Monday, September 1, 2008

KITA ADALAH: MATA, HATI DAN JIWA MERDEKA

Jika kau masih terlena, bangkitlah
Jika kau sudah sedar, syukurlah
Ini hari bahagia yang datuk dan nenek kita cipta
Ini hari merdeka yang tidak ramai merasanya

Merdeka ini bebas jiwa, fikiran turut bebas
Namun tindakan bukanlah sebebas sesuka kita
Walau dunia ini luas dan langkah tidak terbatas
Logiknya dunia ini masih belum kita yang punya

Di mana tangga-tangga kejayaanmu?
Sudah yakinkah kamu dengan hari depan?
Jika belia itu tulang negara
Sudah kuatkan menempuh pancaroba?
Jangan menjawab ia jika belum benar bersedia

Malaysia ini bukan milik peribadi, ia milik bersama
Telusuri ia dengan akal, dengan cinta sepenuh jiwa
Putih kata hati
Mungkin hitam kata akal
Indah kata budi
Mungkin hodoh wajah diri
Imanlah yang menjadikan kita lebih dewasa

Orang muda... kejayaan tidak datang sendiri
Ingatkah pesan emak saat mula belajar bertatih?
Selangkah hari ini adalah untuk dua langkah hari esok
Terjatuh dan luka itu biasa, bangkit dan cuba lagi
Hingga kamu boleh berlari, boleh melompat lebih tinggi

Merdeka ini bahagia
Sepatutnya kita bebas belenggu prasangka
Lepaskan ego, dendam segala
Kita berlari mendepang dada

Kau adalah harapan hari muka
Dalam tanganmu sudah ada mutiara
Jangan kau campak kembali ia ke laut terbuka
Kelak ruginya, kau yang merasa

Malaysia ini hanya satu
Ia bukan banyak seperti kau baru belajar bercinta
Bilamana berkasih hari ini, esok mencari cinta baru

Malaysia ini hanya satu
Kita menumpang sementara
Ia adalah milik anak cucu
Kita siapkan untuk mereka
Sebuah dunia, maju duniawi
Sebuah dunia, tamadunnya tinggi,
menyanjung pekerti

Ingatlah adikku,
Menuju jaya itu perit teramat
Namun sinar ke arah itu tetap ada
Asal kita bersatu hati
Berpisah hanya kerana mati

SRI DIAH
- Shah Alam

* Puisi untuk Kementerian Belia dan Sukan sempena Sambutan Kemerdekaan ke 51. Projek wrap around bersama akhbar Sinar Harian Edisi 31 Ogos 2008.


No comments: