RINDU MASA SILAM
A'kum, dah lama saya tak baca puisi-puisi Kak Sri. Akhirnya hari ini saya membaca puisi Kak Sri. Masih terasa sentuhannya, masih kaya dengan bahasa kreatif, ternyata masih hebat berpuisi. Teringat zaman Kak Sri rajin menulis puisi dan cerpen dulu, saya suka membacanya, saya potong dan simpan. Harap Kak Sri terus menulis puisi dan juga cerpen. Jangan tinggalkan.
Tentang novel, pun saya happy membacanya. Kekalkan keindahan gaya Kak Sri berbahasa. Tak semua orang boleh... ramai penulis muda kini yang bahasanya straight forward je. Tak ada jiwa membacanya... Salam.
Peminat Puisimu | 05.12.05 - 5:02 pm | #
ENTRI 6 Mei saya adalah sebuah puisi yang saya tujukan khas kepada bonda. Dan komen seorang daripada pengunjung amat menyentuh hati. Komen di atas adalah satu komen yang jujur bagi saya. Dan ekoran itu saya berasa amat bersalah (berdosa?) kerana telah mengabaikan kepuasan orang lain kerana saya telah tidak lagi (gagal?) menghasilkan puisi-puisi dan cerpen-cerpen.
Bagi penggemar puisi kepuasan batin adalah besar maknanya dan ia memberi makanan jiwa yang lain daripada kepuasan lain. Saya faham itu kerana itulah yang saya alami (anuti?) pada tahun-tahun 80-an dan akhir 90-an apabila puisi dan cerpen adalah makanan rohani saya. Ke mana rakan-rakan puisi yang dulu? Mereka masih ada namun ada yang sudah pergi dan pemergian mereka ada saya catat dalam entri-entri saya. Benar, saya berasa amat kehilangan apabila mentor saya sudah tiada. Itu adalah alasan utama selain alasan kesibukan dan kurangnya daya kreativiti apabila diasak oleh tugas-tugas pentadbiran.
Saya masih ingat pada kemenangan puisi-puisi saya dalam beberapa pertandingan antaranya `Asmara Ini Amanah', `Kenang-kenangan', Hujan Sore di Cipanas', `Kaca Impian', 'Wanita Tahanan Reman' dan banyak lagi... kepuasan itu lain rasanya berbanding dengan kejayaan sekarang menghasilkan beberapa judul majalah. Sejujurnya saya benar-benar ingin minta maaf pada peminat puisi dan cerpen saya yang berasa ada sesuatu yang hilang daripada jiwa mereka...
No comments:
Post a Comment