Sunday, January 27, 2008


Akar Dani

SETELAH bertanya kepada Editor Laman Impiana, baru saya tahu bunga ini namanya Akar Dani. Sehari dua ini, Akar Dani ini berkembang mekar di laman saya. Sesekali apabila angin bertiup, wanginya akan singgah di beranda saya. Lembut wangi baunya. Tapi bunga ini bukan saya yang punya.

Bunga ini sebenarnya milik jiran saya, Junita namanya. Sejak sebulan yang lalu, mereka sekeluarga sudah berpindah ke Kota Kinabalu, Sabah. Sebelum berangkat dulu, Junita meminta saya supaya tolong siramkan bunga-bunganya sepanjang ketiadaan mereka. Saya pun berpesan pada Lira, pembantu rumah akan pesanan Junita itu. Lalu antara saya dan Lira, kami bergilir menyiram bunga-bunga di laman Junita, ikut siapa yang sempat.


Heliconia

Dan petang tadi pula, sebaik menyiram serumpun besar Heliconia saya yang ditanam dekat sangat dengan rumah Junita, pandangan mata ini saya lemparkan ke laman Junita dan ternampak kelopak bunga Kesidang pula sudah mula berkembang dengan cantiknya. Wah, nampak gayanya tak lama lagi harum Kesidang pula yang akan kami hidu...

Kesidang

p/s: Junita, agaknya kerana siraman setulus ikhlas kami, jambak bunga Akar Dani ini kembang melempai ke laman rumah I. Cantik sungguh kelopaknya. Setiap hari memandang bunga itu I teringatkan you. Salam utk hubby you dan anak-anak, Izat, Iman dan Izza.

No comments: