SECEBIS BICARA - NIAT DBP DIRAGUI
PERTENGAHAN Disember, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan seminar khusus mengenai penulisan novel popular yang akan disertai oleh beberapa orang sarjana dalam disiplin sastera masing-masing. Saya menarik nafas panjang dan bersyukur, bahawa ini suatu niat yang baik.
Di majlis itu nanti lebih sepuluh buah novel akan diperkatakan membabitkan lebih sepuluh orang penulis daripada tiga syarikat percetakan. Salah satu daripadanya ialah Alaf 21 Sdn. Bhd, anak syarikat Kumpulan Karangkraf yang juga syarikat induk kepada Akhbar Cabaran Sdn Bhd yang menerbitkan akhbar Sinar Harian.
Khabarnya pembentang kertas kerja telah diberi masa yang cukup untuk membuat kajian mengenai teks. Novel saya MAHLIGAI CINTA telah dipilih untuk dibicarakan dan saya diberitahu bahawa ianya akan diperkatakan oleh seorang sarjana dari Universiti Malaya.
Sebenarnya inilah julung kali DBP menganjurkan majlis ini. Ramai yang pelik. Ramai yang ragu-ragu dengan niat DBP ini. Oleh itu ekoran daripada keinginan menganjurkan seminar dengan tajuk ini dan sama juga dengan pendirian DBP dalam salah satu kegiatan sastera di Indonesia baru-baru ini, pihak penganjur telah ditempelak oleh sebahagian pengamal sastera serius.
Mereka kesal. Mereka amat kecewa. Mereka melenting, mempertikaikan wibawa penganjur dalam mendaulatkan sastera tanahair. Apa sudah jadi dengan penganjur? Malah cadangan pengiktirafan terhadap novel popular yang bertujuan memperakukannya untuk diberi hadiah sastera khusus terus dipersoal.
Curiga demi curiga. Komen demi komen... semestinya Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Johan Jaffar yang terkena tempiasnya. Namun beliau tetap berpendapat penerbitan novel popular perlu dilihat dalam konteks yang luas. Ya, saya hargai pemikiran rasional beliau dalam hal ini.
Sudah ramai rakan-rakan memberi respon tentang komen-komen sinis mengenai novel popular yang ditulis oleh penulis novel serius. Tulisan mereka yang tidak dibalas langsung oleh penulis novel popular semakin menjadikan senario ini berat sebelah. Komen-komen mereka ada yang positif dan ada juga yang negatif jika dilihat pada konteks memperkasakan dunia pembacaan di Malaysia.
Rata-rata berpendapat dan mengarah pada sumbangan negatif novel popular terhadap minda masyarakat. Namun nilai tambah kepada pemikiran pembaca bagi saya bukanlah boleh dilihat sekali lalu. Ia adalah penilaian yang berperingkat, kesan pada jangka masa panjang dan kita tidak boleh berpuas hati dengan satu teori sahaja kerana kesusasteraan membabitkan penyatuan jiwa dan pelbagai ekspresi.
Tidak dinafikan kewujudan penulis novel popular memberi bentuk dinamik yang baru kepada gerakan penulisan dan penerbitan buku bahasa Melayu di negara ini. Contohnya cuba bandingkan keadaan penerbitan, pembacaan dan pemasaran novel hari ini dengan beberapa tahun lalu.
Trend ini nampak jelas. Sambutannya luar biasa. Senario terhadap dunia penulisan sudah berubah. Tanggapan terhadap sastera lebih terbuka. Novel kembali diterima oleh audien. Mungkinkah kerana sambutan yang agak mendadak ini yang kurang disenangi dan dianggap mengugat oleh pendokong sastera serius?
Trend ini mestilah dilihat pada sudut positif dengan menafikan bahawa isi kandung dalam novel popular bukanlah cinta semata. Adalah dinafikan tidak semuanya mengandungi khayalan dan syok semata. Tidak juga mengundang dosa dan kemungkaran atau laknat semata.
Secara positifnya jauhilah tuduhan yang tidak berasas. Apalagi dengan mengambil hanya satu judul novel sebagai mewakili penghasilan kesemua novel popular. Itu adalah penghinaan. Malah boleh juga dianggap anti intelektual dan prejudis.
Mengapakah kejujuran dan niat baik melahirkan novel dilihat sebagai agenda untuk merosakkan minda pembaca? * Tulisan ini saya salin leper-leper daripada kolum saya di Sinar Harian.
No comments:
Post a Comment