Saturday, November 29, 2008

TERIMA KASIH, SITI JURAIDAH
LAMA
sungguh saya berjanji hendak bercerita tentang Siti Juraidah Samad, si anak Jawa Sekinchan itu. Okeylah, selepas kami makan tengahari di Restoran Ulu Bernam itu, perjalanan diteruskan ke tempat kerja Siti di sebuah kedai serbaneka. Kawan saya Azlan, sebenarnya sudah menjalankan kerja-kerja siasatan tentang siapakah Siti ini kerana kebetulan dia orang Sekinchan. Tapi dia tak mahu cerita apapun tentang Siti apabila saya mahu tanya lebih lanjut. "Kau jumpa nanti, kau taulah..." katanya.


Ayam hutan goreng garing (kiri) dan udang galah goreng berempah (kanan)


Saya dan anak-anak bersama Azlan Sulong (bertopi)

Kami merancang hendak membuat kejutan di tempat kerja Siti. Jadi apabila sampai di depan kedai serbanika itu saya terintai-intailah, cuba bayangkan macamana rupa Siti. Tapi malang Siti tidak ada. Dia cuti hari itu. Saya duduk terkulat-kulat di dalam kereta. Kecewa. Daripada tauke kedai, kami dapat nombor telefon bimbit Siti dan Azlan menelefon, pura-pura bertanya dia di mana kerana ada urusan penting, kononnya.

Rupanya ketika itu Siti berada di restoran KFC di Pekan Sabak. Suami pun segera menghalakan perjalanan kami ke Pekan Sabak. Kira-kira 10 minit perjalanan, kami berada betul-betul di hadapan restoran KFC yang dimaksudkan. Ya, saya tak sabar hendak berjabat tangan dengan Siti. Azlan berjalan dulu diikuti saya, suami dan anak-anak. Dan tidak lama kemudian wajah Siti sudah berada di hadapan saya.

Kecil sahaja orangnya. Usianya 32 tahun. Masih bujang. Percakapannya laju dan keletah dengan dialek Jawa. Memang dia anak kampung, nampak polos, jujur dan ikhlas. Matanya menceritakan segalanya... Dia pun berceritalah pelbagai kisah yang dia tahu tentang saya dan tulisan-tulisan saya. Tanpa menyampuk, saya membiarkan sahaja dia bercakap, supaya dia puas bertanya itu ini. Kepuasan nampak jelas diwajahnya.

Dia kata dia ada novel-novel saya dan tahu semua kisahnya. Dia juga menyimpan novel penulis-penulis Alaf yang lain. Ingin sangat dia berjumpa dengan Ramlee Awang Murshid, Norzailina Nordin dan Anis Ayuni. Dia tanya bolehkah saya aturkan perjumpaan itu. Saya rasa no problem, Alaf FC mesti boleh tolong!

Beriya-iya dia mengajak ke rumahnya (depan surau Parit 9, Batu 49, Pasir Panjang) tetapi kerana kesuntukan masa saya berjanji akan datang lagi lain kali. Sambil berborak kami bergambar dan setelah menyampaikan buah tangan yang saya bawa khas untuk Siti, kami berpisah dengan peluk cium, pelbagai...

Kami anak beranak meneruskan perjalanan ke Haji Dorani Homestay (Inap Desa) yang mengadap laut. Lapan chaletnya terletak di dalam laut, luas mata memandang dengan wajah matahari hampir tenggelam. Kemudian dua Skuad Sabak Bernam, Neda dan Nomi turut serta di homestay berkenaan, bercerita hal kerja dan macam-macam hal lain.

Hampir Maghrib kami berangkat pulang ke Shah Alam dengan bekal keladi (yang sungguh empuk bila digoreng), mangga, jambu madu, jus mangga, kacang dan jagung rebus, termasuklah bekal kenangan yang amat manis bertemu Siti Juraidah...

Sampai hari ini Siti masih terus menghubungi saya, berbual di telefon atau menghantar sms, "semoga akak, abang dan anak-anak sihat. Akak tu, berhati-hati pandu kereta... " saya paling hafal sms itu yang dihantar di hujung setiap kali dia menghantar sms.

Paling terkejut semalam... apabila saya menerima sekotak pemberian daripada Siti. Nanti saya ceritakan lagi...

* Lupa nak tanya, Siti tahukah pasal blog ini?

Friday, November 28, 2008

AL - FATIHAH
SEMALAM saya sampai ke rumah agak lewat dari kebiasaan iaitu hampir 12.15 malam. Pada pukul 6.45 petang sudah mendapat info mengenai kematian Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail. Editor Edisi Nasional (Laila) kena bersedia dengan lambakan news dari pelbagai sudut dan negeri. Editor Pahang (Ong) sudah diminta mengarahkan Skuad Bentong (Nor Farahah) untuk follow up mengenai perkembangan di Genting Highlands dan juga di Hospital Bentong.

Dalam masa yang sama Ketua Pemberita di Kuala Terengganu (Mat Lazim) telah diminta segera menugaskan Skuad Kuala Terengganu ke rumah arwah di Batu Burok dan mendapatkan story daripada keluarganya; isterinya, anak-anaknya, keluarganya dan rakan taulan.

Di Shah Alam pula, sub dan design untuk Edisi Utara berjalan serentak dengan kesibukan petugas lain mendapatkan info mengenai kematian Datuk Razali untuk persediaan Edisi Nasional first trip. Memandangkan Edisi Utara perlu disiapkan awal, maka news mengenai arwah hanya sempat untuk blurb hadapan sahaja. Selebihnya adalah untuk Edisi Nasional - second trip.

Malam tadi bos tak ada, saya bekerja dibantu Editor/Penolong Editor edisi-edisi negeri. Shah Alam yang menjadi pusat segala maklumat, sudah semakin sibuk menjelang 10.00 malam dengan Edisi Nasional, Edisi Melaka/N.S, Edisi Selangor/KL, Edisi Utara, Edisi Pahang, Edisi Kelantan dan Edisi Terengganu menghampiri deadline.

Dalam sibuk-sibuk petugas Edisi Terengganu mencari info, dapat pula berita kematian ibu kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di Kemaman. Sekali lagi harus menelefon Skuad Kemaman (Khairul) untuk membuat follow up.

Ohh, kena segera memberitahu prepress di Pengkalan Chepa mengenai kemungkinan lewat cetak Sinar Harian di sana untuk Edisi Kelantan dan Terengganu. Dalam sibuk-sibuk itu suami memberitahu arwah Datuk Razali ialah abang kepada kenalannya. Okey, bagus tu untuk follow up story.

Begitulah malam tadi...

Malam ini saya teringat kembali kenangan makan tengahari bersama arwah Datuk Razali di Dewan Makan Taman Sinar Harapan semasa kami mengadakan majlis hari raya dulu. Arwah tak lokek senyuman, seronok berbual bersamanya. Turut serta bersama kami hari itu ialah Datuk Nasir Ibrahim Fikri (Ahli Parlimen Kuala Nerus) dan beberapa pemimpin pembangkang dari Pas dan PKR.

Sesungguhnya kita hanya merancang, Allah yang menentukan... al Fatihah untuk arwah. Semoga keluarganya diberikan ketabahan dan keimanan menghadapi dugaan ini.

Wednesday, November 19, 2008

JALAN-JALAN CARI PEMINAT/ CARI MAKAN
PADA
15 November lalu saya betul-betul bebaskan diri daripada aktiviti rutin di pejabat dan di rumah. Kami sekeluarga ke Sekinchan dari pagi hingga malam. Disamping memenuhi rasa ingin tahu, saya juga membuat spot check dua orang anak buah yang bertugas di Sabak 1 dan Sabak 2. (Oh... masih tak boleh free seratus peratus).

Asal tujuan ialah mencari gadis bernama Siti yang rumahnya beralamat di hadapan surau Parit Sembilan, Sekinchan. Itu saja info yang saya dapat. Siapa Siti itu? Dia adalah peminat Sri Diah yang telah mengirim satu bundle keratan akhbar dan majalah mengenai saya. Ada antara keratan akhbar itu yang tidak ada dalam simpanan saya, tapi dia ada. Ianya dikirim beserta kad hari raya. Saya terima lagi dua hari nak raya.

Sudah lama tidak ke Sekinchan. Rakan lama Azlan Sulong (si tukang komik) menjadi jurupandu. Kami singgah makan tengahari masakan kampung dan ikan darat di Restoran Lembah Bernam (Tel: 019-6108355/019-3934521)di Jalan Main Canal, Tali Air 9, Pasir Panjang.

Memang betul selera kampung sejati. Anak-anak dan suami yang jarang merasa masakan kampung sungguh berselera menikmati hidangan tengahari dengan hujan buatan - ceh, makcik tertipu! Hidangan hari itu antaranya ialah ikan puyu goreng garing, ikan betuk masak lemak kecur, ikan baung cili padi, tilapia masak merah, ikan keli goreng garam kunyit tumbuk, ikan sembilang goreng lada, paceri terung, ulam-ulaman terung, bendi, peria, pucuk ubi, kubis, petai, jering, sambal tempoyak, sambal belacan dan telur masin.

Paling istimewa (dengan permintaan) ayam kampung goreng panas dan garing. Tambah dua menu lagi iaitu udang galah segar dan ayam hutan goreng berempah. Fuh... hingga menjilat jari. Menurut tuan punya kedai, jika menelefon awal boleh disediakan burung puyuh atau burung wak-wak (burung ayam-ayam), landak, pelanduk atau kancil. Belut pun boleh...!

Okey, jika ada yang berminat, hubungi nombor yang saya sertakan itu.
Tapi cerita tentang siapa Siti belum lagi... nantilah jika kelapangan saya sambung entri ini. Cukup sini dulu...

Friday, November 7, 2008


Air mata jantan

DIA HEBAT JIKA...
* Betullah
dia memang Presiden Amerika berkulit hitam yang pertama. Tapi kalau persepsinya tentang Islam sama saja seperti bekas Presiden Amerika yang lain, kalau definasinya tentang keganasan sama saja... atau pandangannya terhadap Zionis sama saja, saya tak nampak kenapa dia mesti kita kagumi. Paling baru, dia telah meletakkan bekas tentera Israel Rahm Emanuel ke dalam pentadbiran White House. Rahmn adalah `orang kita' (kata orang Israel). Oh, mungkin Obama juga akan jadi pro Israel akhirnya.

* Betullah dia hebat. Dua tahun dengan dua kisah peribadi (betulkah dua saja?) yang menggegar hati ramai isteri. Kalau anak dara, mesti sukakan dia sebab dia kacak. Kalau anak dara, mesti kata isteri dia tak pandai jaga laki. Kalau anak dara mesti kata, dia tu betul, boleh poligami. Tapi dia akan lebih hebat jika tidak berbohong dengan wartawan. Wartawan mesti tolong dia... tapi dia memilih mahu jadi hebat dengan skandalnya!

Thursday, November 6, 2008

EX-GRATIA RM10.5 JUTA KEPADA BEKAS HAKIM
KUALA LUMPUR
6 Nov. - Kerajaan membayar ex-gratia berjumlah RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan lima lagi bekas hakim kanan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, bayaran tersebut adalah:
- Tun Salleh berjumlah RM5 juta
- Tan Sri Azmi Kamaruddin RM2juta
- Tan Sri George Edward Seah Kim Seng RM2juta
- Tan Sri Wan Hamzah Mohd. Salleh - RM500,000
- Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer - RM500,000
- Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh - RM500,000

* Ya saya sekarang sedang memikir-mikir apa akan saya dapat jika....

Saturday, November 1, 2008

TERIMA KASIH

* HARGA beras dah turun harga pada purata 20 sen sekilogram di mana harga bagi beras tempatan 5 peratus hancur turun daripada RM2.80 kepada RM2.60 sekilogram. Manakala yang 10 peratus hancur juga turun daripada RM2.70 ke RM2.50 sen sekilogram. Bagaimanapun harga beras 15 peratus masih kekal pada RM1.80 kerana ini beras subsidi yang harga sebenarnya RM2.30 sekilogram.

* KERAJAAN mengumumkan penurunan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 15 sen seliter lagi berkuat semalam. Dengan penurunan itu, harga runcit petrol RON97 akan dijual pada RM2.15 seliter berbanding RM2.30 seliter sebelum ini manakala diesel dan petrol RON92 yang sebelum ini dijual pada RM2.20 seliter akan dijual pada harga RM2.05 seliter.

* MALAM tadi pukul 11.30 malam di kilang cetak Ultimate Print Sdn Bhd di Shah Alam, saya melambai, melepaskan pergi pemandu lori yang memandu membawa edisi pertama Sinar Harian Utara yang dijual RM1 mulai hari ini. Menurut laporan agen utara - Sinar Harian Utara dapat sambutan hebat hari ini.

* JIKA kelapangan singgahlah ke PESTA BUKU ALAF 21 di Shah Alam. ADa diskaun buku-buku baru dan sesi bertemu penulis.