Friday, January 4, 2008

BOLEH MELLUPAKAN, MUSTAHIL UNTUK MEMAAFKAN…
SEHARI
dua ini dalam hendak atau tidak, kita telah disogokkan dengan berita yang amat mencabar hati seorang isteri. Tanpa berselindung, hari ini, semalam dan kelmarin, atau mungkin sejak berbulan atau bertahun dulu, ada hati isteri yang telah dilukai.

Seorang suami akhirnya telah mengaku secara berterus terang yang dia terbabit dalam satu hubungan serong. Hubungan itu pula ada buktinya. Buktinya itu telah tersebar kalangan masyarakat, tanpa mengira usia dan bangsa. Masyarakat juga telah menjatuhkan hukuman. Hukumannya ialah si suami mesti meletak jawatan. Habislah karier politik dan kerjayanya.

Jika anda suami, bayangkan anda berada di tempat isterinya. Jika anda isteri, bayangkan anda di tempat suaminya… payahnya keadaan. Besarnya dugaan. Kuatkah kita menghadapinya? Masih bolehkah kita tersenyum lebar? Kita bukan hidup berdua laki bini sahaja di dunia ini. Apa kata anak-anak? Apa kata saudara mara? Apa kata jran tetangga dan kenalan semua? Lebih teruk lagi, di mana hendak diletakkan muka?

Cerita yang kita baca memaklumkan bahawa si isteri akan berdiri teguh di belakang suami menghadapi apa sahaja keadaan. Beliau akan memberi sokongan kepada suami dalam menghadapi situasi tegang ini. Dia sanggup bersusah kerana waktu senang mereka telah melaluinya bersama-sama.

Saya angkat tabik pada Datin Seri Wong Sek Hin, isteri Datuk Chua Soi Lek – figur yang saya perkatakan sekarang. Mereka sama-sama menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Apa pengakuan mereka, yang nyata sekarang si suami telah melepaskan jawatan dalam kerajaan dan dalam parti. Tamat di situ.

Detik tahun baru 2008 telah menjadi sepahit-pahit kenangan. Percikan bunga api yang menyambut kedatangan tahun baru telah membakar satu kepercayaan. Dan lelaki itu yang akan mencapai usia 61 tahun Mei nanti terus bersikap biasa walhal luka yang terpalit di dada seorang isteri terus tinggal di situ, kekal berparut.

Waktu ini jangan menuduh ada orang yang cuba menikam belakang. Kerana memang asasnya kita tahu perkara itu tidak akan berlaku dengan sendirinya jika tiada orang yang menggerakkannya.

Namun kalau ada pun orang yang menikam dari belakang, siapakah si bodoh yang hendak membuat pengakuan itu? Dan jika kita tahu siapa pun mereka tetapi kita dengan akal waras tidak akan bertindak bagai pak pandir untuk mengeruhkan lagi keadaan yang sememangnya sudah keruh.

Memang eloklah beliau mendiamkan diri sahaja. Seperti katanya, "saya bukan mangsa yang pertama dan terakhir." Maka eloklah jangan dibuat spekulasi. Memeningkan kepala. Ini lumrah keadaan, orang lain memang tidak boleh melihat dengan senang hati kejayaan yang dikecap oleh insan lain.

Sejarah perkhidmatan pemimpin selama berpuluh tahun pun orang boleh melupakan begitu sahaja, apalagi hanya empat tahun dengan kuasa yang Chua Soi Lek miliki di kementeriannya. Sesenangnya sahaja orang boleh menolaknya ke tepi begitu sahaja, termasuk dengan segala peristiwa hitam dalam hidupnya.

Sekurangnya beliau telah menunjukkan satu contoh yang realistik. Ini samalah seperti pepatah Cina yang disebut; `guanzo, gandang’ yang antara lain bermakna; sanggup melakukannya, maka sanggup bertanggungjawab ke atasnya.

Bagi saya dan seperti ramai yang maklum, Health Ministry telah pun bertukar menjadi Hell Ministry bagi seorang suami dan seorang isteri di awal tahun 2008 ini.

No comments: