Tuesday, October 30, 2007

YB PONTENG DEWAN RAKYAT
* Semalam, sehingga jam 11.45 pagi, hanya 48 daripada 219 ahli hadir dan menjelang petang hanya 26 terus berada dalam dewan, iaitu jumlah korum minimum bagi membolehkan dewan bersidang.

* 11 pagi Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Mahadzir Mohd Khir tidak hadir untuk mengemukakan soalannya. Ketika itu itu, kira-kira 40 Ahli Parlimen berada dalam Dewan.

* Sesi soal jawab berakhir jam 11.45 pagi selepas tujuh Ahli Parlimen yang soalan mereka tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat tidak hadir.

* Tiada seorang pun menteri kabinet menghadiri sidang pagi semalam, manakala hanya tiga Timbalan Menteri iaitu Datuk Ong Tee Keat (Pengajian Tinggi), Datuk Datuk Shaziman Abu Mansor (Kementerian Tenaga, Air dan komunikasi) dan Datuk Dr Tiki Lafe (Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) kelihatan dalam Dewan.

* Kebanyakan Menteri berada bersama Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang melawat Terengganu dan Kelantan bagi melancarkan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Anak saya dapat surat tunjuk sebab kerana ponteng empat hari ke sekolah. Antaranya ponteng kerana keletihan selepas khemah ibadah, ponteng kerana penat hari sukan, ponteng kerana bertungkus-lumus tolong cikgu di hari terbuka sekolah dan ponteng kerana letih, balik dari perkehmahan pengawas.

Saya harap YB terbabit turut mendapat surat amaran/teguran daripada yang dipertua Dewan Rakyat.

Dua hari lepas saya mencari semula buku ini yang dihadiahkan oleh suami.

LIM GOH TONG
GENTING HIGHLANDS, 29 Oktober - Raja Kasino dan ikon perniagaan Tan Sri Lim Goh Tong disemadikan di Taman Peringatan Gohtong Jaya dekat bandar Gohtong Jaya di sini hari ini.

Pengasas dan presiden seumur hidup Kumpulan Genting itu dikebumikan pada pukul 1.18 petang mengikut masa terbaik kaum Cina. Majlis pengebumian itu hanya dihadiri oleh anggota keluarga dan saudara mara. Mengikut pantang larang orang Cina, pihak media tidak dibenar membuat rakaman majlis pengembumian tersebut.

Lim, 90, meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) di Subang Jaya pada 23 Okt lepas kerana sakit tua.

Pada pukul 9.45 pagi tadi, perarakan jenazah meninggalkan rumah kediamannya di Gohtong Villa untuk "perjalanan akhir" ke Genting Highlands sebelum dibawa kembali ke taman peringatan itu, yang terletak kira-kira 600m dari bandar Gohtong Jaya.

Sebelum perarakan bermula, upacara sembahyang mengikut fahaman Taoist diadakan selama dua jam mulai 7.30 pagi di kediaman mendiang yang dihadiri oleh anggota keluarga, saudara mara, tetamu terpilih, persatuan dan badan pertubuhan.

Pihak media hanya dibenarkan berada di Gohtong Villa, Gohtong Jaya, Tokong Chin Swee, Hotel Genting Highlands dan pintu masuk ke Taman Peringatan Gohtong Jaya untuk membuat liputan perarakan itu dan dinasihatkan supaya tidak berada di hadapan perarakan.

Pada pukul 10 pagi, perarakan berjalan kaki bermula dari Hotel Gohtong Jaya, menuju pintu utama ke Gohtong Villa dan kemudian ke Taman Peringatan Gohtong Jaya. Kemudian perarakan itu disambung dengan menaiki kenderaan dari taman peringatan itu menuju ke Genting Hinglands.

Jalan dari Gohtong Jaya ke Genting Highlands Resort ditutup mulai 9 pagi hingga 12 tengah hari untuk upacara perarakan itu yang disifatkan sebagai salah satu perarakan paling hebat di negara.

Di sepanjang laluan perarakan ke puncak Genting Highlands, perarakan itu berhenti di Tokong Chin Swee pada pukul 11.50 pagi di mana setiausaha jawatankuasa tokong berkenaan Lim Thang Soon melakukan upacara sembahyang Taoist selama 15 minit.
Perarakan itu diteruskan ke Hotel Genting Highlands bagi membolehkan kakitangan memberi penghormatan terakhir.

Mengikut kisah riwayat hidupnya, Lim mengasaskan tapak tokong itu pada 1966 selepas menerima ilham daripada Patung Chin Swee untuk memulakan pembangunan Genting Highlands Resort.

Fasa pertama tokong tersebut yang menempatkan altar utama hanya disiapkan selepas 18 tahun kemudian ekoran masalah awal menghantar peralatan dan jentera berat di bukit curam itu. Tokong itu akhirnya dirasmikan pada 28 Mac, 1994.

Sebuah patung granit mendiang Lim setinggi 2.74 meter didirikan di dataran tokong itu dan dipamerkan pada sambutan harijadi Raja Kasino itu yang ke-90 pada 16 April lepas mengikut kiraan kalendar Cina.

Sementara itu, ratusan orang kenamaan, ahli perniagaan, ahli politik dan pelbagai lapisan masyarakat berhimpun di bandar Gohtong Jaya untuk mengikuti perarakan itu dan pada masa yang sama kalungan bunga dan ucapan takziah terus diterima dari seluruh dunia termasuk dari kerajaan wilayah Fuji di China, negeri kelahiran hartawan itu.

Antara yang menghantar ucapan takziah ialah hartawan Hong Kong Li Ka Shing, Raja Kasino Macau Stanley Ho dan pihak pengurusan kasino Ceasar Palace di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Beberapa eksekutif kanan bank-bank utama dunia juga turut hadir untuk memberi penghormatan terakhir termasuk pengerusi Hongkong dan Shanghai Bank Ltd Vincent Cheng.

Pada Khamis lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Lim di Gohtong Villa di sini manakala bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan takziah menerusi kiriman faks.

Sementara itu, seorang anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)
Sekolah Lelaki Methodist Kuala Lumpur, Puan Lim Siew Hong, yang turut mengikut perarakan itu menyifatkan mendiang Lim sebagai seorang yang sangat pemurah.

"Tanpa kemurahan hatinya, kami mungkin tidak dapat mendirikan sebuah dewan. Dewan itu dinamakan sempena isteri mendiang Puan Sri Lee Kim Hua, sebagai tanda ucapan terima kasih daripada kami," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini. Katanya 100 pelajar sekolah rendah dan menengah dari sekolah itu menghadiri ucapara pengebumian itu.

Di samping itu, beberapa buah sekolah juga menghantar rombongan untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang termasuk Chung Hwe Independent School, Monfort Boys Town, SRJK Tamil Bentong, SRJK Tamil Karak dan SRJK (C) Bukit Tinggi.

Dalam pada itu, wakil Kesatuan Pekerja-Pekerja Resort World, pula membawa sepanduk dengan perkataan: "Seorang yang baik yang sentiasa menjaga kepentingan dan kebajikan pekerjanya. Kami, para pekerja amat menghargai anda."
-- BERNAMA

* Berita ini tidak tersiar dalam akhbar hari ini. Diharap anda membacanya tanpa rasa prejudis. Bak kata orang, seketul batu, jika dicampak ke laut akan menjadi pulau.
* Rakan blogger kita, Suhaimy ada menulis tentang buku ini.

Monday, October 29, 2007

Wednesday, October 24, 2007


Datuk Haji Hussamuddin Haji Yaacub

HERO KAMI TERIMA ANUGERAH DATUK
SHAH ALAM:
Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd., Hussamuddin Yaacub dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) Peringkat Kedua yang membawa gelaran Datuk sempena Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah yang ke 77.

Beliau merupakan penerbit 28 judul majalah-majalah terkemuka di pasaran Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia adalah juga penerbit akhbar Sinar Harian yang kini telah memasuki pasaran di Kelantan, Terengganu, Pahang, Kuala Lumpur dan Selangor. Sinar Harian Melaka dan Negeri Sembilan kini sedang dalam proses untuk diterbitkan. Sumber:
Sinar Harian

Tuesday, October 23, 2007



JIKA BUKAN MEREKA, SANGGUPKAH KITA?
PASUKAN
Malcon 2 UNIFILL yang terdiri daripada 24 pegawai serta 56 anggota dari semua perkhidmatan Darat, Laut, Udara dan Kor Kesihatan Diraja telah berlepas ke Lubnan dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini, malam tadi.

Upacara pelepasan anggota Malcon 2 UNIFILL tersebut telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Muhammad Ismail Jamaluddin. Mereka akan berkhidmat selama sembilan bulan di sana.

Saya sebak melihat gambar-gambar ini. Terdetik di hati betapa kuatnya semangat mereka, jika kita... mungkin berfikir lebih lima kali memandangkan lokasi yang akan mereka pergi adalah negara yang sedang bergolak berbanding dengan kita di Malaysia - selesa sakan. Inilah yang dinamakan perjuangan dan pengrobanan. Tabik untuk mereka.

Monday, October 22, 2007


Gambar dari Agendadaily
OUR NATIONAL HEROS
SELEPAS
berlepas dengan roket Soyuz TMA-10 pada 10 Oktober lalu Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan dua rakan angkasawan mengambil masa dua hari untuk bercantum dengan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Semalam sewaktu kembali ke bumi perjalanannya hanya mengambil masa 3 jam 23 minit. Segala debaran berakhir bila kapsul Soyuz TMA-10 yang membawa beliau bersama dua lagi krew, Fyodor Yurchikhin dan Oleg Kotov mendarat di Arkylk, Kazakhstan pada jam 6.37 petang waktu Malaysia.

Tahniah kepada kerajaan Malaysia, Dr. Sheikh, Mejar Faiz, seluruh saintis terbabit, dan rakyat Malaysia amnya.

Monday, October 15, 2007

INILAH YANG KELAKARNYA!
SEORANG
di Shah Alam. Seorang lagi di Cheras. Bukannya jauh sangat! Boleh dikatakan tiap minggu berjumpa. Malah pada bulan puasa, kami lebih kerap berjumpa dan saling bercakap mengenai persiapan hari raya.



Di pagi hari saya, kami semua saling tergelak sakan. Padan muka!
Rupanya baju kami sedondon. Saya dan adik bongsu saya, Cikgu Fadilah serta anak sulungnya tak sudah-sudah jadi bahan gelak ke mana sahaja kami berjalan beraya.

Dia sudah menempahnya hampir dua bulan. Saya pula membeli baju itu di malam raya di Plaza PKNS. Saya main sambar sahaja baju tu asalkan senada dengan warna baju suami. Tak sangka pulak - macam kembar saja saya dengan adik bongsu!

Sunday, October 14, 2007


Nek Jah dan Tok Din - Emak dan abah saya.

BERKUMPUL, BERMAAFAN
HARI
Raya Aidilfitri tahun ini amat bermakna bagi mak dan abah. Juga moyang saya. Kesemua anak beranaknya, menantu-menantu dan cucu-cucu berhari raya di rumahnya. Kecuali cucu sulung mak, Muazz yang baru sahaja berangkat ke Oklahoma University di Texas awal Ramadan lalu. Selain itu mereka, adik saya dari Kota Bharu, Kelantan. Kak Long dari Kuantan, Pahang. Abang dari Kota Tinggi Johor. Dan tiga orang adik di bawah saya yang tinggal di sekitar Cheras juga pulang beraya ke rumah mak dan abah. Bak kata orang, riuh rendah - macam kapal nak karam.

* Hari ni satu feri terbakar dan karam di perairan Pulau Tioman. Saya teringat kenangan percutian kami anak beranak di salah sebuah pulau di situ - Kampung Salang Pusaka. Memorinya saya abadikan dalam novel Mahligai Cinta. Alhamdulillah mujur kami selamat pergi dan balik...


Yang terbaring itu nenek saya yang berusia hampir 100 tahun. Moyang anak-anak saya. Dalam gambar, adik saya Dr. Bakiah yang bertugas di Kota Bharu.

Saturday, October 13, 2007

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI,
AMPUN MAAF SETULUS HATI.

