Monday, December 31, 2007


CATATAN AKHIR DISEMBER
Jika betul ini jalan yang lurus
Kuterima jika likunya ada di hujung
Panas yang merata
Adalah ujian segala
Panas yang merata
Adalah dugaan semata

Ini akhir Disember
January akan datang

Ini hujung Disember
January bukan sembarang


Sri Diah
Shah Alam

Sunday, December 30, 2007

SELAMAT JALAN 2007, SELAMAT DATANG 2008
INI
adalah entri sehari sebelum 2008. Saya ingatkan diri berkali-kali - ya, 2008 sudah datang! Apa yang boleh saya catatkan sebagai pencapaian peribadi pada 2007? Jika dinilai pada pencapaian kerjaya, memang ada peningkatan dan saya bangga mampu melakukannya. Namun meski kerjaya dikejar, pencapaian peribadi tetap dikendong.

Saya garu kepala berkali-kali. Ah, masih tidak cukup sebenarnya. Apa yang telah dilakukan hanya satu inci daipada satu meter yang telah saya set apabila 2007 datang dulu. Saya malu dengan diri sendiri kerana gagal mengotakan beberapa azam yang menjadi target 2007. Nyata sekali saya lebih sukses mengecap peningkatan dalam kerjaya tetapi gagal memenuhi peningkatan peribadi. Kepuasan saya tidak total seratus peratus. Apakah saya menyalahkan kerjaya? Tidak... kerana ini jalan yang saya pilih...

Namun saya tetap mengucap syukur alhamdulillah kerana Allah masih menyayangi kami sekeluarga dan kita semua kerana masih diberi peluang untuk menghuni muka bumi ini. Dan saya kuatkan azam, segala yang tidak tercapai pada 2007 akan tetap dijadikan azam untuk 2008 dan berusaha mencapainya juga.

Friday, December 28, 2007

KEMATIAN BENAZIR

RAWALPINDI, Pakistan - Bekas Presiden Pakistan, wanita berkarisma, cekal dan berani, Benazir Bhutto 54 tahun, meninggal dunia sekejap tadi. Saya membaca ini semasa sign in di YM. Kemudian berbual panjang dengan Halela menjawab offline messagenya yang rupanya dah tiga hari tidak berjawab. Masih lagi terkejut dengan berita kematian Benazir... Insiden ini merupakan klimak menjelang pilihan raya Pakistan yang akan diadakan pada 8 Januari nanti.


Petikan di Yahoo:
The attacker struck just minutes after Bhutto addressed thousands of supporters in the garrison city of Rawalpindi, 8 miles south of Islamabad. She was shot in the neck and chest by the attacker, who then blew himself up, said Rehman Malik, Bhutto's security adviser.

Sardar Qamar Hayyat, a leader from Bhutto's party, said he was standing about 10 yard away from Bhutto's vehicle.

"She was inside the vehicle and was coming out from the gate after addressing the rally when some of the youths started chanting slogans in her favor," he said. "Then I saw a thin, young man jumping to her vehicle from the back and opening fire. Moments later, I saw her speeding vehicle going away."

At least 20 others were killed in the attack. Bhutto was rushed to the hospital and taken into emergency surgery. She died about an hour after the attack.

Thursday, December 27, 2007

JOM BANTU MEREKA

Assalamualaikum & salam sejahtera.
Sdra/i yang dihormati sekelian;

Saya dihubungi oleh Dato' Noraini Ahmad (Ketua Puteri UMNO) yang mengajak kita bersama-sama sebagai SUKARELAWAN untuk membantu membersihkan kawasan mangsa banjir di Maran dan Bera, Pahang.

Maklumat lanjut seperti berikut:
Tarikh: 29 Dis. 2007 (Sabtu)
Masa : 8 pagi (berkumpul di PWTC, Kuala Lumpur)
Pulang: 29 Dis. 2007 (dijangka tengah malam)

Karangkraf & Alaf 21 akan menyumbangkan bahan-bahan bacaan untuk perpustakaan, sekolah yang dilanda banjir. Terima kasih

HASHIM ANANG
Presiden Kelab Sukan & Rekreasi KKSB

* Sesiapa yang ingin turut serta digalakkan. Sila tunggu di lokasi yang dinyatakan. Boleh bawa sekali barangan untuk sumbangan. Thanks.

Monday, December 24, 2007

DISEMBER YANG BASAH
SALAM
hujung tahun untuk semua. Hujung tahun ini sama saja seperti hujung tahun 2006 lalu. Hujan masih lagi menyimbah negeri-negeri di Pantai Timur dan di Selatan Semenanjung. Tidak ketinggalan beberapa daerah di pesisir pantai di Sabah dan Sarawak.

Orang lain saya tidak tahu tetapi saya sendiri selalu menitik air mata melihat gambar-gambar dan membaca kisah-kisah sedih yang menimpa mereka yang kurang bernasib baik apabila rumah dinaiki air... habis harta benda musnah. Malah ada yang hilang ahli keluarga. Bukan senang hendak mengganti semula barang-barang yang rosak. Malah ada rumah yang hanyut dibawa arus deras. Saya kasihan melihat mereka bertungkus-lumus untuk memulakan hidup baru - membasuh rumah, mengemas semua selut dan lumpur. Semua itu bukan tugas mudah.

Saya doakan dari jauh semoga mereka semua diberi kekuatan dan semangat kental untuk meneruskan kehidupan. Semoga pihak berkuasa bertindak segera mengatasi semua masalah agar tidak berulang lagi tahun hadapan.

* Saya turut bersedih apabila jualan akhbar saya di negeri pantai timur merosot - jalan dinaiki air, kedai jual akhbar hanyut, tanah runtuh, jalan rosak, lebuhraya ditutup dan orang tak ada duit nak beli akhbar kerana membeli makanan dan keperluan anak bini lebih penting - kuatnya dugaan yang Allah beri.

Monday, December 17, 2007

SALAM AIDILADHA


KINI
kita dalam bulan Zulhijjah. Bulan hari raya Aidiladha. Zulhijjah adalah bulan yang sangat penting sebab selain sambutan Aidil Adha (10 Zulhijjah), bulan ini juga adalah bulan umat Islam mengerjakan Haji dan mengadakan korban. Hari yang paling diutamakan pada bulan ini adalah Hari Arafah (9 Zulhijjah).

Antara amalan yang dianjurkan ke atas kita pada bulan yang mulia ini.

1. Menunaikan haji dan umrah
2. Berpuasa
3. Berzikir
4. Bertaubat
5. Memperbanyakkan amalan soleh
6. Bertakbir pada hari Aidil Adha
(Bagi mereka yang tidak menunaikan ‘ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13) Zulhijjah).
7. Melakukan korban (menyembelih binatang ternakan)
Pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) dan membelanjakan harta pada korban tersebut semata-mata kerana Allah. Kemudian disedekahkan 2/3 daripadanya kepada kaum fakir dan miskin.
8. Solat Aidiladha di masjid dan mendengar khutbah. Berusaha untuk menunaikan solat hari raya secara berjamaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya.

PERJALANAN panjang ibadah haji khususnya untuk mendatangi Padang Arafah, Muzdalifah, dan Mina memang memerlukan perjuangan ketahanan fizikal, kerja keras, yang tentunya juga harus disertai dengan kesabaran, ketawakalan, dan kepatuhan kepada Allah Swt. Semoga semua jemaah selamat menunaikan haji dan balik ke tanahair dengan penuh berkat haji mabrur.

Sunday, December 16, 2007

`SETELAH DIGIGIT BERJUTA SEMUT...'
SETINGGI syukur kepada Allah swt kerana anak bongsu telah selamat berkhatan. Debaran sudah berakhir dan dia sihat, sudah boleh menyarung seluar. Semasa anak kedua berkhatan dulu, kerisauan kami tidak sama dengan si bongsu ini. Maklumlah sudah 11 tahun usianya dan hal fizikal juga mempengaruhi kerisauan kami.


Kenalah bawa keluar tilam bantal, kerana mahu terbaring depan televisyen di ruang rehat. Sepanjang seminggu terbaring di ruang rehat itu, Datin Saerah tidak mahu langsung berenggang dengan Amie. Bangkit makan, kencing dan membuang, dia terbaring lagi sebelah Amie - siang malam.

Cepat betul luka Amie sembuh. Dia pun tidak ada pantang langsung. Semua dia makan, sebab katanya doktor suruh makan apa saja yang berkhasiat kalau nak cepat sembuh. Jadi dia makanlah kuey teow kerang, ayam goreng, sambal udang, kicap dan telur. Alhamdulillah tidak ada masalah. Ish, mama dengan abah pulak yang risau... tapi sekarang kami sudah bolehlah tersenyum lega.

Thursday, December 13, 2007

PETIKAN AKKHBAR HARI INI
KUALA LUMPUR
12 Dis. – Bilangan wanita gemuk mengatasi lelaki boyot dalam kalangan penduduk negara ini yang berumur 25 hingga 64 tahun, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan Datuk Lee Kah Choo berkata, Kajian Faktor Risiko Penyakit Kronik yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan tahun lepas menunjukkan terdapat satu juta wanita gemuk berbanding 850,000 lelaki gempal.

"Dalam erti kata lain terdapat 19 wanita gemuk bagi setiap 100 wanita berbanding 14 lelaki gemuk bagi setiap 100 orang lelaki dalam kumpulan umur yang sama," katanya menjawab soalan Datuk Dr Rahman Ismail (BN-Gombak).

Lee berkata, kajian itu mendapati 5.8 juta penduduk Malaysia berumur antara 25 dan 64tahun mengalami masalah berat badan berlebihan dan kegemukan.

"Kegemukan meningkatkan risiko seseorang itu mendapat penyakit kronik seperti jantung, diabetes, strok dan kanser," katanya.

Lee berkata, antara faktor yang menyebabkan kegemukan adalah keturunan, gaya hidup dan pemakanan.

p/s: Apa kata anda? Sudah berapa kg badan anda susut sepanjang 2007? Atau nak sambung azam kuruskan badan ke tahun 2008 pula...

Friday, December 7, 2007

NASIB WANITA KITA
JABATAN
Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman sebelum ini mendedahkan ada 30 kes wanita tempatan diperdaya ejen sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang ditahan di beberapa negara asing.

Selasa lalu, akhbar melaporkan seorang wanita dari Pasir Puteh, Kelantan, Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, ditahan di China atas tuduhan membawa masuk heroin ke republik itu, 19 Januari lalu dan dijatuhi hukuman mati. (Berita terkini - Hukuman berkenaan ditangguhkan).

Seorang lagi wanita tempatan kini dalam tahanan pihak berkuasa luar negara atas kesalahan mengedar dadah jenis kokain di Brazil.

Irine Manggi, 20-an, berasal dari Kuching, Sarawak, dikatakan menjadi mangsa ejen pengedaran dadah antarabangsa yang mempergunakan gadis tempatan sebagai pembawa dadah, sama seperti apa yang didakwa berlaku ke atas dua wanita Malaysia di Jepun dan China. Dia kini ditahan polis Sao Paolo dan menunggu nasibnya yang akan ditentukan mahkamah negara itu.

Sebelum itu, Raja Munirah Raja Iskandar, 22, kini menjalani hukuman penjara tujuh tahun di penjara Jepun kerana kesalahan sama. Untuk mereka bertiga, didoakan semoga segala urusan undang-undang di negara asing dipermudahkan dan mereka berjaya dibawa balik ke Malaysia.

Untuk itu eloklah kita nasihatkan orang kita supaya jangan terlalu baik dengan orang lain dan paling penting kalau di airport - jangan susah payah bawakan beg orang, biar dia bawa sendiri hatta yang ringan sekalipun. (Sebaiknya bukan di airport saja, di mana-mana sekalipun. Tapi kalau pesan ini kita bagi tahu dengan mak kita mesti dia marah... dia akan kata pentingkan diri sendiri. Laa... macamana ya?)

Monday, December 3, 2007

TIADA DI PEJABAT
ATAS
urusan kerja, saya tidak berada di Shah Alam bermula 3hb - 6hb Disember. Semua pihak yang terbabit dengan Pembentangan Perancangan Majalah dan Pengiklanan 2008 akan berdiskusi, memerah idea di Tiara Beach Resort, Port Dickson. Jika berkesempatan, InsyaAllah akan updated di PD nanti.