Friday, September 5, 2008


BAPAK SUDAH PERGI
DALAM
sejarah Malaysia - Singapura - Indonesia, dia bukan orang biasa. Dia juga adalah orang luar biasa dalam sejarah dunia kewartawanan ketiga-tiga negara. Dia wartawan tersohor dan antara ratusan pejuang kemerdekaan. Kehilangan beliau mengingatkan saya pada tulisannya: Patah Sayap Terbang Jua, Jangan Ikut Jalan Ini, Ingin Jadi Pujangga dan Rumah Kedai Jalan Seladang - ini adalah cebisan hidup Pak Samad. Orang kata, patah tumbuh hilang berganti. Tapi patahnya sukar berganti. Balasungkawa untuk Allahyarham Pak Samad (saya masih ingat herdik, maki hamun, sinis tegurannya, pedih perlinya dan paling tak lupa carutnya. Ya, semua itu mematangkan saya. Terima kasih.)

* Lahir 24 April 1925 di Singapura. Dikenali sebagai seorang Wartawan, Aktivis Politik, Penulis Kreatif dan terkenal dengan semangat Nasionalis Kemelayuan dan Anti Penjajah. Beliau adalah Pengasas Gerakan Angkatan Muda dan People's Action Party. Pernah memimpin Jabatan Pengarang di Utusan Melayu, Berita Malai, Berita Harian dan New Straits Times.

Beliau juga adalah orang yang menjadi Penggerak Utama yang melebarkan kewartawanan menjurus ke media elektronik dan pernah memimpin TV3 mencari identitinya. Ditahan bawah ISA 1976 hingga 1981 dan Undang-undang Darurat 1951 hingga 1953. A. Samad Ismail bukan sahaja seorang Tokoh Wartawan, beliau ialah Kewartawanan itu sendiri.

* Pak Samad telah kembali ke rahmatullah pada jam 5.58 petang semalam di Hospital Pantai Kuala Lumpur akibat jangkitan paru-paru. Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya di No 2 Jalan 16/7C, Petaling Jaya dan selamat dikebumikan pada hari ini, selepas solat Jumaat. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.

No comments: