Peraduan SMS Celcom langgar hukum syarak- Jakim
17-06-2008 07:50:40 PM
KUALA LUMPUR: Peraduan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) Celcom 100 Hari 100 Kereta diisytiharkan sebagai tidak mematuhi syariah berikutan mengandungi unsur perjudian, gharar (tidak jelas) dan menggalakkan pembaziran.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini berkata mesyuarat khas Panel Kajian Syariah Jakim memutuskan demikian menerusi satu persidangan, Selasa.
Katanya persidangan yang khusus membincangkan isu pertandingan tersebut sebulat suara menasihatkan agar pihak syarikat telekomunikasi berkenaan menyediakan konsep peraduan baru yang selari dengan tuntutan syarak.
Peraduan SMS tersebut menjadi isu apabila Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada 5 Jun lepas menyatakan peraduan tersebut haram disertai kerana mengandungi unsurunsur perjudian.
Katanya peraduan tersebut disifatkan sebagai judi kerana bayaran perlu dibuat untuk menjawab setiap soalan sebagaimana judi nombor ekor.
"Dalam peraduan ini, kita perlu bayar atau dicaj RM5 untuk meneka atau menjawab satu soalan. Itu adalah pertaruhan, dan pertaruhan adalah satu perjudian," katanya.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment