Tuesday, January 20, 2009

AL FATIHAH UNTUK HAJAH ATIJAH@ HALIJAH IBRAHIM


PAGI Ahad, emak sempat menyiapkan sarapan untuk abah sebelum abah keluar rumah untuk memandikan jenazah seorang lelaki di kawasan perumahan berhampiran. Selesai urusan, jenazah lelaki berkenaan di bawa balik ke kampung halamannya di Melaka. Lima belas minit kemudian abah balik ke rumah dan melihat emak tiada di sofa yang selalu dia duduk sambil menonton televisyen.

Rupanya emak kembali berbaring dalam bilik. Abah memanggil emak tetapi suara emak perlahan sangat, sukar didengar. Abah dapati emak letih sangat-sangat dan emak meminta air. Setelah dua sudu air putih abah suapkan emak tidak bermaya langsung dan tiga adik beradik saya yang tinggal berhampiran rumah emak segera abah hubungi menerusi telefon.

Mereka tiba sepuluh minit kemudian dan masih bercakap-cakap dengan emak. Abah memangku kepala emak di atas pahanya sambil mengajarnya mengucap, mengingat Tuhan. Tidak sampai dua minit kemudian emak telah menghembuskan nafas akhirnya...

Kata abah pada adik-adik saya ketika itu; "Tak sangka... baru saja tak sampai setengah jam abah tengok jenazah, sekarang abah tatap jenazah emak kamu pula..."

Saat menerima panggilan telefon dari rumah emak, saya terkedu, terperanjat. Tidak lama kemudian bingkas bersiap, balik ke rumah emak di Bandar Tun Razak. Jiran-jiran juga terkejut kerana hari sebelumnya mereka berbual-bual dengan emak di pasar dan petang sebelumnya emak masih sempat menanam tiga pokok anak betik di depan rumah.


* Gambar akhir Disember 2008. Arwah mak dan Kak Long ketika kami ke Morocco Pavillion di Taman Botani, Putrajaya.

SAYA ralat tidak sempat menatap emak pada saat akhir hayatnya. Namun malam sebelumnya (Jumaat) saya puas berbual pelbagai perkara dengannya menerusi telefon terutama tentang jadual dialisisnya.

Setahun kebelakangan ini Klinik Dialisis di Taman Midah Cheras menjadi rutin kunjungannya selang sehari (Isnin - Rabu - Jumaat). Hari Jumaat terakhir itu arwah gagal mencuci buah pinggangnya apabila ada darah beku di laluan biasa di lengannya dan doktor klinik berkenaan merujuknya ke Hospital Gleaneagals di Jalan Ampang.

Esoknya (Sabtu) adik bongsu membawanya ke hospital berkenaan. Malangnya doktor tidak berani melakukan pembedahan membuang ketulan darah itu dan membuat surat rujukan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM)pada Isnin kerana emak memang regular patient di HUKM.

Namun Ahad, jam 10.45 pagi emak menghembus nafas terakhirnya... Innalillahhi wainnalila hirajiun. Saya redha kerana semua yang hidup ini hanya Allah pinjamkan sahaja kepada kita. Sampai saatnya tanpa berlengah sesaat pun, Allah akan mengambil semula hakNya. Tiada suatu pun yang kekal abadi melainkan Allah Maha Esa.


* Saya bersama arwah mak dan Kak Long di hadapan Morocco Pavillion.

SELEPAS ini saya tidak fikirkan apa-apa tentang adik beradik lain kerana masing-masing sudah ada kehidupan sendiri. Yang saya fikirkan ialah tentang abah setelah ketiadaan emak... Mereka berdua rapat, ke mana-mana bersama menaiki motor berjalan melihat tiga anak-anak dan cucu-cucunya yang tinggal berhampiran rumah mereka.

Abah menjadi imam di surau depan rumah. Setiap waktu dia bersolat jemaah di surau itu. Sebab itulah payah sangat hendak mengajaknya berjalan ke rumah saya di Shah Alam, atau rumah kakak di Putrajaya. Atau ke rumah abang di Kota Tinggi, Johor dan rumah seorang lagi adik di Sungai Dua, Pulau Pinang.

Selepas kematian nenek kami dalam tidurnya ketika arwah berusia 100 tahun pada 13 Mei 2008 lalu, hanya mak dan abah berdua sahaja di rumah itu. Macam pengantin baru. Semenjak dulu, kami adik beradik sepakat - jangan bagi mak bela walau seorang pun cucu. Biar mereka buat amal ibadat sahaja, senang hendak ke mana-mana berdua-duaan. Sehingga mak meninggal, privacy itu tidak pernah kami langgar.

Kini dalam usianya 75 tahun, tinggal abah sendirian di rumah itu... Saya tak dapat bayangkan bagaimana abah akan lalui hari-hari seterusnya... Jika anda baca entri sebelum ini, telah saya jelaskan yang abah sudah tidak ada sesiapa adik beradik, dia anak bongsu dan semua abang-abangnya sudah tiada. Dan kini emak pula tiada...

Saya tidak risau makan, minum dan pakainya sebab sebelum ini semua itu abah urus sendiri. Dia boleh memasak, malah cucur bawangnya selalu dipuji cucu-cucu. Lembut dan sedap.

Abah seorang yang kuat semangatnya. Pada hari kematian emak, abah tidak menangis. Ketika kunjungan rakan-rakan dan saudara mara serta teman-teman pejabat semua, dia biasa sahaja. Begitu juga ketika mengimamkan solat jenazah dan ketika membacakan talkin serta berdoa untuk kesejahteraan roh arwah emak di kubur, sedikitpun dia tidak menangis.

Tapi saya tahu hatinya pedih.
Saya tahu abah akan sepi tinggal sendirian selepas ini...


* Tinggal kenangan - Arwah mak ketika hayatnya, berkelah bersama anak-anak dan cucu-cucu.

* Terima kasih kepada MBA atas entri sebelum ini. Kepada yang datang menziarah atau berkirim Al Fatihah saya bagi pihak abah dan keluarga merakamkan jutaan terima kasih semoga roh arwah emak sentiasa dalam peliharaan Allah.

Monday, January 19, 2009

ALFATIHAH

Mohon Al-Fatihah atas kematian bonda yang saya kasihi pada jam 10.30pg ini. Jenazah berada di Bandar Tun Razak. Akan dikembumikan selepas Asar.

18 Jan 2009.

Tuesday, January 13, 2009

GEMULAH HAJI SHAHAR BIN SULAIMAN
SEMALAM
dalam sisipan MEGA Utusan Malaysia ada dipaparkan mengenai kisah hidup salah seorang bapa saudara saya Arwah Haji Shahar bin Sulaiman iaitu abang kepada bapa saya, Haji Shaharuddin bin Sulaiman. Arwah anak keenam dan bapa saya anak ketujuh (bongsu). Adik beradik mereka, tujuh orang kesemuanya lelaki. Sekarang enam daripada mereka telah meninggal dunia, tinggal bapa saya seorang yang masih hidup.

Saya sebak membaca kisah hidup beliau. Dia seorang bapa saudara yang amat warak. Semasa kecil saya selalu mengikut abah dan emak mendengar ceramah-ceramah agama arwah yang amat menarik. Istimewanya, setiap kali berceramah arwah mesti menyampaikan diselang-seli dengan bacaan syair.

Tulisan dalam akhbar berkenaan adalah hasil kajian dan penulisan anak-anak beliau sendiri, iaitu Ustaz Ahmad Fauzi dan Ustaz Abd. Muhaimin dengan kerjasama para pensyarah KUIS, iaitu Ustaz Isma Addi Jumbri, Ustaz Kheril Anuar Darus dan Ustaz Syarul Azman Shahrudin.

Saya mohon, jika anda kelapangan bacalah tulisan mengenai arwah HAJI SHAHAR BIN SULAIMAN (KLIK SINI) dan menghadiahkan Al Fatihah untuk arwah. Semoga rohnya di tempatkan dalam Jannah. Terima kasih.

Saturday, January 10, 2009

ESQ 165 TRAINING
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihi



Demi matahari dan cahayanya di pagi hari.
Demi bulan apabila mengiringi,
Demi siang apabila menampakkan dirinya,
Demi malam apabila menutupinya,
Demi langit serta pembinaannya,
Demi bumi dan hamparannya,
Demi jiwa serta penyempurnaannya.

Maka Alah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,
dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.
- Asy Syams 1-10


Alhamdulillah, saya sedang mengikuti ESQ 165 Training - Siri 26, Kuala Lumpur. Sepanjang training ini saya langsung tidak pernah sedikit pun merasa rugi mencungkil kewujudan saya, langsung tidak saya berasa rugi mencari Allah dan Muhammad saw. Saya juga asyik melayan spiritual yang selama ini saya meremehkan kewujudannya.

Siapa antara blogger yang menjadi Alumni ESQ? Saya sudah jumpa seorang...(DI SINI). Tetapi saya tidak boleh `salam semut' dengan beliau.

Detail tentang ESQ (KLIK SINI)

Thursday, January 8, 2009

MEMBACA EMEL JAMILLA SUHA...

SALAM persaudaraan buat puan seisi keluarga;

Saya mengharapkan puan sekeluarga dan seluruh warga Malaysia berada dalam sihat sejahtera selalu. Semoga negara puan juga dalam keadaan aman sentiasa dan semua rakyatnya dapat mengecap nikmat hidup tanpa gangguan sengketa peperangan seperti yang sedang negara saya alami sekarang angkara Israel Laknatullah.

Jangan tanya dari mana saya kirim emel ini. Jangan juga bertanya mengapa saya akhirnya mengirim emel setelah berkali-kali permintaan puan supaya kita berjumpa selalu saya batalkan pada saat-saat akhir hingga membuatkan puan kecewa teramat. Jawapannya tidak dapat saya beri sekarang. Dan mungkin juga ia tidak ada jawapan langsung sampai bila-bila.

Puan, saya masih ingat pada Jun 2008 lalu apabila satu perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel berjaya ditandatangani. Kami bersorak gembira ketika itu. Kami berasa memang keamanan yang kami cari sudah berada depan mata dan kami boleh bebas menikmati hidup dan anak-anak ke sekolah dengan gembiranya.

Namun gencatan senjata anjuran Mesir itu telah dimungkiri oleh Israel dengan mengadakan sekatan semula di pintu masuk dari Israel ke Semenanjung Gaza. Saudara mara kami di Tebing Barat sebelah sana tidak mendapat bekalan makanan dan fasiliti seperti gas, bekalan makanan, air dan ubat. Dan kami yang sebelah sini terputus hubungan dengan mereka di sebelah sana.

Puan yang dihormati;

Israel telah menyorong dan menarik hidup kami. Israel telah memisahkan hubungan keluarga antara kami. Israel juga dengan sengaja telah memisah isteri dan suami serta anak-anak. Hidup kami selepas itu hanyalah pada belas ihsan semata. Bagaimana kami hendak meneruskan hidup?

Israel menjadikan hal ini sebagai sorong-tarik dalam krisisnya dengan Hamas yang didakwa puak militan Islam. Fatah yang menjadi sanjungan mereka terus naik tocang. Pada 13 Disember 2008, Israel mengumumkan akan memanjangkan gencatan senjata hanya jika Hamas patuh kepada syarat-syarat lama dan syarat terbarunya.

Puan, memang patut Hamas menyalahkan Israel kerana menamatkan gencatan senjata sebelum ini dengan membuat sekatan di pintu masuk dan rakyat Palestin terpaksa membina terowong-terowong untuk ke seberang tembok sempadan.

Kemuncak air mata meletus apabila satu serangan udara meledak di bumi kami. Ia amat mengejutkan. Saudara mara kami bertempiaran lari dengan anak-anak menangis, meratap ketakutan. Kejadian pada 27 Disember 2008 bersamaan hari petama Tahun Hijrah itu memang tidak mudah dilupakan. Dengan serangan udara yang dinamakan Operation Cast Lead oleh pasukan Pertahanan Israel telah melenyapkan hasrat untuk perdamaian sementara!

Kejadian 11.30 pagi itu tepat selepas enam bulan perjanjian di Semenanjung Gaza dan paling buruk sejak Hamas mendapat kejayaan politik pada awal 2006. Namun kemenangan Hamas itu telah dinafikan! Serangan yang dimulakan dengan bedilan roket masih berterusan hingga hari ini (bersamaan 10 Muharam) dan mengorbankan beratus-ratus umat Palestin yang beragama Islam.

Mengapa tentera Israel menyerang sekolah? Tentera Hamas tidak ada di situ. Mengapa mereka menyerang sekolah, masjid dan rumah orang kampung? Yang pasti itu adalah penghapusan bangsa! Memang patutlah kelmarin Venenzuela mengusir Duta Israel keluar dari negara itu.

Puan yang dikasihi;

Saya mula menangisi kembali kematian Yasser Arafat yang meninggal dunia pada 11 November 2004... Air mata saya menitis tanpa sedar, namun hati sayalah yang paling tercalar setelah kematian ibu saudara dan anak saudara saya yang masih kecil dan tidak berdosa.

Tidak kiralah dia penyokong Fatah dan pernah mencium pipi Setiausaha Negara AS Madeline Albright. Namun saya percaya dia lakukan itu demi keamanan bumi Palestin dengan misi Palestin Liberation Organisation (PLO) yang perlahan-lahan terkubur dek perjalanan masa dan kuasa Amerika dan negara sekutunya.

Puan, tiba-tiba juga kelibat Saddam Hussein terlintas di mata dengan wajah garangnya. Namun dia akhirnya tersungkur di lubang tikus yang dibinanya sendiri. Lalu Iraq yang tunduk pada Amerika dan telah menggantung kepala Saddam pada subuh 30 Disember 2006.

Nyatalah Islam telah dilemahkan oleh kuasa besar. Sungguhlah Islam ini hanya sekelumit kuman di mata mereka dengan kematian seorang demi seorang singa-singa Islam yang ada. Dan hati saya bertanya selepas ini siapa pula?

Puan, bapa saya berkata; Islam ini kuat tetapi umatnya tidak bersatu. Israel itu hanya sekangkang kera sahaja. Jika semua umat Islam ini kencing ke arah Isreael, dalam masa beberapa hari sahaja bumi Israel itu akan hapus, akan tenggelam dek air kencing umat Islam. Saya berharap harapan bapa saya ini akan jadi kenyataan suatu hari nanti.

Puan, saya akhiri emel ini dengan ucapan assalamualaikum – salam sejahtera untuk seluruh warga Malaysia . Semoga negara anda akan terus berdiri menjadi sebuah negara yang dihormati dan berjaya menyedarkan kafir harbi bahawa Islam menitikberatkan persaudaraan dan menentang kekejaman.

Sekian, salam perjuangan daripada saya.
- Jamellah Suha.


* Emansipasi saya terhadap kekejaman Israel di bumi Palestin seperti tersiar dalam akhbar Sinar Harian Edisi Jumaat, 9 Disember 2008.

Sunday, January 4, 2009

TANGISAN PALESTIN
PEMBUNUHAN
ganas yang dilakukan oleh Yahudi Israel di Gaza, Palestin amat memilukan. Ia bukan sahaja mencabar perasaan persaudaraan Islam atau ukhuwwah islamiyyah kita, bahkan ia mencemar nilai kemanusiaan sejagat.

TERKINI:
*
Jet-jet pejuang Israel awal pagi ini menyerang Masjid Ibrahim Al-Maqadna, Gaza mengorbankan 13 orang termasuk dua kanak-kanak ketila lebih 200 jemaah sedang solat. Lebih 60 cedera dalam serangan itu.

* Beberapa serangan lain dilakukan di sekolah, lapangan terbang dan pelabuhan mengakibatkan empat terbunuh termasuk dua komander Hamas.

Ketika artikel ini ditulis sudah hampir 400 rakyat Gaza yang dibunuh kejam. Di mana Amerika yang kononnya berjuang memerangi pengganas? Hakikatnya setiap kali Israel melakukan keganasan, dialah yang akan mempertahankannya. Malah Bush mengistiharkan HAMAS itulah pengganas.

Firman Allah: (maksudnya)

“Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas yang terdiri daripada kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya zalim, dan jadikanlah bagi kami daripada pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh). Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan taghut (pelampau). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah”. (Surah al-Nisa, ayat 75-76).

Saya bersetuju dengan artikel bertajuk BOIKOT CARA TERANCANG (Klik Sini) dan semoga kita berjaya menyata sokongan terhadap Palestin, kalau tidak banyak, sedikit pun cukup dengan cara kita.