Saturday, December 4, 2004




+gathering gengjurnal 2004/2005


WARTAWAN AKUI MEDIA BARAT SELEWENG FAKTA
BAGI memenuhi permintaan pembaca yang inginkan kisah tentang Yvonne Ridley, di sini disiarkan tulisan sahabat saya, wartawan Osman Lisut yang tersiar di Harian Metro beberapa hari lalu. Begitu juga untuk CT Musafir yang berada di UK di mana kisah tentang Yvonne Ridley tidak langsung diterbitkan di sana.

KUALA LUMPUR: Media Barat didapati sengaja memutarbelitkan fakta sebagai menunjukkan sesuatu keadaan memihak kepada mereka walaupun tidak mempunyai asas berbuat demikian. Wartawan Perang Britain, Yvonne Ridley (gambar), berkata pengalaman beliau ketika ditahan Taliban selama 10 hari ketika membuat tugasan di Kabul, Afghanistan, 28 September 2001 mendapati apa yang digembar-gembur rakan seperjuangan nyata lari daripada realiti sebenar.

"Saya tidak faham definisi sebenar pengganas yang dimaksudkan Amerika Syarikat dan sekutunya hingga mereka berleluasa boleh menyerang musuh tanpa mengira sama ada kanak-kanak dan wanita.

"Saya sendiri melihat penderitaan dan kesengsaraan rakyat Afghanistan akibat serangan Amerika Syarikat dan Britain dalam usaha menghapuskan Osama serta pengaruh Taliban di negara itu.

"Didapati rakyat Afghanistan sentiasa berada dalam ketakutan, walhal ketika pemerintahan Taliban mereka begitu selesa mengikut peraturan dan undang-undang Islam,” katanya pada sidang media di Al-Khaadem di sini, semalam.

Ridley yang juga bekas Penolong Pengarang Daily Mirror di London hadir ke Malaysia selama lima hari, bermula semalam, untuk memberi ceramah di atas sokongannya terhadap pengumpulan dana kewangan bagi pembinaan Darul Amal, Al-Khaadem.

Beliau berkata, antara penipuan yang dilakukan ialah sebagai contoh Fox News, yang memaparkan perempuan Kabul membuka hijab, sementara lelaki cukur janggut ketika zaman Taliban.

"Kedua-dua perbuatan berkenaan dilarang sama sekali ketika pemerintahan Taliban. Apa yang saya difahamkan, sebenarnya adalah satu penipuan besar petugas media Barat dengan membayar AS$50 (RM190) setiap seorang," katanya.

Ridley berkata, apa yang mengecewakannya ialah kerajaan Afghanistan di bawah kuasa Amerika Syarikat langsung tidak mengendahkan industri seks kanak-kanak, malah tidak mengambil tindakan ke atas pengusahanya.

"Jika pada zaman Taliban hanya lima kes rogol dilaporkan setahun, tetapi apabila jatuhnya kerajaan itu ada lebih 100 kes rogol termasuk kanak-kanak. Begitu juga lambakan buku lucah yang didatangkan dari Barat nyata meningkatkan lagi kejatuhan moral rakyat Afghanistan," katanya.

Katanya, apa yang dilihat hasil kejayaan Amerika Syarikat menawan semula Afghanistan ialah penanaman popi dan menjadikannya pengeluar 80 peratus candu dunia.

Mengenai sentimen anti-Islam oleh Barat, Ridley berkata, sebenarnya negara kapitalisme serta imperialisme yang menolak Islam dan bukannya fahaman agama.

"Sebagai contoh Amerika Syarikat ingin menguasai laut, ruang udara dan darat yang menggunakan ketenteraan untuk tujuan itu. Begitu juga Israel yang juga antara 10 teratas negara sekular di dunia.

"Sebenarnya tidak timbul fahaman agama seperti Khatolik mahupun Yahudi menentang orang Islam. Apa yang dilakukan mereka ialah untuk menguasai dunia dan perdagangan.

"Amerika ataupun Britain sebenarnya tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk melancarkan serangan yang nyata membawa kemusnahan serta kehilangan nyawa,” katanya.

Beliau berkata, menyedari kesilapan berkenaan, wartawan Barat pernah menghantar memorandum ke Pentagon bagi mendesak supaya tidak dilakukan peperangan ke atas Iraq, namun tidak diendahkan.

No comments: