Tuesday, October 30, 2007


Dua hari lepas saya mencari semula buku ini yang dihadiahkan oleh suami.

LIM GOH TONG
GENTING HIGHLANDS, 29 Oktober - Raja Kasino dan ikon perniagaan Tan Sri Lim Goh Tong disemadikan di Taman Peringatan Gohtong Jaya dekat bandar Gohtong Jaya di sini hari ini.

Pengasas dan presiden seumur hidup Kumpulan Genting itu dikebumikan pada pukul 1.18 petang mengikut masa terbaik kaum Cina. Majlis pengebumian itu hanya dihadiri oleh anggota keluarga dan saudara mara. Mengikut pantang larang orang Cina, pihak media tidak dibenar membuat rakaman majlis pengembumian tersebut.

Lim, 90, meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) di Subang Jaya pada 23 Okt lepas kerana sakit tua.

Pada pukul 9.45 pagi tadi, perarakan jenazah meninggalkan rumah kediamannya di Gohtong Villa untuk "perjalanan akhir" ke Genting Highlands sebelum dibawa kembali ke taman peringatan itu, yang terletak kira-kira 600m dari bandar Gohtong Jaya.

Sebelum perarakan bermula, upacara sembahyang mengikut fahaman Taoist diadakan selama dua jam mulai 7.30 pagi di kediaman mendiang yang dihadiri oleh anggota keluarga, saudara mara, tetamu terpilih, persatuan dan badan pertubuhan.

Pihak media hanya dibenarkan berada di Gohtong Villa, Gohtong Jaya, Tokong Chin Swee, Hotel Genting Highlands dan pintu masuk ke Taman Peringatan Gohtong Jaya untuk membuat liputan perarakan itu dan dinasihatkan supaya tidak berada di hadapan perarakan.

Pada pukul 10 pagi, perarakan berjalan kaki bermula dari Hotel Gohtong Jaya, menuju pintu utama ke Gohtong Villa dan kemudian ke Taman Peringatan Gohtong Jaya. Kemudian perarakan itu disambung dengan menaiki kenderaan dari taman peringatan itu menuju ke Genting Hinglands.

Jalan dari Gohtong Jaya ke Genting Highlands Resort ditutup mulai 9 pagi hingga 12 tengah hari untuk upacara perarakan itu yang disifatkan sebagai salah satu perarakan paling hebat di negara.

Di sepanjang laluan perarakan ke puncak Genting Highlands, perarakan itu berhenti di Tokong Chin Swee pada pukul 11.50 pagi di mana setiausaha jawatankuasa tokong berkenaan Lim Thang Soon melakukan upacara sembahyang Taoist selama 15 minit.
Perarakan itu diteruskan ke Hotel Genting Highlands bagi membolehkan kakitangan memberi penghormatan terakhir.

Mengikut kisah riwayat hidupnya, Lim mengasaskan tapak tokong itu pada 1966 selepas menerima ilham daripada Patung Chin Swee untuk memulakan pembangunan Genting Highlands Resort.

Fasa pertama tokong tersebut yang menempatkan altar utama hanya disiapkan selepas 18 tahun kemudian ekoran masalah awal menghantar peralatan dan jentera berat di bukit curam itu. Tokong itu akhirnya dirasmikan pada 28 Mac, 1994.

Sebuah patung granit mendiang Lim setinggi 2.74 meter didirikan di dataran tokong itu dan dipamerkan pada sambutan harijadi Raja Kasino itu yang ke-90 pada 16 April lepas mengikut kiraan kalendar Cina.

Sementara itu, ratusan orang kenamaan, ahli perniagaan, ahli politik dan pelbagai lapisan masyarakat berhimpun di bandar Gohtong Jaya untuk mengikuti perarakan itu dan pada masa yang sama kalungan bunga dan ucapan takziah terus diterima dari seluruh dunia termasuk dari kerajaan wilayah Fuji di China, negeri kelahiran hartawan itu.

Antara yang menghantar ucapan takziah ialah hartawan Hong Kong Li Ka Shing, Raja Kasino Macau Stanley Ho dan pihak pengurusan kasino Ceasar Palace di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Beberapa eksekutif kanan bank-bank utama dunia juga turut hadir untuk memberi penghormatan terakhir termasuk pengerusi Hongkong dan Shanghai Bank Ltd Vincent Cheng.

Pada Khamis lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Lim di Gohtong Villa di sini manakala bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan takziah menerusi kiriman faks.

Sementara itu, seorang anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)
Sekolah Lelaki Methodist Kuala Lumpur, Puan Lim Siew Hong, yang turut mengikut perarakan itu menyifatkan mendiang Lim sebagai seorang yang sangat pemurah.

"Tanpa kemurahan hatinya, kami mungkin tidak dapat mendirikan sebuah dewan. Dewan itu dinamakan sempena isteri mendiang Puan Sri Lee Kim Hua, sebagai tanda ucapan terima kasih daripada kami," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini. Katanya 100 pelajar sekolah rendah dan menengah dari sekolah itu menghadiri ucapara pengebumian itu.

Di samping itu, beberapa buah sekolah juga menghantar rombongan untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang termasuk Chung Hwe Independent School, Monfort Boys Town, SRJK Tamil Bentong, SRJK Tamil Karak dan SRJK (C) Bukit Tinggi.

Dalam pada itu, wakil Kesatuan Pekerja-Pekerja Resort World, pula membawa sepanduk dengan perkataan: "Seorang yang baik yang sentiasa menjaga kepentingan dan kebajikan pekerjanya. Kami, para pekerja amat menghargai anda."
-- BERNAMA

* Berita ini tidak tersiar dalam akhbar hari ini. Diharap anda membacanya tanpa rasa prejudis. Bak kata orang, seketul batu, jika dicampak ke laut akan menjadi pulau.
* Rakan blogger kita, Suhaimy ada menulis tentang buku ini.

No comments: