Tuesday, September 9, 2008



MOGA SUKSES, ANAS SUHAIMI BIN AHMAD, 12 TAHUN
HARI
ini anak bongsu saya menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Bandar Anggerik, Seksyen 6, Shah Alam. Semoga Allah memberinya kelapangan fikiran dan dapat menjawab ujian berkenaan yang berlansung hingga Khamis ini dengan baik. InsyaAllah.

Semalam, apabila saya mengisi borang yang disuruh guru, dia melihat satu persatu ejaan namanya. Sambil itu dia menghafal nombor kad pengenalannya yang baru dimiliki April lepas. Dia juga sibuk mengingat nombor sijil lahirnya. Tiba-tiba dia berkata, "nasib baik mama tulis BIN. Sebab, cikgu marah kalau tulis nama tapi tak tulis BIN atau BINTI."

"Oh ya... cikgu ada sebut tak kenapa?"

"Ada," katanya dan dia terus menjelaskan apa maknanya kalau nama seseorang itu tidak disertakan dengan BIN atau BINTI. Alhamdulillah.


SERAMAI 518,616 CALON UPSR BAKAL MENJADI PENANDA ARAS KEPADA PPSMI
PUTRAJAYA,
9 Sept (Bernama) -- Seramai 518,616 murid yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) hari ini akan menjadi penanda aras kepada kelangsungan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom berkata mereka adalah kumpulan pertama murid-murid yang mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sejak Tahun Satu menduduki UPSR setelah PPSMI diperkenalkan pada 2003.

"Bagaimanapun kertas soalan untuk kedua-dua mata pelajaran itu masih disediakan dalam dwibahasa," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Rendah Kebangsaan Putrajaya Persint 11 (1) di sini hari ini.

Alimuddin berkata penetapan dasar PPSMI sama ada akan diterus atau sebaliknya tidak terhad kepada keputusan yang bakal diperoleh calon tahun ini.- BERNAMA

No comments: