Monday, November 28, 2011

NOSTALGIA BANJIR
KETIKA kecil dulu kami sekeluarga tinggal di kawasan perumahan setinggan di pinggir bandar Kuala Lumpur. Walaupun berada di pinggir bandar,  di Cheras (Kampung Konggo) keadaan waktu itu (antara tahun 1965-1970) tidaklah seperti sekarang. Kami menggunakan air perigi atau air lombong. Kami juga gunakan lampu minyak tanah atau lampu gasolin.

 Saya bersama abang dan adik bergambar bersama abah dan 
kami antara yang kerap bercerita kisah silam, segalnya manis belaka...

Oleh kerana rumah terletak di tepi lombong, apabila hujan turun dengan lebatnya, berlaku jugalah banjir apabila air lombong itu melimpah dan masuk ke dalam rumah. Suasana ketika itu bagi saya yang masih berusia lingkungan 7 - 10 tahun, amatlah menyeronokkan walaupun basah lencun, tilam hanyut, pinggan mangkuk tenggelam dan sebagainya.


Namun air cepat surut. Seharian sahaja, esoknya sudah kering semula. Kerja-kerja membersihkan rumah juga menyeronokkan. Bekas mengisi air yang disimpan semalaman amat membantu kerja-kerja membersih rumah. Habis mangkuk, baldi, besen, bekas minuman kami tadahkan dengan air hujan. Air itulah yang diguna untuk membasuh rumah, menjemur tikar getah, menjemur tilam dan bantal.

Anak-anak sekarang tidak merasai susah kami ketika masih sebaya usia mereka... kami masuk hutan ambil kayu api, mengambil air telaga di bawah bukit, mengutip paku pakis dan pucuk api di kebun... bila hujan reda, esoknya masuk ke hutan mencari cendawan...


Abah yang dipanggil Tok Din oleh cucu-cucu... 

Namun banjir hari ini bukan calang-calang. Nyawa menjadi galang gantinya. Ada rumah yang tenggelam sampai ke bumbung, ada yang hanyut. SubhanAllah, besar sungguh kuasa-MU Ya Allah... kami berlindung di sebalik kekuasan-MU.

Ah... segalanya nostalgia. Sangat manis untuk dikenang. Baca kisah banjir yang saya alami di pantai timur >>> (di sini)<<<. Ada suka, ada duka... namun kenalah lihat pada jumlah yang beribu-ribu mangsa yang terbabit dan berjuta-juta ringgit yang terpaksa disediakan untuk menghadapi masalah banjir. Salam

No comments: