Saturday, July 30, 2011

MADRASAH RAMADAN

SAYA suka memerhati sikap orang sekeliling. Meneliti peribadi, buat perbandingan antara mereka dan selalu berkomunikasi apa sahaja dengan pelbagai pendekatan. Ada serius, lucu dan ada yang tak masuk akal.

Sebelum itu saya ingin ucapkan berbanyak terima kasih kepada Allah SWT yang telah menjadikan saya seorang pendengar yang baik, tidak panas baran dan tidak suka bercakap banyak.

Allah itu adil kerana saya juga tidak suka menyerang orang lain atau meninggikan suara. Saya mudah lembut hati dan payah untuk berdendam.

Atas segala ciri ini memang sewajarnya saya mempunyai ramai kawan daripada pelbagai peringkat usia, pelbagai bangsa dan taraf hidup. Bak kata orang, saya boleh menjadi seperti span. Mudah menyerap dan mudah juga mengeluarkan apa telah saya serap. Alhamdulillah.

Ada kata itu kekurangan saya. Mereka kata saya tidak tegas, tidak garang. Saya rugi kerana tidak gunakan segala rasa yang ada, apalagi sebagai ketua.

Saya fikir kembali apakah kriteria untuk jadi ketua? Adakah mesti selalu meninggi suara? Haruskah berdendam, menyerang dan memberi stigma garang?

Oleh sebab itulah ada orang tidak suka berlawan dengan saya sebab saya suka diam. Mereka tidak mendapat apa-apa apabila mengata saya. Mereka tidak akan menerima reaksi balas saya. Kerana saya tetap saya dan tidak sama sekali akan berubah, lawan itu menjadi mati akal, stres.



Ada yang cedera jiwa kerana tidak mendapat apa mereka mahu. Saya akui inilah antara punca gangguan perasaan dan sakit jiwa kebanyakan insan di sekeliling saya. Penyakit ini mungkin akan sembuh jika dia faham saya. Sudah resmi saya begitu.

Oleh itu saya jatuh kasihan kepada mereka itu. Memang ramai manusia sakit jiwa akhir-akhir ini dan ia mengheret kita sama dalam masalahnya. Mujur saya cepat sedar kepincangan ini dan usaha pula membantu mereka. Namun saya tidak mahu mereka menjadi psikosis pula! Ini merupakan yang paling teruk.

Terdapat beberapa jenis penyakit jiwa, antaranya ialah kegelisahan (neurosis) iaitu rasa mudah naik darah - tidak boleh menumpukan perhatian, tidak dapat tidur, berasa takut atau fobia, resah, gentar, sejuk tangan dan gejala-gejala badan yang lain.

Bertolak daripada neurosis, akan muncul pula kepiluan (depression). Kadangkala mereka berasa sedih, tidak berminat dalam aktiviti-aktiviti biasa, lemah, sukar tidur dan tidak lalu makan, menangis tanpa sebab dan mungkin menyimpan rasa hendak bunuh diri terutama apabila mengalami kegagalan.

Dalam kes ini, mereka hilang perhubungan dengan alam nyata dan hidup di dalam alamnya yang tersendiri serta berkelakuan ganjil. Misalnya mendengar suara-suara yang tidak wujud, bersikap mundur atau bertutur tidak menentu. Biasanya pesakit tidak sedar bahawa dia sakit dan tidak mungkin mencari bantuan secara persendirian.

Inilah penyakit-penyakit manusia yang berada di sekeliling kita. Jika kita kasihan mereka, bantulah mereka. Kembalikan keriangan kepada mereka. Nasihatkan, jangan fikirkan orang lain, fikirkan diri sendiri. Jangan mengajak orang lain sama-sama keliru, cukuplah dia seorang yang gelisah dan sakit perasaan.

Semoga kita sudah benar-benar bersedia menanti kehadiran Ramadan dengan hati lapang, dengan dada yang terbuka. Madrasah Ramadan yang akan kita tempuhi selama sebulan nanti merupakan universiti yang penuh dengan dugaan dan cabaran.

Semoga kita semua kuat mengharunginya dan berjaya menggenggam ijazah kelas tertinggi pada Syawal nanti. Oleh itu jagalah peribadi. Peliharalah agama. Jangan rosakkan silaturahim. Ya, kita amat berbeza dan saya tetap saya. Salam.

No comments: