Thursday, January 8, 2009

MEMBACA EMEL JAMILLA SUHA...

SALAM persaudaraan buat puan seisi keluarga;

Saya mengharapkan puan sekeluarga dan seluruh warga Malaysia berada dalam sihat sejahtera selalu. Semoga negara puan juga dalam keadaan aman sentiasa dan semua rakyatnya dapat mengecap nikmat hidup tanpa gangguan sengketa peperangan seperti yang sedang negara saya alami sekarang angkara Israel Laknatullah.

Jangan tanya dari mana saya kirim emel ini. Jangan juga bertanya mengapa saya akhirnya mengirim emel setelah berkali-kali permintaan puan supaya kita berjumpa selalu saya batalkan pada saat-saat akhir hingga membuatkan puan kecewa teramat. Jawapannya tidak dapat saya beri sekarang. Dan mungkin juga ia tidak ada jawapan langsung sampai bila-bila.

Puan, saya masih ingat pada Jun 2008 lalu apabila satu perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel berjaya ditandatangani. Kami bersorak gembira ketika itu. Kami berasa memang keamanan yang kami cari sudah berada depan mata dan kami boleh bebas menikmati hidup dan anak-anak ke sekolah dengan gembiranya.

Namun gencatan senjata anjuran Mesir itu telah dimungkiri oleh Israel dengan mengadakan sekatan semula di pintu masuk dari Israel ke Semenanjung Gaza. Saudara mara kami di Tebing Barat sebelah sana tidak mendapat bekalan makanan dan fasiliti seperti gas, bekalan makanan, air dan ubat. Dan kami yang sebelah sini terputus hubungan dengan mereka di sebelah sana.

Puan yang dihormati;

Israel telah menyorong dan menarik hidup kami. Israel telah memisahkan hubungan keluarga antara kami. Israel juga dengan sengaja telah memisah isteri dan suami serta anak-anak. Hidup kami selepas itu hanyalah pada belas ihsan semata. Bagaimana kami hendak meneruskan hidup?

Israel menjadikan hal ini sebagai sorong-tarik dalam krisisnya dengan Hamas yang didakwa puak militan Islam. Fatah yang menjadi sanjungan mereka terus naik tocang. Pada 13 Disember 2008, Israel mengumumkan akan memanjangkan gencatan senjata hanya jika Hamas patuh kepada syarat-syarat lama dan syarat terbarunya.

Puan, memang patut Hamas menyalahkan Israel kerana menamatkan gencatan senjata sebelum ini dengan membuat sekatan di pintu masuk dan rakyat Palestin terpaksa membina terowong-terowong untuk ke seberang tembok sempadan.

Kemuncak air mata meletus apabila satu serangan udara meledak di bumi kami. Ia amat mengejutkan. Saudara mara kami bertempiaran lari dengan anak-anak menangis, meratap ketakutan. Kejadian pada 27 Disember 2008 bersamaan hari petama Tahun Hijrah itu memang tidak mudah dilupakan. Dengan serangan udara yang dinamakan Operation Cast Lead oleh pasukan Pertahanan Israel telah melenyapkan hasrat untuk perdamaian sementara!

Kejadian 11.30 pagi itu tepat selepas enam bulan perjanjian di Semenanjung Gaza dan paling buruk sejak Hamas mendapat kejayaan politik pada awal 2006. Namun kemenangan Hamas itu telah dinafikan! Serangan yang dimulakan dengan bedilan roket masih berterusan hingga hari ini (bersamaan 10 Muharam) dan mengorbankan beratus-ratus umat Palestin yang beragama Islam.

Mengapa tentera Israel menyerang sekolah? Tentera Hamas tidak ada di situ. Mengapa mereka menyerang sekolah, masjid dan rumah orang kampung? Yang pasti itu adalah penghapusan bangsa! Memang patutlah kelmarin Venenzuela mengusir Duta Israel keluar dari negara itu.

Puan yang dikasihi;

Saya mula menangisi kembali kematian Yasser Arafat yang meninggal dunia pada 11 November 2004... Air mata saya menitis tanpa sedar, namun hati sayalah yang paling tercalar setelah kematian ibu saudara dan anak saudara saya yang masih kecil dan tidak berdosa.

Tidak kiralah dia penyokong Fatah dan pernah mencium pipi Setiausaha Negara AS Madeline Albright. Namun saya percaya dia lakukan itu demi keamanan bumi Palestin dengan misi Palestin Liberation Organisation (PLO) yang perlahan-lahan terkubur dek perjalanan masa dan kuasa Amerika dan negara sekutunya.

Puan, tiba-tiba juga kelibat Saddam Hussein terlintas di mata dengan wajah garangnya. Namun dia akhirnya tersungkur di lubang tikus yang dibinanya sendiri. Lalu Iraq yang tunduk pada Amerika dan telah menggantung kepala Saddam pada subuh 30 Disember 2006.

Nyatalah Islam telah dilemahkan oleh kuasa besar. Sungguhlah Islam ini hanya sekelumit kuman di mata mereka dengan kematian seorang demi seorang singa-singa Islam yang ada. Dan hati saya bertanya selepas ini siapa pula?

Puan, bapa saya berkata; Islam ini kuat tetapi umatnya tidak bersatu. Israel itu hanya sekangkang kera sahaja. Jika semua umat Islam ini kencing ke arah Isreael, dalam masa beberapa hari sahaja bumi Israel itu akan hapus, akan tenggelam dek air kencing umat Islam. Saya berharap harapan bapa saya ini akan jadi kenyataan suatu hari nanti.

Puan, saya akhiri emel ini dengan ucapan assalamualaikum – salam sejahtera untuk seluruh warga Malaysia . Semoga negara anda akan terus berdiri menjadi sebuah negara yang dihormati dan berjaya menyedarkan kafir harbi bahawa Islam menitikberatkan persaudaraan dan menentang kekejaman.

Sekian, salam perjuangan daripada saya.
- Jamellah Suha.


* Emansipasi saya terhadap kekejaman Israel di bumi Palestin seperti tersiar dalam akhbar Sinar Harian Edisi Jumaat, 9 Disember 2008.

No comments: