Sunday, July 31, 2011

Saturday, July 30, 2011

MADRASAH RAMADAN

SAYA suka memerhati sikap orang sekeliling. Meneliti peribadi, buat perbandingan antara mereka dan selalu berkomunikasi apa sahaja dengan pelbagai pendekatan. Ada serius, lucu dan ada yang tak masuk akal.

Sebelum itu saya ingin ucapkan berbanyak terima kasih kepada Allah SWT yang telah menjadikan saya seorang pendengar yang baik, tidak panas baran dan tidak suka bercakap banyak.

Allah itu adil kerana saya juga tidak suka menyerang orang lain atau meninggikan suara. Saya mudah lembut hati dan payah untuk berdendam.

Atas segala ciri ini memang sewajarnya saya mempunyai ramai kawan daripada pelbagai peringkat usia, pelbagai bangsa dan taraf hidup. Bak kata orang, saya boleh menjadi seperti span. Mudah menyerap dan mudah juga mengeluarkan apa telah saya serap. Alhamdulillah.

Ada kata itu kekurangan saya. Mereka kata saya tidak tegas, tidak garang. Saya rugi kerana tidak gunakan segala rasa yang ada, apalagi sebagai ketua.

Saya fikir kembali apakah kriteria untuk jadi ketua? Adakah mesti selalu meninggi suara? Haruskah berdendam, menyerang dan memberi stigma garang?

Oleh sebab itulah ada orang tidak suka berlawan dengan saya sebab saya suka diam. Mereka tidak mendapat apa-apa apabila mengata saya. Mereka tidak akan menerima reaksi balas saya. Kerana saya tetap saya dan tidak sama sekali akan berubah, lawan itu menjadi mati akal, stres.



Ada yang cedera jiwa kerana tidak mendapat apa mereka mahu. Saya akui inilah antara punca gangguan perasaan dan sakit jiwa kebanyakan insan di sekeliling saya. Penyakit ini mungkin akan sembuh jika dia faham saya. Sudah resmi saya begitu.

Oleh itu saya jatuh kasihan kepada mereka itu. Memang ramai manusia sakit jiwa akhir-akhir ini dan ia mengheret kita sama dalam masalahnya. Mujur saya cepat sedar kepincangan ini dan usaha pula membantu mereka. Namun saya tidak mahu mereka menjadi psikosis pula! Ini merupakan yang paling teruk.

Terdapat beberapa jenis penyakit jiwa, antaranya ialah kegelisahan (neurosis) iaitu rasa mudah naik darah - tidak boleh menumpukan perhatian, tidak dapat tidur, berasa takut atau fobia, resah, gentar, sejuk tangan dan gejala-gejala badan yang lain.

Bertolak daripada neurosis, akan muncul pula kepiluan (depression). Kadangkala mereka berasa sedih, tidak berminat dalam aktiviti-aktiviti biasa, lemah, sukar tidur dan tidak lalu makan, menangis tanpa sebab dan mungkin menyimpan rasa hendak bunuh diri terutama apabila mengalami kegagalan.

Dalam kes ini, mereka hilang perhubungan dengan alam nyata dan hidup di dalam alamnya yang tersendiri serta berkelakuan ganjil. Misalnya mendengar suara-suara yang tidak wujud, bersikap mundur atau bertutur tidak menentu. Biasanya pesakit tidak sedar bahawa dia sakit dan tidak mungkin mencari bantuan secara persendirian.

Inilah penyakit-penyakit manusia yang berada di sekeliling kita. Jika kita kasihan mereka, bantulah mereka. Kembalikan keriangan kepada mereka. Nasihatkan, jangan fikirkan orang lain, fikirkan diri sendiri. Jangan mengajak orang lain sama-sama keliru, cukuplah dia seorang yang gelisah dan sakit perasaan.

Semoga kita sudah benar-benar bersedia menanti kehadiran Ramadan dengan hati lapang, dengan dada yang terbuka. Madrasah Ramadan yang akan kita tempuhi selama sebulan nanti merupakan universiti yang penuh dengan dugaan dan cabaran.

Semoga kita semua kuat mengharunginya dan berjaya menggenggam ijazah kelas tertinggi pada Syawal nanti. Oleh itu jagalah peribadi. Peliharalah agama. Jangan rosakkan silaturahim. Ya, kita amat berbeza dan saya tetap saya. Salam.

Monday, July 18, 2011

SAYA MAHU, TAPI...
SAYA selalu membayangkan untuk duduk berehat-rehat sahaja di rumah sambil bermain dengan kucing-kucing kesayangan yang 12 ekor kesemuanya. 7 ekor kucing Parsi dan 5 ekor kucing kampung. Saya mahu membaca dengan banyaknya. Mahu melayan bunga-bunga di taman rumah saya yang akhir-akhir ini seakan-akan merajuk - sudah tidak mahu mengeluarkan bunga...



Kadang-kadang mahu berjalan-jalan, balik kampung. Saya mahu pergi tengok wayang. Saya mahu duduk lama-lama dalam bilik, mengadap kumputer. Saya mahu segera menyudahkan manuskrip saya yang tertangguh. Ada dua - satu tentang kerja haji dan satu lagi novel dewasa. Di samping itu ada tiga lagi tulisan eceran untuk antologi bersama penulis-penulis lain.

Namun gagal. Nampaknya saya belum boleh berehat-rehat. Saya kena tunaikan tanggungjawab untuk urusan-urusan lain. Jadi, bilakah saya boleh uruskan hal-hal untuk diri sendiri?

Oh... saya nak memasak makanan-makanan kegemaran keluarga saya.
Tapi tidak boleh, tidak ada masa melainkan hujung minggu :-(

Thursday, July 14, 2011

TIDAK JADI TALAK TIGA

Saya rindui masa senggang begini

Semenjak akhir-akhir ini kehidupan kita seharian ternyata jadi semakin sibuk. Jika dulu memang pun kita sibuk, namun sekarang ini semakin sibuk. Fikiran juga jadi bertambah berat.

Dunia teknologi juga menjadikan kerut muka kita kian menebal. Tidak hairan juga akhir-akhir ini kita kerap temui ramai lelaki yang botak semula jadi. Dahi semakin luas.

Fenomena tanpa batas dengan adanya Internet – inilah puncanya. Ada kalanya hal orang lain yang tiada kena-mengena dengan kita, apabila terbaca menjadikan kita stres. Membaca komen-komen orang lain, walaupun kita tidak mahu memberi komen, tetap menjadikan masalah kita bertambah.

Twitter, Facebook, blog, laman sesawang, video, gambar-gambar yang tertonton memang tidak dapat dielak sepanjang melayari Internet. Saya sendiri pernah memberi talak tiga kepada dunia Internet.

Setiap waktu menjalankan tugas, seperti ada ajakan yang mendesak supaya jangan layari laman sesawang tertentu, namun tidak boleh. Itu adalah sebahagian tugas hakiki saya. Jadi kesudahannya terpaksalah ‘rujuk’ semula tanpa ada proses ‘cina buta’,

Ada kawan-kawan yang sudah merajuk dengan dunia Internet. Mereka stres. Tidak dapat memberi tumpuan pada kerja kerana terlalu memikirkan berita di Internet. Jiwa menjadi haru-biru. Apabila perkara yang dilihat itu ada kena-mengena dengan kehidupannya, lagilah fikirannya bercelaru.

Suami atau isteri yang bercinta dengan orang lain di Internet, gambar tragis, berita palsu dan adu domba adalah antara inti pati yang dipertontonkan di laman maya. Ini membuatkan mereka yang tidak kuat iman dan kurang kawalan diri menjadi lebih terjerumus. Ada menghampiri dunia gila. Gila glamor, gila publisiti dan gila khabar angin.

Meski banyak laman web dan info yang bermanfaat, mendidik kehidupan, namun itu tidak kuat untuk menarik kebanyakan orang menjadi ketagih. Nafsu jahat, peranan syaitan tetap menang, mengalahkan kemurnian jiwa. Pergi balik, pergi balik, laman-laman songsang juga menjadi perhatian.

Sekiranya itu berlaku kepada orang muda, kita boleh katakan itu kerana jiwa muda sukakan sesuatu yang baru dalam hidup. Dunia orang muda mencari hiburan dan suka menyongsang arus.

Bagaimanapun cabaran ini banyak berlaku kepada mereka yang dewasa. Sehingga menjadikan internet sebagai sesuatu yang wajib. Sampai tergamak melewatkan waktu bertemu Tuhan. Jika ada pun perasaan malu-malu tapi hakikat tetap hakikat. Internet telah menjadi kerajaan paling berkuasa dalam diri.

Ada tiga kategori manusia dalam hidup ini. Pertama, belajar daripada pengalaman sendiri; mereka ini dikatakan bijak dan berpengalaman. Kedua, belajar daripada pengalaman orang lain; mereka dikatakan cerdik. Ketiga, tidak belajar daripada pengalaman sendiri mahupun orang lain; mereka inilah yang hanyut dengan kebodohan sendiri.

Anda dalam kelompok yang mana? Jika melayari Internet kerana mahu belajar daripada pengalaman orang lain, anda bijak. Namun ramai terjerumus, menjadi lalai dan hanyut dalam kebodohan diri sendiri.

Ada tiga perkara memberikan keselamatan kepada manusia, iaitu sentiasa menjaga tingkah laku kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Mendengar. Kedua, berlaku adil yang bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya tanpa diskriminasi dan beremosi. Ketiga, berjimat kerana ini akan menyelamatkan seseorang daripada menyesal kemudian hari.

Sementara itu, ada tiga perkara lain yang akan membinasakan manusia iaitu; pertama, mengikut telunjuk syaitan - sentiasa mendorong kepada kehendak hawa nafsu yang mengakibatkan kebinasaan diri. Kedua, bersifat kedekut ilmu dan ketiga, kagum dengan kelebihan diri sendiri sehingga menjadikan seseorang itu bersikap angkuh dan sombong. Ketika melayari internet, fikirlah hal ini.

Anda dalam kategori mana?

Monday, July 11, 2011

TERIMA KASIH
JAUH dari dasar hati , saya amat menghargai segala ucapan ultah untuk saya hari ini. Seungguhnya tidak terdaya saya hendak membalas semuanya. Setiap kata-kata yang dicatat di sini sungguh bermakna, bak menanam pokok, semoga rimbun persahabatan kita membawa manfaat bersama.
Hari ini, dua orang ini memotong kek yang tidak serupa 
di dua acara yang berbeza....

******
Terima kasih Tuhan, memilih, memberiku nyawa
Terima kasih keluarga, setia memberiku cinta
Terima kasih sahabat, jujur memberiku ceria
Terima kasih seteru, kerap memberiku pahala

Sunday, July 10, 2011

MEMANG SAYA BERBOHONG RASA TERHADAP BLOG INI

Saya cuba ketepikan. Saya cuba tolak kehendak jiwa kecil saya.
Sebenarnya saya amat sayangkan blog ini dan selalu teringat pada catatan-catatan di blog ini. Dua tahun lebih saya mengabaikan suara rasa dan gelodak jiwa di sini, juga rakan-rakan blog yang baik. (Rasanya rakan blog tak sama fikirannya dengan rakan FB).

Hakikatnya menulis di blog saya lebih jujur
Menulis di FB lebih kepada mengambil hati
Saya akui itu.

Berbulan-bulan saya pujuk hati untuk kembali ke sini yang selalu saya jenguk, tapi tidak ada rasa untuk mencoret. Akhirnya blog pun dah bersawang, pengunjung pun sudah berkurang. InsyaAllah saya akan cuba menampal semangat baru, saya akan cuba menulis semula di sini mengikut kelapangan masa.

Salam terima kasih atas ucapan selamat hari lahir saya hari ini, Syukran!
Insaflah hambaMu ini akan Allah 'Al-Adil' (Maha Adil), 'Al-Latif' (Maha Lembut), 'Al-Muqit' (Maha Penjaga), 'Al-Qahhar' (Maha Penakluk), 'Al-Jabbar' (Maha Pemaksa). Maka amat gembiralah seluruh jiwa saya atas ingatan ini. Wassalam.

Thursday, July 7, 2011

Baju yang saya pakai ini adalah baju arwah mak

4 SYAABAN - Sejak malam tadi teringatkan arwah mak lalu pagi ini menyarung baju kurung peninggalan arwah mak. Al Fatihah untuk arwah mak saya dan semua arwah yang pergi dahulu daripada kita. Semoga roh mereka aman dan damai sejahtera di negara Abadi.

Lagi tiga hari adalah tarikh lahir saya. Saya selalu menangis apabila teringat cerita arwah mak bagaimana cara saya dilahirkan. Saya lahir tidak cukup bulan (7 Bulan).

Emak terberanakkan saya ketika dia mencangkung di tepi longkang kerana emak batuk-batuk teruk apabila saat tiba kelahiran saya. Ditinggalkan dalam inkubator selama 3 bulan atas pengawasan jururawat. Ya Allah, terima kasih atas kelahiran ini, sungguh besar jasa mak...

Tuesday, July 5, 2011