buta dia? Kalaulah kambing termasuk dalam tu, kalaulah lembu termasuk dalam tu, dan yang harunya aku pun termasuk dalam tu!

Mak Limah Gayong datang melawat aku masa petang. "Perangai macam jantan. Padan muka kamu!" Dia bawak ketupat nasi dengan kuah kacang. Kuah kacang Mak Limah memang istimewa. Lain daripada orang lain. Sebabnya kuah kacang tu ada ayam. Ah... memang favorite aku!

Jawapan lumrah jugak aku terima; TAK BOLEH MAKAN! NANTI GATAL!

Thursday, November 4, 2004

`KESIBUKAN BERSANGATAN'
NAMPAKNYA memang dah tak boleh mengelak lagi! Kesibukan mula merantai! Lagi nak dekat raya lagilah haru. Majalah yang mingguan paling teruk kerana perlu disiapkan sebulan lebih awal. Majalah yang bulanan semuanya mesti siap sebelum cuti hari raya. Inilah kesannya bila cuti melebihi seminggu. Tapi tak mengapalah, asalkan kerja dalam enjoy, tak stres. Senyum sentiasa di bibir apalagi bekerja dalam dendangan lagu-lagu hari raya. Suara P. Ramlee dengan Dendang Perantaunya amat syahdu di telinga!

Saya bersama anak-anak sedang dalam peringkat kompromi dengan suami - kalau boleh saya dan anak-anak nak berhari raya di Kuala Lumpur tahun ini. Hehehe, harap-harap proposal kami diterima oleh suami. Kah kah kah... bukan apa, sejak berkahwin baru dua kali merasa beraya dengan mak bapak saya di KL. Selebihnya saya wajib balik kampung suami di Alor Star.

Tu yang bila arwah mak mentua kata di pagi hari raya, di saat takbir raya bergema; "Janganlah menangis nuuu, sana mak sini pun mak jugak." Tapi bila dia cakap macam tu, lagilah saya meraung :-(

Wednesday, November 3, 2004

INGAT RAMADAN, INGAT ZAKAT
CUKUPLAH semalam saya menyentuh isu mengenai Sharifah Aini, hari ini kita tutuplah dulu kes berkenaan hingga pihak berkuasa menentukan status. Tak usahlah kita panjang-panjangkan lagi kes ini, apalagi di bulan Ramadan yang mulia ini. Sebabnya, walau terdetik sedikitpun niat tidak baik kita pada seseorang, apalagi membuat tuduhan dan sebagainya yang belum tentu sahih akan membuatkan pahala puasa kita cacat. Dahlah, seperti kata rakan-rakan - just wait and see.

Semalam wakil pungutan zakat Selangor datang ke pejabat membuka kaunter kepada staf yang ingin membayar zakat. Ya, bapa saya yang juga amil berkata, di mana kita mendapat rezeki di situlah kita membayar zakatnya. Tetapi ramai juga yang mendapat rezeki di Kuala Lumpur tetapi membayar zakat di kampung halaman dengan menyedari orang kampung lebih memerlukan.

"Jom pergi bayar zakat, kaunter dah bukak." Kata seorang kawan.
"Oh tak apalah, suami saya yang berhak bayak zakat saya anak beranak." Jawab saya.
"Aku ni macam nilah. Memang tiap-tiap tahun kena bayar zakat sendiri. Jangan haraplah suami aku nak bayarkan..." kata si kawan, serius. Kami yang mendengar serba salah nak gelak ke nak kerut dahi. Sebabnya si kawan itu belum lagi bersuami walau usianya sudah awal 40-an. Tapi akhirnya ketawa kami pecah berderai!

Nak tanya ni, mana wang zakat diagihkan? Sebenarnya asnaf yang lapan-fakir, miskin, amil, mualaf, hamba, orang yang berhutang, fisabilillah dan musafir-sentiasa mengharapkan sumbangan berkenaan. Mengapa masih ramai orang Islam yang miskin walaupun mereka layak menerima wang zakat? Berapa banyak wang yang benar-benar sampai kepada lapan asnaf atau golongan penerima zakat itu? Bagaimana pula Baitulmal menguruskan baki wang yang tidak diagihkan - dileburkan atau disimpan begitu sahaja?

Soalan ini berlegar dalam kepala kebanyakan kita terutama bila Ramadan. Tapi bila Syawal menjelma, kita bersuka ria maka soalan ini perlahan-lahan dilupakan, sampai tahun depan baru kita ingat semula. Dan kita terus hidup, mereka yang malang terus malang, menanti dan menanti hak mereka... Errr, anda dah bayar zakat fitrah ke belum?

Tuesday, November 2, 2004

`OFF RECORD'
MELANGKAH di lorong-lorong mewah menuju ke ballroom di Hotel Hilton KL Sentral boleh memeningkan kepala. Bagi saya yang baru pertama kali ke sana, agak haru jugak. Dari lif parking ke lif main hotel, mak datuk jauhnya. Hotel gah ini berkongsi parking pula dengan Hotel Le Meridean. Silap lorong, dah ke hotel sebelah satu lagi tu. Demi Fina, Pembantu Khas Menteri, dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang mewakili Kak Ijat datang ke pejabat menjemput berbuka puasa bersama, saya gagahkan juga untuk hadir.

Malam itu kebetulan duduk di meja TKSU Kementerian dan wartawan akhbar lain. Saya bersebelahan dengan Ku Seman, jiran dekat rumah, jiran sama karier. Lagilah ligat kami berceloteh, apalagi turut serta sebelah kiri saya Aliya HM Jally dari TV3 (teman sejak di USM 20 th lalu) dan Ras Adiba Radzi. Dib cantik malam tu, mukanya putih bersih, langsung tanpa mekap. Rambut panjang lurus dilepaskan begitu sahaja. Dib amat berdikari. Saya nak ambilkan minuman dia tak benarkan. Dia boleh buat sendiri katanya. (Saya bayangkan sebelum itu Dib menempuh jalan sesak dari Bangsar, keluar dari kereta, mengusung turun kerusi roda dari keretanya, menolak ke lif, dari lif parking ke lif hotel. Agak jauh juga dari lif ke ballroom dan akhirnya duduk sama semeja dengan kami).

Ku Seman dihujani dengan kes sensasinya bersama Sharifah Aini pasal sms tu. Dib dengan kes sensasi jugak pasal kononnya dia buat-buat lumpuh. So macam-macam hal kami bualkan malam itu. Tetapi kata Ku Seman, kesimpulannya berani buat berani tanggung. Kata Dib pulak, "saya rela tanggung apa saja tanggapan orang. Yes, saya berani kerana kebenaran."

Ini cerita minggu lepas yang mana kata Ku Seman antaranya, "off record ya..." Tapi hari ini dah tak off record Ku!

Monday, November 1, 2004

TENTANG YVONNE RIDLEY
BERIKUT adalah tulisan bos saya, Fickry Yaacob tentang seorang wanita bernama Yvonne Ridley:

Ahad, 28/11/2004 jam 3.30 petang bertempat di Convention Centre, Berjaya Times Square, Bukit Bintang telah berlangsung satu majlis pertemuan bersama Sister Yvonne Ridley, seorang wartawan bekas tawanan Taliban. Tajuk talk show itu ialah 'From Convict to Convert'. Beliau ialah wartawan Sunday Express, UK dan pada bulan September 2001 beliau telah diseludupkan dari Pakistan ke perbatasan Afgahanistan.

Dalam majlis itu, beliau memberitahu sebagai wartawan akhbar mingguan, tugasnya lebih mencabar. Sudut tulisannya hendaklah lebih daripada apa yang terhidang oleh akhbar harian. Ia mesti berbentuk lebih eksklusif dan mendalam. Itulah yang mendorongnya masuk ke Afghan sungguhpun beberapa hari sebelum itu semua wartawan telah diusir oleh kerajaan Taliban kerana serangan Amerika amat ketara.

Rahsianya terbongkar apabila keldai yang ditunggannya membuat pergerakan melampau menyebabkan kameranya terdedah di hadapan seorang soldadu Taliban di Jalalbad. Sebelum itu beliau biasa menunggang kuda tetapi tidak bermasalah. Dengan senyum beliau berkata dia sebenarnya lebih yakin menaiki keldai berbanding kuda kerana keldai lebih kecil walaupun mempunyai kaki empat macam kuda.

Apabila askar itu mendekatinya, fikirannya menggambarkan betapa kacaknya lelaki muda bermata hijau yang berjanggut lebat itu. Tetapi, ia bertukar menjadi menggerunkan selepas itu. Dia bertemu kembali lelaki itu selepas beliau dibebaskan. Lelaki itu melambai kepadanya.

Dalam pertemuan pada Ahad itu, beliau menceritakan hari demi hari semasa beliau ditahan - bagaimana beliau merindui anak perempuannya yang berumur 9 tahun dan bagaimana permintaannya agar diberi peluang menghubungi anaknya melalui telefon tidak dilayan.

Pada hari pertama ditahan, beliau bertindak mogok lapar. Ketua tukang masak datang bertanyakan sebab: adakah kerana masakannya tidak sedap? Esoknya, beliau teruskan mogok itu. Mereka datang lagi menawarkan makanan sedap-sedap dari hotel kalau dia mahu. Dia berkata dia tidak akan makan walau bagaimana sedap pun makanan kecuali diberi telefon untuk menghubungi keluarganya. Mereka masih enggan. Yvonne bertindak marah lalu meludah pengawal.

Tindakan itu menyebab seorang pegawai wanita datang membawa sebiji telefon bimbit. Pegawai Wanita Taliban itu memberikan setiap orang peluang berhubung dengan orang yang dikehendaki kecuali Yvonne. Tindakan ini ialah untuk membalas perbuatannya meludah pegawai Taliban. Hatinya makin geram. Di dalam sel itu terdapat beberapa tawanan lain termasuklah tiga orang pendakwah Kristian.

Di dalam penjara Yvonne kehairanan kerana diberikan kunci selnya dan bebas bergerak di perkarangan penjara. Dia terfikir bagaimana dia mendapat layanan begitu dari sebuah kerajaan yang termundur dan paling ganas di dunia sedangkan di penjara Abu Gharib, tawanan Iraq dilayan seperti binatang oleh sebuah kerajaan paling maju dan bertemaddun di dunia? Dia juga terkenangkan layan ke atas tawanan di Guantanamao Bay, Cuba.

Setiap hari dia memerhatikan tiga orang tawanan Kristian menyanyi hymn (kalau kita nasyid) diiringi gitar yang dibekalkan Taliban. Kemudian dia mendapat tahu bahawa Taliban berbuat demikian kerana mereka adalah pengikut agama Ahli Kitab. Taliban mengamalkan kebebasan beragama. Mereka hanya ditegah dari memurtadkan orang Islam. Hatinya mula berubah sedikit terhadap Taliban.

Di dalam soal siasat seterusnya pada hari-hari berikut beliau telah ditanya tentang Islam. Hatinya berbelah bagi - kalau kutuk Islam, mungkin kepalanya dipancung. Dia ditanya berminatkah dia untuk masuk Islam? Dia dengan tegas menjawab tidak kerana dia tidak tahu apapun tentang Islam tetapi berjanji akan mengkaji al-Quran jika dibebaskan.

Dia menceritakan peristiwa pada suatu hari semasa dalam tahanan; dia membasuh baju-bajunya termasuklah seluar dalam dan menjemurnya. Perbuatannya mengundang kemarahan pengawal. Mereka meminta dia menurunkan seluar dalam yang dijemur itu. Pegawai Taliban berkata jemuran itu mengotorkan fikiran anggotanya. Dia enggan, lalu meminta mereka mengalihkan pandangan dari melihat seluar dalam itu selama beberapa jam sehinggalah dia menurunkannya apabila kering nanti.

Peristiwa itu menggemparkan penjara kerana Timbalan Menteri Dalam Negeri Afghanistan terpaksa turun mengarahkannya menurunkan jemuran itu atas alasan pegawainya terpaksa memantau pergerakan tahanan. Yvonne mengulas sehingga menggegarkan Dewan Convention Centre, Berjaya Times Square, dengan berkata seluar dalamnya bukanlah berbentuk seksi dan jarang tetapi suatu yang besar, tebal dan labuh. Katanya, sebuah negara yang sedang menghadapi ancaman dibom oleh sebuah negara termaju di dunia, tetapi menterinya lebih memikirkan masalah seluar dalamnya mengotori fikiran askar Taliban. Sepatutnya, kata Yvonne, Amerika hanya perlu mengebarkan seluar-seluar dalam sahaja untuk mengalahkan Taliban dan menawan Afghanistan. "Tentu tentera Taliban akan lari lintang-pukang melihat seluar dalam!" Jelas beliau.




Apabila beliau pulang ke tanahairnya, beliau terpegun apabila menyentuh al-Quran dan mendapati tidak setitik dakwat berbentuk koma atau noktah yang berubah dari teks asalnya. Ia tetap bersih dan murni dari sebarang pindaan selepas lebih dari 1,400 tahun.

Hatinya girang tetapi tindakannya mempelajari Islam tidak disenangi ramai di tempatnya. Ibunya, bagaimanapun riang sebab dia mula berhenti dari meminum arak. Untuk kali pertama semenjak gadis lagi, katanya dia menjadi tenang. Dia tidak memerlukan lelaki atau suami dan menunggu panggilan telefon dari lelaki-lelaki seperti yang diamalnya sebelum ini. Dia pernah berkahwin sebanyak tiga kali. Sekarang berupa seorang janda.

Namun, seorang lelaki, iaitu ulama Abu Hamzah al-Masri mengekori perkembangannya. "Selamat datang ke Islam," kata Abu Hamzah. "Aku belum masuk Islam lagi" jawab Yvonne. Mengikut Yvonne, Abu Hamzah memberitahunya agar memikir baik-baik dan memaklumkan bahawa jika dia memerlu bantuan pendapat, hubungilah mana-mana Muslimat. Dia akan memasuki sebuah keluarga yang terbesar di dunia. Abu Hamzah mengingatkan, "jika tidak, kalaulah esok kamu keluar rumah dan menemui kemalangan yang meragut nyawa kamu, kamu akan langsung ke Neraka!"

Yvonne terkejut kerana panggilan telefon dari Abu Hamzah seorang ulama Britain yang dianggap paling ganas dan mempunyai tangan bercangkuk besi. (Abu Hamzah sekarang berada di dalam tahanan kerajaan Britain di bawah Akta yang sama derngan ISA kita. "Sebenarnya, Abu Hamzah agak manis orangnya," beritahu Yvonne kepada hadhirin dan diikuti dengan gelak ketawa.

Beliau menerangkan bahawa semenjak mengkaji al-Quran beliau mengetahui lebih jelas tentang kedudukan wanita dalam Islam. "Apa yang diperjuang oleh orang barat tentang emansipasi wanita sebenarnya telah pun termaktub di dalam al quran semenjak 1,400 tahun lepas. Benar terdapat tekanan terhadap wanita di negara-negara Islam tetapi saya boleh membawa kamu ke mana-mana sudut di Tyneside dan menunjukkan bahawa di sana juga terdapat keadaan sperti itu. Tekanan adalah berbentuk budaya dan tidak Islamik. Islam menggariskan kedudukan yang amat jelas bahawa wanita mempunyai hak yang sama," jelas beliau kepada hadirin yang bilangan wanitanya dianggar lebih ramai berbanding lelaki.

* Yvonne Ridley dibawa ke Malaysia oleh Pertubuhan al Khadeem, sebuah pertubuhan kebajikan yang upayanya adalah untuk menyemarakkan al-Quran dan Sunnah. Pada hari Rabu ini Yvonne akan berada di pejabat al Khadeem, Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya utk khusus bertemu dengan para remaja.


RERAMA LUPA JALAN PULANG?


rerama pergi
melaung tak bererti
menung kembali

ADI, rakan suami yang menjadi doktor PC kami selama ini memberitahu dia memerlukan dua hari untuk membedah siasat CPU saya. Saya tak mahu melayan kebosanan, frust dan remuk jiwa Sabtu dan Ahad tanpa PC lalu mengajak suami dan anak-anak keluar ke KL dan menginap di hotel berhampiran tempat shopping. Fuhhh, dah selesai bab anak-anak. Hari ini balik ke rumah, dalam setengah jam Adi sampai dan memasang kembali CPU. Alhamdulilah semua organ dalaman berjaya diselamatkan oleh `Doktor Adi'. Novel pun ok, selamat. Kemudian membuka blog, rerama yang selalu berkepak indah pula dah hilang. Sabarlah...