Saturday, November 29, 2008

TERIMA KASIH, SITI JURAIDAH
LAMA
sungguh saya berjanji hendak bercerita tentang Siti Juraidah Samad, si anak Jawa Sekinchan itu. Okeylah, selepas kami makan tengahari di Restoran Ulu Bernam itu, perjalanan diteruskan ke tempat kerja Siti di sebuah kedai serbaneka. Kawan saya Azlan, sebenarnya sudah menjalankan kerja-kerja siasatan tentang siapakah Siti ini kerana kebetulan dia orang Sekinchan. Tapi dia tak mahu cerita apapun tentang Siti apabila saya mahu tanya lebih lanjut. "Kau jumpa nanti, kau taulah..." katanya.


Ayam hutan goreng garing (kiri) dan udang galah goreng berempah (kanan)


Saya dan anak-anak bersama Azlan Sulong (bertopi)

Kami merancang hendak membuat kejutan di tempat kerja Siti. Jadi apabila sampai di depan kedai serbanika itu saya terintai-intailah, cuba bayangkan macamana rupa Siti. Tapi malang Siti tidak ada. Dia cuti hari itu. Saya duduk terkulat-kulat di dalam kereta. Kecewa. Daripada tauke kedai, kami dapat nombor telefon bimbit Siti dan Azlan menelefon, pura-pura bertanya dia di mana kerana ada urusan penting, kononnya.

Rupanya ketika itu Siti berada di restoran KFC di Pekan Sabak. Suami pun segera menghalakan perjalanan kami ke Pekan Sabak. Kira-kira 10 minit perjalanan, kami berada betul-betul di hadapan restoran KFC yang dimaksudkan. Ya, saya tak sabar hendak berjabat tangan dengan Siti. Azlan berjalan dulu diikuti saya, suami dan anak-anak. Dan tidak lama kemudian wajah Siti sudah berada di hadapan saya.

Kecil sahaja orangnya. Usianya 32 tahun. Masih bujang. Percakapannya laju dan keletah dengan dialek Jawa. Memang dia anak kampung, nampak polos, jujur dan ikhlas. Matanya menceritakan segalanya... Dia pun berceritalah pelbagai kisah yang dia tahu tentang saya dan tulisan-tulisan saya. Tanpa menyampuk, saya membiarkan sahaja dia bercakap, supaya dia puas bertanya itu ini. Kepuasan nampak jelas diwajahnya.

Dia kata dia ada novel-novel saya dan tahu semua kisahnya. Dia juga menyimpan novel penulis-penulis Alaf yang lain. Ingin sangat dia berjumpa dengan Ramlee Awang Murshid, Norzailina Nordin dan Anis Ayuni. Dia tanya bolehkah saya aturkan perjumpaan itu. Saya rasa no problem, Alaf FC mesti boleh tolong!

Beriya-iya dia mengajak ke rumahnya (depan surau Parit 9, Batu 49, Pasir Panjang) tetapi kerana kesuntukan masa saya berjanji akan datang lagi lain kali. Sambil berborak kami bergambar dan setelah menyampaikan buah tangan yang saya bawa khas untuk Siti, kami berpisah dengan peluk cium, pelbagai...

Kami anak beranak meneruskan perjalanan ke Haji Dorani Homestay (Inap Desa) yang mengadap laut. Lapan chaletnya terletak di dalam laut, luas mata memandang dengan wajah matahari hampir tenggelam. Kemudian dua Skuad Sabak Bernam, Neda dan Nomi turut serta di homestay berkenaan, bercerita hal kerja dan macam-macam hal lain.

Hampir Maghrib kami berangkat pulang ke Shah Alam dengan bekal keladi (yang sungguh empuk bila digoreng), mangga, jambu madu, jus mangga, kacang dan jagung rebus, termasuklah bekal kenangan yang amat manis bertemu Siti Juraidah...

Sampai hari ini Siti masih terus menghubungi saya, berbual di telefon atau menghantar sms, "semoga akak, abang dan anak-anak sihat. Akak tu, berhati-hati pandu kereta... " saya paling hafal sms itu yang dihantar di hujung setiap kali dia menghantar sms.

Paling terkejut semalam... apabila saya menerima sekotak pemberian daripada Siti. Nanti saya ceritakan lagi...

* Lupa nak tanya, Siti tahukah pasal blog ini?

4 comments:

Unknown said...

alhamdulillah..rupanya dah nak masuk 5 tahun mengenali kak Sri Diah..terima kasih byk2 ats bantuan sblm ini..

Unknown said...

alhamdulillah..rupa2nya dh nak masuk 5 tahun mengenali kak Sri Diah. Terima kasih byk2 atas bantuan sblm ini...

Unknown said...

alhamdulillah...dh nk masuk 5 thn mengenali kak Sri Diah..tq byk2 atas bantuan sblm ini..

azamiah said...

alhamdulillah...dh nk masuk 5 thn mengenali kak Sri Diah..tq byk2 atas bantuan sblm ini..