Thursday, July 14, 2011

TIDAK JADI TALAK TIGA

Saya rindui masa senggang begini

Semenjak akhir-akhir ini kehidupan kita seharian ternyata jadi semakin sibuk. Jika dulu memang pun kita sibuk, namun sekarang ini semakin sibuk. Fikiran juga jadi bertambah berat.

Dunia teknologi juga menjadikan kerut muka kita kian menebal. Tidak hairan juga akhir-akhir ini kita kerap temui ramai lelaki yang botak semula jadi. Dahi semakin luas.

Fenomena tanpa batas dengan adanya Internet – inilah puncanya. Ada kalanya hal orang lain yang tiada kena-mengena dengan kita, apabila terbaca menjadikan kita stres. Membaca komen-komen orang lain, walaupun kita tidak mahu memberi komen, tetap menjadikan masalah kita bertambah.

Twitter, Facebook, blog, laman sesawang, video, gambar-gambar yang tertonton memang tidak dapat dielak sepanjang melayari Internet. Saya sendiri pernah memberi talak tiga kepada dunia Internet.

Setiap waktu menjalankan tugas, seperti ada ajakan yang mendesak supaya jangan layari laman sesawang tertentu, namun tidak boleh. Itu adalah sebahagian tugas hakiki saya. Jadi kesudahannya terpaksalah ‘rujuk’ semula tanpa ada proses ‘cina buta’,

Ada kawan-kawan yang sudah merajuk dengan dunia Internet. Mereka stres. Tidak dapat memberi tumpuan pada kerja kerana terlalu memikirkan berita di Internet. Jiwa menjadi haru-biru. Apabila perkara yang dilihat itu ada kena-mengena dengan kehidupannya, lagilah fikirannya bercelaru.

Suami atau isteri yang bercinta dengan orang lain di Internet, gambar tragis, berita palsu dan adu domba adalah antara inti pati yang dipertontonkan di laman maya. Ini membuatkan mereka yang tidak kuat iman dan kurang kawalan diri menjadi lebih terjerumus. Ada menghampiri dunia gila. Gila glamor, gila publisiti dan gila khabar angin.

Meski banyak laman web dan info yang bermanfaat, mendidik kehidupan, namun itu tidak kuat untuk menarik kebanyakan orang menjadi ketagih. Nafsu jahat, peranan syaitan tetap menang, mengalahkan kemurnian jiwa. Pergi balik, pergi balik, laman-laman songsang juga menjadi perhatian.

Sekiranya itu berlaku kepada orang muda, kita boleh katakan itu kerana jiwa muda sukakan sesuatu yang baru dalam hidup. Dunia orang muda mencari hiburan dan suka menyongsang arus.

Bagaimanapun cabaran ini banyak berlaku kepada mereka yang dewasa. Sehingga menjadikan internet sebagai sesuatu yang wajib. Sampai tergamak melewatkan waktu bertemu Tuhan. Jika ada pun perasaan malu-malu tapi hakikat tetap hakikat. Internet telah menjadi kerajaan paling berkuasa dalam diri.

Ada tiga kategori manusia dalam hidup ini. Pertama, belajar daripada pengalaman sendiri; mereka ini dikatakan bijak dan berpengalaman. Kedua, belajar daripada pengalaman orang lain; mereka dikatakan cerdik. Ketiga, tidak belajar daripada pengalaman sendiri mahupun orang lain; mereka inilah yang hanyut dengan kebodohan sendiri.

Anda dalam kelompok yang mana? Jika melayari Internet kerana mahu belajar daripada pengalaman orang lain, anda bijak. Namun ramai terjerumus, menjadi lalai dan hanyut dalam kebodohan diri sendiri.

Ada tiga perkara memberikan keselamatan kepada manusia, iaitu sentiasa menjaga tingkah laku kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Mendengar. Kedua, berlaku adil yang bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya tanpa diskriminasi dan beremosi. Ketiga, berjimat kerana ini akan menyelamatkan seseorang daripada menyesal kemudian hari.

Sementara itu, ada tiga perkara lain yang akan membinasakan manusia iaitu; pertama, mengikut telunjuk syaitan - sentiasa mendorong kepada kehendak hawa nafsu yang mengakibatkan kebinasaan diri. Kedua, bersifat kedekut ilmu dan ketiga, kagum dengan kelebihan diri sendiri sehingga menjadikan seseorang itu bersikap angkuh dan sombong. Ketika melayari internet, fikirlah hal ini.

Anda dalam kategori mana?

2 comments:

T said...

Salam D,

Selamat kembali ke dunia blog.
Selamat Hari Lahir, mungkin agak terlewat tapi dgn doa moga hidup sentiasa dilimpahi rahmatNYA, murah rezeki dan segala kebaikan untukmu..

Salam Rindu,
T

(masih lagi belum dapat menyerahkan sesuatu yg dibincangkan semasa BF2011 dulu...)

Tak Pe Je said...

Malu tapi itu la.. Kena carik placement kejap, saya dlm kategori mana..