Friday, October 12, 2007

PERSIAPAN RAYA
KAMI
tidak mengalami masalah langsung dalam membuat persiapan hari raya. Keadaan bandar Shah Alam yang serba terancang ini membuatkan kehidupan segalanya tersusun. Untuk mendapatkan daun palas dan segala keperluan esok untuk hari raya saya ke Pasar Besar di Seksyen 16. Di situ segalanya ada. Saya beli daun palas, beras pulut susu, santan, kerisik, hati, daging, limpa, paru untuk rendang istimewa orang Kedah kegemaran suami. Saya juga beli pisang awak dan daun pisangnya untuk buat pulut dakap.

Semuanya dimasak sendiri. Maid telah dihantar pulang samalam. Menjelang waktu berbuka semuanya siap.

Malam raya kami anak beranak lepak di Jaya Jusco Bukit Raja, Klang. Kemudian ke Plaza PKNS. Jenguk-jenguk SACC MAll. Beli sehelai baju kurung siap untuk saya pakai esok (memang tak boleh ubah last minute punya perangai!) - Tentang baju ni ada cerita kelakar!

Thursday, October 11, 2007

JOM CUTI PRA RAYA
HARI ini saya bekerja separuh hari sahaja. Separuh lagi ambil cuti tahunan. Balik kampung? Tidak. Kami berhari raya di Shah Alam sahaja. Pagi hari raya akan ke rumah mak dan abah di Bandar Tun Razak, petangnya ke rumah sanak saudara di Klang, Jeram, Sungai Pinang dan lain-lain sekitar Selangor sahaja.

Pejabat di bahagian majalah sudah mula lenggang. Di bahagian akhbar masih lagi kalut dengan tugasan harian yang rutin. Akhbar hanya akan bercuti pada hari Jumaat dan Sabtu. Ahad sudah bekerja semula untuk akhbar hari Isnin.

Beberapa tugasan untuk bahagian majalah telah saya selesaikan. Sebenarnya kerja akan bertambah banyak selepas hari raya. Segala peracangan sudah tersusun, menanti hari bekerja sahaja untuk memulakan segalanya.

Wednesday, October 10, 2007

LANGKAH PERTAMA
JAM
9.21 malam ini rakyat Malaysia yang pertama akan berlepas ke angkasa lepas. Perhatian seluruh negara akan bertumpu ke pusat pelancaran Soyuz TMA-11 di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan. Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 35 atau jika berhalangan akan diganti oleh Dr. Faiz Khaleed akan berada di International Space Station (ISS, kira-kira 333 kilomiter dari bumi selama sembilan hari.

Soal istilah samaada mereka terbang sebagai 'angkasawan' atau ‘peserta penerbangan angkasa lepas’ seperti yang cuba ditonjolkan oleh Agensi Angkasa Lepas Nasional Amerika (NASA) sudah selesai. Pihak Rusia mengitiraf mereka sebagai seorang angkasawan atau Cosmonaut. Apa sekalipun pandangan tentang pemergian angkasawan Malaysia ini. Ini adalah langkah pertama. Setiap usaha mesti bermula dengan langkah itu.

Antara misi mereka ialah:
1. Kajian Sel di Angkasa Lepas

Eksperimen ini akan mengkaji kesan mikrograviti dan radiasi angkasa ke atas sel normal dan sel kanser. Ia bertujuan melihat kesan ke atas pembentukan sel kansr dan proseso yang boleh dimanfaat untuk menghasilkan teknik pengesanan dan rawatan lebih berkesan.

2. Kajian Mikrobiologi di Angkasa Lepas
Eksperimen yang membabitkan penghantaran bakteria ke angkasa lepas bertujuan mengkaji kesan ke atas mikrobigraviti dan radiasi di angkasa serta makanisma dan kadar perkembangan bakteria serta tahap kerintangan dan mekanisma kawalan genetik. Dua jenis bakteria dipilih iaitu Helicobacter pylori yang bertindak balas ke atas penyakit ulser perut dan Acinetobactor baumanni yang biasa terdapat di hospital. Kajian ke atas bakteria itu akan dapapt memberi lebih pemahaman dalam pembentukan bakteria dan membantu menghasilkan protein atau enzim baru yang dapat merencatkan aktiviti antibiotik.

3. Kajian Protein di Angkasa Lepas
Penghasilan kristal dariapda protein sangat penting kepadpa kimia dalam organisma hidup dan mempunyai tiga aplikasi utama iaitu struktur biologi dan pembuatan ubatan, pemisahan kimia dan pengawalan dalam ubatan. Eksperimen itu akan menyediakan saintis dengan maklumat dan pengetahuan dalam meningkatkan penghasilan kristal di bumi dan sekali gus meningkatkan penggunaan dalam bidang industri pada masa akan datang.

Sketsa di rumah saya semasa sahur jam 4.30 pagi tadi:
En. Abang:
Hari apa kita nak pergi beli barang pasar - ayMm/daging/kerisik/daun palas dll?
Saya: Ikut kiraan falak, kita raya Sabtu jadi Jumaatlah ke pasar.
Anak-anak: Diam saja sambil makan.
En. Abang: Buatnya jadi kes masa Almarhum Sultan Idris? Beraya sehari lebih awal...
Kak Long: Janganlah, biar kita raya Sabtu (mama belum jahit baju raya kak long!)
Anas: Apa kata macam ni - angkasawan kita ada di orbit masa tu. Sekali dia tengok luar tingkap kapal angkasa tu ada anak bulan. Dia terus bagi tau orang Malaysia. Dia call Pak Lah dan kata dia dah nampak anak bulan dah. Kita raya awal!
Amie: Okey... jadi esok kita last bangun sahur.

p/s:
- Mengikut ritual angkasawan, mereka dikehendaki buang air kecil di sisi Soyuz TMA-11. Agaknya angkasawan kita akan kencing berdiri atau duduk? Khabarnya ada beberapa ritual lagi... apa ya?
DERITA NURIN BERPANJANGAN
AWAL
minggu lalu saya menerima gambar-gambar bedah siasat adik Nurin menerusi internet. MasyaAllah, saya tidak sangka ada manusia yang sanggup menyebarkan gambar-gambar berkenaan ke pihak umum. Malam tadi TV3 telah siarkan dalam Buletin Utama dengan mengkaburkan bahagian tertentu.

Gambar-gambar itu memaparkan kecederaan teruk yang dialami Nurin. Gambar bedah siasat pada anggota tubuh termasuk pada bahagian perut dan alat sulitnya serta gambar tubuhnya kerekot dalam beg sukan berkenaan. Sungguh tragis.

Uncle Nurin, Encik Jasni yang mengendalikan blog In Memory of Nurin kecewa dengan kejadian itu. Siapa yang mula-mula mengedarkan gambar-gambar itu? Ia ternyata gambar-gambar bukti yang hanya pihak doktor dan anggota polis sahaja yang boleh mendapatkannya. Kenapa perkara macam ini boleh berlaku? Di mana kewarasan? Di mana tanggungjawab? Mengapakah tidak ada privacy bagi mayat Nurin?

Monday, October 8, 2007

DR MAHATHIR DIPINDAHKAN KE WAD BUNGA RAYA HARI INI


Untuk lebih cerita mengenai Tun sila klik blog Marina Mahathir di sini

Thursday, October 4, 2007

SYAWAL KIAN HAMPIR

BULAN separuh penuh yang dirakam fotoBERNAMA awal pagi semalam, menandakan umat Islam di seluruh negara telah menjalani ibadah berpuasa selama 22 hari. Pada minggu-minggu terakhir Ramadan ini, terdapatnya satu malam yang dipanggil Lailatul Qadar.

Penentuan tarikh sebenar berlakunya Lailatul Qadar tidak dapat dipastikan tetapi pendapat yang kuat menyatakan Lailatul Qadar berlaku pada malam-malam ganjil sepuluh terakhir Ramadan iaitu malam ke 21, 23, 25, 27 dan 29.

Kebesaran Lailatul Qadar adalah berdasarkan dua perkara pertamanya, kerana pada malam tersebut diturunkan Al-Quran dan kedua akan turun para malaikat dalam suatu angkatan yang besar untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang-orang berpuasa dengan ikhlas.