JALAN-JALAN CARI PEMINAT/ CARI MAKAN
PADA 15 November lalu saya betul-betul bebaskan diri daripada aktiviti rutin di pejabat dan di rumah. Kami sekeluarga ke Sekinchan dari pagi hingga malam. Disamping memenuhi rasa ingin tahu, saya juga membuat spot check dua orang anak buah yang bertugas di Sabak 1 dan Sabak 2. (Oh... masih tak boleh free seratus peratus).
Asal tujuan ialah mencari gadis bernama Siti yang rumahnya beralamat di hadapan surau Parit Sembilan, Sekinchan. Itu saja info yang saya dapat. Siapa Siti itu? Dia adalah peminat Sri Diah yang telah mengirim satu bundle keratan akhbar dan majalah mengenai saya. Ada antara keratan akhbar itu yang tidak ada dalam simpanan saya, tapi dia ada. Ianya dikirim beserta kad hari raya. Saya terima lagi dua hari nak raya.
Sudah lama tidak ke Sekinchan. Rakan lama Azlan Sulong (si tukang komik) menjadi jurupandu. Kami singgah makan tengahari masakan kampung dan ikan darat di Restoran Lembah Bernam (Tel: 019-6108355/019-3934521)di Jalan Main Canal, Tali Air 9, Pasir Panjang.
Memang betul selera kampung sejati. Anak-anak dan suami yang jarang merasa masakan kampung sungguh berselera menikmati hidangan tengahari dengan hujan buatan - ceh, makcik tertipu! Hidangan hari itu antaranya ialah ikan puyu goreng garing, ikan betuk masak lemak kecur, ikan baung cili padi, tilapia masak merah, ikan keli goreng garam kunyit tumbuk, ikan sembilang goreng lada, paceri terung, ulam-ulaman terung, bendi, peria, pucuk ubi, kubis, petai, jering, sambal tempoyak, sambal belacan dan telur masin.
Paling istimewa (dengan permintaan) ayam kampung goreng panas dan garing. Tambah dua menu lagi iaitu udang galah segar dan ayam hutan goreng berempah. Fuh... hingga menjilat jari. Menurut tuan punya kedai, jika menelefon awal boleh disediakan burung puyuh atau burung wak-wak (burung ayam-ayam), landak, pelanduk atau kancil. Belut pun boleh...!
Okey, jika ada yang berminat, hubungi nombor yang saya sertakan itu.
Tapi cerita tentang siapa Siti belum lagi... nantilah jika kelapangan saya sambung entri ini. Cukup sini dulu...
No comments:
Post a Comment