Tuesday, April 12, 2005

NYAWA & SHARIMAN


LELAKI yang pernah menjadi cover Majalah Sarina ini, Shariman Mohd Radzi namanya. Adalah beberapa kali kami bertemu, berbual. Dia biasa sahaja cuma agak pendiam. Anak tunggal. Sepatah ditanya sepatahlah dijawab. Dia lebih banyak tersenyum. Sudah berkahwin. Masa kerjanya 24 jam on call. Pekerjaannya? Inilah yang hendak diceritakan.

Anak muda ini ialah pekerja Skuad Penyelamat di Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM). Grup Bermotor dialah yang selalunya sampai awal di tempat kejadian tidak kiralah kebakaran, kemalangan, tanah runtuh dan sebagainya. Rekod pencapaian kerjanya amat membanggakan. Antara lain Shahrimanlah yang mengeluarkan mayat anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam, Carlos Musa semasa kejadian runtuhan Highland Towers dulu.

Dengan badannya yang bersaiz kecil berbanding rakan lain dia juga berjaya meloloskan diri masuk ke lubang kecil menyelamatkan Bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral (B) Tan Sri Ismail Omar, yang merupakan Pengerusi Affin Bank apabila banglo beliau runtuh di Taman Hillview (isteri bekas jeneral itu yang sedang bersembahyang ketika kejadian, terkorban). Banglo itu terletak kira-kira 300 meter dari tapak pangsapuri Highland Towers yang runtuh pada 11 Disember 1993, yang turut mengorbankan 48 nyawa.

Sekali dulu dia turut membantu seorang wanita yang bersalin di dalam bas di Hentian Duta. Wanita itu dalam perjalanan hendak balik bersalin di kampung, di Kedah. Yang terbaru malam tadi, saya melihat kelibat Shariman dan rakan-rakannya di telelvisyen sedang mengangkat sekujur mayat dari timbunan runtuhan rumah di Pulau Nias, Sumatera. Sebelum itu dia dan rakan-rakannya juga turut kelihatan dalam siaran berita di televisyen sedang membantu mangsa-mangsa kejadian tsunami di Banda Aceh.

Dialah Shariman yang saya kenal. Sekarang, bila berlaku saja kecemasan, ternampak saja kejadian kemalangan, runtuhan bangunan, gempa bumi dan tsunami, wajah Shariman yang dulu terbayang di mata...

* Terima kasih kepada Siti Zarinah Hussain, bekas Editor Majalah Sarina yang tolong memberi input ini.

No comments: