Sunday, December 26, 2004

SELAMAT BERGUMBIRA RIA
SAYA mohon berbanyak maaf kerana tidak dapat menghadiri majlis GEJU di UPM hari ini. Kepada sesiapa yang memang menyimpan niat ingin berjumpa, saya mohon maaf kerana telah mengecewakan anda. Namun bukan niat saya untuk sengaja tidak hadir ke majlis yang pastinya gilang-gemilang itu - majlis yang menemukan insan-insan unik dari alam siber ke alam nyata.

Sudah semestinya anda semua adalah insan-insan bertuah dapat berkecimpung dalam dunia tanpa batasan ini dan menjadikannya pula suatu realiti di satu petang nan indah di UPM. Bak kata iklan; "...aku merinduimu...!" Huhuhu...

Dengan EP dan Rudy telah saya beritahu kegagalan saya menghadiri GEJU. Malam tadi kami menghadiri majlis HESCOM - juga pertemuan manusia siber yang meminati bidang sastera seperti haiku, sajak, cerpen, novel, pantun dan juga sajak jenaka.

Sebenarnya hari ini saya bertugas. Jika anda sempat ada kelapangan bolehlah singgah selepas GEJU, ke Majlis Pencarian Duta Bintang Kecil di Dewan Wawasan, Menara PGRM, di Shamelin Perkasa. Majlis berlangsung dari pukul 2 petang - 5 petang.

Kepada tetamu-tetamu blog, saya amat menghargai perhatian anda pada blog yang terpaksa dicutikan sementara ini. Saya simpan semua komen di tagboard dan jika kelapangan saya akan membuat kunjungan balas ke blog anda semua.

Salam ingatan untuk semua.

Tuesday, December 14, 2004

LAMANYA RASA...


rindu tertipu
manis persahabatan
musim tengkujuh


SAYA amat menghargai segala tulisan di sini. Segala komen di tagboard dan catatan di haloscan begitu mencabar pertapaan sementara saya... ya, bukan anda sahaja, saya juga terasa amat sepi tanpa rakan bloggers. Hari-hari yang berlari terasa ada kurangnya.... jadi pagi ini saya catat serba sedikit suara hati demi rasa hormat saya pada semua tetamu.

Oh ya, esok hingga Jumaat saya akan bercuti panjang. Anak-anak pun sudah seminggu di rumah abang saya di Kota Tinggi. Cukuplah sepi dan rindu ini meraja dalam hati. Esok saya dan suami akan memulakan perjalanan awal pagi untuk mengambil semula anak-anak, rasanya lengkaplah seminggu itu untuk mereka bercuti sakan. Baju sekolah, kasut sekolah belum beli, buku sekolah pun sama.

Wednesday, December 8, 2004

BERJUTA MAAF
SEBENARNYA amat berat untuk saya mengambil keputusan ini. Bagaimanapun saya tak boleh melawan arus. Saya terpaksa akur dengan hakikat bahawa saya insan biasa, yang walaupun mempunyai kemahuan yang tinggi tetapi dalam kesanggupan yang amat terbatas. Ini kerana bermula Disember 2004 hingga 2005 telah menggariskan beberapa tugasan maha berat untuk saya. Oleh itu saya terpaksa menutup sementara blog ini dalam jangka masa sebulan dua. Bagaimanapun sesekali jika ada masa terluang, saya akan post yang baru.

Perpisahan ini sementara
Dalam sedih tetap terpaksa

Perpisahan ini sementara
Dalam keliru tetap rela

Perpisahan ini sementara
Dalam hati tetap bersua

Monday, December 6, 2004

TATKALA SIANG BERTEMU MALAM
ALASAN klise - saya amat sibuk akhir-akhir ini. Hanya sesekali dapat menjengah ke sini dan kesudahannnya terpaksa mengakui saya telah gagal memberi apa yang anda semua mahu. Sejak dulu hingga sekarang, banyak sungguh tanggungjawab yang terpikul di pundak (rasanya boleh faham kan maknanya), semuanya di atas batu jemala patik...

Seperti kata James Bond, Tomorrow Never Die, kita akan terus hidup selagi diizinkanNya. Selagi itulah tugas dan tanggungjawab tak pernah selesai. Kita dimatangkan oleh pengalaman, pengalamanlah yang menjadikan kita lebih tahu siapa kita. Apa yang kita mahu dan apa yang harus kita berikan kepada orang lain.

Baiklah nak jawab komen tetamu yang dihormati:
mely: askum n camat sore akak. der cehat x nie??
- sihat, selalu sihat ;-)

acuk77: akum kak sri slmt pg isnin. kak sri tau acuk walaupun bz usaha gak nak dtg sini selalu sebab melegakan n dpt info.
- terima kasih acuk, sorry tak sekerap dulu mengupdate entri. apa yang akak war-warkan dulu semuanya jadi nyata.

Lynda: salam kak sri..miss u too much! tempat baru ni x de peluang lgsg nak entry..sedihlah...uwaaaa
- lynda; macamana di tempat baru? dah dapat geng? kalau ke SA call ya!

zalwa: sy suka adi putera.cool, tggjwb,hormat org tua, ensem...fitri kasanova,keras kepala..! tp sib baik dia nk b'tggjwb pd hannis akhirnya. k.sri, sy dah abis baca JAD tu. puas hati sy si kucing parsi dpt balasan.
- zalwa; alamak novel baru akak belum jumpa noktah, harap-harap sempat book fair nanti. adi putra? yes, ramai minat pd dia! macam hukum karma, gitulah nasib si kucing parsi tu.

alsulltan: akum kakkkkkkkkk... moga sihat sekeluarga... ada kisah panas tak ari ni? hehee
- cerita suam-suam kuku adalah dik!

onizuka: askm, kak sri apa kbr?lama x mdapt perkabaran dr kak sri.
- hehehe org sini ok saja, harap orang sana pun serupa!

esis: smlam kat paper kosmo ada crita tentang YVONNE RIDLEY ni nak jadi wanita pertama bertudung kat parlimen Britain.
- ya esis. dia peluk Islam Jun 2004.

Bunda Shafiya: Kak...kalau ada link tentang Yvonne, bagi tahu ya atau update kan di blog kak Sri TQ
- yes doc. no problem. kapan ke KL?

scootercomel: bestlah citer yvonne nie!. ada sambungan lagi ke?
- nantilah, kalau ada akak post yg baru.

mykelisa: okesss.. kalo ada prob..kiter carik kak diah. serbu.. hehehehhe
- serbu dengan membawa pulut kuning & ayam golek ;-)

sofia, ardeth7, org baru dan ady: nak tahu lagi citer yvonne
- ok, boleh...

Saturday, December 4, 2004




+gathering gengjurnal 2004/2005


WARTAWAN AKUI MEDIA BARAT SELEWENG FAKTA
BAGI memenuhi permintaan pembaca yang inginkan kisah tentang Yvonne Ridley, di sini disiarkan tulisan sahabat saya, wartawan Osman Lisut yang tersiar di Harian Metro beberapa hari lalu. Begitu juga untuk CT Musafir yang berada di UK di mana kisah tentang Yvonne Ridley tidak langsung diterbitkan di sana.

KUALA LUMPUR: Media Barat didapati sengaja memutarbelitkan fakta sebagai menunjukkan sesuatu keadaan memihak kepada mereka walaupun tidak mempunyai asas berbuat demikian. Wartawan Perang Britain, Yvonne Ridley (gambar), berkata pengalaman beliau ketika ditahan Taliban selama 10 hari ketika membuat tugasan di Kabul, Afghanistan, 28 September 2001 mendapati apa yang digembar-gembur rakan seperjuangan nyata lari daripada realiti sebenar.

"Saya tidak faham definisi sebenar pengganas yang dimaksudkan Amerika Syarikat dan sekutunya hingga mereka berleluasa boleh menyerang musuh tanpa mengira sama ada kanak-kanak dan wanita.

"Saya sendiri melihat penderitaan dan kesengsaraan rakyat Afghanistan akibat serangan Amerika Syarikat dan Britain dalam usaha menghapuskan Osama serta pengaruh Taliban di negara itu.

