Thursday, December 4, 2003

DUA BERITA YANG KONTRADIK

MEMANDANGKAN esok 5hb Disember 2003 adalah hari terbuka Kumpulan Karangkraf yang dikhaskan hanya untuk rakan niaga (kontraktor, supplier, pembekal kertas, ink, banker, semua pengiklan dll) jadi saya agak sibuk minggu ini. Tetamu dianggarkan lebih 1,500 orang dari seluruh Malaysia termasuk dikalangan Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar, Setiausaha Parlimen dan sebagainya.

Banyak perkara nak diuruskan dari hal katering, canopy, tetamu, sambutan, usherers, pertolongan dariipada RELA, Majlis Perbandaran Shah Alam, permit dan lain-lain lagi. Dan Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar hasil kerjasama semua pihak. Memang betullah, semangat teamwork menyelamatkan banyak perkara. Tak lupa, terima kasih kepada 15 hotel yang bekerjasama memberi sumbangan kek hari raya.

Pagi ini meeting persediaan untuk esok terganggu dengan SMS yang saya terima daripada suami yang mengatakan bekas penyanyi Syed Anas Syed Brakhbah (pernah juga digelar Boy George M'sia) meninggal dunia malam tadi. Innalillah.... Al Fatihah untuk Allahyarham. Kali akhir saya bertemu dengan Allhayarham ialah di Majlis Makan Malam Dewi Remaja di Hotel Mutiara, KL sekitar Oktober lalu.

Kami duduk semeja dan sepanjang malam dok asyiklah berbual panjang lebar, bergelak, usik mengusik lantaran lama tak jumpa. Allahyarham yang peramah memang banyak bercakap pasal bisnes Nona Rogay yang diusahakan bersama kakaknya dan dia memang serius untuk mengembangkan bisnes ini hingga ke luar negara. Dia juga bercerita tentang anaknya yang berusia sekitar dua tahun.

Pagi ini jenazahnya dibawa ke Alor Setar dan dikebumikan di sana.
Semgoa roh Allahyarham tenteram di alam barzakh.

No comments: