Wednesday, December 1, 2004

YVONNE RIDLEY
BERIKUT adalah tulisan bos saya, Fickry Haji Yaacob. Saya telah melakukan sedikit editing tetapi tidak menjejaskan jalan cerita. Silalah menghayatinya:

Ahad, 28 November 2004 jam 3.30 petang bertempat di Convention Centre, Berjaya Times Square, Bukit Bintang telah berlangsung satu majlis pertemuan bersama Sister Yvonne Ridley, seorang wartawan bekas tawanan Taliban. Tajuk talk show itu ialah 'From Convict to Convert'. Beliau merupakan wartawan Sunday Express, UK dan pada bulan September 2001 telah diseludupkan dari Pakistan ke perbatasan Afgahanistan.

Dalam majlis itu beliau memberitahu bahawa sebagai wartawan akhbar mingguan, tugasnya lebih mencabar. Sudut tulisannya hendaklah lebih daripada apa yang terhidang oleh akhbar harian. Ia mesti lebih eksklusif dan mendalam. Itulah yang mendorongnya masuk ke Afghan sungguhpun beberapa hari sebelum itu semua wartawan telah diusir oleh kerajaan Taliban kerana serangan Amerika amat ketara.



Rahsianya terbongkar apabila keldai yang ditunggangnya membuat pergerakan melampau menyebabkan kameranya terdedah di hadapan seorang seldadu Taliban di Jalalbad. Sebelum itu beliau biasa menunggang kuda tetapi tidak pernah bermasalah. Dalam Convention Centre, Berjaya Times Square, Bukit Bintang itu, dengan senyum beliau berkata sebenarnya beliau lebih yakin menaiki keldai berbanding kuda walaupun keldai lebih kecil dan mempunyai empat kaki macam kuda.

Apabila askar mendekatinya, fikirannya menggambarkan betapa kacaknya lelaki muda bermata hijau yang berjanggut lebat itu. Tetapi, ia bertukar menjadi menggerunkan selepas itu. (Dia bertemu kembali lelaki itu selepas beliau dibebaskan. Lelaki itu melambai kepadanya).

Dalam pertemuan Ahad lalu, beliau menceritakan situasinya hari demi hari semasa ditahan. Beliau menceritakan bagaimana beliau merindui anak perempuannya yang berumur 9 tahun dan bagaimana permintaannya agar diberi peluang menghubungi anaknya melalui telefon tidak dilayan.

Pada hari pertama ditahan, beliau bertindak mogok lapar. Ketua tukang masak datang bertanyakan sebab; adakah kerana masakannya tidak sedap? Esoknya, beliau teruskan mogok itu. Mereka datang lagi menawarkan makanan sedap-sedap dari hotel kalau beliau mahu. Beliau berkata tidak akan makan walau bagaimana sedap pun makanan kecuali beliau diberi telefon untuk menghubungi keluarganya. Mereka masih enggan. Beliau bertindak marah lalu meludah pengawal.

Tindakan itu menyebab seorang pegawai wanita datang membawa sebuah telefon bimbit. Pegawai Wanita Taliban itu memberikan setiap orang peluang berhubung dengan orang yang dikehendaki kecuali Yvonne. Tindakan ini ialah untuk membalas perbuatannya meludah pegawai Taliban. Hatinya makin geram. Di dalam sel itu terdapat beberapa tawanan lain termasuklah tiga orang pendakwah Kristian.

Di dalam penjara Yvonne kehairanan kerana diberikan kunci selnya dan bebas bergerak di perkarangan penjara. Beliau terfikir bagaimana dia mendapat layan begitu dari sebuah kerajaan yang termundur dan paling ganas di dunia sedangkan di penjara Abu Gharib, tawanan Iraq dilayan seperti binatang oleh sebuah kerajaan paling maju dan bertamadun di dunia? Beliau juga terkenangkan layanan ke atas tawanan di Guantanamao Bay, Cuba.

Setiap hari beliau memerhatikan tiga orang tawanan Kristian menyanyi hymn (kalau kita nasyid) diiringi gitar yang dibekalkan Taliban. Kemudian beliau mendapat tahu bahawa Taliban berbuat demikian kerana mereka adalah pengikut agama Ahli Kitab. Taliban mengamalkan kebebasan beragama. Mereka hanya ditegah dari memurtadkan orang Islam. Hatinya mula berubah sedikit terhadap Taliban.

Di dalam soal siasat seterusnya pada hari-hari berikut beliau telah ditanya tentang Islam. Hatinya berbelah bagi kalau kutuk Islam, mungkin kepalanya dipancung. Beliau ditanya berminatkah untuk memeluk agama Islam? Beliau dengan tegas menjawab tidak kerana tidak tahu apapun tentang Islam tetapi berjanji akan mengkaji al-Quran jika dibebaskan.

Beliau menceritakan peristiwa pada suatu hari semasa dalam tahanan - beliau membasuh baju-bajunya termasuklah seluar dalam dan menjemur basuhannya itu. Perbuatannya mengundang kemarahan pengawal. Mereka meminta beliau menurunkan seluar dalam yang dijemurnya dengan alasan seluar dalam itu mengotorkan jiwa anggotanya. Beliau enggan, lalu meminta mereka mengalihkan pandangan daripada melihat seluar dalam itu selama beberapa jam sehinggalah beliau menurunkannya apabila kering nanti.

Peristiwa itu menggemparkan penjara kerana Timbalan Menteri Dalam Negeri Afghanistan terpaksa mengarahkannya supaya menurunkan jemuran itu atas alasan pegawainya terpaksa memantau pergerakan tahanan. Yvonne mengulas sehingga menggegarkan Dewan Convention Centre, Berjaya Times Square, Bukit Bintang dengan ketawa bahawa, seluar dalamnya bukanlah seksi dan jarang tetapi suatu yang besar, tebal dan labuh.

Katanya, sebuah negara yang sedang menghadapi ancaman dibom oleh sebuah negara termaju di dunia, tetapi menterinya lebih memikirkan masalah seluar dalamnya mengotori fikiran askar Taliban. Kalaulah begitu, kata Yvonne, Amerika hanya perlu mengebarkan seluar-seluar dalam sahaja untuk mengalahkan Taliban dan menawan Afghanistan. "Tentu tentera Taliban akan lari lintang-pukang melihat seluar dalam!" Jelas beliau.

Apabila pulang ke tanahairnya, beliau terpegun tatkala menyentuh al-Quran dan mendapati tidak setitik dakwat berbentuk koma atau noktah yang berubah dari teks asalnya. Ia tetap bersih dan murni dari sebarang pindaan selepas lebih dari 1,400 tahun.

Hatinya girang tetapi tindakannya mempelajari Islam tidak disenangi ramai di tempatnya. Ibunya, bagaimanapun riang sebab dia mula berhenti dari meminum arak. Untuk kali pertama semenjak gadis lagi, katanya dia menjadi tenang. Dia tidak memerlukan lelaki atau suami dan menunggu panggilan telefon dari lelaki-lelaki seperti yang diamalnya sebelum ini. Beliau pernah berkahwin sebanyak tiga kali. Sekarang dia seorang janda.



Namun, seorang lelaki, iaitu ulama Abu Hamzah al-Masri mengekori perkembangannya.
"Selamat datang dalam Islam," kata Abu Hamzah.

"Aku belum masuk Islam lagi," jawab Yvonne.

Mengikut Yvonne, Abu Hamzah memberitahunya agar memikir baik-baik dan memaklumkan bahawa jika beliau memerlu bantuan pendapat, hubungilah mana-mana Muslimat. "Kamu akan memasuki sebuah keluarga yang terbesar di dunia," katanya.

Abu Hamzah mengingatkan, "kalaulah esok kamu keluar rumah dan menemui kemalangan yang meragut nyawa kamu, kamu akan langsung ke Neraka!"

Yvonne terkejut kerana panggilan telefon itu datangnya dari Abu Hamzah seorang ulama Britain yang dianggap paling ganas dan mempunyai tangan bercangkuk besi. (Abu Hamzah sekarang berada dalam tahanan kerajaan Britain di bawah akta yang sama dengan ISA kita). "Sebenarnya, Abu Hamzah agak manis orangnya," beritahu Yvonne kepada hadirin dan diikuti dengan gelak ketawa.

Beliau menerangkan bahawa semenjak mengkaji al-Quran beliau mengetahui lebih jelas tentang kedudukan wanita dalam Islam. "Apa yang diperjuang oleh orang barat tentang emansipasi wanita sebenarnya telah pun termaktub dalam al quran semenjak 1,400 tahun lepas. Benar terdapat tekanan terhadap wanita di negara-negara Islam tetapi saya boleh membawa kamu ke mana-mana sudut di Tyneside dan menunjukkan bahawa di sana juga terdapat keadaan seperti itu. Tekanan adalah berbentuk budaya dan tidak Islamik. Islam menggariskan kedudukan wanita lebih tinggi," jelas beliau kepada hadirin yang dianggarkan mempunyai bilangan wanita lebih ramai berbanding lelaki.

* Yvonne Ridley dibawa ke Malaysia oleh Pertubuhan al Khadeem, sebuah pertubuhan kebajikan yang upayanya adalah untuk menyemarakkan al-Quran dan Sunnah. Siang tadi Yvonne berada di pejabat al Khadeem, Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya, khusus bertemu dengan para remaja.

No comments: