Tuesday, May 10, 2005

JANGAN BIARKAN WANITA BERJUANG SENDIRIAN
TIADA perasaan paling hiba saya rasakan minggu ini melainkan membaca kisah-kisah malang yang menimpa wanita akhir-akhir ini. Satu kes, membabitkan seorang isteri yang kehilangan suami hampir sebulan lamanya. Kemudian satu rangka ditemui di tempat kereta suaminya dijumpai. Si isteri masih lagi enggan menerima hakikat bahawa itu adalah rangka suaminya kerana ujian DNA belum dapat dibuktikan. Banyak kemusykilan yang timbul mengenai kes ini.

Hal serupa juga menimpa warga pendidik yang terbabit kemalangan bersama anaknya. Kereta, dirinya dan anaknya hangus rentung akibat kemalangan ngeri itu. Kereta, tubuh suami dan anak hangus terbakar di hadapan mata si isteri. Dua isteri yang malang dan beberapa orang anak yatim ditinggalkan.

Sebenarnya di mana sahaja di dunia ini, malang yang menimpa wanita sukar dibentung. Rogol, cabul, pembunuhan, penindasan dan sebagainya semakin menjadi-jadi. Contohnya wanita Palestine yang ramai menjadi balu akibat peperangan. Hingga kini hak mereka masih dinafikan. Sedangkan mereka mesti meneruskan kehidupan demi anak-anak.

Bayangkan jika anda menghadapi hal seperti ini? Sama seperti lelaki setiap wanita mahu dirinya dihormati, dihargai, disayangi, diberi peluang membuat keputusan dan mahukan keadilan dalam apa juga aspek samada di luar rumah atau di dalam rumahnya sendiri.

Semoga resolusi di Mesyuarat NAM Mengenai Pembangunan Wanita yang sedang berlangsung tidak hanya tinggal di kertas-kertas kerja sahaja. Mesyuarat bertemakan: Memperkasakan Wanita dan Menghadapi Cabaran Globalisasi itu dihadiri para perwakilan dari 84 negara. Ia akan berakhir hari ini.

No comments: