AL FATIHAH UNTUK HAJAH ATIJAH@ HALIJAH IBRAHIM
PAGI Ahad, emak sempat menyiapkan sarapan untuk abah sebelum abah keluar rumah untuk memandikan jenazah seorang lelaki di kawasan perumahan berhampiran. Selesai urusan, jenazah lelaki berkenaan di bawa balik ke kampung halamannya di Melaka. Lima belas minit kemudian abah balik ke rumah dan melihat emak tiada di sofa yang selalu dia duduk sambil menonton televisyen.
Rupanya emak kembali berbaring dalam bilik. Abah memanggil emak tetapi suara emak perlahan sangat, sukar didengar. Abah dapati emak letih sangat-sangat dan emak meminta air. Setelah dua sudu air putih abah suapkan emak tidak bermaya langsung dan tiga adik beradik saya yang tinggal berhampiran rumah emak segera abah hubungi menerusi telefon.
Mereka tiba sepuluh minit kemudian dan masih bercakap-cakap dengan emak. Abah memangku kepala emak di atas pahanya sambil mengajarnya mengucap, mengingat Tuhan. Tidak sampai dua minit kemudian emak telah menghembuskan nafas akhirnya...
Kata abah pada adik-adik saya ketika itu; "Tak sangka... baru saja tak sampai setengah jam abah tengok jenazah, sekarang abah tatap jenazah emak kamu pula..."
Saat menerima panggilan telefon dari rumah emak, saya terkedu, terperanjat. Tidak lama kemudian bingkas bersiap, balik ke rumah emak di Bandar Tun Razak. Jiran-jiran juga terkejut kerana hari sebelumnya mereka berbual-bual dengan emak di pasar dan petang sebelumnya emak masih sempat menanam tiga pokok anak betik di depan rumah.
* Gambar akhir Disember 2008. Arwah mak dan Kak Long ketika kami ke Morocco Pavillion di Taman Botani, Putrajaya.
SAYA ralat tidak sempat menatap emak pada saat akhir hayatnya. Namun malam sebelumnya (Jumaat) saya puas berbual pelbagai perkara dengannya menerusi telefon terutama tentang jadual dialisisnya.
Setahun kebelakangan ini Klinik Dialisis di Taman Midah Cheras menjadi rutin kunjungannya selang sehari (Isnin - Rabu - Jumaat). Hari Jumaat terakhir itu arwah gagal mencuci buah pinggangnya apabila ada darah beku di laluan biasa di lengannya dan doktor klinik berkenaan merujuknya ke Hospital Gleaneagals di Jalan Ampang.
Esoknya (Sabtu) adik bongsu membawanya ke hospital berkenaan. Malangnya doktor tidak berani melakukan pembedahan membuang ketulan darah itu dan membuat surat rujukan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM)pada Isnin kerana emak memang regular patient di HUKM.
Namun Ahad, jam 10.45 pagi emak menghembus nafas terakhirnya... Innalillahhi wainnalila hirajiun. Saya redha kerana semua yang hidup ini hanya Allah pinjamkan sahaja kepada kita. Sampai saatnya tanpa berlengah sesaat pun, Allah akan mengambil semula hakNya. Tiada suatu pun yang kekal abadi melainkan Allah Maha Esa.
* Saya bersama arwah mak dan Kak Long di hadapan Morocco Pavillion.
SELEPAS ini saya tidak fikirkan apa-apa tentang adik beradik lain kerana masing-masing sudah ada kehidupan sendiri. Yang saya fikirkan ialah tentang abah setelah ketiadaan emak... Mereka berdua rapat, ke mana-mana bersama menaiki motor berjalan melihat tiga anak-anak dan cucu-cucunya yang tinggal berhampiran rumah mereka.
Abah menjadi imam di surau depan rumah. Setiap waktu dia bersolat jemaah di surau itu. Sebab itulah payah sangat hendak mengajaknya berjalan ke rumah saya di Shah Alam, atau rumah kakak di Putrajaya. Atau ke rumah abang di Kota Tinggi, Johor dan rumah seorang lagi adik di Sungai Dua, Pulau Pinang.
Selepas kematian nenek kami dalam tidurnya ketika arwah berusia 100 tahun pada 13 Mei 2008 lalu, hanya mak dan abah berdua sahaja di rumah itu. Macam pengantin baru. Semenjak dulu, kami adik beradik sepakat - jangan bagi mak bela walau seorang pun cucu. Biar mereka buat amal ibadat sahaja, senang hendak ke mana-mana berdua-duaan. Sehingga mak meninggal, privacy itu tidak pernah kami langgar.
Kini dalam usianya 75 tahun, tinggal abah sendirian di rumah itu... Saya tak dapat bayangkan bagaimana abah akan lalui hari-hari seterusnya... Jika anda baca entri sebelum ini, telah saya jelaskan yang abah sudah tidak ada sesiapa adik beradik, dia anak bongsu dan semua abang-abangnya sudah tiada. Dan kini emak pula tiada...
Saya tidak risau makan, minum dan pakainya sebab sebelum ini semua itu abah urus sendiri. Dia boleh memasak, malah cucur bawangnya selalu dipuji cucu-cucu. Lembut dan sedap.
Abah seorang yang kuat semangatnya. Pada hari kematian emak, abah tidak menangis. Ketika kunjungan rakan-rakan dan saudara mara serta teman-teman pejabat semua, dia biasa sahaja. Begitu juga ketika mengimamkan solat jenazah dan ketika membacakan talkin serta berdoa untuk kesejahteraan roh arwah emak di kubur, sedikitpun dia tidak menangis.
Tapi saya tahu hatinya pedih.
Saya tahu abah akan sepi tinggal sendirian selepas ini...
* Tinggal kenangan - Arwah mak ketika hayatnya, berkelah bersama anak-anak dan cucu-cucu.
* Terima kasih kepada MBA atas entri sebelum ini. Kepada yang datang menziarah atau berkirim Al Fatihah saya bagi pihak abah dan keluarga merakamkan jutaan terima kasih semoga roh arwah emak sentiasa dalam peliharaan Allah.
No comments:
Post a Comment