Wednesday, September 30, 2015

TERBIT KARYA

PROSES TERBIT KARYA | Suatu yang retorik apabila ada yang mengatakan susah mahu mellihat karya sendiri terbit. Susah mahu menjadi novelis. Susah mahu menjadi cerpenis.

Benarkah tambah susah kalau mahu melihat hasil penulisan terbit dan diiktiraf (tidak kira online apalagi offline ?


Jika terbukti berbakat, komited dan patuh disiplin, ikut sifir saya ini:
1. Berjinak dalam dunia penulisan. Ikuti kursus.
2. Berkawan dengan mereka yang sama minat.
3. Berbaik dengan Editor dan penerbit. Ketahui arah tuju atau fokus mereka.
4. Untuk permulaan jangan impi sangat mahu terbit buku secara individu.
5. Bergabung bersama penulis lain, sebaiknya tiga atau empat penulis lain.
6. Dengan Penerbit X, terbit secara kompilasi itu, bantu membantu rakan kompilasi.
7. Lama kelamaan nama anda akan menonjol. Ini sukses tahap satu.
8. Bawa buku kompilasi itu jumpa Penerbit Z yang tarafnya tinggi sedikit berbanding Penerbit X.
9. Yakinkan Penerbit Z dengan pelan (rancangan) kejayaan anda.
10. (.... sila sambung sendiri)

* Mahu sifir penulisan lagi? Jika saya dapat lebih 10 Like dan komen MAHU di ruang komen, nanti saya sambung lagi segala tip penulisan.

* Saya terangkan hal ini sekali lagi kerana ramai yang inbox, kurang faham status yang lalu.

Saturday, September 26, 2015

GAMBAR ATAU CERITA?


Terdapat beberapa jenis buku untuk kanak-kanak. Penulis dan pelukis buku kanak-kanak harus faham betul-betul hal ini. Ada buku kad, buku bermuzik, buku berstiker, buku kolaj, buku poster dan sebagainya.


Saya sentuh dua hal ini dulu:
1. Buku Bergambar untuk Kanak-kanak
2. Buku Bercerita untuk Kanak-kanak



Sangat MUDAH menulis buku kanak-kanak. Ayat pendek.
Cepat siap dan permintaan tinggi tapi ada PERATURAN KETAT.


Buku Bergambar - mengandungi banyak gambar-gambar menarik, berwarna-warni dan kurang tulisan. Kadang-kadang satu muka surat penuh dengan gambar sahaja. Hanya sebaris sahaja t ulisan.



Buku Bercerita - mengandungi banyak teks, kurang gambar. Teksnya pula sesuai dengan usia kanak-kanak. Tidak ada perkataan imbuhan, tidak ada tulisan yang berdialog panjang.

Jika ada soalan, nyatakan di ruang komen ya.

* Gambar ini sebahagian contoh buku untuk kanak-kanak dari seluruh dunia. Saya snap ketika menghadiri Bologna Childrens Book Fair, April 2015, Bologna, Itali.

ANTOLOGI


Meletakkan nama kita pada kulit buku di rak bukan satu kerja mudah. Apalagi saban hari banyak buku baru muncul dengan pelbagai nama penulis..
Jikalau kita belum mampu menghasilkan buku sendiri atas nama sendiri, saya nasihatkan supaya bergabung dahulu dengan orang lain (penulis bersama/antologi).
* Apa yang penting nama kita sudah ada di rak. 
* Popularkan dulu nama kita dengan dua tiga buku.
* Kemudian baru fokus untuk buku atas nama sendiri.

Friday, September 25, 2015

CERPEN YANG BAGUS

Antara kriteria cerpen yang bagus ialah:

1. Bahasa yang baik.
2. Plot (jalan cerita) yang mantap
3. Watak dan perwatakan yang kukuh
4. Dialog yang `melawan'
5. Penutup yang luar jangkaan

Terkini saya sedang membaca dan membuat penilaian beratus manuskrip cerpen untuk pertandingan cerpen anjuran Yayasan Basmi Kemiskinan. Pelajar yang menyertainya ialah dari Tingkatan 4 dan 5 seluruh negeri Selangor.

Tidak memeranjatkan! Mereka boleh menghasilkan cerpen yang baik dan mengandungi ciri-ciri sebuah cerpen yang mantap. Walaupun temanya klise mengenai kemiskinan namun ada yang tampil dengan idea yang luar biasa.

Meskipun kebanyakannya mempunyai masalah naratif yang panjang dan dialog yang `tidak melawan' namun saya seronok membacanya.
Ingat, mereka baru berusia 16 dan 17 tahun!

* Jika ada kemusykilan mengenai cerpen, tulis di ruang komen.

Tuesday, September 15, 2015

BOOK2U

Satu inovasi dalam pengedaran dan promosi buku-buku terbitan Grup Buku Karangkraf akan bermula dengan siapnya sebuah lori bergerak yang dinamakan BOOK2U.
InsyaAllah selepas ini akan ada beberapa buah lagi lori sebegini yang sedang dalam peringkat pengubahsuaian.


 BOOK2U akan sampai ke sekolah-sekolah, Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, pameran buku, di pejabat, kilang, ke premis anda - ke mana sahaja kami dijemput.


Apa komen... Anda suka?
* Model hari ini menggayakan pakaian yang dinamakan Baju Kurung moden berlukisan batik Terengganu daripada kain crepe



Projek Alternatif


Daripada facebook Cik Puan Rahmah, saya kongsi teks dan gambar ini.
Semalam ada sesi bincang santai di foodcourt.
Rezeki, saya mewakili Nuun Creative Books ke sini.


Pertama kali bersua dengan rakan-rakan seangkatan yang selalunya hanya ditemui dalam FB.
Cerita hal-hal penerbitan alternatif dan belajar etika penerbitan secara tidak langsung dengan Puan Sri Diah Shaharuddin.
Salam perkenalan, Tuan Azlan Ismail dan team!




Buku Kedua



Izman Pauzi bertanya: Berapa lamakah tempoh untuk seorang penulis menghantar manuskrip baharu setelah karya pertamanya diterbitkan bagi syarikat penerbitan yang sama?

Jawapan saya:
1. Apabila penulis sudah menghantar manuskrip pertama kepada Editor dan pihak penerbit sudah setuju untuk terbitkan, penulis sudah boleh meneruskan menyambung manuskrip kedua - yang selama ini ditinggal sementara untuk memberi fokus kepada manuskrip pertama.

2. Apabila manuskrip pertama SUDAH TERBIT - ambil tempoh sekurangnya enam bulan sebelum menghantar manuskrip baru.

3. Ini kerana pihak editor dan penerbit sedang memberi fokus promosi dan pemasaran. Penerbit juga sedang melaksanakan kempen jualan terhadap buku pertama itu.

Jika tempoh buku pertama dan kedua sangat rapat, ia akan memberi kesan buruk terhadap buku pertama. Maksudnya buku pertama tidak luas lagi jualannya, sudah terbit buku kedua.

* Melainkan buku pertama dan buku kedua mesti dikeluarkan dalam waktu dekat kerana sekuelnya - ini kes lain.

Sri Diah (Edt)


Pekerjaan sebagai Editor adalah satu bidang tugas profesional. Ia sama seperti tugas doktor yang ada gelaran (Dr) pada pangkal nama atau Insinyur (Ir).
Terbaharu: Persatuan Editor Malaysia (PEM) telah menyelesaikan pembangunan latihan Editorial Tahap 1 hingga Tahap 5 (tahap 4 sedang dikaji). Perkara ini perlu dilihat serius kerana kebanyakan editor tidak mendapat pendidikan formal bidang editorial sebelum menjawat tugas editor di organisasi penerbitan.
Setakat ini belum ada latihan untuk profesion editor di Malaysia dengan melalui proses pensijilan profesional yang teratur.
Piihak Dewan Bahasa dan Pustaka telah diputuskan sebagai pusat akademi mengendalikan latihan dan memberi pentauliahan kepada Editor. Pentauliahan ini akan melayakkan Editor menerima gelaran (mungkin Edt) di hujung nama.
Contohnya: Sri Diah Shahaharuddin (Edt) - cadangan.

Monday, September 14, 2015

Hakcipta Penulis

Saya ingin menjawab soalan mengenai hakcipta:
Thanusya bertanya:
Salam sejahtera. Boleh akak jelaskan mengenai hak cipta? Khususnya, mengenai karya edisi terhad. Adakah Edisi terhad bermakna tiada cetakan lagi?
Kalau sebuah buku itu dicetak dan pada bahagian hak cipta tertulis cetakan pertama, adakah buku itu akan dicetak lagi?
Kalau penulis buku tak terima surat atau kontrak penerbitan tetapi hanya telah menandatangani surat pengesahan penerbitan, macam mana?

Jawapan saya:
Setiap penerbit berbeza dengan penerbit yang lain. Bukan sahaja berbeza daripada hal inhouse editorial, berbeza juga dalam sistem pentadbiran dan berbeza juga hala tuju syarikat masing-masing.
Namun secara umumnya hakcipta masih tertakluk kepada undang-undang hakcipta dan semua pihak (penulis, penerbit dan pencetak) dilindungi. (Sila rujuk buku tulisan Puan Nisah Haron: Penulis dan Undang-Undang Hakcipta)
Mengenai karya edisi terhad - ia tetap tertakluk kepada akta hakcipta penuils. Penulis asal tetap mempunyai hak penuh terhadap karyanya itu.
Edisi terhad kemungkinan akan diterbitkan lagi dan lagi jika buku berkenaan sudah habis dan semakin ada permintaan. Penerbit akan mencetak lagi dan lagi.
Fungsi edisi terhad ada ketikanya untuk menguji pasaran. Atau diterbitkan 100 naskhah dahulu untuk keperluan masa itu tetapi akan diterbitkan lagi jika ada permintaan.
Kontrak penerbitan - perjanjian penerbitan mesti ditandatangani oleh penulis sebelum karya diterbitkan.

Sunday, September 13, 2015

Novel Cinta?

Hari ini saya menjawab pertanyaan ini:
Siti Zulaihah Abd Karim bertanya:
nak tanya kak sri diah... trend skrg kan semua suka novel cinta.. adakah bermakna penulis perlu masukkan juga unsur cinta untuk menarik pembaca? kadang2 terfikir, kalau tak letak unsur cinta mungkin buku tak laku
* Paling utama saya nak tegur ialah gaya tulisan Siti Zulaihah. Saya nasihatkan supaya menulis dengan ejaan yang betul. Perhatikan penggunaan tanda dan simbol yang digunakan. Banyak yang salah. Menulis dengan ejaan dan tanda yang betul sebenarnya melatih kita menghasilkan tulisan yang bagus.



Jawapan saya:
Memang trend sekarang kebanyakan pembaca suka membaca novel cinta namun tidak bermakna genre lain tidak laris. Penulis boleh menulis genre cinta tetapi mestilah kisah cinta yang ada maruah. Cinta yang jujur bertangungjawab dan tidak memperlekeh orang lain. Pendek kata, cinta yang tidak klise atau murahan.
Genre cinta tidak semestinya disampaikan dalam bahasa slanga atau menggunakan bahasa orang muda dan campur aduk bahasa Melayu dan Inggeris.
Penulis boleh masukkan adengan cinta dalam novel tetapi ia bukan 70 peratus daripada keseluruhan isi cerita. Jadikan kisah cinta sebagai pencetus untuk plot berkembang dan watak-watak menjadi terinspirasi untuk menggerakkan cerita.
Untuk buku menjadi laris, ada banyak resipinya. Paling penting ialah isi yang bagus, promosi yang aktif, hubungan baik penulis dan pembaca dan banyak lagi perkara lain.

Saturday, September 12, 2015

Edit Manuskrip

NASIHAT |
Apabila Tim Editorial meminta manuskrip dibaiki, bukan bermakna karya itu ditolak. Editor meminta tulisan diibaiki dengan beberapa alasan munasabah. Mungkin:
- Manuskrip itu hebat dan tidak sesuai dengan rumah penerbitan itu.
- Manuskrip itu biasa-biasa saja. Mohon dibaiki. Diberi nilai tambah. Mantapkan mana isi penting yang longgar. Teliti semula fokus penulisan. Sasarkan arah tuju penerbitan itu. Fikirkan strategi jangka masa panjang ke atas karya itu.
- Manuskrip itu tidak mahu diterbitkan kerana bimbang akan memberi kesan buruk kepada penerbit, pencetak, pengedar dan pembeli. Penerbit tidak mahu terbabit dengan impak negatif dan kontroversi.
- Manuskrip itu memang tidak layak diterbitkan kerana akan membawa rugi kepada penerbit. Mungkin juga tidak berkualiti.
* Saya perhatikan ramai yang meroyan dengan status yang macam-macam apabila Editor tidak menerima karya mereka. Padahal yang sebenarnya ialah - Editor suruh baiki. Ketatkan mana yang longgar. Tambah lagi beberapa point penting dan lain-lain lagi
.

Mengenai sebahagian tugas editor di sini :

Friday, September 11, 2015

Emosi dan Nafsu



heart emoticon Emosi mengatakan buku yang kita baca itu bagus atas dasar ilmunya yang mantap, watak yang berakhlak, bahasa yang baik, plot yang cerdik dan kesudahan yang cukup sempurna.

heart emoticon Nafsu mengatakan perempuan itu cantik atas dasar rupanya. 
heart emoticon Akal mengatakan perempuan itu cantik atas dasar ilmu dan kepintarannya.
heart emoticon Hati mengatakan perempuan itu cantik atas dasar akhlaknya.

* Gambar cantik karya jurufoto Indonesia, Genta Gunadi. Mantap!

Panduan Menulis


PANDUAN | Segalanya bermula dengan suka membaca terutama karya pengarang hebat. Saya kenyang jika pembacaan saya sempurna dan boleh lena tidur jika puas dengan hasil bacaan smile emoticon

- Saya meletak garisan merah pada setiap ayat yang saya suka.
- Saya menanda bulatan merah pada setiap kata kunci (point penting) untuk sambungan ayat seterusnya.

Point itu penting sebagai satu loncatan ke mana dan bagaimana ayat seterusnya mesti disambung. Perkara ini selalu ditemui dalam karya pengarang besar.

Contohnya apabila penulis menulis:

Dua mata hitam adalah matahati yang biru
dua mata hitam sangat kenal bahasa *rindu.

* Rindu bukanlah milik perempuan melulu
dan keduanya sama tahu, dan keduanya tanpa malu.

>>> Kata kunci di sini ialah RINDU (rindu baris kedua itu menjadi ayat baru bagi paragraph baru. Perkataan *rindu diulang lagi)

- Ayat di atas adalah petikan puisi karya: Sutardji Calzoum Bachr

AMARAN KERAS:
Jangan tiru bulat-bulat! Oleh kerana kesedapan ayat dan pilihan kata-kata, ramai yang terpengaruh dan menyalinnya dalam karya sendiri. Itu namanya meniru. Ini silap besar!

Boleh ambil idea yang saya sarankan, tetapi mestilah menggunakan ayat sendiri.

Puisi Kontot

Ini adalah lakaran sebuah cerpen yang tersiar di Majalah Mingguan Wanita. 
Bagi sesebuah karya fiksyen (cerpen terutamanya) lakaran ini banyak membantu pembaca menghayati cerpen yang dibaca.
Lakaran ini biasanya dibuat oleh in-house artis. Konsepnya ialah potret (bukan karikatur). Imej sebegitu amat sesuai, apalagi untuk majalah yang khusus untuk orang perempuan membacanya.
Heheh... cuba perhatikan lakaran illustrasinya wanita yang bertudung itu mirip muka siapa?
* Cerpen yang tersiar di Majalah Mingguan Wanita minggu ini ialah hasil karya Asmah Hashim.
Saya mengindahkan gambar ini dengan serangkap puitot (puisi kontot) saya yang terzahir sepontan. Salam hujung minggu buat semua.


