Thursday, June 12, 2008

PEKERJAAN KEDUA BUKAN JAWAPANNYA
APAKAH
anda seorang kakitangan awam dan sedang mencari-cari pekerjaan sambilan bagi menampung keperluan ekonomi yang semakin mendesak? Bidang apa yang ingin diceburi? Ingin bekerja waktu malam atau hanya bekerja pada hujung minggu? Apakah berbaloi? Bagaimana dengan masa bersama keluarga?

Mungkin persoalan ini sedang bermain-main dalam fikiran kebanyakan kakitangan awam. Menurut berita terkini, pihak Kementerian Sumber Manusia tidak akan menghalang kakitangan kerajaan bekerja sambilan selepas waktu kerja rasmi untuk meningkatkan pendapatan mereka berikutan kenaikan kos sara hidup.

Bagaimanapun jangan bertindak segera, anda kena ingat, bukan sekarang. Tunggu, sekiranya diluluskan kerajaan. Kerana sebelum ini sudah ada pekeliling yang menyatakan setiap kakitangan awam dilarang membuat kerja sampingan. Jadi, tunggu dulu.

Namun jika diluluskan sekalipun, wajarkah ia disahut? Bolehkah anda meninggalkan kerja pejabat yang belum habis dan meluru keluar dari pejabat menuju ke tempat kerja kedua, membuat kerja sampingan? Kemudian hujung minggu juga sibuk dengan kerja kedua itu dan terpaksa pula mengorbankan masa cuti bersama keluarga?

Katakan, ada yang mengambil keputusan untuk bekerja sambilan sebagai pemandu teksi. Semestinya tugas ini dilakukan selepas waktu pejabat, bermula dari malam hinggga ke pagi, mungkin hingga enam pagi.

Kemudian tanpa sempat berehat di sebelah pagi anda akan sibuk pula menguruskan hal anak-anak ke sekolah, kemudian anda bergegas ke pejabat pula. Sesampai sahaja di pejabat, anda sebenarnya sudah benar-benar keletihan dan mungkin mengantuk. Jika ini berlaku, semestinya produktiviti akan terjejas. Oleh itu tumpuan terhadap kerja jadi berkurangan. Hasilnya tahap kecekapan pun merundum.

Produktiviti yang diharapkan oleh bos di pejabat tidak akan tercapai. Kecuaian, kesilapan papsti akan berlaku. Anda juga akan keletihan di pejabat. Mungkin juga akan tersengguk-sengguk mengantuk dan terpaksa menjadikan pejabat sebagai tempat berehat pula. Paling buruk mungkin terpaksa mengambil cuti sakit.

Bagi saya pekerjaan kedua bukanlah jawapan terbaik untuk menghadapi zaman kegawatan ekonomi dengan harga barang meningkat hampir setiap hari. Semestinya bos anda juga tidak setuju anda membuat kerja lain. Anda sudah terlalu penat untuk kerja seharian di pejabat jadi jangan menambah kepenatan dengan melakukan tugas-tugas lain.

Sebenarnya bagi pekerja wanita, anda boleh membuat kerja sambilan tanpa memerlukan anda keluar dari rumah. Contohnya seperti mengambil tugas sampingan dengan membuat editing, mengasah bakat menulis karya, mengambil tempahan menjahit, membuat kuih, menghasilkan kerjatangan, mengajar tusyen dan sebagainya.

Selain itu apa yang terbaik anda lakukan ialah mengetatkan gaya hidup. Jangan amalkan pembaziran, terutama pembaziran wang ringgit dan juga masa. Jangan berbelanja jika tidak penting. Zaman bermewah sudah berlalu. Makanan enak di restoran besar hanya memudaratkan kesihatan dan keseronokan makan di luar akan membuatkan anda pokai.

Begitu juga, duduk berhibur berlama-lama dalam panggung atau macam orang sasau melihat hiburan di hadapan televisyen hanya meletihkan fizikal dan minda. Jangan membazir elektrik. Jika tidak perlu kipas atau alat hawa dingin, jangan dihidupkan kerana berpeluh akan menyihatkan badan. Jika bosan, keluar dari rumah, berjalan kaki, berbasikal, lakukan senaman di taman.

Inilah yang dikatakan mengubah gaya hidup. Ia tidak menyusahkan. Ia susah hanya pada hari pertama. Jika terbiasa melakukannya berhari-hari, berminggu-minggu dan berbulan-bulan membuatkan anda rasa `kalih atau lali' bak kata orang pantai timur, atau `imune' kata `orang putih'.

Jadi, masihkah anda tercari-cari pekerjaan kedua? Maaf kata, mana tahu kerana terlalu memberi tumpuan pada pekerjaan kedua, anda akan kehilangan pula pekerjaan pertama. Siapa yang rugi?

* Bacaan awal untuk pembaca blog istimewa ini dari pojok SECEBIS BICARA yang akan terbit esok dalam Sinar Harian.

No comments: