Friday, January 25, 2008

SENYUM MANIS WANITA BERSUMBING EMAS
DULU
emak saya berkata, tangan yang menggocang buai itulah yang akan menggocang dunia. Tetapi sekarang emak saya memberi amaran, jangan guna lagi kata-kata itu. Sebabnya zamannya dulu, tangan yang menggocang buai ialah tangan ibu kandung, tetapi sakarang tangan yang menggoncang buai ialah tangan bibik-bibik, tangan pembantu rumah… saya tersenyum sahaja apabila mendengar kata-kata emak itu.

Wanita hari ini ialah wanita kerjaya yang setiap hari keluar bekerja. Anak-anak ditinggalkan dalam tanggungjawab pembantu rumah. Bagaimanapun tanggungjawab itu tidak diberikan seratus peratus. Mengawal pendidikan, membentuk sahsiah diri dan tanggungjawab memberi ajaran agama tetap di atas pundak ibu kandung.

Nama pun pembantu rumah, mereka hanya membantu. Adalah salah jika seorang ibu itu menyerahkan semua tanggungjawab mereka ke bahu pembantu rumah Jika tersilap asuhan, si ibu patut dipersalahkan. Jika tersilap didikan, pembantu rumah tidak wajar dipersalahkan sebaliknya kesilapan itu adalah kesilapan wanita itu sendiri.

Alangkah besarnya tanggungjawab wanita bekerja. Bak kata seorang teman lelaki, kasihan golongan wanita, "hari-hari mereka bekerja, kemudian di rumah dikerjain pula.." Sebenarnya seberat mana pun tanggungjawab, wanita harus memikulnya kerana telah memilih untuk bekerja dan sama-sama memikul amanah besar untuk membantu keluarga. Ini kerana mereka mahu menggunakan segala ilmu yang diperolehi daripada hasil pendidikan yang diberikan kerajaan. Rugilah belajar tinggi tetapi duduk di ceruk dapur.

Semasa menyertai lawatan sambil belajar ke Uzbekistan ketika dalam pemerintahan Soviet Union pada tahun 1990 dahulu, saya dapati wanita di sana benar-benar tertekan dan mesti mengikut arahan pemerintah. Mereka yang bekerja ialah yang layak sahaja. Jika tidak mereka diwajibkan duduk sahaja di rumah, menjaga keluarga. Jelas dengan arahan itu negara berkenaan tidak berkembang maju. Wanitanya bagaikan tertekan, dengan tiada pekerjaan mereka gagal mengguna pakai kebolehan yang ada. Tiada ekonomi, tiada kebebasan. Lebih teruk lagi mereka juga dilarang memandu.

Namun kini apabila mengikuti temubual bersama Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan, Svetiana T Inamova yang datang ke Malaysia baru-baru ini, rupanya semuanya sudah berubah semenjak 1991 apabila Uzbekistan diisytiharkan merdeka dan bebas daripada cengkaman Soviet Union.

Kini, dengan perlantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan, Svetiana T Inamova telah merombak kedudukan wanita lebih ke depan. Golongan wanita lebih dihargai. Baginya jika kita menghargai seorang wanita bermakna kita menghargai sebuah keluarga, peranan ibu dan sebuah kehidupan. Beliau menjelaskan kemerdekaan sesebuah negara membuka peluang bagi wanita untuk turut menyertai arus pembangunan.

Menurutnya selepas sekian lama hidup di bawah pemerintahan komunis Soviet Union, deklarasi kemerdekaan pada 1991 membuka banyak peluang baru bagi wanita. Antara yang paling penting perlembagaan mereka menjamin hak sama bagi wanita dan lelaki.

Baru-baru ini Inamova berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri mesyuarat kumpulan pakar wanita Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Kehadirannya ternyata mencuri tumpuan ramai diplomat yang hadir pada mesyuarat dua hari itu kerana bukan saja jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri, bahkan disebabkan karisma dan kewibawaan dimilikinya, tegas tetapi masih memiliki kelembutan seorang wanita.

Apa yang saya banggakan, sejak beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, lebih 80 perundangan yang diluluskan Republik Uzbekistan menetapkan matlamat untuk memberi perlindungan kepada hak dan kebebasan wanita. Ternyata golongan wanita Uzbek bernasib baik kerana memiliki Presiden dan kerajaan yang tidak teragak-agak melakukan segala langkah bagi merealisasikan hak wanita dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan.

Menurutnya setiap negara sepatutnya menyedari bahawa pembabitan wanita pada tahap pembuat keputusan adalah amat penting bagi memastikan proses pembangunan pada setiap peringkat dapat dilaksanakan dengan baik dan bijak. Menurutnya Uzbekistan adalah negara pertama di Asia Tengah menerima pakai Konvensyen PBB membabitkan `pencairan semua jenis diskriminasi ke atas wanita'.

Jika diberi kesempatan, saya memang ingin kembali ke Uzbekistan. Saya ingin melihat wanitanya yang kini sudah boleh bergerak bebas, sudah boleh bekerja, sudah boleh memandu dan memenuhi pejabat-pejabat besar dengan jawatan yang sesuai. Semestinya keadaan di Samarkand sudah berubah lebih maju berbanding dulu. Sudah sewajarnya wanita di sana lebih berani tampil lebih wibawa dan tidak hanya duduk di celah pintu dengan mempamerkan sumbing emas atau perak mereka sahaja!

Semestinya, saya ingin mengunjungi sekali lagi makam ulama terkenal Imam al-Bukhari sambil mengunyah roti sterengn Uzbek yang enak. Dulu harganya hanya 5 Rubell sekarang mungkin harganya lebih mahal daripada itu sesuai dengan peningkatan ekonomi Uzbekistan setelah 18 tahun mengecap kemerdekaan daripada Soviet Union.

p/s: Seperti tersiar dalam Sinar Harian hari ini.

No comments: