Saturday, December 27, 2003

BAM MUSNAH!


INILAH kota lama Bam yang terletak kira-kira 1000 kilometer ke barat daya ibu negara Tehran, Iran.

SEMALAM Bam dilanda satu gempa bumi kuat berukuran 6.3 pada Skala Richter. Menurut agensi berita IRNA, lebih 6,000 orang terbunuh dan lebih 30,000 lagi cedera. Kawasan ini mempunyai lebih 200,000 orang penduduk. Angka ini diberikan oleh gabenor wilayah Kerman, Mohammad Ali Karimi. Sementara itu CNN melaporkan 20,000 orang maut. Bam ialah kawasan bersejarah dan sebahagian Laluan Sutera (menghubungkan China dan Eropah) di wilayah Kerman. Ini merupakan kali kedua Bam dilanda gempa bumi selepas digegarkan pada 27 Ogos lalu (5.7 Skala Richter) tetapi tidak menyebabkan kemalangan jiwa.

Bam terkenal dengan bandar lama berusia 2,000 tahun, Arg-e-Bam, sebahagiaan binaan daripada lumpur yang terbesar di dunia terdiri daripada menara, bangunan bersejarah, gereja dan sebuah masjid lama. Lokasi menarik ini terletak dipersekitaran sebuah lembah dan jika diperhatikan dari atas bukit ia bagai binaan istana pasir. Penduduknya syiah 80% dan suni muslim 10%.

Mengapa saya tersentuh dengan tragedi ini? Segalanya kerana pada Ogos 2000 saya dan rombongan 15 wartawan telah dibawa oleh Tina Travel & Tours dengan kerjasama Kerajaan Iran melawat sekitar Bam, Kerman, Tehran, Shiraz dan Esfahan. Hingga kini keindahan Bam terutama kala petang masih lagi segar dalam ingatan. Namun kini realitinya Bam sudah semestinya tidak seindah tiga tahun silam.

Thursday, December 25, 2003

KENAPA GEMUK?



INI merupakan salah sebuah lukisan seorang sahabat lama saya, Saudara Haris Ribut. Bertahun-tahun juga kami bekerja di bawah satu bumbung sebelum beliau mengambil keputusan untuk membuka sebuah studio sendiri.

Apa yang ingin diperkatakan di sini ialah trademark beliau dalam lukisan iaitu imej wanita gemuk. Lukisan di atas agak sopan kerana semua wanita gemuk berkenaan mengenakan pakaian. Bayangkan wanita gemuk yang berkemban... ini kerana ada beberapa keping lukisannya mengambarkan imej begitu.

"Kenapa pilih imej wanita gemuk?" Soal saya, malu-malu.
"Sebab mak Aya (saya) gemuk. Masa mula-mula nak bina nama pening juga mencari identiti. dalam termenung, kebetulan mak lalu depan mata dan fikiran Aya terdetik, kenapa tak jadikan mak sebagai identiti?" Ujarnya, tersenyum penuh makna.

Demikian antara gaya insan kreatif mendapat idea dan membina identiti. Insan kreatif lain, mungkin lain pula caranya. Begitu juga bagaimana munculnya idea mengarang sebuah novel...

p/s Kebetulan dengan seruan menggalakkan kita memakai batik, jadi silalah perhatikan rekaan batik berkenaan. Tolong jangan pandang lama-lama pada objek yang lain!

Wednesday, December 24, 2003

MENJAWAB KOMEN HALELA DAN INAI



Wajah Erra Fazira sekarang dan wajah Erra apabila dia berusia 78 tahun - iaitu 50 tahun daripada usianya sekarang. Kesan mekap ini didatangkan dari Sweden bernilai RM350,000 ($159,000), which is quite a substantial chunk of the movie's total budget of RM1.8million ($821,000). Filem ini berjudul Hingga Hujung Nyawa.

Rasionalnya - kecantikan akan pudar dimamah usia. Bagaimanapun kejayaan seseorang mengekalkan kecantikan berbanding usia sebenar amat dikagumi.

