Sunday, September 21, 2008

70% SUDAH BERLALU, TINGGAL BAKI 30% RAMADAN INI

NABI
Muhammad dalam sabdanya menyebut:
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad s.a.w bersabda,: "...sesiapa menghayati malam Lailatul Qadar dengan mengerjakan solat (dan pelbagai ibadat lain), sedang dia beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya dia diampunkan dosanya yang lalu."
- (Hadis sahih riwayat Bukhari)

"SESUNGGUHNYA Kami menurunkannya (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu? Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"
- (Al-Qadr:1-5)

Monday, September 15, 2008

SORRY NAIK LORRY...
WAH,
gawat sungguh Malaysia ini. Saya pun semakin sibuk dengan hal-hal membabitkan Zaid Ibrahim, Muhyiddin, Pak Lah, Najib, Anwar, Saiful Azlan, Ramlang, Teresa Kok, RPK, pompuan reporter tu... ah banyak lagi akan muncul sehari dua ini.

Sorry. Sorry. Sorry... sementara itu rasanya susah nak updated blog. Deadline novel pun dah makin hampir. Sinar Harian Edisi Utara (Pulau Pinang, Perllis & Kedah) dan juga Edisi Perak tengah menunju peringkat akhir persiapan. Walawalala....

Sementara itu saya bekalkan anda dengan secebis kisah tentang ISKANDAR SUDAH PERGI (klik sini)

Tuesday, September 9, 2008



MOGA SUKSES, ANAS SUHAIMI BIN AHMAD, 12 TAHUN
HARI
ini anak bongsu saya menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Bandar Anggerik, Seksyen 6, Shah Alam. Semoga Allah memberinya kelapangan fikiran dan dapat menjawab ujian berkenaan yang berlansung hingga Khamis ini dengan baik. InsyaAllah.

Semalam, apabila saya mengisi borang yang disuruh guru, dia melihat satu persatu ejaan namanya. Sambil itu dia menghafal nombor kad pengenalannya yang baru dimiliki April lepas. Dia juga sibuk mengingat nombor sijil lahirnya. Tiba-tiba dia berkata, "nasib baik mama tulis BIN. Sebab, cikgu marah kalau tulis nama tapi tak tulis BIN atau BINTI."

"Oh ya... cikgu ada sebut tak kenapa?"

"Ada," katanya dan dia terus menjelaskan apa maknanya kalau nama seseorang itu tidak disertakan dengan BIN atau BINTI. Alhamdulillah.


SERAMAI 518,616 CALON UPSR BAKAL MENJADI PENANDA ARAS KEPADA PPSMI
PUTRAJAYA,
9 Sept (Bernama) -- Seramai 518,616 murid yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) hari ini akan menjadi penanda aras kepada kelangsungan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom berkata mereka adalah kumpulan pertama murid-murid yang mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sejak Tahun Satu menduduki UPSR setelah PPSMI diperkenalkan pada 2003.

"Bagaimanapun kertas soalan untuk kedua-dua mata pelajaran itu masih disediakan dalam dwibahasa," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Rendah Kebangsaan Putrajaya Persint 11 (1) di sini hari ini.

Alimuddin berkata penetapan dasar PPSMI sama ada akan diterus atau sebaliknya tidak terhad kepada keputusan yang bakal diperoleh calon tahun ini.- BERNAMA

Saturday, September 6, 2008

TINGGAL KENANGAN ...


SEORANG pengunjung memerhatikan kerja-kerja menanggalkan komponen-komponen Eye On Malaysia di Taman Tasik Titiwangsa ketika tinjauan semalam.

Kontrak buaian roda Eye On Malaysia di taman itu berakhir pada 31 Ogos lepas dan akan dipindahkan ke Melaka di mana kerja-kerja pemasangan komponennya dijangka mengambil masa sebulan sepanjang September sebelum dijadualkan beroperasi pada Oktober. Buaian roda setinggi 60 meter dengan 42 gondola yang berputar 360 darjah itu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 6 Januari 2007.

Sepanjang operasinya tahun lepas, buaian gergasi itu telah menarik kunjungan 1.2 juta pelancong dengan pendapatan sebanyak RM13.5 juta termasuk hasil daripada jualan barangan dari kios kraftangan dan makanan sekitar kwasan buaian tersebut -fotoBERNAMA.

* Sampai kesudah... kami tak berkesempatan ke sana.

Friday, September 5, 2008


BAPAK SUDAH PERGI
DALAM
sejarah Malaysia - Singapura - Indonesia, dia bukan orang biasa. Dia juga adalah orang luar biasa dalam sejarah dunia kewartawanan ketiga-tiga negara. Dia wartawan tersohor dan antara ratusan pejuang kemerdekaan. Kehilangan beliau mengingatkan saya pada tulisannya: Patah Sayap Terbang Jua, Jangan Ikut Jalan Ini, Ingin Jadi Pujangga dan Rumah Kedai Jalan Seladang - ini adalah cebisan hidup Pak Samad. Orang kata, patah tumbuh hilang berganti. Tapi patahnya sukar berganti. Balasungkawa untuk Allahyarham Pak Samad (saya masih ingat herdik, maki hamun, sinis tegurannya, pedih perlinya dan paling tak lupa carutnya. Ya, semua itu mematangkan saya. Terima kasih.)

* Lahir 24 April 1925 di Singapura. Dikenali sebagai seorang Wartawan, Aktivis Politik, Penulis Kreatif dan terkenal dengan semangat Nasionalis Kemelayuan dan Anti Penjajah. Beliau adalah Pengasas Gerakan Angkatan Muda dan People's Action Party. Pernah memimpin Jabatan Pengarang di Utusan Melayu, Berita Malai, Berita Harian dan New Straits Times.

Beliau juga adalah orang yang menjadi Penggerak Utama yang melebarkan kewartawanan menjurus ke media elektronik dan pernah memimpin TV3 mencari identitinya. Ditahan bawah ISA 1976 hingga 1981 dan Undang-undang Darurat 1951 hingga 1953. A. Samad Ismail bukan sahaja seorang Tokoh Wartawan, beliau ialah Kewartawanan itu sendiri.

* Pak Samad telah kembali ke rahmatullah pada jam 5.58 petang semalam di Hospital Pantai Kuala Lumpur akibat jangkitan paru-paru. Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya di No 2 Jalan 16/7C, Petaling Jaya dan selamat dikebumikan pada hari ini, selepas solat Jumaat. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.

Tuesday, September 2, 2008

MoU NOVELIS & ALAF 21

Klik sini: Akujanji

Dari kiri: Sharifah Abu Salem, En. Norden, Norzailina Nordin, Aisya Sofea, Damya Hanna, Sri Diah, Ramlee Awang Mursyid, Anis Ayuni dan Editor Alaf 21, Wan Rohana dan Saadiah



Monday, September 1, 2008

KITA ADALAH: MATA, HATI DAN JIWA MERDEKA

Jika kau masih terlena, bangkitlah
Jika kau sudah sedar, syukurlah
Ini hari bahagia yang datuk dan nenek kita cipta
Ini hari merdeka yang tidak ramai merasanya

Merdeka ini bebas jiwa, fikiran turut bebas
Namun tindakan bukanlah sebebas sesuka kita
Walau dunia ini luas dan langkah tidak terbatas
Logiknya dunia ini masih belum kita yang punya

Di mana tangga-tangga kejayaanmu?
Sudah yakinkah kamu dengan hari depan?
Jika belia itu tulang negara
Sudah kuatkan menempuh pancaroba?
Jangan menjawab ia jika belum benar bersedia

Malaysia ini bukan milik peribadi, ia milik bersama
Telusuri ia dengan akal, dengan cinta sepenuh jiwa
Putih kata hati
Mungkin hitam kata akal
Indah kata budi
Mungkin hodoh wajah diri
Imanlah yang menjadikan kita lebih dewasa

Orang muda... kejayaan tidak datang sendiri
Ingatkah pesan emak saat mula belajar bertatih?
Selangkah hari ini adalah untuk dua langkah hari esok
Terjatuh dan luka itu biasa, bangkit dan cuba lagi
Hingga kamu boleh berlari, boleh melompat lebih tinggi

Merdeka ini bahagia
Sepatutnya kita bebas belenggu prasangka
Lepaskan ego, dendam segala
Kita berlari mendepang dada

Kau adalah harapan hari muka
Dalam tanganmu sudah ada mutiara
Jangan kau campak kembali ia ke laut terbuka
Kelak ruginya, kau yang merasa

Malaysia ini hanya satu
Ia bukan banyak seperti kau baru belajar bercinta
Bilamana berkasih hari ini, esok mencari cinta baru

Malaysia ini hanya satu
Kita menumpang sementara
Ia adalah milik anak cucu
Kita siapkan untuk mereka
Sebuah dunia, maju duniawi
Sebuah dunia, tamadunnya tinggi,
menyanjung pekerti

Ingatlah adikku,
Menuju jaya itu perit teramat
Namun sinar ke arah itu tetap ada
Asal kita bersatu hati
Berpisah hanya kerana mati

SRI DIAH
- Shah Alam

* Puisi untuk Kementerian Belia dan Sukan sempena Sambutan Kemerdekaan ke 51. Projek wrap around bersama akhbar Sinar Harian Edisi 31 Ogos 2008.