Monday, September 7, 2015

Melipat Jarak - Sapardi


Usai membaca Novel Hujan Bulan Juni
Kini menanti Sepilihan Sajak Melipat Jarak
- Karya terbaharu Sapardi Djoko Damono (baru terbit)

Terima kasih Bos Hasri Hassan dari Kota Buku
Bawa pulang dari Pesta Buku Indonesia

Semenjak awal penulisan lebih 30 tahun lalu, saya memang sangat terbiasa malah terpengaruh dengan karya dari Indonesia. Satu-satunya kedai yang menjual banyak buku Indonesia di KL ialah di Pustaka Antara, Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Saya pesan di kaunter. Mereka order melalui pos. Memakan masa yang lama waktu itu - hampir sebulan baru saya dapat buku yang saya mahu. Minat saya waktu itu antaranya karya Pipiet Senja, Marga T, Mira W, La Rose, Motinggo Busye dll

Sunday, September 6, 2015

Karya Salvador Dali

Saya menghadiri pemukiman dua hari satu malam di Pullman Bangsar, KL untuk sesi bersama Majlis Pentadbir Malaysia Press Institute (MPI) yang membincangakan mengenai katergori hadiah-hadiah kewartawanan termasauk Anugerah Kajai dan penajaan Petronas untuk tahun-tahun akan datang.

Dan tidak menyangkan di Level 6, Pullman Bangsar itu saya temui karya pelukis satira dan berani, Salvador Dali yang terkenal seluruh dunia itu. Cuba anda t afsir yang beliau fikirkan ketika menghasilkan karya ini..

Apakah kita selalu terperangkap antara pandangan mata kasar dan mata batin? 
Mungkin apa yang dipandang belum tentu itu rupa sebenar... 


Malam ini ada mata yang memandang
Dan jiwaku terbang!

Abd Latip Talib Penulis Buku Sejarah Islam

Jadi kenangan sungguh gambar ini - saya bersama Penulis Prolifik Abdul Latip Talilb yang menulis genre sejarah dan pahlawan Islam. Gambar ini ketika kami hadir dalam satu majlis anjuran Kedai Buku Popular. Komen-komen pada gambar ini sangat mengusik nostalgiia.

Kami berkenalan sejak tahun 1984 rasanya. Seingat saya waktu itu beliau belum lagi menulis buku-buku sejarah tentang ketokohan pahlawan Islam. Ketika itu beliau banyak menulis cerpen dan novel dan baru berjinak-jinak menulis novel sejarah.

Beliau mahu menerbitkan buku-buku sejarahnya bersama Karangkraf namun ketika itu Karangkraf belum lagi membuka genre buku sejarah. Lalu saya cadangkan beliau menghantar manuskrip itu keapda pihak PTS. Ya, pihak berkenaan menerimanya!

Semenjak itulah beliau terus menulis bersama PTS dan karyanya kini sudah sangat terkenal ke seluruh dunia kerana ada antara judul karnya beliau sudah diterjemah kepada bahasa asing. Tahniah !



* Tetapi sekarang Pak Latip sudah ramai kekasih baru 

Thursday, September 3, 2015

Provokasi



Berhenti provokasi hal orang lain. Berhenti bercakap buruk orang lain. Jangan jebak orang lain dalam idea dan fikiran kita yang mungkin betul pada kita tetapi tidak diterima orang lain. 

Reset dan perbaiki diri sendiri. Tambah ilmu. Cabar id, ego dan super ego kita supaya sentiasa menjadi gelas yang tidak penuh-penuh.

* Rumah Almarhum Buya Hamka dan pemandangan indah Tasik Maninjau, tetap manis dalam kenangan! AlFatihah untuk rohmu semoga damai sejahtera di negara abadi.