Tuesday, December 23, 2003

DIRI KITA; ASET KITA

SAYA selalu terpegun melihat wajah ayu Siti Nurhaliza. Begitu juga dok ralit menatap wajah ayu Erra Fazira. Apabila berbual dengan mereka, mata terkelip-kelip memerhati, cantinya bibir dia, matanya sungguh memikat, hidungnya terletak, pipinya gebu, bersih, tak ada langsung parut jerawat... bla bla bla...

Itu belum lagi melihat pinggang ramping mereka, melihat seksinya tubuh mereka, betapa kagumnya melihat jari-jari mereka yang terjaga cantik, apalagi melihat sihatnya rambut mereka, slimnya, tak ada lemak lebih di sana sini... termasuk juga terpesona dengan pakaian mereka.... bla bla bla...

Oh ya, ini bukan entri nak memuji-muji selebriti. Tetapi ia juga merujuk pada insan lain yang bukan selebriti. Antaranya cikgu, doktor, pegawai swasta. kerajaan, ahli korporat dll. Apa yang hendak ditekankan di sini ialah - betapa wanita sanggup buat apa sahaja untuk menghargai diri sendiri. Mereka mahu terus sihat, mahu terus mengekalkan keperibadian dan keayuan. Pengorbanan ini bukan calang-calang. (Usahlahlah fikirkan pasal kosmetik/pembedahan dll. Tolak tepilah magic ini.)

Sanggupkah anda hanya makan roti kosong berserat setiap hari? Bolehkah anda hanya makan sayuran rebus sahaja? Bolehkah tidak makan daging merah selama dua bulan? Bolehkah kurangkan gula dalam minuman dan makanan? Relakah anda jika wajib ke gimnasium tiga kali seminggu? Ataupun paling mudah, bolehkah anda makan nasi seminggu sekali dan sukatannya hanyalah semangkuk sahaja?

Tetapi Siti dan Erra sanggup. Semua itu kerana mereka menyayangi diri sendiri. Diri mereka adalah harta mreka. Oleh itu mereka tidak mahu mengikut nafsu makan - makan hanya yang perlu sahaja. Berhenti bila tengah sedap makan. Rasanya ramai wanita yang cantik semulajadi pun berbuat begitu. Sebenarnya ada sebab kenapa saya ambil contoh Erra dan Siti; kerana mereka tetap ayu walaupun tanpa mekap!

Bagaimanapun yang penting, cantik fikzikal, cantik jugalah peribadi!

Monday, December 22, 2003

ISTIMEWANYA PKN

SEORANG anak saudara saya begitu kecewa apabila namanya tidak terpilih dalam senarai mereka yang berjaya mengikuti Program Khidmat Negara (PKN). Dia yang begitu bersemangat ingin turut serta dan sanggup menghadapi apa sahaja rintangan terkilan dan terus murung apabila dua tiga orang rakan yang lain menelefon mengatakan mereka layak.

PKN yang akan mula diperkenalkan pada Feberuari 2004 nanti dilihat sebagai antara lambang kesetiaan dan semangat kenegaraan para remaja yang berusia sekitar 17 tahun. Mereka (seramai 85,000 orang) akan dipecahkan kepadpa tiga kumpulan dan ditempatkan di kawasan-kawasan latihan di 42 buah kem serta 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara.

Aktiviti lasak seperti berkawad, aktiviti dalam hutan, semangat juang dan setiakawan serta aktiviti dalam kelas antara silibus PKN. Program ini juga akan menjadi wadah yang mampu membetuk diri sebagai insan yang berdisiplin, sanggup menghadapi cabaran, beremangat waja dan lebih patriotik.

Namun di saat anak-anak muda ghairah ingin mengikuti program ini, ada segolongan lagi yang enggan turut serta, malah ada ibu bapa yang merayu untuk mengeluarkan nama anak mereka daripada senarai yang terpilih.

Mengapa? Apakah mereka bermaksud anak-anak mereka akan didera? Atau jiwa anak-anak akan dipesongkan kepada agenda tersembunyi kerajaan?

Anak saudara saya itu masih berharap akan dapat turut serta dalam PKN ini dan semoga akan ada nasib untuknya di saat akhir.


Friday, December 19, 2003

KESEDIHAN YANG BERULANG

SAYA baru sahaja menulis tentang berita kematian pada 3hb Disember 2003 lalu yang membabitkan kemalangan dua buah bas ekspres. Dalam entri yang sama saya turut menyatakan rasa sedih dengan kematian dua orang kenalan yang menjadi juruterbang dan akhirnya menemui maut apabila pesawat yang dipandu hilang kawalan dan jatuh ke laut.

Hari ini, sekali lagi akhbar melaporkan hal kematian dua orang juruterbang TUDM yang berpangkalan di Kuantan. Kali ini pesawat Hawk 100 yang dinaiki menjunam ke laut dan meletup. Kapten Khairul Hazrin, 28 dan Kapten Ashraff Che Hussin, 30 terkorban dalam kejadian ini.


Kisah juruterbang dan kematian ini memberi erti yang mendalam pada saya. Ya, kesedihan, rasa terharu dan terkilan. Lebih rasa terkilan apabila yang meninggal dunia ialah harapan negara, harapan keluarga - mereka bukan insan `terpinggir'.

Dengan menyedari bahawa segalanya sudah tersurat di Loh Mahfuz dan dengan mengambil berkat Jumaat yang mulia ini, marilah sama sama kita hulurkan Al- Fatihah untuk kesemua yang telah terkorban.

Thursday, December 18, 2003

eNovel Versi PDA


BARANGKALI eNovel Jangan Ada Dendam (JAD) yang ditulis bersama oleh Sri Diah, MBA dan Rudy adalah merupakan eNovel pertama dalam bahasa Melayu yang ada dalam versi Pembantu Peribadi Digital (PDA).

Petikan dari JAD Versi Palm yang diusahakan oleh Ibnu Arif:-


Reader untuk semua platform PDA boleh di download di sini .
Bantuan teknikal blog eNovel ini dilakukan oleh CNMA.

Tuesday, December 16, 2003

MEMENUHI JANJI


Anas Iqbal bersama guru kesayangannya, Cikgu Shahriah.


Inilah anak kedua saya yang mendapat 5 anugerah
di Hari Anugerah Cemerlang Sek. Kebangsaan Seri Tasik,
Bandar Tun Razak. Bergambar di Hotel Grand Continental,
Kuching, Sarawak.

1. Kedudukan terbaik dalam kelas No. 1
2. Kedudukan terbaik dalam keseluruhan darjah
3. Anugerah Pelajaran Terbaik (Markah tertinggi Bahasa Malaysia)
4. Anugerah Pelajaran Terbaik (Markah tertinggi Matematik)
5. Anugerah Pengawas Sekolah

Monday, December 15, 2003

CABARAN MEMATANGKAN KITA

MEMULAKAN minggu baru selalunya memberi mood yang pelbagai. Hujung minggu yang meletihkan juga banyak menyumbang pada mood hari Isnin ini. Maklumlah, Syawal masih lagi berlegar. Mood raya masih lagi berbekas dan baju raya pun tak jemu-jemu lagi disarung...

Kebiasaannya di hujung minggu saya selalu terkenang perjalanan hidup wartawa-wartawan saya yang terpaksa bertugas luar daerah. Sedangkan waktu itu mereka harus bersama keluarga. Ada yang ke pedalaman di seluruh Malaysia, ada yang berkereta mengikut ekspedisi ke hutan-hutan, ada yang shooting fesyen di merata tempat peranginan, ada yang membuat tugasan ke Felda dan pelbagai lagi.

Segalanya demi tugas. Semasa mula-mula jadi wartawan semuanya sudah dilatih untuk tahan lasak. Mereka harus bertindak sendiri kalau terjadi sesuatu yang luar daripada jangkaan. Contohnya jika terpaksa menghadapi kemarahan orang kampung atau dihalau keluar dari rumah ataupun kedatangan yang tidak diundang itu menjadi sasaran caci maki.

Berbeza dengan layanan di majlis sidang akhbar, majlis pelancaran, bertemu kenamaan atupun menembual individu tertentu; mereka yang bertugas luar daerah mestilah seorang yang cekal dan berani. Adakala mereka pergi sendirian, adakala ditemani jurugambar. Jika pergi sendirian, merekalah wartawan dan merekalah jurugambar. Adakalanya dapat tidur di tempat selesa dan ramai juga yang memilih untuk menumpang tidur di masjid.

Itulah cabaran. Wartawan - tugasnya mencabar.

Friday, December 12, 2003

SELERA RAYA

ALHAMDULILLAH, hari ini adalah hari raya bagi kebanyakan kami yang berpuasa enam di pejabat ini Oleh kerana itu hari ini so special, ramai yang berpakat hendak pakai baju raya, bawa kuih raya yang tinggal baki-baki saja tu (tapi yang serdak tu lagilah sedap...). Miinum pagi stail pot-luck ini ala-ala hidangan hari raya.

Menu kami ialah;
Pulut kuning
Roti jala
Rendang daging
Kari ayam
Sambal tumis ikan bilis

Memasak pulut kuning memang kemahiran saya jadi bila ditugaskan menyediakan pulut kuning, saya senyum saja, no problem. Malam tadi bila online dengan Tomohiko di Okinawa, Jepun dia pun beritahu hari ini dia hari raya enam. Tapi, jarak memisahkan kami....

Ya, hari raya dulu saya selalu teringat- ingat pada rakan blog yang jauh di perantauan, ramai tak tersebut di sini. Ingatan itu tambah mendalam terutama apabila menjamah hidangan tradisional yang sinonim dengan hari raya. Hari ini saya ingat lagi pada anda semua!

Selamat berhari raya kepada semua yang berpuasa enam.
Arigatou gozaimashita kepada semua yang rajin ke sini.

Wednesday, December 10, 2003

TULISAN TANGAN

SAYA selalu sengih-sengih sahaja apabila ada orang yang tersenyum melihat tulisan tangan saya. Apa nak dikata... tulisan tangan saya tak cantik (bagi pendapat sayalah). Lepas orang itu tersenyum, dia melihat pula muka saya. Lagilah saya tersengih... agaknya dalam hati dia berkata begini; buruknya tulisan tangan Sri Diah. Betul, tulisan tangan saya taklah cantik sangat.

Kini kaedah bekerja yang lebih banyak meminta kita membuat persediaan laporan dan segala titik bengik menggunakan komputer. Apalagi, tangan jadi lebih mahir mengetuk keyboard daripada seni membentuk tulisan tangan. Sekarang, taip sahaja, dah siap print dan edarkan.

Di Karangkraf sekarang pula, semua memo sudah tidak menggunakan kertas lagi. Semuanya menggunakan internal network menerusi outlook. Jadi rutin setiap hari mesti melihat outlook masing-masing. Baca memo di situ, baca segala arahan dan laporan terkini tentang syarikat pun di situ. Maknanya ia mesti sentiasa `on' sepanjang hari.

Bagi para wartawan pula, mereka mengisi tugasan/assignment, mengisi Borang A (datang lambat atas urusan peribadi), Borang B (terpaksa keluar awal kerana urusan peribadi) dan Borang Cuti di Skorkraf. Ia satu sistem yang online. Setiap pekerja perlu mempunyai akses masing-masing untuk ke link itu. Jika dulu kedatangan diisi dalam buku besar, kini sistem kedatangan pun menggunakan swipe card dan tertera dalam Skorkraf.

Oleh kerana itu seni menulis ini dah jadi janggal.
Saya teringat hal ini kerana pertengahan dan akhir Ramadan dulu, terpaksa menulis sedikit sebanyak di Kad Hari Raya untuk kawan-kawan dan sanak saudara. Saya ketawa dalam hati melihat tulisan saya dah tak seperti dulu. Dalam diam saya tetap berazam untuk lebih mahir menulis tangan, tidaklah hanya menggunakan tulisan tangan untuk `menyain' claim sahaja. Sorry!

Tuesday, December 9, 2003

DUNIA SASTERA BUKAN HANYA ANGAN KOSONG

DALAM setiap ceramah tentang penulisan tidak kiralah sama ada penulisan puisi, cerpen ataupun novel saya selalu tekankan peri pentingnya disiplin. Payahnya disiplin ini ialah disiplin yang kita buat sendiri, bukan arahan sesiapa, bukan ada orang lain yang tolong aturkan jadual.... tetapi disiplin inilah kunci segalanya.

Sekiranya kita gagal mengikut disiplin ini gagallah kita. Sekiranya telah diset bahawa novel ini mesti siap dalam tempoh tiga bulan, ia mestilah siap dalam tempoh itu. Sekiranya kita merancang akan menulis satu hari satu bab novel, mestilah dikotakan niat itu.

Disiplin inilah yang selalu menghantui... kadang-kadang lain yang dirancang lain yang menjadi. Bagi saya jika semalam gagal menulis lima para, hari ini mesti digandakan menjadi sepuluh para. Bagi penulils baru kekuatan inilah yang jarang ada dalam diri mereka. Sedangkan kekuatan inilah yang palilng mustahak. Ketahanan ini tidak diperolehi di menara gading. Tidak diperolehi dengan segala ilmu bantu yang diajar pensyarah. Ia lahir sendiri secara praktikal.

Saya gembira melihat perkembangan minat pembaca novel masa kini. Jika ramai yang mengandaikan novel popular tidak berfaedah tetapi apa kata dengan minat membaca dikalangan orang kita yang semakin bertambah-tambah akhir-akhir ini? Novel makin laris, cetakan 30,000 naskhah sudah tidak mencukupi, agen menelefon mahu menambah pesanan!

Tidak boleh hidup mewah dengan menulis novel.... Tetapi itu dulu!
Sekarang penulis novel sudah gerenti dapat pulangan lumayan asalkan cerita yang dipaparkan bagus dan diterima pembaca. Satu lagi yang penting - hantarlah pada penerbit yang berwibawa supaya hal pemasaran tidak mendatangkan masalah.

Petikan daripada novel saya: Kuala Lumpur Di Mana Suamiku

Laili Ashikin: Alangkah hina bergelar janda, hinalah juga dirimu duda...

Berkahwin biarlah sekali seumur hidup... Namun apabila tiba-tiba dilamar kali kedua oleh orang yang sama, mungkinkah bahagia akan menjelma? Ini bukan angan-angan. Ini juga bukan mainan perasaan. Demi orang tersayang aku sanggup korbankan peribadi...

Monday, December 8, 2003

HARI ISNIN YANG CANTIK

SETELAH segala kesibukan minggu lalu berjaya dihadapi dengan jayanya kini bermulalah espisod kerja yang rutin. Banyak yang tertinggal dan terbengkalai sebenarnya. Cuti hari raya yang lebih dua minggu, kemudian sibuk dengan persiapan open house opis, membuatkan otak ini sedikit berat hendak memulakan kerja.

Tapi mujurlah pagi ini semua ok, jalan tidak sibuk, tidak hujan dan saya sampai agak awal di pejabat. Tidak dinafikan mood yang ok ini banyak menyumbang pada kelancaran kerja.

Setiap Isnin pukul 9 pagi - 12 tengahari merupakan Isnin yang wajib bagi saya hadir ke pejabat kerana ada meeting khas unit perancangan dan pembangunan syarikat. Mesyuarat ini telah berlangsung hampir empat tahun without fail. Committee ada 15 orang termasuk Managing Director dan Boad of Director.

Mesyurat ini antara lain khusus membincangkan hala tuju syarikat. Kami juga berbincang bagi merangka strategi pasaran, mengintai peluang peningkatan income dalam periklanan, pemasaran, promosi dan pemasaran. Mesyuarat ini juga bertanggungjawab bagi membuat beberapa dasar-dasar syarikat dalam bidang penerbitan.

Memenatkan? Tidak bagi saya. Ya fikiran letih berfikir tetapi bagi saya kalau saya minat membuat sesuatu perkara saya tak akan rasa penat atau ralat melakukannya. Malahan rasa enjoy pula menghadapi cabaran demi cabaran.

Oh ya, Monday Meeting ini wajib dihadiri.
Ok, saya kena bersiap-siap sekarang, mencari fail yang dah dua minggu tak disentuh!

Saturday, December 6, 2003

DUA HARI YANG TIADA REHAT

Majlis open house Karangkraf semalam, berjalan mengikut jadual. Bos happy, tu yang penting. Mujur cuaca baik hingga petang. Letihnya membuatkan otot kaki kejang, tangan lenguh dan sakit pinggang. AJK tak boleh balik hingga majlis selesai, dan akhirnya semua berjalan lancar. Kami semua beransur pulang lebih kurang pukul 9 malam

Hari ini pula saya berkejar pula ke Jaya Jusco Bukit Raja Kelang kerana diadakan pertandingan memasak anjuran dua majalah kelolaan saya iaitu Majalah Mingguan Wanita dan Majalah RASA. Seramai 10 peserta mengambil bahagian di peringkat akhir ini. Empat lelaki, enam perempuan. Pemenang akan menjadi residen chef dua majalah ini.

Saya pula jadi ketua juri. Bukan boleh duduk diam. Ke hulu ke hilir menguruskan segala hal. Sekali lagi, kejang otot semalam berulang hari ini. Majlis selesai pukul 5.30 petang dan segera memandu balik kerana jiran sebelah rumah buat open house...

Sorrylah, saya tunjuk muka juga walaupun dah hampir Maghrib. Jiran-jiran di KL ni dah faham benar dengan kesibukan jiran sebelah menyebelah, saya tetap disambut dengan manis muka dan nasib baik tak payah nak tolong berkemas kerana beliau menempah makanan dan pelayan menggunakan khidmat katering.

Sekejap lagi satu keluarga rakan sepejabat akan datang (Siti Arfah, wartawan Mingguan Wanita). Saya baru saja selesai memasak mi dan relak sekejap, masuk blog sementera mereka sampai.

Esok? Suami mengajak pula berhari-raya ke Hulu Langat, rumah Sharifah Abu Salem, penulis novel yang menjadi anak angkat Arwah Pak Sako. InsyaAllah. (Sebenarnya dia suka makan durian kampung di situ!)
Sekian, selamat malam semua.

Friday, December 5, 2003

UNTUNG YANG BERPUASA ENAM

MINTA-MINTA cuaca cerah pagi ini biarlah sampai ke petang. Janganlah jadi macam kata pepatah tu; harapkan cerah sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari...

Semoga majlis hari ini berjalan lancar dan tetamu kehormat serta jemputan vip puas hati. Staf Karangkraf pula bagaikan menyambut hari raya sekali lagi. Mana yang berpuasa enam, untunglah, mereka terus berhari raya lagi hari ini.

Masing-masing berpakaian baju raya. Yang lelaki siap dengan sampin dan songkok. Staf lelaki kata, pagi tadi isteri masing-masing dok jeling-jeling dan was-was; betul ke abang nak ke opis dengan baju Melayu ni? Apalagi hari in hari Jumaat! Meriah sungguh. Dan palilng best apabila menepati konsep dan imej syarikat iaitu berwarna purple atau lilac.

Saya masih ingat dengan janji hendak menyambung siri Jejak Kasih di Aidilfitri yang lalu seperti yang diminta oleh beberapa pembaca. Ingat... tak lupa. Pencarian saudara dan ingin bertemu rakan siber membawa saya dan keluarga hingga ke Kuala Perlis.

Tapi sorrylah tak boleh nak tulis blog panjang lebar hari ini, di luar sana, tengah sibuk dengan segala persiapan. Tetamu semua dianggarkan lebih 1,700 orang.

Saya stop sini dulu... nanti jumpa lagi. Salam.

Thursday, December 4, 2003

DUA BERITA YANG KONTRADIK

MEMANDANGKAN esok 5hb Disember 2003 adalah hari terbuka Kumpulan Karangkraf yang dikhaskan hanya untuk rakan niaga (kontraktor, supplier, pembekal kertas, ink, banker, semua pengiklan dll) jadi saya agak sibuk minggu ini. Tetamu dianggarkan lebih 1,500 orang dari seluruh Malaysia termasuk dikalangan Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar, Setiausaha Parlimen dan sebagainya.

Banyak perkara nak diuruskan dari hal katering, canopy, tetamu, sambutan, usherers, pertolongan dariipada RELA, Majlis Perbandaran Shah Alam, permit dan lain-lain lagi. Dan Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar hasil kerjasama semua pihak. Memang betullah, semangat teamwork menyelamatkan banyak perkara. Tak lupa, terima kasih kepada 15 hotel yang bekerjasama memberi sumbangan kek hari raya.

Pagi ini meeting persediaan untuk esok terganggu dengan SMS yang saya terima daripada suami yang mengatakan bekas penyanyi Syed Anas Syed Brakhbah (pernah juga digelar Boy George M'sia) meninggal dunia malam tadi. Innalillah.... Al Fatihah untuk Allahyarham. Kali akhir saya bertemu dengan Allhayarham ialah di Majlis Makan Malam Dewi Remaja di Hotel Mutiara, KL sekitar Oktober lalu.

Kami duduk semeja dan sepanjang malam dok asyiklah berbual panjang lebar, bergelak, usik mengusik lantaran lama tak jumpa. Allahyarham yang peramah memang banyak bercakap pasal bisnes Nona Rogay yang diusahakan bersama kakaknya dan dia memang serius untuk mengembangkan bisnes ini hingga ke luar negara. Dia juga bercerita tentang anaknya yang berusia sekitar dua tahun.

Pagi ini jenazahnya dibawa ke Alor Setar dan dikebumikan di sana.
Semgoa roh Allahyarham tenteram di alam barzakh.

Wednesday, December 3, 2003

KERANA AIDILFITRI SETAHUN SEKALI...

Assalamualaikum semua... lama sungguh tidak kemaskini blog ini. Minta maaf banyak-banyak kepada semua pembaca kerana saban hari ke sini tetapi masih yang itu, itu juga. So hari ini ingin jugalah menulis sesuatu untuk menghilang rasa frust tetamu-tetamu.

Bagaimana dengan sambutan hari raya?
Pastinya pahit manis, semuanya masih segar dalam ingatan!

Bagi saya bercuti kerana hari raya, tak sama dengan bercuti kerana cuti-cuti biasa. Kebetulan pula hari raya kali ini jatuh pada musim cuti sekolah. Dan bagi saya pula, baru tahun ini dapat berhari raya pertama dan kedua di KL (raya ketiga baru balik berhari raya di Alor Star). Oleh itu sudah tentu saya dapat merasakan kelainan yang luar biasa Aidilfitri tahun ini.

Bagi adik beradik saya yang lain, KL ialah kampung mereka. Pagi raya itu abang dari Johor, kakak dari Pahang, seorang adik dari Kelantan, dan adik beradik lain di KL berkumpul di rumah emak dan abah (belakang rumah saya saja). Memanglah, sudah 14 tahun saya `termissed' detik manis itu, baru tahun ini saya rasa kembali suasana syahdu di Aidilfitri - selepas bersembahyang raya di surau di hadapan rumah emak dan abah, kami balik rumah bersarapan dan bersalaman.

Seperti Mba di kampungnya, di KL pun hujan renyai membasahi bumi. Namun raya tetap raya. Anak-anak saya gembira apabila kami konvoi enam kereta berjalan raya ke rumah saudara mara ke Meru, Jalan Kebun, Kelang, ke Bangi, ke Sungai Way, ke Kelana Jaya... hingga ke rumah Dato Baginda Tan Mas, Datuk Mat Jan, Undang Luak Johol di Tampin, Negeri Sembilan. Beliau ialah kenalan lama abah dan mak - abah dan mak pun seronok dapat jumpa kenalan lama yang dah lebih 10 tahun tidak berjumpa.

Anak-anak seronok memanjat 10 batang pokok rambutan di keliling rumah beliau. Rambutan merah menyala di celah daun, dan rambutan gading pun masak menguning, bak melambai minta dipetik. Semuanya mansi-manis dan lekang. Eh, nak balik hari tu, kami dibekalkan lima kampit buah rambutan!

Ballik KL semula, malamnya kami berjalan raya lagi. Kelakarnya bila balik ke rumah, dah ada dua kereta menunggu mahu beraya di rumah kami. Mujur ketupat daun palas masih ada. Rendang daging, limpa dan paru (resipi ala Kedah) pun masih ada lagi. Untuk menambah sajian saya menggoreng lagi mi hoon black pepper. Setelah dua kereta ini berlalu, horn kereta berbunyi lagi. Datang pula kawan suami. Masuk! Masuk! Tetamu tetap dilayan hingga pukul 12 malam, sedangkan saya dah penat sangat....

Dua hari berhari raya di KL, malam raya ketiga kami bersiap balik ke kampung di Alor Setar pula. Waktunya? Pukul tiga pagi dari KL!
* Bab ni nanti saya sambung lain kali. Panjang jugalah misi Jejak Kasih ini.