Monday, May 16, 2005

SELAMAT PAGI CIKGU
TERIMA KASIH atas tunjuk ajar yang diberi. Rasanya tanpa bimbingan cikgu-cikgu para pendidik di sekolah rendah, sekolah menengah, dan di universiti saya tak akan menjadi seperti saya hari ini. Budi cikgu semua tersemat di hati dan akan dibawa mati. Selamat Hari Guru kepada semua terutama warga pendidik (bloggers) yang baru saya kenali. Antaranya Cikgu Ain (Puteribayu), Cikgu Midad, Cikgu Yaz, Cikgu As Ramy dan lain-lain yang tak tersebut. Salam kasih abadi.

GURU OH GURU

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum manjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Nukilan SN Dato Usman Awang


Dipetik daripada buku antologi puisi Guru oh Guru yang
diselenggarakan oleh Zam Ismail terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP), Kuala Lumpur, 1989

No comments: