HARI INI JADI BOGEL ATAU TIDAK?
HARI ini Jumaat, 12 Disember 2008 bersamaan 14 Zulhijah 1429. Ini bermakna sudah empat hari Aidiladha berlalu dan telah kita raikan dengan penuh rasa tanggungjawab dan kesedaran tentang erti pengorbanan. Semalam tamatnya hari Tasyrik iaitu hari yang dibenarkan kita melakukan ibadat korban Aidiladha dan sebelum tenggelamnya matahari pada petang berkenaan.
Adapun berpuasa pada hari Aidiladha (10 Zulhijah) dan hari-hari tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijah) adalah diharamkan. Rasulullah SAW telah mengirimkan Abdullah Ibn Huzhaqah untuk mengumumkan di Mina: “Kamu dilarang berpuasa pada hari-hari ini (hari tasyrik). Ia adalah hari untuk makan dan minum serta mengingati Allah.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad). Jika ada yang berkemampuan dan ingin mengikut sunah Nabi Muhamad SAW, berpuasalah pada Ahad.
Jika dilihat pada kalendar biasa pula, maka hari ini tidak ada apa-apa hari penting untuk kita fikirkan. Semuanya berjalan seperti biasa. Ia sama seperti Jumaat sebelum ini.
Namun, masih ingatkah pada amaran 'perang bogel' bagi Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis)? Tarikh hari ini menjadi penentu sama ada perang yang mereka isytiharkan terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bakal menjadi satu realiti atau sebaliknya.
Hari ini adalah genap sebulan, daripada tarikh yang diberikan oleh pertubuhan NGO – pertubuhan bukan kerajaan itu kepada Abdul Khalid bagi berunding mengenai tuntutan mereka supaya kadar kenaikan sewa kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) dikaji.
Seperti amaran yang telah diberikan sebulan lalu, sekiranya tiada maklum balas selepas tarikh tersebut, maka skuad berani bogel Reformis akan ‘membuat kacau dan menyerang’ majlis-majlis yang dihadiri oleh Abdul Khalid.
Apa kata Reformis negeri lain? Bagi Sinar Harian Selangor, mereka sedang melihat-lihat, meneliti dan membahagi-bahagikan tugasan kepada semua Skuad untuk mengikut ke mana sahaja Abdul Khalid akan pergi, bersiap sedia untuk membuat laporan tentang 'perang bogel' pihak Reformis berkenaan.
Bukan amaran kosong. Kononnya pihak Reformis nekad bertelanjang bulat di tengah-tengah khalayak ramai. Mereka tidak akan berasa malu atau aib pada majlis-majlis tersebut bagi menunjukkan kemarahan yang teramat sangat terhadap Menteri Besar Selangor.
Sebelum ini pihak Reformis telah mengumumkan hasrat untuk mengadakan demonstrasi bogel di depan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam tetapi permohonan permit mereka tidak dilayan polis.
Siapakah yang bertanggungjawab mencipta idea ini? Semestinya Presiden Reformis, Ramlan Abu Bakar. Menurutnya tiada cara lain lagi boleh mereka lakukan bagi menyuarakan kekecewaan dan kekesalan mengenai keputusan kerajaan negeri yang dianggap melampau itu.
Tindakan ini ada kena mengena dengan kenaikan mendadak sewa PPR daripada RM124 kepada RM250 sebulan. Kenaikan itu dirasakan begitu membebankan khususnya kepada golongan berpendapatan rendah.
Ramlan masih berpegang pada manifesto pihak Pakatan Rakyat dan janji-janji Pilihan Raya Umum ke 12 untuk menjadikan negeri Selangor sebagai negeri berkebajikan dan membela rakyat. Ramlan memberitahu, sepatutnya kerajaan jangan bertindak zalim dan menindas rakyat. Sebaliknya adalah menjadi tanggungjawab sosial kerajaan negeri untuk menyediakan rumah berharga rendah kepada rakyat miskin.
Lebih tragik lagi apabila Ramlan mendakwa permohonan mereka untuk berjumpa dengan Abdul Khalid ditolak. Malah ada yang beranggapan kumpulan berani bogel ini telah ditaja oleh pihak tertentu dan disogok dengan wang ringgit.
Alangkah malunya hendak berbogel di khalayak... tetapi bagi pihak Reformis apalah yang hendak dimalukan (menanggalkan pakaian depan orang lain) kerana rasa malu sudah tidak difikirkan atau risiko ditahan polis tidak langsung mereka gentar.
Mungkin juga setelah ditangkap mereka akan disumbat ke lokap. Tapi menurut Reformis itu semua bukan halangan mereka untuk membela rakyat miskin dan teraniaya dengan janji pilihan raya.
Sinar Harian Selangor sebelum ini beberapa kali telah dimaklumkan oleh Abdul Khalid bahawa beliau sedikit pun tidak berasa gentar dengan amaran Reformis. Abdul Khalid mendakwa Reformis bukan penduduk jati PPR dan mereka tidak duduk di kediaman berkenaan tetapi orang luar yang ingin menjadi jaguh.
Malah, Abdul Khalid menanggap masalah tersebut sudah selesai kerana kerajaan negeri telah memutuskan bahawa penghuni PPR yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan boleh membayar sewa pada kadar lama iaitu RM124.
Baiklah, Jumaat pasti datang. Apakah hari ini akan menjadi Jumaat yang luar biasa bagi penduduk Selangor?
Apa pun kita tunggu dan lihat apakah yang bakal terjadi.
No comments:
Post a Comment