"Didapati rakyat Afghanistan sentiasa berada dalam ketakutan, walhal ketika pemerintahan Taliban mereka begitu selesa mengikut peraturan dan undang-undang Islam,” katanya pada sidang media di Al-Khaadem di sini, semalam.

Ridley yang juga bekas Penolong Pengarang Daily Mirror di London hadir ke Malaysia selama lima hari, bermula semalam, untuk memberi ceramah di atas sokongannya terhadap pengumpulan dana kewangan bagi pembinaan Darul Amal, Al-Khaadem.

Beliau berkata, antara penipuan yang dilakukan ialah sebagai contoh Fox News, yang memaparkan perempuan Kabul membuka hijab, sementara lelaki cukur janggut ketika zaman Taliban.

"Kedua-dua perbuatan berkenaan dilarang sama sekali ketika pemerintahan Taliban. Apa yang saya difahamkan, sebenarnya adalah satu penipuan besar petugas media Barat dengan membayar AS$50 (RM190) setiap seorang," katanya.

Ridley berkata, apa yang mengecewakannya ialah kerajaan Afghanistan di bawah kuasa Amerika Syarikat langsung tidak mengendahkan industri seks kanak-kanak, malah tidak mengambil tindakan ke atas pengusahanya.

"Jika pada zaman Taliban hanya lima kes rogol dilaporkan setahun, tetapi apabila jatuhnya kerajaan itu ada lebih 100 kes rogol termasuk kanak-kanak. Begitu juga lambakan buku lucah yang didatangkan dari Barat nyata meningkatkan lagi kejatuhan moral rakyat Afghanistan," katanya.

Katanya, apa yang dilihat hasil kejayaan Amerika Syarikat menawan semula Afghanistan ialah penanaman popi dan menjadikannya pengeluar 80 peratus candu dunia.

Mengenai sentimen anti-Islam oleh Barat, Ridley berkata, sebenarnya negara kapitalisme serta imperialisme yang menolak Islam dan bukannya fahaman agama.

"Sebagai contoh Amerika Syarikat ingin menguasai laut, ruang udara dan darat yang menggunakan ketenteraan untuk tujuan itu. Begitu juga Israel yang juga antara 10 teratas negara sekular di dunia.

"Sebenarnya tidak timbul fahaman agama seperti Khatolik mahupun Yahudi menentang orang Islam. Apa yang dilakukan mereka ialah untuk menguasai dunia dan perdagangan.

"Amerika ataupun Britain sebenarnya tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk melancarkan serangan yang nyata membawa kemusnahan serta kehilangan nyawa,” katanya.

Beliau berkata, menyedari kesilapan berkenaan, wartawan Barat pernah menghantar memorandum ke Pentagon bagi mendesak supaya tidak dilakukan peperangan ke atas Iraq, namun tidak diendahkan.

Wednesday, December 1, 2004

YVONNE RIDLEY
BERIKUT adalah tulisan bos saya, Fickry Haji Yaacob. Saya telah melakukan sedikit editing tetapi tidak menjejaskan jalan cerita. Silalah menghayatinya:

Ahad, 28 November 2004 jam 3.30 petang bertempat di Convention Centre, Berjaya Times Square, Bukit Bintang telah berlangsung satu majlis pertemuan bersama Sister Yvonne Ridley, seorang wartawan bekas tawanan Taliban. Tajuk talk show itu ialah 'From Convict to Convert'. Beliau merupakan wartawan Sunday Express, UK dan pada bulan September 2001 telah diseludupkan dari Pakistan ke perbatasan Afgahanistan.

Dalam majlis itu beliau memberitahu bahawa sebagai wartawan akhbar mingguan, tugasnya lebih mencabar. Sudut tulisannya hendaklah lebih daripada apa yang terhidang oleh akhbar harian. Ia mesti lebih eksklusif dan mendalam. Itulah yang mendorongnya masuk ke Afghan sungguhpun beberapa hari sebelum itu semua wartawan telah diusir oleh kerajaan Taliban kerana serangan Amerika amat ketara.



Rahsianya terbongkar apabila keldai yang ditunggangnya membuat pergerakan melampau menyebabkan kameranya terdedah di hadapan seorang seldadu Taliban di Jalalbad. Sebelum itu beliau biasa menunggang kuda tetapi tidak pernah bermasalah. Dalam Convention Centre, Berjaya Times Square, Bukit Bintang itu, dengan senyum beliau berkata sebenarnya beliau lebih yakin menaiki keldai berbanding kuda walaupun keldai lebih kecil dan mempunyai empat kaki macam kuda.

Apabila askar mendekatinya, fikirannya menggambarkan betapa kacaknya lelaki muda bermata hijau yang berjanggut lebat itu. Tetapi, ia bertukar menjadi menggerunkan selepas itu. (Dia bertemu kembali lelaki itu selepas beliau dibebaskan. Lelaki itu melambai kepadanya).

Dalam pertemuan Ahad lalu, beliau menceritakan situasinya hari demi hari semasa ditahan. Beliau menceritakan bagaimana beliau merindui anak perempuannya yang berumur 9 tahun dan bagaimana permintaannya agar diberi peluang menghubungi anaknya melalui telefon tidak dilayan.

Pada hari pertama ditahan, beliau bertindak mogok lapar. Ketua tukang masak datang bertanyakan sebab; adakah kerana masakannya tidak sedap? Esoknya, beliau teruskan mogok itu. Mereka datang lagi menawarkan makanan sedap-sedap dari hotel kalau beliau mahu. Beliau berkata tidak akan makan walau bagaimana sedap pun makanan kecuali beliau diberi telefon untuk menghubungi keluarganya. Mereka masih enggan. Beliau bertindak marah lalu meludah pengawal.

Tindakan itu menyebab seorang pegawai wanita datang membawa sebuah telefon bimbit. Pegawai Wanita Taliban itu memberikan setiap orang peluang berhubung dengan orang yang dikehendaki kecuali Yvonne. Tindakan ini ialah untuk membalas perbuatannya meludah pegawai Taliban. Hatinya makin geram. Di dalam sel itu terdapat beberapa tawanan lain termasuklah tiga orang pendakwah Kristian.

Di dalam penjara Yvonne kehairanan kerana diberikan kunci selnya dan bebas bergerak di perkarangan penjara. Beliau terfikir bagaimana dia mendapat layan begitu dari sebuah kerajaan yang termundur dan paling ganas di dunia sedangkan di penjara Abu Gharib, tawanan Iraq dilayan seperti binatang oleh sebuah kerajaan paling maju dan bertamadun di dunia? Beliau juga terkenangkan layanan ke atas tawanan di Guantanamao Bay, Cuba.

Setiap hari beliau memerhatikan tiga orang tawanan Kristian menyanyi hymn (kalau kita nasyid) diiringi gitar yang dibekalkan Taliban. Kemudian beliau mendapat tahu bahawa Taliban berbuat demikian kerana mereka adalah pengikut agama Ahli Kitab. Taliban mengamalkan kebebasan beragama. Mereka hanya ditegah dari memurtadkan orang Islam. Hatinya mula berubah sedikit terhadap Taliban.

Di dalam soal siasat seterusnya pada hari-hari berikut beliau telah ditanya tentang Islam. Hatinya berbelah bagi kalau kutuk Islam, mungkin kepalanya dipancung. Beliau ditanya berminatkah untuk memeluk agama Islam? Beliau dengan tegas menjawab tidak kerana tidak tahu apapun tentang Islam tetapi berjanji akan mengkaji al-Quran jika dibebaskan.

Beliau menceritakan peristiwa pada suatu hari semasa dalam tahanan - beliau membasuh baju-bajunya termasuklah seluar dalam dan menjemur basuhannya itu. Perbuatannya mengundang kemarahan pengawal. Mereka meminta beliau menurunkan seluar dalam yang dijemurnya dengan alasan seluar dalam itu mengotorkan jiwa anggotanya. Beliau enggan, lalu meminta mereka mengalihkan pandangan daripada melihat seluar dalam itu selama beberapa jam sehinggalah beliau menurunkannya apabila kering nanti.

Peristiwa itu menggemparkan penjara kerana Timbalan Menteri Dalam Negeri Afghanistan terpaksa mengarahkannya supaya menurunkan jemuran itu atas alasan pegawainya terpaksa memantau pergerakan tahanan. Yvonne mengulas sehingga menggegarkan Dewan Convention Centre, Berjaya Times Square, Bukit Bintang dengan ketawa bahawa, seluar dalamnya bukanlah seksi dan jarang tetapi suatu yang besar, tebal dan labuh.

Katanya, sebuah negara yang sedang menghadapi ancaman dibom oleh sebuah negara termaju di dunia, tetapi menterinya lebih memikirkan masalah seluar dalamnya mengotori fikiran askar Taliban. Kalaulah begitu, kata Yvonne, Amerika hanya perlu mengebarkan seluar-seluar dalam sahaja untuk mengalahkan Taliban dan menawan Afghanistan. "Tentu tentera Taliban akan lari lintang-pukang melihat seluar dalam!" Jelas beliau.

Apabila pulang ke tanahairnya, beliau terpegun tatkala menyentuh al-Quran dan mendapati tidak setitik dakwat berbentuk koma atau noktah yang berubah dari teks asalnya. Ia tetap bersih dan murni dari sebarang pindaan selepas lebih dari 1,400 tahun.

Hatinya girang tetapi tindakannya mempelajari Islam tidak disenangi ramai di tempatnya. Ibunya, bagaimanapun riang sebab dia mula berhenti dari meminum arak. Untuk kali pertama semenjak gadis lagi, katanya dia menjadi tenang. Dia tidak memerlukan lelaki atau suami dan menunggu panggilan telefon dari lelaki-lelaki seperti yang diamalnya sebelum ini. Beliau pernah berkahwin sebanyak tiga kali. Sekarang dia seorang janda.



Namun, seorang lelaki, iaitu ulama Abu Hamzah al-Masri mengekori perkembangannya.
"Selamat datang dalam Islam," kata Abu Hamzah.

"Aku belum masuk Islam lagi," jawab Yvonne.

Mengikut Yvonne, Abu Hamzah memberitahunya agar memikir baik-baik dan memaklumkan bahawa jika beliau memerlu bantuan pendapat, hubungilah mana-mana Muslimat. "Kamu akan memasuki sebuah keluarga yang terbesar di dunia," katanya.

Abu Hamzah mengingatkan, "kalaulah esok kamu keluar rumah dan menemui kemalangan yang meragut nyawa kamu, kamu akan langsung ke Neraka!"

Yvonne terkejut kerana panggilan telefon itu datangnya dari Abu Hamzah seorang ulama Britain yang dianggap paling ganas dan mempunyai tangan bercangkuk besi. (Abu Hamzah sekarang berada dalam tahanan kerajaan Britain di bawah akta yang sama dengan ISA kita). "Sebenarnya, Abu Hamzah agak manis orangnya," beritahu Yvonne kepada hadirin dan diikuti dengan gelak ketawa.

Beliau menerangkan bahawa semenjak mengkaji al-Quran beliau mengetahui lebih jelas tentang kedudukan wanita dalam Islam. "Apa yang diperjuang oleh orang barat tentang emansipasi wanita sebenarnya telah pun termaktub dalam al quran semenjak 1,400 tahun lepas. Benar terdapat tekanan terhadap wanita di negara-negara Islam tetapi saya boleh membawa kamu ke mana-mana sudut di Tyneside dan menunjukkan bahawa di sana juga terdapat keadaan seperti itu. Tekanan adalah berbentuk budaya dan tidak Islamik. Islam menggariskan kedudukan wanita lebih tinggi," jelas beliau kepada hadirin yang dianggarkan mempunyai bilangan wanita lebih ramai berbanding lelaki.

* Yvonne Ridley dibawa ke Malaysia oleh Pertubuhan al Khadeem, sebuah pertubuhan kebajikan yang upayanya adalah untuk menyemarakkan al-Quran dan Sunnah. Siang tadi Yvonne berada di pejabat al Khadeem, Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya, khusus bertemu dengan para remaja.

Monday, November 29, 2004

BO LAYAN LA...
"APA yang you ada untuk I?"
Saya gamam apabila seseorang menangis di depan saya dan bertanya begitu. Dia seorang gadis, comel dan bergaya. Tetapi pertanyaan daripada bibir seorang yang cantik lawa dan berduit begitu menimbulkan rasa sakit dalam kepala.

"Eh, kamu kaya. Kamu boleh dapat apa yang kamu mahu. Malah kamu boleh menguasai ramai lelaki dan itu telahpun kamu buktikan selama ini. So what?" Soalan dia tidak saya jawab tetapi sebaliknya saya lontarkan soalan semula kepadanya.

Saya tidak perlu menyembunyikan rasa kasihan terhadapnya. Sudah banyak kali saya kasihaninya tetapi hasilnya serupa. Sebab itulah sudah banyak kali dia datang `mengadap' saya. Kalau dia dengar nasihat saya kali pertama tiga tahun dulu, saya rasa dia tak akan datang berjumpa saya lagi, menangis dan minta nasihat.

"Saya tak ada apa-apa untuk you. Semuanya saya dah beri. Sorry."
"Off course... thanks. Give me a call sometime... itu pun dah lebih daripada cukup," rayunya.

Okey, saya angguk. Just a call. Nak membebel beri nasihat, sorry. Banyak lagi kerja lain yang saya kena buat. Sebenarnya ramai orang yang mahukan nasihat... tetapi liat nak mengikut nasihat. Kemudian bila gagal, datang semula minta nasihat. Buat hal semula... dan datang semula minta nasihat. Haruskah orang begini kita layan?

Saturday, November 27, 2004

BRO RONN TAK PUAS!
Di kafenya tertulis:
Baru selesai membaca.
Rasa mahu kuulang,
kerana ada semacam kepuasan yang tak puas.

Thursday, November 25, 2004

Muffin Panas!

MACAM pisang goreng panas. Macam muffin panas. Tak sudah-sudah pasal gambar xxx yang tak best tu. Cerita lama dan gambar lama tahun 1999, dibongkar semula. Si Linda & Edry pun tak senang duduk.

Nanti lepas ni mesti si Siti pulak kena lagi sekali. Bukan Linda, Edry dengan Siti saja, kalau kita pun kena memang tak tau nak letak muka kat mana! Mujur Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, segera menanganinya.

Tahun 1999 polis mengesahkan gambar berkenaan adalah palsu yang menggunakan teknik pertindihan (super impose). Haa, inilah bahayanya...! Tapi kalau betullah itu teknik super impose, lainlah cerita. Apa jadi pulak yang memang gambar betul.

Gambar xxx yang dilakukan sendiri. Diedarkan sendiri. Terutama kepada kami orang akhbar dan majalah ni? Memang gambar tu tak boleh disiarkan, jadi tontonan kami saja. Engkau pandang aku, aku pandang kau. Mulut pun cepat saja mengata itu ini.

Kesudahnya yang buat dapat dosa, kita yang tengok, yang mengomen pun dapat dosa! Moral ceritanya, kena ingat balik ajaran tok guru kita tentang antara soalan Mungkar Nangkir; siapa nama kamu... apa agama kamu... Oh Tuhan, ampunkan hamba mu ini jika ini adalah fitnah dunia maya.

Wednesday, November 24, 2004

DIALOG MELAMPAU
WALAUPUN banyak pilihan tetapi kebiasaannya saya suka untuk memilih apa yang saya sudah biasa dengannya. Contoh, jika ke supermarket, saya suka ke tempat yang sama setiap kali ingin berbelanja barang-barang dapur. Sebabnya saya dah tahu susun atur barangan, mudah mendapatkannya dengan kadar segera. Tidak perlu terpusing-pusing mencari di mana garam, di mana belacan.

Begitu juga jika ke pasar malam, walau pun ramai yang menjual nasi ayam, saya akan membeli pada orang sama setiap kali saya teringin untuk makan nasi ayam. Hal yang serupa juga kalau saya mahu ke shoping kompleks, saya tetap akan ke shoping kompleks yang saya dah arif terlebih dahulu sebelum beralih ke shoping kompleks yang lain jika apa yang saya mahu tidak ada di tempat pertama tadi.

Sebenarnya kesetiaan kita terhadap sesuatu memang hak kita dan kita rasa itu bagaikan kepunyaan kita. Ia dah jadi semacam law dalam diri. Bagaimanapun apabila `hak eksklusif' saya itu mula dicabul saya akan rasa marah. Contoh - pelayan di kedai berkenaan bersikap kasar dengan kita sedangkan kita sudah menjadi pelanggan kedai itu lebih lima tahun. Atau makcik jual nasi ayam itu bermasam muka pula pada hari itu. Kita mula tertanya-tanya, eh apa salah aku...

Macamlah semalam... pekerja stesen minyak yang biasa saya langgan berkata, "akak, sini bukan kedai mamak... mana ada duit kecik pagi-pagi ni..." apabila saya hulur duit RM50 untuk mengisi minyak RM30. Eh, mata saya mula terbeliak! Saya masuk bilik pengurus dan komplen. Nasib baik dia mintak maaf sebab si polan di kaunter itu baru bekerja di situ dua minggu. Oklah saya cakap baik-baik dengan si polan, "adik... walaupun satu sen, duit pelanggan itulah nanti yang nak bayar gaji awak untuk hari ini" dan saya blah...

Tuesday, November 23, 2004

ELOK LARI SEBELUM DICEKIK
SAYA amat bersimpati dengan kisah seorang isteri yang terpaksa lari dari rumah kerana bimbang keselamatan nyawanya. (Suaminya dakwa si isteri ada teman lelaki). Malah suaminya pernah mengancam mahu membunuhnya! Tetapi walaupun dia berjaya menyelamatkan dirinya daripada dibunuh suami tetapi dia gagal menyelamatkan nyawa 3 anaknya. Ketiga-tiga anaknya mati dicekik oleh bapa mereka sendiri. Dia berjanji dengan anak-anak mahu datang semula mengambil mereka tetapi takdirnya dia datang mengambil mayat anak-anaknya!

Lebih rasa kecewa apabila diberitahu bahawa dia telah membuat 28 laporan polis tentang ugutan dan deraan suami terhadapnya. Tetapi tiada sebarang tindakan diambil. Apakah tugas polis hanya `ambil report' saja? Sebelum ini di Balakong seorang bapa telah membunuh tiga anaknya kerana kononnya kecewa apabila isterinya keluar dari rumah dan mereka dalam proses bercerai. Aduhai... sekarang ni semakin ramai yang sakit mental. Talian bantuan untuk masalah mental, sila e-mail kepada: mhm@quantumcomp.com

Monday, November 22, 2004

PIKUL TANGGUNGJAWAB
SELAMAT kembali bertugas, selamat menunaikan segala tanggungajawab yang tergendala hampir sepuluh hari. Selamat berjuang dengan masa, dengan kesibukan, dengan keletihan minda dan fizikal. Kenapa bila bercuti panjang, kita rasa boring dan alangkah seronoknya bekerja; tetapi bila masa mahu memulakan kerja, kita rasa alamak, macam nak sambung cutilah pula! Tapi itu rasa pagi tadi masa nak bangun tidur... sekarang dah boleh ngam!

Sunday, November 21, 2004

SAYA tak sempat menghantar artikel utk GT2 yang diusahakan oleh GJ hinggalah seminggu sebelum bercuti raya seseorang meletakkan naskah itu di atas meja (thanks Pupe & TR atas ingatan). Sepanjang cuti saya khatam semua tulisan... bagus. Kini GJ mempromosi pula Gathering GJ. Saya amat berharap dapat turut serta. Walaupun jadi AJK, saya langsung tak berkesempatan nak joint meeting/discussion. Bagaimanapun saya tetap akan bagi support kepada GJ jika diperlukan (Wakdin jangan risau, semua dah beres). Ok, sesiapa nak joint, dah bolehlah submit nama.

Saturday, November 20, 2004

OPEN HOUSE


SEKEJAP sahaja masa berlari, Isnin dah mula bekerja. Hari ini memenuhi beberapa undangan open house di rumah kawan-kawan dan rakan bloggers. Dapur tutuplah nampaknya, bolehlah tauke pergi berjalan-jalan berhari raya ke rumah sanak saudara dan teman-teman. Nampaknya tak boleh makan sesukanya, memang kena kawal nafsu makan. Kalau tidak terkejutlah perut setelah sebulan perjalanan `mesen' agak terkawal. Err... anda ke mana hari ini?

Thursday, November 18, 2004

MOOD HARI RAYA
SAYA masih bercuti. Suami mempelawa beberapa orang lagi kenalannya ke rumah tengahari tadi. Dari pejabat mereka terus ke rumah dengan perut kosong. Menu saya? Ala kadar sahaja, asalkan mereka kenyang dan puas hati. He hehe, nampaknya masih tak boleh tutup kedai ;-)

Tuesday, November 16, 2004

TIGA HARI RAYA
SAYA masih lagi belum menyentuh draf novel. Hari ini nampaknya masih gagal kerana sebentar lagi akan ke rumah adik kerana lunch, open house. Petang ini akan ke rumah kawan suami pula juga kerana open house. Malam pun ada jemputan. So... saya hanya menjeling saja draf novel yang kaku di meja. Sedihnya!

Monday, November 15, 2004

DUA HARI RAYA
KAMI tidak ke mana-mana, hanya di rumah menanti kawan-kawan tiba. Hari ini saya memasak mi hoon sup untuk dihidangkan kepada tetamu. Mi hoon sup ini adalah resipi utara. Mi hoonnya diwarnakan warna kuning (serbuk kunyit), ada sambal pedas (kicap dimasak dengan cili), lobak asin, daun sup, tahu goreng, cili potong dan untuk tambah selera, ada bawang goreng. Kuahnya ialah sup daging - campuran tulang, urat-urat, paru atau dipanggil juga daging tetel. Ramai juga yang datang termasuk saudara mara dan jiran-jiran, letih jugalah melayan. Saya tertidur awal kerana keletihan.



Trend berinai di kampung suami diteruskan di Kuala Lumpur. Inai kebiasaan dipakai di malam hari raya, anak beranak berkumpul untuk memakai inai. He he he, anak dara saya sibuk menumbuk inai. Saya cuma menempeknya saja ke jari. Tengok jari saya ya, jangan jeling cincin dan gelang saya. Jari Amie, berinai penuh. Saya hanya di kuku sahaja.

Sunday, November 14, 2004

HARI RAYA
WALAUPUN tidur agak lewat malam semalam kerana membuat persiapan hari raya, kami bangun awal pagi ini. Anak-anak sibuk mandi sunat hari raya dan bersiap untuk ke masjid. Saya memanaskan lauk pauk, ketupat palas dan segala urusan dapur. Siap semuanya kami ke rumah emak saya. Saya membawa hidangan - rendang Kedah dan ketupat palas. Kakak dari Pahang, abang dari Johor sudah pun tiba sejak semalam. Ya, riuh rendahlah rumah emak dengan cucu-cucunya. Itulah yang saya missed kalau berhari raya di kampung suami di Kedah. Kami bermaafan semuanya, bergambar mengikut keluarga dan kategori.

Lepas sembahyang raya (surau betuul-betul depan rumah mak) kami melayan tetamu yanga datang terus dari surau. Ramai. Kemudian barulah kami ke rumah jiran-jiran. Petang, dalam perjalanan balik ke kampung di Kelang, kami empat kereta singgah di rumah Bos saya di Kelana Jaya. Wah, ramainya.... hampir seribu orang. Kabanyakannya staf yang tak beraya di kampung dan client terdekat. Hehehe, walau di pejabat dah dapat duit raya, di sini dapat lagi duit raya....!

Thursday, November 11, 2004

SALAM AIDILFITRI



Sempena Syawal yang bakal menjelma saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Menyambut Aidilfitri kepada semua pengunjung, yang saban hari sentiasa menceriakan hari saya. Di kesempatan ini juga saya memohon ampun maaf sekiranya selama kita berhubungan, terdapat salah silap yang dilakukan sama ada secara disedari atau tidak. Berhati-hati di jalanraya kerana kita masih ingin berjumpa selepas Aidilfitri nanti. Semoga Syawal ini membawa berkat untuk semua.

* Saya mungkin tidak dapat mengemaskini blog ini untuk beberapa hari memandangkan cuti panjang sempena sambutan Aidilfitri ini. Sekian, salam